Khamis, 14 Mac 2013

Rock dan momen momen personal.

Muzik rock kapak/glam rock merupakan pengaruh muzik terawal dalam hidup aku.

Mempunyai seorang bapak yang meminati muzik. Aku membesar dengan pelbagai genre muzik, iatu pengaruh secara tidak langsung dari apa sahaja yang keluar dari corong radio jenama Aiwa bapak aku.

daripada Santana, Bob Marley ke Deep Purple, Dari Jefrydin, M. Shariff dan ke Search, Wings dan Lefthanded.

Kadang kadang aku terdengar dia pasang lagu lagu Bee Gees, dan The Carpenters... itu kesukaan mak aku.

Tapi M. Daud Kilau dengan S.M Salim takde...tak... uu uhh... Itu bukan muzik jenis bapak aku suka. 

Aku pula, lewat 80-an, berseluar pendek tidak berbaju sering bermain kaut-kaut pasir di belakang rumah aku. Rumah aku pada waktu itu terletak betul-betul di pekan Parit. Sebuah pekan koboi yang agak terkenal di daerah Perak Tengah, Perak.



Berhampiran timbunan pasir itu terletak sebuah rumah yang agak misteri. Rumah kayu, yang dindingnya terconteng conteng dengan perkataan-perkataan yang aku tidak fahami. masa itu aku berumur 7 tahun, aku tidak boleh membaca sehinggalah aku berusia 9 tahun. Oleh itu aku tak faham apa yang dicontengkan di dinding rumah tersebut.*

Selain dari keadaan rumah yang tidak senonoh ( dan agak creepy) jika dilihat dari luar. Satu perkara yang aku ingat tentang rumah tersebut adalah penghuni rumah tersebut seolah-olah pekak. Mereka akan memasang radio dengan kuat. Aku yang sedang bermain pasir itu boleh dengar lagu yang mereka pasangkan berulang kali. Antaranya adalah lagu ini.



Ya, lagu dari kumpulan Crossfire. Setelah beebrapa kali mendengar lagu ini dari rumah tersebut sewaktu seronok bermain pasir, aku dapat menghafal lagu tersebut.

Yang peliknya, aku jarang dapat lihat kelibat manusia yang menghuni rumah tersebut, dari radio yang terpasang. Aku yakin rumah tersebut berpenghuni. Kadangkala hanya dengar nyaringan bunyi gitar dari rumah tersebut. Betul-betul bunyinya seperti ini.



Setelah sekian lama diselubungi misteri, akhirnya aku dapat juga melihat kelibat mereka yang menguni rumah tersebut. Dan ya, mereka semua, ada 4 orang kesemuanya, sebiji seperti mereka ini. Tapi tak la akai baju macam tu. haha...



Berambut panjang, berbadan kurus, seluar ketat, dengan aksesori di tangan dan leher. Mereka adalah mamat-mamat rock kampung yang terpengaruh dan menjadi sebahagian dari fenomena rock yang melanda negara pada waktu itu. Mereka sangat cool... walaupun sebenarnya penampilan mereka memang mendatangkan curiga kepada mak aku. 

Diaorang tu hsiap dadah. cakap mak aku. Aku tidak tahu apa itu dadah pada waktu itu, tapi seringkalinya dadah dikaitkan dengan tengkorak. Ya, ianya snagat menggerunkan. Bukan dadah, tapi tengkorak tersebut.



Pada waktu itu, kalau bapak aku bawak aku berjalan ke Ipoh untuk aktiviti makan malam yang menjadi rutin bulanannya sebaik sahaja dapat gaji, tidak dapat tidak aku akan bertembung dengan mamat-mamat dan minah-minah rock ini kawasan Super Kinta dan Yik Foong, atau di depan Stesen Kereta Api Ipoh, di mana tempat yang menjadi tempat tumpuan masyarakat Ipoh pada waktu merewang di malam minggu, atau di TKK ( Taman Kanak Kanak) yang menjadi tempat tumpuan makan-makan setiap lapisan marhaen di Ipoh. Ada satay Endut yang agak famous pada waktu itu disini.



Kalau tidak di Ipoh, aku sering bertembung dengan mamat dan minah rock ini di kedai bundle arwah tuk aku. Arwah tuk aku adalah seorang peniaga bundle yang famous pada waktu itu. Kedai bundle dia terletak betul-betul di tengah pekan parit. Menawarkan pelbagai jenis pakaian second hand dengan harga mampu beli, tidak hairan ianya menjadi 'port' mamat-mamat rock dan minah minah rock membeli jeans lusuh dan koyak mereka di situ.

Antara kenangan yang tidak boleh aku lupa adalah aku terjatuh hati dengan seorang Minah Rock yang sering datang ke kedai bundle arwah tuk aku ini. Ahhh... begitu salahnya psikoanalisis Freud yang mengatakan bahawa budak lelaki berumur 7 tahun tiada keinginan terhadap gender yang berlainan dengan mereka sewaktu di tahap represi seksual itu.

Atau aku yang tidak normal? hahahaha


Mungkin ianya bukan 'cinta', ianya hanya 'suka' seorang kanak-kanak kepada seorang perempuan yang nampak sempurna. Yang kelihatan sempurna itu adalah seorang minah yang seakan akan seperti gambar di bawah. Haa... yang belah kanan sekali tu....

Aku masih ingat eye shadow dan gincunya yang merah menyala. Serta seluar jeans ketatnya. Suaranya pun aku masih ingat. Bila dia datang untuk beli jeans dan alter jeans tersebut. Aku pasti akan menyibuk. dan dia tidak lupa membelikan aku sesuatu, dan biasanya sesuatu itu adalah ice cream potong kacang merah. 



Waktu itu, sudah masuk tahun 90, dan lagu ini pernah berkumandang sewaktu minah rock, yang sampai sekarang aku tidak tahu namanya itu, datang ke kedai bundle arwah atuk aku. May, Sketsa Sebuah Cinta.


Selain itu, dari segi fesyen, untuk budak berumur 7-9 tahun, apalah yang boleh di rock sangat. Bapak aku akan pastikan macha tukang rambut memotong rambut aku dengan kenipisan No. 2. Cuma kalau ada sedikit yang rock yang boleh aku gayakan adalah, bapak aku tak kisah kalau aku pakai seluar jeans koyak lutut. 

Budak 8 tahun dah rasa cukup rock dengan seluar berkoyak di lutut, dan yang paling seronok adalah bapak aku belikan kasut ini.

ya, kasut Aliph! ini adalah satu item rock yang sangat lokal. kasut ini dihasilkan oleh anak syarikat Sime Darby kalau tak silap, dan pernah menjadi satu item cult bagi mat rock dan minah rock di Malaysia. Tapi kasut Aliph aku adalah kasut sekolah... bukan kasut jalan jalan..hahaha... lebih kurang macam gambar kat bawah ( aku ambil gambar ni dari blog orang)..





Muzik rock dan mamat-mamat bermabut gondrong terus menjadi sebahagian dari hidup aku sehinggalah arwah atuk aku sakit tenat, dan terpaksa menutup kedai bundle nya. Pada waktu itu, sudahpun tahun 95 kalau tidak silap, aku masa itu darjah 6. 

Pada waktu itu juga, muzik rap telah menular dengan Nico dan 4U2C menggantikan kegilaan seluar jenas ketat dan koyak dengan seluar-seluar baggy. Dari muzik yang nyaring dengan guitar kepada muzik yang entah apa-apa.

Setelah beberapa tahun... Mamat Khalid telah menghasilkan filem Rock dan kemudiannya baru-baru ini, sequelnya telah dikeluarkan. Kenangan-kenangan zaman rock tersebut datang menjengah-jengah.

Ianya menyimpan bayak memori yang boleh disenyumkan dan diketawakan. Selain itu, tidak kurang juga yang hampir menitiskan air mata. Apabila pengaruh budaya rock yang turut diasosiasikan dengan dadah itu telah menyebabkan aku kehilangan pak cik aku. Dan adegan Saiful Apek hilang nyawa O.D di tepi longkan benar-benar mengingatkan aku kepadanya. 

Walaupun, untuk review, aku memberi negatif review pada filem Rock Ooo itu... tapi secara peribadi, aku ucapkan terima kasih kepada Mamat Khalid yang memberi ruang aku mengimbau balik memori-memori tersebut.










Tiada ulasan: