Memaparkan catatan dengan label aksi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label aksi. Papar semua catatan

Jumaat, 5 Disember 2008

TRANSPORTER 3



Buat pertama kalinya aku telah menghadiri pratonton filem Transporter 3 di Cineleisure, Damansara secara berseorangan kerana Ares sedang berada di Perak bagi menghabiskan musim cuti semesternya. Aku sedar aku bukanlah orang yang sesuai untuk menulis review bagi filem ini kerana aku lebih sukakan filem-filem bergenre fantasi dan sains fiksyen berbanding Ares yang sememangnya gemarkan filem aksi dan letupan sebegini.

Bak kata rakan blogku Ray dan Megat, filem ini sama sekali tidak sesuai untuk ditonton oleh sekalian para pesakit jantung, ibu-ibu mengandung, pesakit kencing manis, diabetes dan sebagainya bagi memastikan kemandirian kehidupan mereka.haha..

Filem ini, seperti yang anda sedia maklum adalah merupakan francais ketiga dalam siri Transporter. Aku yang tidak pernah menonton 2 francais sebelumnya menjangkakan bahawa filem ini mungkin akan menimbulkan banyak pertanyaan dari segi naratifnya, kerana ianya mungkin bersangkut paut dengan filem terdahulu namun aku silap. Filem ini yang sarat dengan aksi menpunyai jalinan naratif yang....erm....walaupun tidak terlalu mudah namun masih mampu aku fahami dan tidak membosankan berbanding dengan kebanyakan filem francais yang lain.

Menariknya filem ini adalah penggunaan elemen seni mempertahankan diri dari Benua Asia iaitu kungfu ,melawan penggunaan senjata moden iaitu pistol yang dilihat menggambarkan ketangkasan dan kekemasan seni beladiri tersebut. Dan ya, aku sukakan heronya Frank Martin lakonan mantap Jason Statham yang kelihatan sangat sexy pada kanta mataku, berbanding dengan heroinnya Valentina yang mempunyai wajah yang...hurm...eksotik namun freckles yang memenuhi wajahnya itu agak membuatkan aku merasa annoyed. (maaf, ini bukan atas dasar cemburu sesama kaum wanita..haha..)

***

Ok, cukup tentang pelakon. Filem ini mengisahkan tentang syarikat pembuangan sisa berjadual, ECOCORP yang telah membeli hak pembuangan sisa toksik di Ukraine. Namun, masalah terbesar mereka adalah Menteri Alam Sekitarnya yang telah merancang strategi pembaikpulihan alam sekitar secara besar besaran, bermakna, pembuangan sisa toksik di mana-mana sudut negara itu adalah diharamkan sama sekali.

Hal ini menimbulkan kesulitan buat pihak ECOCORP, yang memerlukan tandangan menteri itu sebelum mampu beroperasi, dan mengupah Jonas Johnson, bekas ahli Delta Force untuk mendapatkan tandatangan tersebut bagi pihak mereka. Jonas kemudiannya telah mengugut menteri itu dan memaksa Frank Martin membantunya dalam penghantaran 'Pakej' tersebut di tempat yang telah mereka tetapkan melalui sistem GPS kereta yang dipandu beliau.

Dari titik tersebut bermulalah tugas Frank Martin dalam misi penghantaran 'Pakej' ke destinasi yang dirahsiakan bertemankan seorang gadis manis, Valentina dengan gelang tangan berteknologi tinggi yang akan meletup sekiranya mereka berada lebih dari seratus kaki dari kereta tersebut. Dari sini bermulalah episod perjalanan yang mendebarkan dan dipenuhi aksi-aksi hebat dan mengujakan dalam usaha Frank Martin bagi merungkai rahsia tujuan sebenar penghantarannya dan misteri identiti Valentina.

***

Filem ini sangat disyorkan oleh aku kepada pada pencinta filem aksi yang dalam masa yang sama dahagakan momen- momen romantik bersama pasangan. Filem ini mampu mencetuskan idea idea baru bagi mengharmonikan rumah tangga kalian (Itupun jikalau kalian berani mencuba aksi tarian yang baru dan bertubuh sasa seperti heronya... :) ).

Selain itu, mesej kesedaran jalanraya turut diselitkan oleh heronya dan disebutkan secara pengulangan, dengan ayatnya,'fasten your seatbelt'. Mesej ini sesuai dengan saranan pihak kerajaan Malaysia yang telah mewar-warkan penggunaan tali pinggang keledar bagi penumpang tempat duduk belakang kereta berkuatkuasa 1hb Januari 2009. Haha..

Terdapat juga banyak dialog pengulangan di dalam filem ini, dan babak yang dilihat mempunyai similarity contohnya babak memancing pada pengawalan cerita diantara Frank Martin dan Inspektor, yang diulangi pada babak terakhir filem ini.

***

Secara kesimpulannya, banyak lagi yang ingin aku bincangkan di sini mengenai plot dan naratif, namun aku tidak mahu ianya menjadi spoiler pada kalian yang ingin menontonnya kelak.

Filem ini aku rasakan amat berbaloi ditonton oleh mereka-mereka yang gemarkan aksi dan letupan. Pergilah menonton di pawagam berhampiran hari ini.

Haa...apa tunggu lagi??? Pergi lah sekarang...

Selasa, 22 Julai 2008

HELLBOY 2:THE GOLDEN ARMY

DI PAWAGAM MULAI 3 JULAI 2008





Budak Syaitan merah muncul lagi, Kali ini dengan revolver dan aksi yang lebih menarik.

Satu perkara yang amat menarik adalah sequel ini berjaya menggunakan tajuk asal filem iaitu Hellboy. Sebelum ini, Tajuk filem ini telah ditukar kepada Super Sapien akibat kerenah LPF yang menganggap perkataan 'Hell' itu memberi konotasi yang kurang sopan kepada masyarakat Malaysia yang amat tinggi nilai budi bahasanya ( ehem!).






Filem Hellboy 2 arahan pengarah Guillermo De Toro, ini di mulakan dengan Flash Back, Dimana Hellboy yang masih kanak-kanak diceritakan tentang satu lagenda mengenai peperangan yang berlaku di antara manusia dengan golongan makhluk Halus. Peperangan yang dahsyat itu adalah kerana ketamakan manusia yang ingin menguasai dunia ini dan tidak mahu berkongsi dengan kaum makhluk Halus.

Pada awalnya kaum manusia telah memenangi perang tersebut namun setelah Raja Makhluk Halus berjaya membina bala tentera yang terdiri dari gabungan mekanikal dan magis dengan bantuan seekor (?) Troll, yang dinamakan 'The Golden Army' , Kaum manusia telah mengalami kekalahan. Jumlah kematian di kedua-dua belah pihak menyebabkan Raja makhluk Halus telah membuat satu perjajian damai dengan kaum manusia supaya 'The Golden Army' tidak lagi perlu di hidupkan semula.

Perjanjian damai ini diterima oleh manusia namun ianya tidak dipersetujui oleh Putera Makhluk halus tersebut iaitu Putera Nuanda. Baginya manusia adalah satu makhluk yang tamak dan tidak boleh dipercayai. Dia berazam untuk membubarkan perjanjian dan menghidupkan semula 'The Golden Army' bagi menghapuskan manusia.

Akhirnya, setelah ribuan tahun, perjanjian damai itu telah dilupai oleh manusia. Putera Nuanda muncul semula meneruskan cita-citanya menghidupkan kembali The Golden Army. Namun, hasratnya pada kali ini telah mendapat tentangan dari seorang superhero yang bukanlah dari kaum manusia, iaitu Hellboy.

Hellboy 2 ini telah di garap dengan baik oleh pengarah Guillermo De Toro. Dengan naratif yang bersih dan linear serta di selang - selikan komedi bagi mengimbangi unsur kegelapan cukup untuk membuatkan penonton terhibur sewaktu menonton filem Hellboy ini.
Penonton yang tidak menonton episod pertama Hellboy ini tidak akan mengalami sebarang masalah untuk mengenali 3 watak utamanya iaituLiz Sherman dan Abe Sapien. Asal usul Hellboy ini juga ada di paparkan sepintas lalu di awalan cerita.

Namun, bagi yang belum menonton episod pertamanya, pasti tidak sabar untuk menonton episod pertama itu kerana pada episod pertama itu hubungan Hellboy dan Liz baru sahaja hendak berputik.

Hellboy 2 ini adalah di dalam gabungan genre action,comedy,adventure,drama,fantasy dan sci-fi. Imej CGnya lebih menarik dan kemas manakala lakonan Ron Perlman sebagai Hellboy amat cemerlang. Walaupun hero ini bukanlah merupakan hero yang 'jambu' serta 'charming' tetapi Ron berjaya membawa watak ini dengan baik dan karisma wiranya dapat dirasai oleh penonton.

Secara peribadi saya sangat terhibur menonton Hellboy 2 ini. Tidak sabar rasanya menunggu episod ketiga filem ini. Khabarnya, hero ini akan berubah sikap dan kembali kepada tujuan asalnya di panggil ke dunia ini, iaitu membawa bencana kepada manusia.

Ahad, 13 Julai 2008

HANCOCK

DI PAWAGAM MULAI 2 JULAI 2008




Filem arahan Peter Berg ini adalah merupakan teks asal hasil garapan Vincent Ngo pada tahun 1996, dan pada awalnya berhadapan dengan pelbagai rintangan secara teknikalnya, seperti tiada penaja dan pengarahnya kerap bersilih ganti. Namun, filem ini akhirnya memulakan penggambarannya pada 3 Julai 2008 dengan bajet sekitar $150 juta.


Filem ini telah dicalonkan bagi kategori 'Summer 2008 Blockbuster' di dalam anugerah berprestij Golden Trailer bagi tahun 2008. Filem ini merupakan filem superhero yang pertama seumpamanya dimana karakter superhero digambarkan sebagai pemabuk, dan mengundang kemusnahan yang lebih besar setiapkali cuba menentang musuh dan menyelamatkan orang awam. Menariknya, watak utama yang dilakonkan oleh Will Smith ini, iaitu sebagai John Hancock juga mampu terbang dalam keadaan mabuk, dan seakan akan terbang dalam rentak muzik hip hop.


Filem ini juga membawa identiti Amerika Syarikat itu sendiri, iaitu dengan memfokus kepada topi dan kostum yang digunakan oleh Hancock, dengan tertera gambar burung helang permukaannya, juga digelar 'Eagle' yang menggambarkan identiti Amerika dan pasukan tenteranya yang digeruni. Namun, secara keseluruhannya filem ini tidaklah mengecewakan dan sesuai ditonton bagi penggemar filem filem komedi, aksi, drama dan fantasi.



(Hancock dengan kostumnya yang berlogo 'Eagle')



Kisah bermula dengan kewujudan seorang superhero yang hidup merempat di jalanan dengan hanya bertemankan botol araknya. John Hancock (Will Smith) atau lebih dikenali sebagai Hancock kerap membantu orang awam bagi mengurangkan kadar jenayah di Bandar Los Angeles, namun, setiap pertolongannya mendorong kepada kemusnahan bandar yang lebih besar, ditambah pula dengan sikap Hancock yang biadap membuatkan seluruh bandar benci kepadanya.


Namun, hidupnya berubah setelah menyelamatkan Ray Embrey (Jason Bateman), seorang pakar perunding imej yang kemudiannya telah berasa terhutang budi terhadap Hancock dan menawarkan diri untuk mengubah imej dan persepsi masyarakat terhadap Hancock. Dalam masa yang sama, Hancock merasakan wujud suatu kuasa tarikan yang aneh terhadap isteri Ray, iaitu Mary (Charlize Theron) walaupun tidak pernah mengenalinya sebelum itu. Hancock turut menjadi idola kepada anak Ray, iaitu Aaron (Jae Head) yang kerap dibuli oleh rakan rakan yang jauh lebih besar dari saiznya.


Atas dorongan dan nasihat Ray, Hancock kemudiannya bersetuju untuk dipenjarakan sehingga masyarakat sedar akan kepentingan kuasanya terhadap mereka. Ketika Hancock dipenjarakan, kadar jenayah mulai meningkat sehingga 30%. Ray kemudiannya telah datang dan menyerahkan kostum superhero kepada Hancock, yang mana sebelum ini telah ditolak mentah mentah oleh Hancock dengan alasan bahawa superhero yang lain adalah homoseksual.


Namun Hancock sedar yang masyarakat memerlukannya dan mengambil keputusan untuk menyarung kostum itu dan kembali membantu masyarakat. Apakah yang akan berlaku seterusnya? Mampukah Hancock berubah menjadi seorang yang berguna dan lebih bertimbangrasa? Siapakah Mary sebenarnya? Dapatkan jawapan bagi persoalan anda di pawagam hari ini......Selamat menonton!

Jumaat, 11 Julai 2008

WANTED

DI PAWAGAM MULAI 27 JUN 2008




Filem arahan Timur Bekmambetov ini diadaptasi dari komik yang ditulis oleh Mark Miller sekitar tahun 2003 hingga 2004 dan dipengaruhi oleh unsur unsur filem barat yang lain seperti Top Gun (1986). Seperti mana filem aksi yang lain, Wanted padat dengan adegan adegan yang cukup mendebarkan dan ganas , sesuai dengan klasifikasinya di Malaysia, iaitu dilabelkan dengan 18SG.


Dibintangi oleh barisan pelakon yang terkenal dan berbakat seperti James McAvoy sebagai teraju utamanya yang membawa watak sebagai Wesley Gibson , dibantu Angelina Jolie sebagai Fox, dan Morgan Freeman sebagai Sloan. Ketiga tiga watak utama ini kemudiannya diperkembangkan dengan cukup baik sekali dan menimbulkan konflik seterusnya mendorong penonton untuk berfikir bagi lebih memahami setiap plot dalam filem ini.


(James dan Angelina Jolie sebagai teraju utama)



Sesuai dengan taglinenya 'Choose Your Destiny' , Wanted mengisarkan tentang Wesley Gibson (James McAvoy) , pemuda berusia 24 tahun dan bekerja sebagai pengurus akaun di sebuah syarikat. Tinggal bersebelahan dengan landasan keretapi dengan kekasihnya Cathy (Kristen Hager) , Wesley menjalani rutin kehidupan seharian yang sama dan membosankan di dalam kubikel tempatnya bekerja seharian. Wesley mempunyai masalah panik yang keterlaluan , turut mengesyaki rakan baiknya mempunyai hubungan sulit dengan kekasihnya sendiri.


Kehidupannya bagaimanapun berubah setelah didatangi oleh Fox (Angelina Jolie) yang telah menyelamatkannya dari seseorang yang cuba menembak Wesley dari arah belakang sewaktu di sebuah farmasi. Fox kemudiannya membawa Wesley berjumpa dengan Sloan, dan memberitahu bahawa Wesley telah dilahirkan sebagai pembunuh elite dan bapanya telah mati dibunuh pada hari sebelum Wesley dibawa masuk ke dalam kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai 'The Fraternity'.


Wesley kemudiannya telah dilatih untuk mejadi seorang pembunuh handal dengan keupayaan nya menembak dengan tepat bagi tugasan membunuh berpandukan mesin penenun takdir, yang mengeluarkan nama individu yang akan menimbulkan kekacauan di masa hadapan dan patut dibunuh. Wesley juga telah ditugaskan untuk mencari pembunuh bapanya, Cross(Thomas Kretschmann) dan menghabiskan riwayat Cross di dalam sebuah gerabak keretapi yang hampir terjuman ketika Cross cuba menyelamatkannya. Apa sebenarnya yang terjadi? Mengapa Cross bertarung nyawa untuk menyelamatkan nyawa Wesley? Jawapannya dalam filem ini.. Saksikan dan semoga terhibur..

Selasa, 24 Jun 2008

THE INCREDIBLE HULK

DI PAWAGAM MULAI 13 JUN 2008





The Incredible Hulk ini merupakan pembikinan semula, atau secara lebih tepatnya digelar sebagai pelancaran semula karakter- karakter superhero dari Marvel Comics ciptaan Stan Lee yang mana umum mengetahui bahawa sebelum ini watak Hulk, iaitu superhero berwarna hijau dan menakutkan pernah dilakonkan oleh aktor Eric Bana pada tahun 2003.


Versi baru The Incredible Hulk ternyata membawa idea yang lebih segar berbanding sebelumnya. Diarahkan oleh pengarah filem aksi Louis Leterrier ('Unleashed' , 'Transporter 2') , filem ini padat dengan aksi aksi yang mendebarkan dan mampu membuatkan penonton terhibur dengan kejutan, letupan dan kemusnahan yang digambarkan dari versi komik ke dalam bentuk filem fiksyen ini, berbanding dengan jalan cerita yang agak membosankan pada versi filem Hulk yang sebelumnya(2003).


The Incredible Hulk memulakan tirai penceritaan dalam bentuk flashback, iaitu penonton diajak mengimbas kembali asal usul kewujudan makhluk hijau yang bergelar Hulk ini. Walaupun ianya bukanlah seperti kisah asal Hulk seperti yang dipaparkan di dalam komik, namun ianya lebih menjurus kepada asalan kisah Hulk dalam siri tv nya yang menjadi hits sekitar tahun 1970an di United States.








The Incredible Hulk mengisahkan tentang Bruce Banner (Edward Norton) yang ingin bersendirian melarikan diri dari pihak tentera Amerika demi mencari penawar sekaligus belajar mengawal kemarahannya bagi mengelakkan sebarang kemusnahan yang berlaku setiapkali Bruce bertukar menjadi Hulk. Namun kesilapan kecil telah membuatkan dirinya dikesan oleh General Ross (William Hurt) yang memburu Hulk demi kepentingan senjata militarinya, dan beranggapan bahawa Hulk adalah hak penuh militari.


Dalam masa yang sama, Bruce berkenalan secara maya dengan seseorang dengan nama samaran 'Mr. Blue' yang berjanji akan membantunya mendapatkan antidote bagi mengelakkan Bruce bertukar menjadi Hulk lagi. Mr. Blue kemudiannya dikenalpasti sebagai Samuel Sterns lakonan Tim Blake Nelson bertindak mencairkan darah Bruce dan menghasilkan lebih banyak darah dari sampel yang diberikan kepadanya.


Bruce kembali ke Amerika dari Brazil setelah kawasan persembunyiannya terbongkar dan menemui kekasih lamanya iaitu Dr. Betty Ross (Liv Tyler) yang didapati telahpun menemui cinta yang baru. Bruce diburu oleh watak yang mirip kepada watak komik 'Captain America' bersatu dengan ciri- ciri 'Super Soldier' namun beridentiti seakan akan Rusian- American iaitu Emil Blonsky (Tim Roth). Dia mempunyai kuasa pemulihan yang menakjubkan dan menjadi musuh utama Hulk sehingga ke penghujung cerita.


Turut disertakan di dalam filem ini iaitu penampilan istimewa Robert Downey Jr. sebagai Tony Stark A.K.A Iron Man yang mendukung watak sebagai cameo pada punghujung cerita.Secara keseluruhan filem ini amat padat dengan aksi dan agak menghiburkan. Selamat menonton!



GET SMART

DIPAWAGAM MULAI 20 JUN 2008





Warner Bros. kembali dengan koleksi produknya yang bergenre komedi dan aksi berkisarkan dunia penyiasatan. Get Smart merupakan adaptasi dari siri televisyen yang popular sekitar pasca 1960an, juga dengan judul 'Get Smart' yang dicipta oleh Mel Brooks dan Buck Henry.


Filem ini mampu membangkitkan kenangan penyiasatan yang juga digelarkan remaja pada zaman ini sebagai 'old-skool' secara komersial di layar perak dengan lebih aksi, selain dari elemen komedi satira bagi menghiburkan penonton dan melegakan stress.


Filem ini menampilkan aktor Steve Carell sebagai tunjang utamanya, yang beraksi sebagai ejen Maxwell Smart dikatakan lebih mirip kepada kisah penyiasatan seperti 'I Spy', memulakan penceritaan dengan teknik stunt seakan akan filem James Bond namun ejen Smart lebih bersifat cuai dan melulu mebuatkan kebanyakan teknik penyiasatannya kurang menjadi dan menimbulkan kesan humor buat penonton.


Kredit harus diberikan kepada lakonan Steve Carell kerana lakonannya yang bersahaja dan dikatakan tidak mengambil identiti pelakon asal siri televisyennya iaitu mendiang Don Adams, yang merupakan pembawa watak asal bagi ejen Maxwell Smart lakonannya.



(Steve Carell dan Anne Hathaway beraksi di dalam Get Smart)



Kisah bermula apabila pihak antagonis dari KAOS telah merancang untuk mendominasi bumi serta penduduknya dengan cara menyerang ibu pejabat agensi penyiasatan United States, mengakibatkan keseluruhan identiti setiap ejen penyiasat di ibu pejabat terbongkar. Menyedari hal ini, ibu pejabat telah memutuskan untuk menaikkan pangkat penganalisis komputernya iaitu Maxwell Smart (Carell) yang tiada sebarang pengalaman namun sangat bersemangat ke tahap sebagai seorang ejen rahsia.


Ketua ejen lakonan Alan Karkin kemudiannya telah menggandingkan ejen Smart dengan Ejen 99 (Anne Hathaway) , seorang penyiasat professional tua yang kemudiannya menjalani pembedahan plastik untuk menukar wajah bagi mengelak dari dicamkan oleh pihak KAOS. Tanpa sebarang pengalaman dan hanya berbekalkan pelbagai gajet penyiasat, ejen Maxwell Smart berdamping dengan Ejen 99 terpaksa berhadapan dengan ketua KAOS iaitu Seigfried (Terence Stamp) bersama angkatannya yang setia demi untuk membebaskan dunia dari kuasa jahat. Bagaimanakah kesudahannya? Saksikan di pawagam berhampiran anda hari ini.