Selasa, 28 Julai 2009

REBIU PENDEK sepintas lalu - Harry Potter, Public Enemy dan Taking Pelham 123






TAKING PELHAM 123

Berlatar belakangkan kota raya New York, Taking Pelham 123 arahan Tony Scott merupakan
remake kepada filem dengan tajuk yang sama (dibikin pada tahun 1974) dan merupakan adapatasi dari novel Morton Freedgood (juga menggunakan tajuk yang sama).

Plotnya bermula apabila sekumpulan perompak yang diketuai oleh Ryder (John Travolta) telah merampas sebuah tren bawah tanah lalu menjadik
an para penumpang sebagai tahanan. Ryder kemudiannya telah berhubung dengan Walter Garber ( Denzel Washington) yang menjadi operator mengawal laluan tren tersebut. Tidak semena-mena Garber telah menjadi 'orang tengah' diantara Ryder dan Mayor New Yor
k.

Nilai tebusan yang diminta adalah 10 juta. Masa yang diberikan adalah satu jam.

Durasi filem dan dunia sebenar seiring. Penonton diheret ke dalam filem, suspen dan cemas menunggu 10 juta selamat tiba ke tangan Ryder. Rentak suntingan yang pantas menambah derau darah. Ryder serius akan menggila memetik picu pistol sekiranya permintaannya tidak ditunaikan.


Di dalam kekalutan. Garber dan Ryder, keduanya mempunyai tarikan kimia yang kuat, walaupun hanya berhubung melalui telefon, masing-masing cuba menghipnotize penonton dengan dialog-dialog tentang persoalan dan perten
tangan 'moral'. Moral sesuatu yang kompleks, dimana 'betul' atau 'salah' itu subjektif sifatnya.

Taking Pelham 123 secara peribadi merupakan filem kadar sederhana. Sekiranya kamu tersesat di tengah dialog-dialog tersebut. Kamu akan merasakan filem ini 'bosan' tahap angkasa. Namun sekiranya kamu dapat mengikuti segala 'dialog
' tersebut, Yah...filem ini mempunyai nilai suspen dan aksinya yang tersendiri.






PUBLIC ENEMY

Sebagai peminat Depp aku sesekali tidak akan ketinggalan menonton Public Enemy arahan Michael Mann. Depp kembali dengan karekter Donny Brasco dan George Jung (Blow) . Aura gangster dan kriminal yang telah lama aku nantikan dari Depp.

Filem ini berlatar belakangkan era The Great Deppresion di Chicago dimana kegiatan jenayah organisasi terancang mafioso ( Al Capone) dan juga jenayah rompakan berleluasa akibat suasana 'terdesak'. John Dilinger, penjenayah yang paling dikehendaki di Amerika, telah dihidupkan semula oleh Depp. Agen Purvis, (Christian Bale) pula merupakan 'nemesis' kepada Dilinger yang dilakonkan begitu baik oleh Bale. Kedua membawa watak tersebut dengan karekter dan emosi yang sangat signifikan untuk menghidupkan karisma watak masing-masing.

Ceritanya berkisar tentang kisah hidup Dilinger, dizaman kegemilangan jenayahnya, kisah cintanya dan sehinggalah beliau ditembak mati ( ambik kau spoiler... rilek, bagi yang kenal Dilinger pasti tahu akhirnya dia mati juga kan?).

Adegan yang akan sangat mengujakan adalah di saat Dilinger telah memasuki balai polis dan melawat pejabat 'pasukan khas' yang ditugaskna untuk menangkapnya. Ini adalah satu adegan yang 'brilliant' dimana telah menunjukkan 'hint' apa yang akan terjadi pada adegan yang berikutnya. Ianya seakan satu 'penyerahan diri'...

Walau terdapat kritik yang hebat terhadap hasil karya Mann ini, yang kebanyakannya menyelar penggunaan video yang memusnahkan ke'eksklusifan filem gah ini. Aku masih dapat mengikuti filem ini dalam kadar keterujaan yang kontinuiti. Ahh... mungkin aku tidak terlalu membandingkannya dengan Last Of The Mohican atau Colaterall. Atau mungkin aku fanatik Depp...

Apapun tidak rugi kalau kamu menontonnya.






Harry Potter - The Half Blood Prince


Tiada majik menggila. Filem Harry Porter kali ini adalah serbuan hormon-hormon Harry, untuk lebih mengenali makna 'cinta'. yawn...


Isnin, 27 Julai 2009

Yo @ Shahrul Iman - Tuhan lebih menyayangi...




Rasanya baru sebentar mengenali beliau. Seorang anak muda yang ambituos. Senyuman tak pernah lekang dari bibir. Bersemangat untuk menerjah ke dalam 'industri'.

Aku masih ingat beliau bercerita dengan begitu bersungguh sewaktu di bilik editing tentang cita-citanya yang mahu belajar 'special effect dan make up' di Thailand. Aku tertawa... badan gadangnya memang tak sesuai untuk memegang berus eye shadow.

Tetapi dia serius.

Terakhir sekali aku bertemunya di PTAR Puncak Perdana. Sempat bertanya khabar dan bertukar cerita. Tidak sangka itu merupakan kali terakhir aku bertemu beliau.

Yo...Terima kasih kerana sudi membantu 'Nausea' dan 'Kisah Dalam Kelambu'. Cahaya dari 2K Kisah Dalam Kelambu itu akan sentiasa mengingatkan aku pada kamu. Harap kau tenang disana kawanku....

al-Fatihah.


Jumaat, 24 Julai 2009

GADOH - Apa yang gaduhnya?


Gadoh adalah sebuah filem 'bebas' yang diarahkan oleh Brenda Danker dan Namron. Filem ini merupakan satu projek KOMAS bagi kempen SATU BANGSA MALAYSIA.

Berkisar tentang isu perkauman diantara Melayu dan Cina di negara ini yang divisualkan melalui per'Gadoh'an di antara dua kumpulan pelajar bermasalah yang mewakili ras masing-masing di sebuah sekolah. Stereotaip caci maki, dan generalisasi terhadap Cina, Melayu dan India yang selama ini berpekung dalam diri rakyat Malaysia diluahkan sebebas-bebasnya melalui dialog seperti;.

"Cina makan babi!!! berak tak basuh! Pengotor!!!"

" Melayu pemalas, bodoh pun dapat masuk Universiti"

" Keling mabuk Todi!"

Hah! Terasa panas dengan dialog di atas? Penonton dapat mendengar dialog-dialog 'panas' ini dihamburkan dengan penuh perasaan oleh watak-watak di dalam filem ini. Dialog-dialog yang kasar ini adalah umpama 'raksasa' atau 'hantu' yang bersembunyi di dalam hati majoriti rakyat Malaysia pelbagai kaum selama ini. Ianya wujud dan terpendam, dan hanya diluahkan apabila bersama kelompok-kelompok kaum masing-masing.

Namun apabila dialog ini dilepaskan sebebasnya di dalam filem ini, 'hantu rasis' yang selama ini bersembunyi di dalam hati itu keluar bebas. Penonton diajak untuk berhadapan dengan 'hatu rasis' masing-masing. Ada yang terus meluap-luap kemarahan dan ada yang mula menentang 'hantu-hantu rasis tersebut dari menghantui dan merasuk pemikiran supaya terus membenci kaum lain sedangkan apa, mengapa dan kenapa 'kebencian' itu wujud di dalam diri mereka sebenarnya tidak difahami oleh mereka.

Ini samalah seperti cuba merawati orang yang mengalami 'fobia' terhadap sesuatu perkara. Iaitu dengan mengajaknya untuk berhadapan dengan rasa fobia tersebut. Sebagai contoh, untuk merawat seseorang yang fobia akan kegelapan, kaedahnya adalah dengan membiarkan orang itu berhadapan dengan 'kegelapan' itu sendiri. Samalah dengan filem ini, untuk merawat perasaan 'rasis' itu, maka biarkan mereka (baca: penonton) berhadapan dengan perasaan rasis masing-masing.

alah bisa tegal biasa, apabila 'emosi' sensitiviti terhadap isu yang berkaitan perkauman itu sudah dapat ditangani, maka kebanyakan akal akan dapat mula berfikir secara rasional.

Fikir - apakah puncanya 'rasisme' dikalangan rakyat Malaysia ini terjadi?

***

Cerita Gadoh ini (sedikit sinopsis) adalah mengenai sekumpulan pelajar samseng Melayu dan Cina yang membenci diantara satu sama lain disebabkan perasaan perkauman. Budak melayu benci cina sebab mereka adalah cina dan budak cina benci melayu disebabkan mereka adalah melayu. Tiada sebab lain yang lebih signifikan untuk mereka bergaduh melainkan rasa benci terhadap kaum (disebabkan prejudis tradisi dan pengalaman-pengalaman peribadi mereka).

Pergaduhan mereka telah tersebar ke dalam media massa, maka pengetua sekolah telah meminta pandangan para guru untuk membaik pulih imej sekolah dan sekaligus menyelesaikan masalah budak-budak 'rasis' tersebut.

Seorang guru cina, muda, dan optimis telah mencadangkan satu cadangan yang sangat 'poetic' iaitu dengan mewajibkan pelajar-pelajar yang bermasalah dari dua kumpulan kaum itu menyertai kelab teater yang akan ditubuhkan khas untuk mereka.

Alasannya adalah dengan tetater ( atau lebih tepat lagi :Seni) budak-budak itu dapat menghayati semangat 'kemanusiaan' lalu dapat mengatasi rasa benci di dalam diri mereka. Pengetua bersetuju, dan cikgu wanita tersebut telah mengajak teman lamanya, seorang pemuda lelaki melayu melatih budak-budak tersebut berteater.

Budak-budak cina dan melayu tersebut akhirnya menyertai kelab teater itu dan lama-kelamaan, kesan dari latihan-latihan teater itu rasa perkauman masing-masing semakin terhakis.

Sebagai sebuah filem yang dibikin dengan bermotifkan sesuatu, yang terang sekali tertera dihadapan kotak DVD iaitu ' AKU BANGSA MALAYSIA' maka cerita Gadoh ini sudah tentunya mengarah ke pengakhiran yang positi dimana pelajar-pelajar bermusuhan itu akhirnya telah dapat menerima satu sama lain dengan semangat penuh 'Kemalaysiaan'. Huih!

***
Terdapat banyak adegan di dalam filem ini yang menggunakan kaedah kamera hand held. hand held telah dianggap sebagai salah satu kaedah meraikan 'realisme' kerana ianya paling hampir dengan ciri-ciri penglihatan manusia. Dan dengan menggunakan kaedah hand held ini, pengarah cuba mengangkat 'realiti' yang berlaku di luar ke dalam filem. Secara tidak sedar sebuah realiti 'perkauman' yang busuk yang selama ini termendap dalam diri rakyat Malaysia sedang dihantar ke dalam kepala otak penonton.

Selain itu, hand held juga dianggap sebagai satu bentuk 'pemberontakan' dimana mengikut konvensi biasa, kamera adalah perlu diletakkan di atas tripod, dan dengan menggunakan kaedah hand held ini, visual yang terakam akan 'shaking' dan ini akan menimbulkan suasana atau keadaan yang 'tegang' dan 'kasar'. Sekaligus approach atau stail begini sangat kena dengan pengisian filem ini yang radikal dan subversif (dalam kontek filem melayu).

Selain itu, elemen 'teaterikal' di dalam filem ini, mungkin merupakan satu 'tanda tangan' dari Namron yang sangat dikenali di lapangan teater di negara ini.

***

Gadoh memaparkan stereotaip atau generalisai orang-orang Melayu dengan stigma bahawa Cina itu adalah penipu, kaum yang tamak, pengotor manakala orang-orang cina pula memandang melayu sebagai kaum yang tidak menghormati mereka kerana merasakan diri mereka sebagai rakyat kelas kedua dan melayu sebagai kaum 'tuan tanah' yang telah diberi keistimewaan-keistimewaan sekaligu menindas mereka. Watak india pula mewakili kaum India di negara ini yang minoriti sifatnya, dibuli dan ditindas serta tersepit diantara di tengah-tengah persengketaan di antara melayu dan cina.

Dimana datangnya stereotaip dan generalisasi perkauman ini? Ianya adalah persepsi yang diturunkan dari generasi ke generasi semenjak Malaya ini mencapai kemerdekaan. Isu perkauman ini sebenarnya bukanlah satu isu yang baru dan ianya adalah bersifat universal. Setiap manusia cenderung untuk memihak kepada kaumnya. Kaumnya adalah yang tercantik. Kaumnya adalah yang terhebat. Dan kaumnya adalah segala-galanya. Ini adalah pembawakan 'gen'.

Dan sekiranya 'kaumnya' diusik dan diganggu oleh kaum lain (perkataan 'usik' disini terlalu luas merangkumi soal politik, sosial, agama). Maka semangat perkauman ini akan meruap-ruap. Begitulah


Filem Gadoh ini merupakan sebuah filem yang sangat kena pada masanya dengan konsep '1 Malaysia' yang terlalu sibuk dicanang-canangkan. Filem ini muncul untuk memperlihatkan sejauh mana keihklasan setiap pemimpin dan rakyat untuk menyahut 'konsep 1 Malaysia' samada ianya adalah satu retorik ataupun benar-benar slogan 'pembaharuan' apabila masalah prejudis perkauman masih lagi bersarang di dalam hati majoriti rakyat Malaysia.

***

p/s -Samada filem ini dapat dicerna dengan baik atau terus dimuntahkan oleh penonton dengan rasa 'meluat' dan 'benci', tenaga produksi filem dengar rasa bertanggung jawab sentiasa bersedia untuk berdialog dan berinteraksi. Dan itulah yang menariknya setelah tamat penayangan filem ini di Pancha Delima tempoh hari.







Jumaat, 17 Julai 2009

Setem -- Komedi Aksi dari Khabir Bhatia

Baru menonton 'Setem' beberapa hari yang lepas di malam pratonton filem tersebut yang diadakan di Tropicana City Mall.

Filem 'Setem' adalah filem terbaru arahan Khabir Bhatia iaitu pengarah India yang telah dan semakin mencipta nama di Malaysia melalui filem seperti 'Cinta' dan 'Sepi'.

Tidak tersangka tajuk 'Setem' ini, yang pada awalnya aku sangkakan akan sama seperti 'Cinta' dan 'Sepi', akan membawa penonton kepada sebuah filem komedi aksi/gangster/crime ala 'Snatch' dan Ocean 11. Premis cerita yang hampir sama di mana penjenayah/con man berskala kecil terpaksa melakukan sesuatu untuk ketua sebuah kumpulan gangster.

Sinopsis ringkas (bagi mengelakkan spoiler) :- Sid (Rashidi) dan Joe (Afdlin) merupakan dua orang con man yang terpaksa 'mencilok' sekeping Setem antik milik Lord Barring yang bernilai USD 4 juta untuk menyelamatkan rumah anak yatim mereka namun hal ini diketahui oleh ketua kumpulan Piranha iaitu Piranha Lim lalu mengugut dan memaksa mereka mendapatkan setem itu untuknya. Selain Sid, Joe dan Piranha Lim, rupa-rupanya Setem itu juga jadi rebutan kumpulan penjenayah yang lain seperti Geng Thosai, dan Geng Bakso.Dari sini bermulalah adegan perebutan dan pintas-memintas dan cantas-mencatas bagi mendapatkan setem bernilai jutaan dollar tersebut.

***

Pandangan peribadi aku terhadap filem ini ialah ianya sebuah filem yang menghiburkan, sangat sesuai dengan genrenya iaitu komedi aksi. Sathiya yang membawa watak Vellu harus diberi pujian kerana berjaya membawa watak 'bendulnya' dengan begitu baik dan bait-bait dialognya berjaya mencuit hati penonton. Afdlin pula seperti biasa dengan komedi gaya beliau. kelakar tapi 'biasa'.

Watak Piranha Lim dan Mani pula agak menarik kerana keduanya berjaya membawa watak berasaskan 'ras' mereka. Piranha Lim yang bercakap menggunakan loghat utara 'kecinaan' merupakan satu gaya berdialog yang 'rare' untuk kita tonton di layar perak mahupun di kaca TV. Watak Mani pula yang mempunyai pengaruh 'gangster-gangster filem Tamil' sangat mengingatkan aku pada filem-filem Tamil Rajni dan Kamal Hassan. Cumanya apabila berdialog, kebengisan misai lentik beliau menjadi agak berkurangan secara 'drastik'. Haha.

***

Sesebuah filem melayu yang kelihatan seperti 'Snatch' dan 'Rock n Rolla' adalah sesuatu baru bagi aku. Dan ini tentulah satu pujian terhadap filem ini kerana ianya telah lari dari stereotaip filem aksi mahupun komedi filem Melayu yang biasa. Terdapat banyak 'lawak-lawak kering, (dry comedy) yang sememangnya bukan gaya komedi di dalam filem Melayu. Selain itu 'Twist' yang berlaku di akhir cerita amatlah berjaya kerana aku langsung tidak terfikir ianya akan terjadi begitu.

Penonton tidak akan merasa bosan sewaktu menonton filem ini kerana akan sentiasa berada di dalam 'pergerakan'. On movement. Ini kerana Khabir yang sangat dikenali dengan keobsesan beliau menggunakan 'trek' ( kamera di atas trek) tidak akan membiarkan shot beliau pegun tanpa pergerakan. Dan jika sebelum ini Khabir lebih dominan untuk mencipta 'movement' di dalam sesebuah shot menggunakan kamera berbanding pelakon ( yang kebiasaannya tidak banyak melakukan pergerakan seperti di dalam Cinta dan Sepi) namun di dalam Setem aku dapat melihat keseimbangan di antara pergerakan pelakon dan pergerakan kamera yang bagi aku adalah sesuai dengan kehendak 'komedi aksi' itu.

***

Setem akan ke panggung 30 Julai ini dan berbaloi untuk kamu membelanjakan 10 ringgit untuk menontonnya.
:)




Selasa, 14 Julai 2009

Terima Kasih

Terkejut Ya Amat!!!

Blog Lagi-Lagi Filem telah menerima anugerah Blog Ulasan Filem Terbaik di malam anugerah blogger yang dianjurkan oleh portal web remaja Yoyooh.Com

Kami berdua, Ikha dan Ares, Mengucapkan terima kasih kepada anda yang telah mengundi kami dan juga kepada Yoyooh.com yang menganjurkan malam penganugerahan tersebut.

:)




Ahad, 5 Julai 2009

NAUSEA






Di dalam bahasa melayu Nausea bermaksud mual @ loya @ mahu muntah. Bagi pemuja Satre. mungkin boleh menilai maksud lain disebalik tajuk itu. Video pendek ini mengisahkan tentang dua orang budak lelaki anarko punk ( melayu) yang telah mengislamkan seorang lelaki cina yang tiada tempat tinggal 'homeless'.

Persoalannya, bagaimana dua manusia 'anarki', yang menolak norma dan 'sistem hidup' majoriti, juga yang telah meninggalkan pegangan religius, mampu menarik 'saudara baru?'

Jawapannya adalah - 'Nilai-nilai kemanusiaan'...

Dan jawapan yang kedua adalah - ' eksploitasi agama' yang sedar tak sedar berlaku dengan begitu ekstrem di Malaysia.

Video pendek ini menggunakan kaedah penceritaan secara non-linear . Visualnya sengaja dibiarkan kelihatan 'raw' ( camera hand held) dengan gaya suntingan yang kasar. Ini sesuai dengan konsep video pendek ini yang semi dokumentari atau mungkin lebih tepat lagi doku-drama (genre). Sebahagiannya berbentuk dokumenteri dan sebahagiannya adalah drama.

Ruh-ruh anarki, bebas, berontak, liberal, dan radikal di dalam beberapa klip montaj di awal video pendek ini seperti mesej-mesej ( oh ya, aku tahu filem bukan dibikin untuk memberi mesej) hak asasi haiwan, anti homo-phobic, existentialisme, vegan, etc...  menyebabkan ramai yang cuba mengaitkan filem ini dengan 'punk cinema'. Tetapi aku menolak tanggapan ini. Video pendek ini walaupun mempergunakan sub culture...erm... mungkin lebih tepat lagi, counter culture Punk sebagai 'nadi penggerak' atau 'modal cerita' (berikutan dua orang watak utamanya adalah Punk serta pemaparan 'gaya hidup serta ideologi mereka') namun tujuan utama atau objektif utama aku adalah menjadikan 'punk' ini sebagai satu modal perbandingan.

Membandingkan satu perkara yang di'anggap' ( aku ulangi lagi, dianggap) buruk dan jelik (i.e golongan minoriti Punk) dengan masyarakat yang bersikap 'hollier than thou' adalah satu kaedah yang paling mudah untuk 'meludah' mereka. Agar mereka tersedar, dan seterusnya bawa-bawa berfikir.

Masyarakat yang memiliki sifat 'aku lebih suci dari kamu' dan yang terikat dengan dogma-dogma agama, juga pengganut agama secara membuta mempunyai rasa manusiawi yang sangat menyedihkan. Cenderung untuk menghukum, cenderung untuk melabelkan 'kafir', cenderung untuk hidup dengan kelompok-kelompok yang mempunyai amalan budaya dan agama yang serupa, tidak universal, tidak humanis, sangat negatif dan sangat prejudis.

Dalam keadaan begini bagaimana agaknya mahu menyuburkan 'tabligh' ?

Ironis apabila dua mamat punk,  dapat membawa seorang manusia ke dalam Islam. Sedangkan, majoriti dari muslim di dalam masyarakat kita hampir tidak mampu berbuat demikian. 

Selain itu, di dalam masyarakat yang sering mempersundalkan agama untuk kepentingan material, dengan mudah mengheret agama ke arah peng'eksploitasian. Apek telah menggunakan tiket 'mualafnya; untuk mendapat perlindungan dan bantuan kebajikan. Adakah Apek memeluk Islam kerana 'terbuka hidayah' atau kerana mahukan 'keistimewaan-keistimewaan sebagai seorang muslim di negara ini. Jangan lupa, Dengan memeluk Islam sahaja, Apek itu mungkin secara tidak langsung akan didefinasikan sebagai melayu.

Terdapat beberapa perkara yang mahu disentuh tentang video pendek ini, namun ianya mungkin akan menyebabkan 'spoiler' oleh itu, aku akan menyambung ulasan ini selepas tayangan perdana video pendek ini.

Video pendek ini akan ditayangkan di Uitm Puncak Perdana pada 15 Julai ini. Di sana, diskusi dan sesi soal jawab tentang filem ini akan berlangsung. Semua di jemput hadir. Terima Kasih.



Isnin, 15 Jun 2009

Monster VS Aliens




Sudah lama rasanya aku tidak berkesempatan menjengah blog filem ini yang kelihatannya sudah sedikit terabai. Kesibukan bekerja semasa cuti membuatkan aku lansung tidak dapat meluangkan masa untuk memberikan sebarang entri baru bagi paparan kalian.

Seminggu lepas cutiku dihabiskan dengan bercuti ke tempat di mana aku membesar iaitu Jitra, Kedah. Dalam keasyikan berjumpa dengan teman- teman sekolahku, disamping menghadiri kenduri kendara, aku sempat meluangkan masa ke panggung baru Jitra Mall Cinema (baru lah sebab aku baru first time tengok wayang dekat situ).

Filem Monster VS Alien yang diarahkan oleh Rob Letterman dan Conrad Vernon ini amatlah menarik perhatianku kerana salah satu wataknya menggunakan v/o artis kesukaanku iaitu Hugh Laurie a.k.a Dr. House M.D.

***

Kisah bermula di majlis perkahwinan Susan (Reese Witherspoon) dan Derek (Paul Rudd), di mana Susan yang sedang menunggu detik perkahwinannya telah di langgar oleh sebiji bola berapi yang besar dari udara...hurm...yakni digelar oleh para pengkaji sebagai meteorite, dan pada mulanya kelihatan seperti normal sehinggalah Susan membesar tanpa henti sejurus sebelum mereka melafazkan 'I Do'. (membesar dalam konteks filem ini adalah dari segi saiz badannya, menjadi gergasi dan bukan menjadi tua :) ).

Susan kemudiannya ditangkap oleh pasukan rahsia kerajaan Amerika Syarikat di suatu lokasi X, iaitu tempat kesemua makhluk yang dianggap sebagai 'monster' dan mampu mengancam manusia diasingkan. Di situ juga merupakan 'rumah' bagi 4 makhluk yang lainnya, iaitu si jeli biru tanpa otak B.O.B (Seth Rogen), Saintis gila Dr. Cockroach ( Hugh Laurie), orang cicak yang kononnya ganas Missing Link (Will Arnett) dan larva mutasi comel sebesar bangunan iaitu Insectosaurus. Kesemua mereka, termasuk ahli baru, Susan berada di bawah pengawasan General W.R Monger (Kiefer Sutherland).

Masalah berlaku apabila meteorite yang telah berada dalam badan Susan itu merupakan sejenis Quantonium yang diperlukan oleh makhluk asing jahat Gallaxhar dan dalam usaha mendapatkannya kembali, Gallaxhar terpaksa berhadapan dengan makhluk 'monster' yang kini menjadi rakan Susan. Apakah yang terjadi??Saksikan sendiri. :)

***

Pada pandangan peribadi aku filem ini ada naik dan turunnya. Pada suatu ketika aku berasa amat bosan dengan linear naratifnya, tapi pada satu masa yang lain aku agak terhibur dengan plot ceritanya lang lain.

Filem yang menyasarkan golongan kanak- kanak sebagai penonton ini kurang mendapat sambutan secara keseluruhannya di Malaysia, berbanding filem animasi kanak- kanak yang lain, mungkin kerana feature 3Dnya yang tidak terdapat di sebahagian besar panggung di negara kita.

Walau bagaimanapun, filem ini di lihat mungkin menyampaikan mesej yang terlalu berat bagi sebahagian kanak- kanak, contohnya melalui watak Presidennya yang dilihat sebagai satu sindiran terhadap organisasi kerajaan Amerika Syarikat.

Apapun, pergilah menonton sendiri untuk mengetahui sejauh mana kebenaran review ini...

Jumaat, 8 Mei 2009

Sell out (Spoiler Alert)






Ketika aku mendapat jemputan bagi menonton filem ini, aku sedang kalut berhadapan dengan paper final exam dan kerja editing bagi filem pendek Nausea yang sudah sekian lama tertangguh perjalanan post- produksinya. Namun, peluang menonton Sell Out yang telah memenangi anugerah di Venice Film Festival dan Taipei Golden Horse Film Festival ini memang amat aku nanti- nantikan.

Filem ini diarahkan oleh Yeo Joo Han, pengarah muda yang sebelumnya telah menghasilkan beberapa filem pendek yang turut mendapat perhatian di festival luar negara, diantaranya ialah 'Adults Only(2006)' dan 'Girl in a Soap Bubble(2007)'.

***

Filem ini mengisahkan tentang seorang pengacara rancangan realiti tv, Rafflesia Pong lakonan Jerrica Lai yang berhadapan dengan masalah kegagalan program kendaliannya menarik perhatian penonton, di mana penonton lebih menggemari program realiti TV kendalian bakat baru Hannah Edwards Leong, seorang hos cantik Eurasian lakonan Hannah Tan. Justeru dengan rating yang turun mendadak, Rafflesia terdesak untuk mencari idea baru untuk mengisi program kendalian beliau atau berhadapan risiko disingkirkan dari Syarikat Fony multinasional.

Rafflesia yang terdesak kemudiannya memberi peluang kepada bekas kekasihnya yang sedang tenat, Tony (Lee Szu Hung) bagi membacakan puisi tentang percintaan mereka untuk slot terakhir program tv itu.

Sedang Tony membacakan puisi (yang kemudiannya bertukar menjadi muzikal), penyakitnya bertukar teruk dan mati di hadapan kamera. Apabila program itu disiarkan kemudiannya, ianya mendapat rating yang tinggi serta digemari oleh penonton, sekaligus mendorong Rafflesia untuk mengacarakan satu program realiti tv yang baru, iaitu program yang memaparkan detik sebelum kematian seseorang.

Syarikat Fony turut mempunyai bahagian penjualan barangan elektrik, di mana Eric Tan (Peter Davis) bekerja sebagai salah seorang dari pengurusnya. Eric Tan berhadapan dengan masalahnya yang tersendiri apabila dia mencipta satu mesin pelbagai fungsi yang boleh menukarkan bijirin kacang soya mentah kepada 8 jenis produk soya yang berbeza.

Namun malangnya ciptaan yang cukup cemerlang itu berhadapan dengan masalah, iaitu kedua- dua CEO dari Syarikat Fony hanya mahu produk yang diciplak dari luar, bukannya hasil originaliti mereka yang tersendiri dan produk tersebut haruslah mempunyai mekanisma rosak sendiri, yang akan berfungsi sebaik sahaja waranti tamat!

CEO tersebut turut menyumbang kepada permasalahan pada jalan cerita bagi filem ini dan merumitkan keadaan dengan membawa Eric Tan bertemu Bomoh yang kemudiannya memisahkan bahagian badan imaginasi Eric Tan dan bahagian badan realitinya. Namun bahagian badan imaginasi ini kemudiannya tidak dapat dihapuskan dari realiti, memaksa Eric Tan hidup dalam 2 jasad yang berbeza.

Eric Tan bertemu Rafflesia Pong di Syarikat Fony Multinasional dan dari situ plot diperkembangkan lagi dengan Rafflesia Pong yang kini terdesak mencari orang yang hampir mati bagi memenuhi kehendak program realiti tv nya manakala Eric Tan berhadapan dilema bagi memasarkan produk ciptaannya tanpa memenuhi kehendak CEO Fony untuk meletakkan mekanisma rosak sendiri di dalam produk tersebut. Berjayakah mereka berdua mendapat apa yang mereka impikan?

***

Filem ini mempunyai banyak lapisan yang harus diterokai bagi memahami apa yang hendak diperkatakan oleh pengarah. Aku secara peribadinya berpendapat filem 'Sell Out' ini adalah sebuah filem komedi gelap yang 'bagus' yang pernah dihasilkan di Malaysia. Komedi Sell Out ini bukan komedi kosong, ianya komedi yang berselirat dengan pelbagai kritikan terhadap pelbagai perkara.

Aku secara jujur amat tertarik dengan pelbagai isu yang dipertontonkan yang dipersembahkan secara satira dan parodi kepada penonton. Humor satira/ perodi ini bagi aku lebih halus menusuk kalbu dari filem-filem yang mengkritik secara 'lantang' dan 'terang'. Mungkin bagi sesetengah individu, menyampaikan sesuatu isu secara terang dan 'lepas' itu adalah satu perbuatan jujur dan 'gentleman', tetapi untuk mengkritik sesuatu isu, tidak semestinya harus kasar berbahasa, kadangkala dengan satira humor begini, pelbagai perkara dapat diperkatakan tanpa perlu begitu 'menyinggung' dan impaknya tidaklah lebih kurang pula 'pedasnya'.

Filem ini banyak mengkritik sosio-ekonomi dan budaya masyarakat khususnya di Malaysia. Dimana golongan pekerja adalah 'zombie' yang harus menurut kata. Idea, seni, dan 'kejujuran' pula adalah perkara-perkara yang terlarang dan merupakan satu 'taboo'.  

Apa yang paling penting adalah 'material'. Dunia materialistik inilah yang menggerakkan dunia oleh itu perkara yang paling diutamakan adalah bagaimana mahu memaksimumkan 'untung dan meminimalkan 'rugi'.  Oleh yang demikian dengan menggunakan syarikat konglomerat 'Fony' dan dua orang watak C.E.O nya yang sadistik, 'Sell Out' menghentam kapitalisme dan eksploitasi media terhadap massa. 

Sell Out mampu mempermainkan subjek gelap seperti kematian sebagai bahan komedi. Ini adalah salah satu contoh kritikan terhadap perkara-perkara popular dalam masyarakat seperti program Realiti TV yang sekiranya dilihat secara halus adalah program yang sangat zalim dan kejam.  Peserta program realiti harus bersedia terdedah kepada eksploitasi dan manipulasi media, dimana program ini mengeksploitasikan mereka untuk mendapatan keuntungan. Sila lihat realiti TV seperti AF, peserta AF dengan mudah terdedah kepada eksploitasi yang sangat kejam. Bakat nombor dua, populariti yang diambil kira. Tetapi perkara-perkara inilah yang dimahukan oleh penonton. Sell Out menunjukkan betapa masyarakat tergilakan program realiti sehinggakan program realiti tentang saat-saat kematian menjadi satu program yang sangat hits berbanding program seni yang di hoskan oleh Raflessia sebelum itu yang nyaris-nyaris dihentikan.

Selain itu, Sell Out juga memaparkan sikap prejudis  terhadap idea-idea baru yang melampaui pemikiran kebiasaan. Inilah yang dihadapi oleh watak Eric dimana dia terlalu 'idealis' sehingga bahagian yang idealistik ini terpaksa dipisahkan dari jasadnya dan kemudian bahagian itu harus dihapuskan. Yang tinggal adalah bahagian Eric yang 'zombie' dan hanya pentingkan keselesaan dan kestabilan hidupnya. 

Ini bukan perkara baru. Ingat naskah klasik Hang Nadim? Kebijaksanaan dan kepandaian kadangkala dilihat sebagai salah satu bentuk ancaman. 


***

Ada beberapa pengulas mengatakan satu-satunya perkara 'negatif' tentang Sell Out adalah kerana ketiadaan bahasa Melayu dan penonjolan watak Melayu di dalam filem, sehinggakan tidak nampak filem ini sebagai sebuah filem dari Malaysia.

Bagi aku, filem ini tidak seharusnya terjejas oleh kerana hal ini. Memang aku bersetuju bahawa bahasa melayu yang ada di dalam filem ini hanyalah akhiran 'lah' di dalam ayat Manglish yang dipertuturkan oleh watak. Tiada satu struktur ayat bahasa Melayu yang lengkap di dalam dialog ini meskipun ianya adalah sebuah filem dari Malaysia yang bahasa rasminya adalah bahasa Melayu. Begitu juga tiada langsung watak melayu di dalam filem ini.

Tetapi jika filem Sell Out ini dipersoalkan begini, mengapa filem-filem Melayu yang tiada penonjolan watak kaum minoriti lain tidak diajukan soalan yang serupa?

Sedangkan filem melayu itu juga adalah filem dari Malaysia?

***

Apa-apapun, filem ini sememangnya sebuah filem komedi yang sangat berbaloi untuk ditonton oleh anda. Tonton filem ini sebagai sebuah filem tanpa prejudis dan tanpa perasaan nasionalis dangkal. Anda pasti terhibur dan berbangga dengan filem ini.








Sabtu, 2 Mei 2009

BOHSIA

Sudah hampir seminggu aku tonton filem Bohsia ini, cuma hari ini baru aku dapat mengulasnya. Oh ya, sebelum itu, minta maaf banyak-banyak sebab sudah lama tidak update LLF. Sibuk dengan exam. Inipun tekanan exam tak habis lagi ni haha. 

Oh berbalik kepada filem.

Bohsia - Jangan Pilih Jalan Hitam.

Wuisshh. Tajuk yang sangat mengcengkam sanubari. Masih ada lagikah orang gunakan istilah 'bohsia' ini? Bunyinya sangat 90an. Tetapi, terima kasih dengan tajuk ini, ianya berjaya membawa aku ke panggung. 

Filem ini diarahkan oleh Syamsul Yusof yang sebelum ini telah mengarahkan filem 'evolusi KL Drift. Orang muda mengarahkan filem untuk orang muda. Sepatutnya lah begitu. Jika evolusi Kl Drift menggunakan deruman enjin kereta sebagai daya penarik, di dalam Bohsia, Syamsul gunakan kenyaringan enjin motosikal RXZ.  Nyaring bunyi RXZ ini bukan bunyi sebarang beb, sejarah telah membuktikan bahawa bunyi motor ini adalah bunyi seruling 'puaka'. Bunyi ini boleh membawa penonton untuk masuk ke panggung. Tidak percaya?

KL Menjerit dan Remp-it adalah buktinya. 

Diklasifikasikan sebagai 18PL, maka tidak hairanlah dialog di dalam filem ini penuh dengan slanga bajet 'cool' muda-mudi. Dial
og dan gaya berdialog adalah antara beberapa faktor menarik di dalam filem ini. Filem Anak Halal dan filem Haru Biru juga menggunakan gaya berdialog yang sama. Realisme lah tujuannya. Baru nampak filem ini kasar. Aku tiada masalah dengan kata-kata carut bagai di dalam filem. Aku secara peribadi menganggap ianya satu cubaan yang 'berani'  dan sesuai dengan tema filem ini. Tetapi  sayang ia 'rosak' di hujung jalan... entah kenapa secara tiba-tiba tersembur pula  dialog-dialog yang 'preachy',

" Adik tak kisah asalkan rezeki tu datangnya dari sumber yang hallllaaallllll..."

Oh maaf, aku lupa ini filem Skop. 

Terima kasih juga kepada lakonan yang menarik Shahizie Sam yang membawa watak Acai.Watak 'real' Mat Rempit yang masuk 'air'. Malang sungguh watak anti -hero gila 'cool'  begini dibelasah separuh mati oleh seorang rempit Jambu.  Selain itu, kredit juga kepada si Bohsia Nabila Huda yang nampak bersungguh-sungguh cuba membawa watak bohsia ini begitu juga Salina Saibi yang walaupun agak tua untuk digelar bohsia tetapi telah menyumbangkan satu lakonan yang 'seronok' untuk ditonton. 

Aku bertanya kepada seorang rakan yang juga merupakan seorang Mat rempit yang menonton filem ini. Dia amat suka filem ini. Katanya cerita ini hampir  70 peratus betul tentang mat rempit dan minah rempit (Bohsia). Cara hidup, brand baju 'Romp' yang menjadi pilihan minah rempit, dan gaya rambut 'fin' Acai yang popular di kalangan rempit sekarang ini. 

Filem ini sememangnya dibikin untuk menarik golongan tersebut. Penonton tertarik untuk menonton sesuatu yang dekat dengan diri mereka.    

Keseluruhannya filem ini adalah sebuah filem yang seronok untuk di layan. Rentaknya deras. Dialog lancang, bingit enjin merempit, aksi gaduh-gaduh, huh...adrenalin penonton di pam-pam sehingga ke akhir cerita. Memang sebuah filem 'pure' eskapis yang menarik untuk dilayan. Tak perlu fikir apa-apa, tonton dan berhiburlah sepuas hati.

Filem ini  khabarnya ingin memberi pengajaran. Iaitu jangan jadi Bohsia atau jangan jadi Rempit. Namun Poster dan tag line filem ini sahaja sudah berbentuk Oxymoron .  Oxymoron ini istilah yang aku dapat dari kata-kata Pak Hassan Muthalib sewaktu aku berkesempatan berbual pendek dengannya. Nak tahu maksud oxymoron ini  pergi google atau buka kamus. Jangan jadi pemalas.

Katanya (Pak Hassan) poster Bohsia ini, bercanggahan dengan tujuan filem ini yang mahu menunjukkan keburukan gejala perempuan bagi badan (Bohsia) dan Mat Rempit kerana subjek iaitu watak di dalam poster tersebut di ambil secara 'low angle' yang secara tidak langsung meninggikan subjek tersebut. Sekiranya kurang jelas perhatikan poster di bawah;

Apabila watak (subjek) kelihatan tinggi dari sudut pandangan kamera, ianya membawa maksud mengangkat subjek tersebut. Ianya kelihatran 'heroic'. Dan sudah tentu ini bercanggahan dengan tujuan Syamsul yang ingin menunjukkan 'bohsia' dan 'mat rempit' itu adalah satu subjek yang negatif. 

Selain poster ini, tajuk filem Bohsia - Jangan Pilih Jalan Hitam bagi aku merupakan barisan perkataan di atas poster yang tidak memberi apa-apa signifikan kepada cerita. Sebagai penonton aku lihat watak Salina dan Nabila tidak memilih untuk jadi bohsia ini.  Institusi kekeluargaan yang pincang menyebabkan mereka jadi sebegini. Oleh itu, aku tidak nampak apa yang relevan dengan tag 'Jangan Pilih Jalan Hitam Ini.'

Lagi satu aku sangat kasihanlah dengan watak Amy ( Salina Saibi). Entahlah kenapa watak ini di dera sebegini rupa. Sudahlah diculik, diperkosa, dapat melarikan diri, kemudian diperkosa pula oleh ayahnya dirumah. Ini semua berlaku dalam satu hari.  Kadang-kadang mencipta dan menzalimi watak seperti ini akan memudarkan kedekatan 'realisme' diantara penonton dengan filem yang ditonton. 

***

Last word, bagi sesiapa yang 'die hard fan' Gerak Khas atau filem-filam Datuk Yusof Haslam, filem ini memang berbaloi untuk anda.