Jumaat, 8 Mei 2009

Sell out (Spoiler Alert)






Ketika aku mendapat jemputan bagi menonton filem ini, aku sedang kalut berhadapan dengan paper final exam dan kerja editing bagi filem pendek Nausea yang sudah sekian lama tertangguh perjalanan post- produksinya. Namun, peluang menonton Sell Out yang telah memenangi anugerah di Venice Film Festival dan Taipei Golden Horse Film Festival ini memang amat aku nanti- nantikan.

Filem ini diarahkan oleh Yeo Joo Han, pengarah muda yang sebelumnya telah menghasilkan beberapa filem pendek yang turut mendapat perhatian di festival luar negara, diantaranya ialah 'Adults Only(2006)' dan 'Girl in a Soap Bubble(2007)'.

***

Filem ini mengisahkan tentang seorang pengacara rancangan realiti tv, Rafflesia Pong lakonan Jerrica Lai yang berhadapan dengan masalah kegagalan program kendaliannya menarik perhatian penonton, di mana penonton lebih menggemari program realiti TV kendalian bakat baru Hannah Edwards Leong, seorang hos cantik Eurasian lakonan Hannah Tan. Justeru dengan rating yang turun mendadak, Rafflesia terdesak untuk mencari idea baru untuk mengisi program kendalian beliau atau berhadapan risiko disingkirkan dari Syarikat Fony multinasional.

Rafflesia yang terdesak kemudiannya memberi peluang kepada bekas kekasihnya yang sedang tenat, Tony (Lee Szu Hung) bagi membacakan puisi tentang percintaan mereka untuk slot terakhir program tv itu.

Sedang Tony membacakan puisi (yang kemudiannya bertukar menjadi muzikal), penyakitnya bertukar teruk dan mati di hadapan kamera. Apabila program itu disiarkan kemudiannya, ianya mendapat rating yang tinggi serta digemari oleh penonton, sekaligus mendorong Rafflesia untuk mengacarakan satu program realiti tv yang baru, iaitu program yang memaparkan detik sebelum kematian seseorang.

Syarikat Fony turut mempunyai bahagian penjualan barangan elektrik, di mana Eric Tan (Peter Davis) bekerja sebagai salah seorang dari pengurusnya. Eric Tan berhadapan dengan masalahnya yang tersendiri apabila dia mencipta satu mesin pelbagai fungsi yang boleh menukarkan bijirin kacang soya mentah kepada 8 jenis produk soya yang berbeza.

Namun malangnya ciptaan yang cukup cemerlang itu berhadapan dengan masalah, iaitu kedua- dua CEO dari Syarikat Fony hanya mahu produk yang diciplak dari luar, bukannya hasil originaliti mereka yang tersendiri dan produk tersebut haruslah mempunyai mekanisma rosak sendiri, yang akan berfungsi sebaik sahaja waranti tamat!

CEO tersebut turut menyumbang kepada permasalahan pada jalan cerita bagi filem ini dan merumitkan keadaan dengan membawa Eric Tan bertemu Bomoh yang kemudiannya memisahkan bahagian badan imaginasi Eric Tan dan bahagian badan realitinya. Namun bahagian badan imaginasi ini kemudiannya tidak dapat dihapuskan dari realiti, memaksa Eric Tan hidup dalam 2 jasad yang berbeza.

Eric Tan bertemu Rafflesia Pong di Syarikat Fony Multinasional dan dari situ plot diperkembangkan lagi dengan Rafflesia Pong yang kini terdesak mencari orang yang hampir mati bagi memenuhi kehendak program realiti tv nya manakala Eric Tan berhadapan dilema bagi memasarkan produk ciptaannya tanpa memenuhi kehendak CEO Fony untuk meletakkan mekanisma rosak sendiri di dalam produk tersebut. Berjayakah mereka berdua mendapat apa yang mereka impikan?

***

Filem ini mempunyai banyak lapisan yang harus diterokai bagi memahami apa yang hendak diperkatakan oleh pengarah. Aku secara peribadinya berpendapat filem 'Sell Out' ini adalah sebuah filem komedi gelap yang 'bagus' yang pernah dihasilkan di Malaysia. Komedi Sell Out ini bukan komedi kosong, ianya komedi yang berselirat dengan pelbagai kritikan terhadap pelbagai perkara.

Aku secara jujur amat tertarik dengan pelbagai isu yang dipertontonkan yang dipersembahkan secara satira dan parodi kepada penonton. Humor satira/ perodi ini bagi aku lebih halus menusuk kalbu dari filem-filem yang mengkritik secara 'lantang' dan 'terang'. Mungkin bagi sesetengah individu, menyampaikan sesuatu isu secara terang dan 'lepas' itu adalah satu perbuatan jujur dan 'gentleman', tetapi untuk mengkritik sesuatu isu, tidak semestinya harus kasar berbahasa, kadangkala dengan satira humor begini, pelbagai perkara dapat diperkatakan tanpa perlu begitu 'menyinggung' dan impaknya tidaklah lebih kurang pula 'pedasnya'.

Filem ini banyak mengkritik sosio-ekonomi dan budaya masyarakat khususnya di Malaysia. Dimana golongan pekerja adalah 'zombie' yang harus menurut kata. Idea, seni, dan 'kejujuran' pula adalah perkara-perkara yang terlarang dan merupakan satu 'taboo'.  

Apa yang paling penting adalah 'material'. Dunia materialistik inilah yang menggerakkan dunia oleh itu perkara yang paling diutamakan adalah bagaimana mahu memaksimumkan 'untung dan meminimalkan 'rugi'.  Oleh yang demikian dengan menggunakan syarikat konglomerat 'Fony' dan dua orang watak C.E.O nya yang sadistik, 'Sell Out' menghentam kapitalisme dan eksploitasi media terhadap massa. 

Sell Out mampu mempermainkan subjek gelap seperti kematian sebagai bahan komedi. Ini adalah salah satu contoh kritikan terhadap perkara-perkara popular dalam masyarakat seperti program Realiti TV yang sekiranya dilihat secara halus adalah program yang sangat zalim dan kejam.  Peserta program realiti harus bersedia terdedah kepada eksploitasi dan manipulasi media, dimana program ini mengeksploitasikan mereka untuk mendapatan keuntungan. Sila lihat realiti TV seperti AF, peserta AF dengan mudah terdedah kepada eksploitasi yang sangat kejam. Bakat nombor dua, populariti yang diambil kira. Tetapi perkara-perkara inilah yang dimahukan oleh penonton. Sell Out menunjukkan betapa masyarakat tergilakan program realiti sehinggakan program realiti tentang saat-saat kematian menjadi satu program yang sangat hits berbanding program seni yang di hoskan oleh Raflessia sebelum itu yang nyaris-nyaris dihentikan.

Selain itu, Sell Out juga memaparkan sikap prejudis  terhadap idea-idea baru yang melampaui pemikiran kebiasaan. Inilah yang dihadapi oleh watak Eric dimana dia terlalu 'idealis' sehingga bahagian yang idealistik ini terpaksa dipisahkan dari jasadnya dan kemudian bahagian itu harus dihapuskan. Yang tinggal adalah bahagian Eric yang 'zombie' dan hanya pentingkan keselesaan dan kestabilan hidupnya. 

Ini bukan perkara baru. Ingat naskah klasik Hang Nadim? Kebijaksanaan dan kepandaian kadangkala dilihat sebagai salah satu bentuk ancaman. 


***

Ada beberapa pengulas mengatakan satu-satunya perkara 'negatif' tentang Sell Out adalah kerana ketiadaan bahasa Melayu dan penonjolan watak Melayu di dalam filem, sehinggakan tidak nampak filem ini sebagai sebuah filem dari Malaysia.

Bagi aku, filem ini tidak seharusnya terjejas oleh kerana hal ini. Memang aku bersetuju bahawa bahasa melayu yang ada di dalam filem ini hanyalah akhiran 'lah' di dalam ayat Manglish yang dipertuturkan oleh watak. Tiada satu struktur ayat bahasa Melayu yang lengkap di dalam dialog ini meskipun ianya adalah sebuah filem dari Malaysia yang bahasa rasminya adalah bahasa Melayu. Begitu juga tiada langsung watak melayu di dalam filem ini.

Tetapi jika filem Sell Out ini dipersoalkan begini, mengapa filem-filem Melayu yang tiada penonjolan watak kaum minoriti lain tidak diajukan soalan yang serupa?

Sedangkan filem melayu itu juga adalah filem dari Malaysia?

***

Apa-apapun, filem ini sememangnya sebuah filem komedi yang sangat berbaloi untuk ditonton oleh anda. Tonton filem ini sebagai sebuah filem tanpa prejudis dan tanpa perasaan nasionalis dangkal. Anda pasti terhibur dan berbangga dengan filem ini.








Sabtu, 2 Mei 2009

BOHSIA

Sudah hampir seminggu aku tonton filem Bohsia ini, cuma hari ini baru aku dapat mengulasnya. Oh ya, sebelum itu, minta maaf banyak-banyak sebab sudah lama tidak update LLF. Sibuk dengan exam. Inipun tekanan exam tak habis lagi ni haha. 

Oh berbalik kepada filem.

Bohsia - Jangan Pilih Jalan Hitam.

Wuisshh. Tajuk yang sangat mengcengkam sanubari. Masih ada lagikah orang gunakan istilah 'bohsia' ini? Bunyinya sangat 90an. Tetapi, terima kasih dengan tajuk ini, ianya berjaya membawa aku ke panggung. 

Filem ini diarahkan oleh Syamsul Yusof yang sebelum ini telah mengarahkan filem 'evolusi KL Drift. Orang muda mengarahkan filem untuk orang muda. Sepatutnya lah begitu. Jika evolusi Kl Drift menggunakan deruman enjin kereta sebagai daya penarik, di dalam Bohsia, Syamsul gunakan kenyaringan enjin motosikal RXZ.  Nyaring bunyi RXZ ini bukan bunyi sebarang beb, sejarah telah membuktikan bahawa bunyi motor ini adalah bunyi seruling 'puaka'. Bunyi ini boleh membawa penonton untuk masuk ke panggung. Tidak percaya?

KL Menjerit dan Remp-it adalah buktinya. 

Diklasifikasikan sebagai 18PL, maka tidak hairanlah dialog di dalam filem ini penuh dengan slanga bajet 'cool' muda-mudi. Dial
og dan gaya berdialog adalah antara beberapa faktor menarik di dalam filem ini. Filem Anak Halal dan filem Haru Biru juga menggunakan gaya berdialog yang sama. Realisme lah tujuannya. Baru nampak filem ini kasar. Aku tiada masalah dengan kata-kata carut bagai di dalam filem. Aku secara peribadi menganggap ianya satu cubaan yang 'berani'  dan sesuai dengan tema filem ini. Tetapi  sayang ia 'rosak' di hujung jalan... entah kenapa secara tiba-tiba tersembur pula  dialog-dialog yang 'preachy',

" Adik tak kisah asalkan rezeki tu datangnya dari sumber yang hallllaaallllll..."

Oh maaf, aku lupa ini filem Skop. 

Terima kasih juga kepada lakonan yang menarik Shahizie Sam yang membawa watak Acai.Watak 'real' Mat Rempit yang masuk 'air'. Malang sungguh watak anti -hero gila 'cool'  begini dibelasah separuh mati oleh seorang rempit Jambu.  Selain itu, kredit juga kepada si Bohsia Nabila Huda yang nampak bersungguh-sungguh cuba membawa watak bohsia ini begitu juga Salina Saibi yang walaupun agak tua untuk digelar bohsia tetapi telah menyumbangkan satu lakonan yang 'seronok' untuk ditonton. 

Aku bertanya kepada seorang rakan yang juga merupakan seorang Mat rempit yang menonton filem ini. Dia amat suka filem ini. Katanya cerita ini hampir  70 peratus betul tentang mat rempit dan minah rempit (Bohsia). Cara hidup, brand baju 'Romp' yang menjadi pilihan minah rempit, dan gaya rambut 'fin' Acai yang popular di kalangan rempit sekarang ini. 

Filem ini sememangnya dibikin untuk menarik golongan tersebut. Penonton tertarik untuk menonton sesuatu yang dekat dengan diri mereka.    

Keseluruhannya filem ini adalah sebuah filem yang seronok untuk di layan. Rentaknya deras. Dialog lancang, bingit enjin merempit, aksi gaduh-gaduh, huh...adrenalin penonton di pam-pam sehingga ke akhir cerita. Memang sebuah filem 'pure' eskapis yang menarik untuk dilayan. Tak perlu fikir apa-apa, tonton dan berhiburlah sepuas hati.

Filem ini  khabarnya ingin memberi pengajaran. Iaitu jangan jadi Bohsia atau jangan jadi Rempit. Namun Poster dan tag line filem ini sahaja sudah berbentuk Oxymoron .  Oxymoron ini istilah yang aku dapat dari kata-kata Pak Hassan Muthalib sewaktu aku berkesempatan berbual pendek dengannya. Nak tahu maksud oxymoron ini  pergi google atau buka kamus. Jangan jadi pemalas.

Katanya (Pak Hassan) poster Bohsia ini, bercanggahan dengan tujuan filem ini yang mahu menunjukkan keburukan gejala perempuan bagi badan (Bohsia) dan Mat Rempit kerana subjek iaitu watak di dalam poster tersebut di ambil secara 'low angle' yang secara tidak langsung meninggikan subjek tersebut. Sekiranya kurang jelas perhatikan poster di bawah;

Apabila watak (subjek) kelihatan tinggi dari sudut pandangan kamera, ianya membawa maksud mengangkat subjek tersebut. Ianya kelihatran 'heroic'. Dan sudah tentu ini bercanggahan dengan tujuan Syamsul yang ingin menunjukkan 'bohsia' dan 'mat rempit' itu adalah satu subjek yang negatif. 

Selain poster ini, tajuk filem Bohsia - Jangan Pilih Jalan Hitam bagi aku merupakan barisan perkataan di atas poster yang tidak memberi apa-apa signifikan kepada cerita. Sebagai penonton aku lihat watak Salina dan Nabila tidak memilih untuk jadi bohsia ini.  Institusi kekeluargaan yang pincang menyebabkan mereka jadi sebegini. Oleh itu, aku tidak nampak apa yang relevan dengan tag 'Jangan Pilih Jalan Hitam Ini.'

Lagi satu aku sangat kasihanlah dengan watak Amy ( Salina Saibi). Entahlah kenapa watak ini di dera sebegini rupa. Sudahlah diculik, diperkosa, dapat melarikan diri, kemudian diperkosa pula oleh ayahnya dirumah. Ini semua berlaku dalam satu hari.  Kadang-kadang mencipta dan menzalimi watak seperti ini akan memudarkan kedekatan 'realisme' diantara penonton dengan filem yang ditonton. 

***

Last word, bagi sesiapa yang 'die hard fan' Gerak Khas atau filem-filam Datuk Yusof Haslam, filem ini memang berbaloi untuk anda.