Sabtu, 11 April 2009

Talentime... apa sudah jadi?

Talentime, filem Yasmin yang mendapat pujian ramai  terutama dari blogger-blogger filem, termasuk blog kecil ini, tidak berjaya mendapat sambutan yang menggalakkan dari penonton. Ini dapat dilihat dari hasil jualan tiket yang hanya disekitar (atau tidak sampai) Rm 500 ribu setakat yang aku tahu.

Apa yang menyebabkan perkara ini terjadi?

Mengikut survey yang aku lakukan terhadap beberapa penonton Melayu secara rawak, aku mendapat respon ini.

1. Talentime adalah kembar Sepet dan Gubra. Kebanyakan penonton tidak mahu melihat cerita yang seakan sama berulang kali. Mereka mengambil keputusan untuk menanti kemunculan Talentime di dalam bentuk DVD haram. 

2. Harith Iskandar dan Adibah Nor. Mereak tidak mahu menonton pelakon yang sama dan membawa watak yang hampir sama berulang kali. Oleh itu, mereka mengambil keputusan untuk menantikan kemunculan Talentime di dalam bentuk DVD haram.

3. Strategi promosi yang mengelirukan. Trailer Talentime di TV disalah tafsir sebagai satu iklan/komersil produk kecantikan. Ini kerana sangkaan mereka Talentime di sini merupakan jenama bedak terbaru dari Silky Girl dan bukannya sebuah filem.  

4. Talentime adalah satu tajuk filem di dalam perkataan bahasa inggeris. Majoriti penonton yang menggunakan 100 peratus komunikasi di dalam bahasa Melayu sehari-hari tersalah sangka bahwa filem ini merupakan filem orang putih . Sekiranya tajuk filem ini ditukar kepada ' Malam Pesta Muda Mudi' kemungkinan besar sambutan terhadap filem ini akan berbeza.

5. Trailer yang menggelirukan bagi sebuah filem Melayu kerana 'lagu' orang putih yang dinyanyikan oleh Hafiz. Ini menyebabkan penonton menyangkakan filem ini di dalam bahasa Inggeris. 

6. Lagu Urdu sewaktu trailer, (apa ntah nama tajuknya itu...Ore Piya...kalau tidak silap) telah mengelirukan lagi identiti filem ini. Kekeliruan dan ketidak jelasan penonton terhadap filem ini telah mengakibatkan mereka tidak berminat mengambil risiko kehilangan Rm8-12 secara sia-sia.

7. Hero dan heroin yang tidak dikenali. 


Ini adalah antara jawapan yang diterima dari survey yang aku lakukan. Mungkin ada blogger lain yang mempunyai pandangan kritis mereka sendiri tentang hal ini.

Apapun penonton telah bersuara...

Sabtu, 4 April 2009

MILK - harvey milk



(WAJAH SEBENAR HARVEY MILK)


MILK, arahan Gus Van Sant merupakan sebuah filem yang berdasarkan kisah benar tentang Harvey Milk iaitu seorang aktivis dan politikus yang memperjuangkan hak asasi manusia / golongan minoriti khususnya bagi golongan homoseksual/ Gay.
Watak utama iaitu Harvey Milk telah dilakonkan dengan begitu berkesan oleh Sean Penn. Dia memang layak menerima anugerah Academy untuk pelakon terbaik tempoh hari. Aku secara peribadi kagum melihat Sean Penn yang terkenal dengan watak 'maskulin' dapat membawa watak lelaki gay dengan berkesan. Penonton dapat melihat keberkesanan lakonan, gerak tubuh, bahasa tubuh (body language) dan gaya berinteraksi Sean Pennn sewaktu membawa watak Harvey Milk dan ianya sangat memberi impak bagi menghidupkan karekter seorang 'Gay' yang dibawanya.




(SEAN PENN SEBAGAI HARVEY MILK)


Milk, separa dokumentari,( mempunyai footage-footage arkival era 50an -70an tentang kelompok Gay Amerika di waktu masyarakat mereka masih belum begitu terbuka), memperlihatkan gerakan mereka di San Fransisco yang memperjuangkan kebebasan dari penindasan, prejudis, keganasan dan kebencian terhadap mereka oleh golongan massa konservatif yang homophobic akibat dari kecenderungan orientasi seksual mereka. Idea gerakan ini adalah berdasarkan 'kebebasan' dan 'kesamarataan' yang menjadi ruh demokrasi rakyat Amerika.

Perjuangan ini dilihat dari perspektif Harvey Milk, yang memainkan peranan utama menggerakkan 'gerakan' romantik ini yang berpusat di Castro Street, San Francisco.

Milk bukan sebuah filem Gay yang bertumpu kepada kisah 'romantis cium mulut antara dua manusia sejenis semata-mata, tetapi ianya lebih daripada itu, iaitu tentang kelompok mansuia yang di label 'berdosa' yang berjuang untuk hidup bersama-sama tanpa prejudis dan dibenci.

Seperti yang diketahui umum, Kesudahan perjuangan Milk adalah tragedi. Milk telah terbunuh.Namun kematiannya telah memberi impak yang besar terhadap perjuangan golongan Gay tentang hak mereka.

***

Filem Milk mungkin agak menganggu. French Kiss diantara dua lelaki, adegan merangkul dan mengelus di ranjang. Tetapi lihatlah dari skop yang lebih luas, filem ini lebih daripada itu. Ianya tentang perjuangan golongan minoriti secara keseluruhannya dan tidak hanya perlu dilihat berlegar di isu 'homoseksual' tersebut.

Minoriti biasanya terdedah kepada penindasan. Hal ini berlaku dan relevan di seluruh dunia. Minoriti yang berbeza dari majoriti akan dipandang serong kerana perbezaan mereka. Perbezaan kelompok minoriti boleh sahaja datang dari warna kulit, ras, etnik, ideologi, politik dan orientasi seksual etc, etc...

Raikanlah perbezaan. Itulah yang menjadikan kehidupan manusia ini adalah menarik, meriah dan berwarna-warni.

Filem ini juga mengenai kebebasan hak manusia,ianya perjuangan seorang individu yang bernama Harvey Milk agar dirinya dan kelompoknya tidak di diskriminasi oleh masyarakat yang mengaku mereka adalah bangsa yang mengagungkan kebebasan( i.e Amerika Syarikat).

***

Filem ini sangat menarik untuk ditonton.Kamu tidak perlu bersetuju dengan apa yang diperjuangkan oleh Milk namun jangan ini menjadi penghalang kamu dari menonton filem yang hebat ini.

Kamu dah cukup besar kan untuk berfikir yang mana baik dan yang mana buruk kan?

Bagi sesetangah dari kamu yang mungkin tidak dapat menerima langsung visual dan idea filem ini, anda tak perlu tonton. Kamu ada hak untuk menekan punat 'Play' di DVD player kamu.

Bagi mereka yang cuba untuk mengangkat tema yang sama di negara ini (queer cinema). Beginilah filem yang perlu anda bikin, bukan menggunakan tajuk dan isu yang kontroversial semata-mata.

End.

PENGUMUMAN

Assalamualaikum...

Blog ini berjaya tercalon sebagai finalist dalam yoyooh.com blogger awards 2009 di samping 4 blog hebat yang lain. Terima kasih atas segala sokongan yang diberikan dan harapan kami agar para pengundi dapat membuat pilihan anda dengan bijak.

Keputusan di tangan anda... :)