Rabu, 25 Jun 2008

AYAT- AYAT CINTA

DI PAWAGAM MULAI 19 JUN 2008






Ayat- Ayat Cinta merupakan satu hasil produksi dari MD Pictures yang sebelum ini telah banyak menghasilkan sinetron- sinetron bermutu dari Indonesia melalui syarikat hiburannya iaitu MD Entertainment. Ianya juga boleh didapati dalam bentuk novel yang juga berjudul Ayat- Ayat Cinta (Verses of Love) hasil nukilan penulis muda yang berbakat Indonesia iaitu Habiburrahman El- Shirazy.


Filem arahan Hanung Bramantyo ini yang bergenre romantik dan drama, mengambil masa selama 130 minit penayangan bagi membawa penonton menyelusuri satu lagi kisah cinta yang agak luarbiasa dan penuh dengan kepelbagaian emosi sepanjang liku perjalanan cinta bagi tunjang utamanya Fahri Bin Abdillah, lakonan mantap oleh Fedi Nuril.


Filem ini turut dibarisi wajah wajah baru yang kurang dikenali di Malaysia namun berjaya membuktikan penjiwaan karakter mereka melalui filem ini. Namun, teknik penceritaan yang agak lemah membuatkan sesetengah penonton bagaikan kurang memahami plot plot yang dihasilkan.



(Fedi Nuril sebagai Fahri)




Filem ini mengisarkan tentang persoalan hidup manusia yang sentiasa mengalami turun naiknya. Istimewanya filem ini adalah kerana persoalan hidup itu dikupas secara pandangan Islam melalui karakter Fahri Bin Abdillah (Fedi Nuril) sebagai pelajar Indonesia yang berusaha keras bagi mendapatkan Ijazah Sarjananya di Al- Azhar, Mesir. Dia telah berjaya mengharungi setiap cabaran dalam hidupnya dengan penuh cekal kecuali permasalah cinta dan alam perkahwinan. Ini adalah kerana Fahri bersikap pasif terhadap perempuan selain dari kaum keluarganya dan iman yang tebal di dalam dada membataskan Fahri dari memikat mana mana perempuan untuk di jadikan suri hidupnya.


Namun begitu, takdir telah menetapkan segalanya buat Fahri. Setelah berada di Mesir, dia dikagumi oleh seorang wanita yang merupakan jirannya yang beragama Kristian namun amat meminati Al Quran. Wanita bernama Maria Girgis (Carissa Putri) ini walau bagaimanapun hanya sekadar mencurahkan cinta terhadap Fahri di dalam diari sahaja.


Fahri kemudiannya telah jatuh cinta pada Nurul (Melanie Putria) yang juga datang ke bumi Mesir demi mencari ilmu dan di dorong oleh bapanya, seorang imam yang terkenal di Indonesia. Bagaimanapun, perasaan Fahri yang kuat mengatakan bahawa terdapat jurang perbezaan yang besar di antara taraf kedudukan mereka membuatkan rasa cinta itu hanya di simpan di dalam hati dan sering menimbulkan keraguan dalam hati Nurul.


Muncul pula Noura (Zaskia Adya Mecca), jiran Fahri yang selalu di sika oleh ayahnya sendiri dan mengundang rasa simpati dalam hati Fahri. Rasa simpati Fahri itu sebaliknya telah di salahgunakan oleh Noura yang sememangnya menaruh hati terhadap Fahri dan memfitnah Fahri atas tuduhan memperkosanya hingga hamil.


Aisha (Rianti Cartwright) jatuh hati pada Fahri kerana kelantangan Fahri membela Islam dari tuduhan kolot dan kaku, lalu dengan sepasang matanya yang indah, Aisha turut membuatkan Fahri terpukau dan tidak mampu untuk berbohong kepada hatinya sendiri.


Siapakah yang sebenarnya menjadi pilihan hati Fahri? Mampukah Fahri menegakkan jalur jalur Islam dalam hidupnya seperti yang diyakininya selama ini? Saksikan kesudahan Ayat- Ayat Cinta di pawagam berhampiran anda. Selamat menonton!



Selasa, 24 Jun 2008

THE INCREDIBLE HULK

DI PAWAGAM MULAI 13 JUN 2008





The Incredible Hulk ini merupakan pembikinan semula, atau secara lebih tepatnya digelar sebagai pelancaran semula karakter- karakter superhero dari Marvel Comics ciptaan Stan Lee yang mana umum mengetahui bahawa sebelum ini watak Hulk, iaitu superhero berwarna hijau dan menakutkan pernah dilakonkan oleh aktor Eric Bana pada tahun 2003.


Versi baru The Incredible Hulk ternyata membawa idea yang lebih segar berbanding sebelumnya. Diarahkan oleh pengarah filem aksi Louis Leterrier ('Unleashed' , 'Transporter 2') , filem ini padat dengan aksi aksi yang mendebarkan dan mampu membuatkan penonton terhibur dengan kejutan, letupan dan kemusnahan yang digambarkan dari versi komik ke dalam bentuk filem fiksyen ini, berbanding dengan jalan cerita yang agak membosankan pada versi filem Hulk yang sebelumnya(2003).


The Incredible Hulk memulakan tirai penceritaan dalam bentuk flashback, iaitu penonton diajak mengimbas kembali asal usul kewujudan makhluk hijau yang bergelar Hulk ini. Walaupun ianya bukanlah seperti kisah asal Hulk seperti yang dipaparkan di dalam komik, namun ianya lebih menjurus kepada asalan kisah Hulk dalam siri tv nya yang menjadi hits sekitar tahun 1970an di United States.








The Incredible Hulk mengisahkan tentang Bruce Banner (Edward Norton) yang ingin bersendirian melarikan diri dari pihak tentera Amerika demi mencari penawar sekaligus belajar mengawal kemarahannya bagi mengelakkan sebarang kemusnahan yang berlaku setiapkali Bruce bertukar menjadi Hulk. Namun kesilapan kecil telah membuatkan dirinya dikesan oleh General Ross (William Hurt) yang memburu Hulk demi kepentingan senjata militarinya, dan beranggapan bahawa Hulk adalah hak penuh militari.


Dalam masa yang sama, Bruce berkenalan secara maya dengan seseorang dengan nama samaran 'Mr. Blue' yang berjanji akan membantunya mendapatkan antidote bagi mengelakkan Bruce bertukar menjadi Hulk lagi. Mr. Blue kemudiannya dikenalpasti sebagai Samuel Sterns lakonan Tim Blake Nelson bertindak mencairkan darah Bruce dan menghasilkan lebih banyak darah dari sampel yang diberikan kepadanya.


Bruce kembali ke Amerika dari Brazil setelah kawasan persembunyiannya terbongkar dan menemui kekasih lamanya iaitu Dr. Betty Ross (Liv Tyler) yang didapati telahpun menemui cinta yang baru. Bruce diburu oleh watak yang mirip kepada watak komik 'Captain America' bersatu dengan ciri- ciri 'Super Soldier' namun beridentiti seakan akan Rusian- American iaitu Emil Blonsky (Tim Roth). Dia mempunyai kuasa pemulihan yang menakjubkan dan menjadi musuh utama Hulk sehingga ke penghujung cerita.


Turut disertakan di dalam filem ini iaitu penampilan istimewa Robert Downey Jr. sebagai Tony Stark A.K.A Iron Man yang mendukung watak sebagai cameo pada punghujung cerita.Secara keseluruhan filem ini amat padat dengan aksi dan agak menghiburkan. Selamat menonton!



GET SMART

DIPAWAGAM MULAI 20 JUN 2008





Warner Bros. kembali dengan koleksi produknya yang bergenre komedi dan aksi berkisarkan dunia penyiasatan. Get Smart merupakan adaptasi dari siri televisyen yang popular sekitar pasca 1960an, juga dengan judul 'Get Smart' yang dicipta oleh Mel Brooks dan Buck Henry.


Filem ini mampu membangkitkan kenangan penyiasatan yang juga digelarkan remaja pada zaman ini sebagai 'old-skool' secara komersial di layar perak dengan lebih aksi, selain dari elemen komedi satira bagi menghiburkan penonton dan melegakan stress.


Filem ini menampilkan aktor Steve Carell sebagai tunjang utamanya, yang beraksi sebagai ejen Maxwell Smart dikatakan lebih mirip kepada kisah penyiasatan seperti 'I Spy', memulakan penceritaan dengan teknik stunt seakan akan filem James Bond namun ejen Smart lebih bersifat cuai dan melulu mebuatkan kebanyakan teknik penyiasatannya kurang menjadi dan menimbulkan kesan humor buat penonton.


Kredit harus diberikan kepada lakonan Steve Carell kerana lakonannya yang bersahaja dan dikatakan tidak mengambil identiti pelakon asal siri televisyennya iaitu mendiang Don Adams, yang merupakan pembawa watak asal bagi ejen Maxwell Smart lakonannya.



(Steve Carell dan Anne Hathaway beraksi di dalam Get Smart)



Kisah bermula apabila pihak antagonis dari KAOS telah merancang untuk mendominasi bumi serta penduduknya dengan cara menyerang ibu pejabat agensi penyiasatan United States, mengakibatkan keseluruhan identiti setiap ejen penyiasat di ibu pejabat terbongkar. Menyedari hal ini, ibu pejabat telah memutuskan untuk menaikkan pangkat penganalisis komputernya iaitu Maxwell Smart (Carell) yang tiada sebarang pengalaman namun sangat bersemangat ke tahap sebagai seorang ejen rahsia.


Ketua ejen lakonan Alan Karkin kemudiannya telah menggandingkan ejen Smart dengan Ejen 99 (Anne Hathaway) , seorang penyiasat professional tua yang kemudiannya menjalani pembedahan plastik untuk menukar wajah bagi mengelak dari dicamkan oleh pihak KAOS. Tanpa sebarang pengalaman dan hanya berbekalkan pelbagai gajet penyiasat, ejen Maxwell Smart berdamping dengan Ejen 99 terpaksa berhadapan dengan ketua KAOS iaitu Seigfried (Terence Stamp) bersama angkatannya yang setia demi untuk membebaskan dunia dari kuasa jahat. Bagaimanakah kesudahannya? Saksikan di pawagam berhampiran anda hari ini.