Selasa, 29 September 2009

Jin Notti - Wah ada Jin S*hole!!!


Sewaktu aku menonton filem Jin Notti ini, telah tercetus beef di antara Norman Abd Halim dan David Teo. Beef bahlul dari dua produser tentang filem keluaran mana yang mendapat pulangan tiket tertinggi. Dengan kata lain, bermaksud, perang ego antara dua kapitalis yang cuba membuktikan filem mana yang lebih membuat untung.

Apapun, Jin Notti merupakan pilihan kedua aku selepas Momok. Jangan silap. Ini bukan bermakna aku mahu menyebelahi Momok. Tetapi sebagai penonton. Aku telah memilih untuk menonton Momok terlebih dahulu dan menjadikan Jin Notti sebagai kos lepas. Hanya semalam, baru aku berkesempatan dan juga mempunyai bajet untuk menonton Jin Notti.

Sebab-sebab aku memilih untuk menonton Momok mungkin kerana poster Momok,yang secara sublimenya memberi lebih nilai kepada libido sinema aku. Mungkin kerana, secara peribadi, orientasi syahwat sinema aku lebih kepada genre seram dari filem komedi.

Dan, yeah, aku tertipu, apabila Momok yang aku sangkakan seram bertukar menjadi sebuah komedi. Ceh, sudahnya langsung tiada ereksi. ( Aku bukan tidak gemarkan komedi, cuma komedi di dalam Momok ini tidak tersangka.)

Berbalik kepada Jin Notti. Kuat angin bertiup bahawa filem ini best. Apa yang bestnya? Kata mereka lain dari yang lain. Panggung penuh. Kelakar nak mampos. Sampai ada yang berani mengatakan bahawa filem Jin Notti ini merupakan satu revolusi dalam pembikinan filem melayu.

Air liur pavlov aku memang akan meleleh-leleh apabila mendengar semua ini. Sebagai pengganut skeptism tegar, tidak boleh tidak, aku perlu menonton filem ini.

Dan ohh...

INi rebiunya.

***

Mahu sahaja aku melempang mereka yang mengatakan filem ini sebuah revolusi tadi. Satu-satunya revolusi yang ada di dalam filem ini adalah JIN BERWAJAH PUNGGUNG dengan suara angin KENTUT! Selain dari itu, aku tidak nampak apa yang dihiperbolakan sebagai revolusi. Evolusi mungkin. Evolusi lambat dari sebuah produksi yang seharusnya mampu menghasilkan sebuah filem yang jauh lebih baik daripada ini.

Namun aku perlu akui bahawa, idea mencipta satu watak seperti Jin berwajah punggung ini merupakan satu perkara yang sangat radikal dalam pembikinan filem di sebuah negara yang mengamalkan Kesopanan dan Kesusilaan sebagai rukun negaranya (hahaha). Ini sebuah idea yang sangat absurd dan subversif. Sebelum ini aku hanya dapat melihat watak sebegini di dalam komik Crayon Shin Chan oleh Yoshito Usui ( yang telah mati baru-baru ini). Siapa yang tidak kenal Shin Chan dan obsesnya terhadap punggung? Buat pertama kalinya aku melihat figur manusia berwajah punggung adalah di dalam komik ini dengan nama Manusia Punggung Pipo Pipo. Dan kini, di Malaysia, Azhari Zain, samada terpengaruh dengan si genius Usui telah mewujudkan karekter sebegini yang bukan sahaja mengganggu malahan jenuh difikirkan bagaimana LPF tidak nampak ada satu punggung montok terpampang bogel dengan jelas di layar perak sambil mengeluarkan suara kentut.

Damn!

Mungkin bagi LPF, punggung yang di atas tidak sama dengan punggung yang dibawah. Hahahahaha. Karekter ini juga mengingatkan aku pada satu karekter di dalam Man In Black 2, dimana terdapat seekor makhluk asing yang dagunya adalah skrotum. Mentaliti kreatif rakyat Malaysia sudah sampai ke situ.

Terdapat beberapa percubaan oleh Azhari Zain untuk menjadikan beberapa babak di dalam filem ini sebagai satu parodi dan sindiran terhadap isu-isu politik negara. Sebagai contoh terdapat seekor Jin yang bernam Jinggam. Ha ah! Dengan karekternya sebagai seorang pendakwaraya dan adegannya bercakap melalui telefon itu memang mengingatkan kita pada kes Linggam. Juga terdapat satu watak peguam, yang mengingatkan aku pada figur politik pembangkang terkenal berbangsa Singh.

Menyentuh soal lakonan, aku berpendapat bahawa Mawi sungguh kaku walaupun wataknya ditonjolkan dengan begitu cool, namun apabila dia berdialog dan beraksi, lebih-lebih lagi sewaktu bergaduh ala-ala tomoi Tony Jaa, nampak sungguh tidak reti bergaduh. Fara Fauzana kelihatannya mempunyai potensi yang bagus juga di dalam bidang lakonan. Mungkin kerana dia pernah berlakon di dalam siri TVnya tidak lama dulu. Dan satu-satunya penyelamat, sumber humor numero uno, adalah Cat Farish. Walaupun lakonannya agak stereotaip dengan watak-watak lakonannya terdahulu, ianya masih mampu menarik gelak aku.

Terdapat satu perkara yang sangat mengecewakan iaitu CGI. Aku berkongsi pendapat dengan Fadz. CGI di dalam filem ini buruk. Teknik Kromakinya seolah dibuat menggunakan Adobe Premiere CS3. Yang mana, komputer buruk aku ini pun boleh lakukan. Agak pelik juga apabila produksi yang gah dengan teknologi dan kepakaran canggihnya melakukan CGI melepas batuk di tangga sebegitu. Perkara yang menyakitkan mata aku adalah api yang sungguh artifisial di mahkamah dunia jin. Juga scene di mana Notti berbicara dengan ayahnya Nesti, Back groundnya sungguh la huduh. Sedarlah KRU! CGI tidak akan bererti sekiranya buruk, lebih baik dibuat sahaja di lokasi semulajadi, dan keadaan ini akan bertambah parah sekiranya naratif filem itu berkembang dari satu adegan ke satu adegan secara kurang kewarasan tanpa sebab dan akibat yang kukuh dan lojik.

Sebagai contoh, Terdapat satu adegan di mana Aziz telah menyelamatkan Notti yang sedang menjelma sebagai Yvonne ( Apa ke jadah ntah ejaan nama ni). Yvonne merupakan kekasih kepada Taiko ( Corie) iaitu ketua samseng yang ingin diperangkap oleh Aziz. Selepas menyelamatkan Yvonne, Aziz dengan tak tahu apa sebabnya membawa Yvonne ke pondoknya yang terletak di dalam hutan. Di sini juga terdapat satu adegan Aziz mengaji Quran.

Perkembangan sebab akibat sebegini memang payah hendak difahami. Apakah motifnya Aziz membawa Yvonne ke pondoknya itu tidak difahami. Kenapa dia perlu membawa minah itu ke pondoknya. Minah itu bukan kekasihnya. Malahan dia tiada niat romantik dengan Yvonne.
Dalam masa yang sama dia ( baca : Aziz) ditonjolkan sebagai seorang lelaki yang alim dan warak. Warak-warak pun bawa perempuan ke pondok buruk tepi hutan juga. Haha.

Perkara yang paling mengganggu aku di dalam filem ini adalah adegan dimana menunjukkan Aziz mengaji al-Quran. Aku tidak bermaksud untuk menjadi sekular. Namun, pendapat peribadi aku, sebuah filem yang bergenre fantasi seperti Jin Notti ini adalah bercanggah dengan unsur-unsur agama suci Islam. Filem yang ideanya mengenai seekor jin betina, bertanduk, hidup di alam jin ( lokasi signifikannya di dalam lubang tandas kerana untuk keluar dari dunia tersebut adalah melalui lubang tandas) menjelma ke dalam tubuh berbagai gadis. Segala yang ditonjolkan adalah perkara-perkara fantasi, perkara-perkara tidak real. Dalam ketidak real itu tiba-tiba terdapat satu elemen yang real. Malahan boleh dilihat sebagai higher realiti. Iaitu agama. Islam dan Kitab Suci. Perkara-perkara ini adalah perkara benar. Perkara yang melibatkan keimanan.

Ini sesuatu yang menjengkelkan kerana bagi aku, Jin Notti yang dibikin atas genre 'fantasi' harus dibiarkan di dalam keadaan 'sekular'. Tidak perlu ada elemen agama di dalam filem bercorak fantasi begini. Ini kerana aku telah bersedia menerima fiksyen fantasi yang penuh elemen khurafat ini tetapi tiba-tiba eh eh, ada ayat suci pula.

Apakah relevannya adegan ini?

Ianya kelihatan seperti satu bentuk eksploitasi terhadap agama. Mawi itu sahaja sudah jelas sebagai satu simbol eksploitasi. Semua orang tahu Mawi mengaji memang best, tetapi adegan sedemikian langsung tidak kena dengan konsep cerita yang penuh dengan elemen-elemen bidaah dan khurafat ( hah ambik kau!). Adakah sebagai satu mesej dakwah? noo...

Perkara ini seharusnya dilihat dari sudut yang lebih sensitif. Fantasi itu ok. Tetapi sekiranya dimasukkan elemen islamik, elemen fantasi di dalam filem itu lansung akan menjadi tidak ok. Kerana ianya bercanggahan. Faham tak ni? Kalau tak faham, abaikan.

Selama sejam setengah, Jin Notti menghidangkan sebuah filem fantasi yang menghiburkan di skala yang sederhana. Cubaan pertama yang tidaklah gagal bagi Azhari Zain yang kelihatan begitu beremosi menyalahkan kelemahan diri. Rilek Abang Zack, ini cubaan pertama.

***

Jin Notti merupakan sebuah filem pop corn melayu yang biasa-biasa sahaja. Mungkin kerana aku menonton filem ini dalam keadaan mahu mencari dimanakah yang dikatakan best sampai pecah-pecah panggung itu. Dan kecewa kerana tidak menjumpainya.

Dan mungkin juga aku menonton ini selepas kejadian Norman melenting-lenting dengan David Teoh ( Ironinya, david Teo berlakun di dalam filem ini haha) kerana berebutkan pengiktirafan filem terlaris itu. Yang sedikit sebanyak menggetikkan hati aku.

Demi Tuhan, berhentilah bersaing secara bahlul begini. Baik Momok mahupun Jin Notti. Keduanya masih jauh untuk dilihat sebagai sebuah filem yang bagus.

Tak malu ke?


P/S- aku tidak sertakan sinopsis. Boleh baca sinopsis di blog lain.

Rabu, 23 September 2009

Momok The Movie - Momokan Hantu Melayu




Jika kamu mengidamkan filem seram yang mampu membuatkan tidur malam tidak lagi lena, ini bukanlah filem yang tepat buat kamu.

Momok The Movie tidak ubah seperti VCD Momok yang sebelum ini telah diterbitkan, mengisahkan kisah seram kolektif dari majalah Mastika mahupun Hidayah yang telah acapkali di’momok’kan kepada masyarakat kita (Baca: Melayu). Tiada yang baru. None. Nada.

Dari mata aku, filem ini hanya sesuai disajikan sebagai hiburan keluarga dalam bentuk telemovie komedi seram, dan terdapat beberapa perkara yang ingin aku kira sebagai pandangan peribadi aku mengenai filem ini.

Sebagai penonton yang mengharapkan sesuatu yang lebih, (walaupun aku tidak mengharapkan ianya menjadi seseram ‘Nang Nak’ atau filem-filem Indonesia lakonan aktres Suzana pada suatu masa dahulu) aku tidak dapat menerima kenyataan bahawa filem yang pada zahirnya disifatkan sebagai seram, hantu dan menakutkan telah diperkosa dengan sedemikian rupa dengan cara mencampurkan elemen komedi yang agak melampau. Ya, komedi melampau. Bayangkan di saat kamu sebagai penonton mula mahu membutakan mata dan memekakkan telinga bagi mengurangkan meter ketakuan yang menjalar dalam diri, mood dan emosi anda diganggu dengan muzik latar (contoh : toing toing toing) ataupun secara tiba tiba hantu yang tadinya kelihatan ganas dan sepertinya bersedia untuk meracik daging manusia dari badan mereka di panah petir. Oh, di panah petir masih lagi menakutkan, tapi apa kata anda sekiranya hantu yang di panah petir tadi mukanya berubah menjadi hitam legam seperti Mazlan Senario dalam filem Jangan Pandang Belakang Congkak? Sekalian panggung bertukar gelak tawa dan sekaligus mood seram aku telah ternoda sepenuhnya.

Satu lagi elemen penting yang telah dipandang sepi oleh pihak produksi barangkali ialah mekap kesan khas. Mereka mungin tidak punya Ella Sandera untuk menata rias sang hantu, mengakibatkan hantu itu kelihatan terlalu ‘cantik’ dan erm…hantu mat rempit itu mempunyai setompok glow in the dark powder di bawah matanya??tanda lahir barangkali??hahah..

Filem ini dari segi naratifnya bergerak hampir sama seperti filem Skrip 7707, yang secara jujurnya aku sedikit lebih tertarik kepada filem Prof. yang satu itu berbanding dengan filem ini. Plot dan naratif ceritanya bergerak secara penceritaan dari watak utama itu sendiri, iaitu Faizal AF4, Abon dan Datuk Aziz Sattar.

Seperti biasa, Faizal dan Abon yang baru pulang ke kampung sejak sekian lamanya singgah ke warung Pak Ajis dan bercerita perihal hantu (klise dengan malam Jumaat itu sendiri) ketika menantikan meatball bagi Mee Calong mereka (oh, Mee Calong yang tak sempurna tanpa meatballs)..dan Pak Ajis yang misteri ini (juga seperti biasa) mempunyai suatu rahsia di sebalik cerita- cerita hantu yang dikongsi mereka pada malam Jumaat kliwon tersebut.

Cerita hantu yang dikolektifkan??ah, itu untuk kalian lihat dan tafsir sendiri. Atau baca Mastika. Kalian pasti tahu kisahnya.

Secara kesimpulannya, sepanjang sejam setengah aku menonton filem ini di Johor Bahru, panggung yang tidak sampai suku itu hanya dipenuhi dengan gelak tawa dan bukan desahan ketakutan, tanpa klimaks, tanpa apa- apa yang baru. Hanya kisah yang kita sedia tahu dihidangkan kembali dengan lakonan dari pelakon berbeza (yang kebanyakannya merupakan muka baru). Apapun, lakonan Faizal AF4 harus aku puji walaupun agak kaku memandangkan ini lakonan pertamanya ( ayat suratkhabar..haha..).

Kalian tidak setuju dengan aku??tonton sendiri untuk kepuasan kalian..

Sabtu, 12 September 2009

PAPADOM - Dilema, trauma dan fobia seorang PATRIAK




Bila dijemput oleh Tayangan Unggul, melalui seorang blogger tersohor, untuk menonton Papadom, secara tidak warasnya aku telah mengatakan YA. Ini kerana jika dilihat dari sudut yang lebih rasional, aku yang sedang dilanda kesibukan gila dengan kertas kerja, projek pelajar dan ntah apa-apa lagi kewajipan mandatori suka atau tidak , tanpa alasan, seharusnya berkata 'tidak'.

Tapi hei! Ini filem Papadom lah. Filem Terbaik Festival Filem Malaysia... Ketepikan kelakar atau tidak festival tersebut. Ketepikan kerja yang menimbun yang sedang mencekik itu. Aku lebih skeptis untuk mengetahui sejauh mana relevan filem ini memenangi sebegitu banyak award di festival filem Malaysia tempoh hari.

Papadom, diarahkan oleh Afdlin Shauki. Tajuk Papadom ini double meaning. Satu merujuk kepada papadom yang itu, keropok rangup, sedap, pembuka selera, yang dimakan dengan nasi kandar itu. Satu lagi adalah merujuk kepada hero filem, seorang papa ( ayah) yang bernama Saadom ( Afdlin). Papa + Saadom = Papa Dom.

Idea asas Papadom ini adalah trauma/rasa berdosa seorang lelaki yang kehilangan isterinya, sehingga untuk menebus dosa-dosa itu dia, dia telah menjadi psiko sehingga terlalu protective terhadap satu-satunya ahli keluarganya yang masih ada iaitu anak perempuannya, Miasara ( Liyana Jasmay).

Saadom merasa berdosa kerana sikap workaholicnya dan keghairahannya untuk memperbaiki ekonomi rumah tangganya telah mencukai masanya bersama isterinya, Munirah ( Nor Khiriah) dan Miasara. Berlaku pergaduhan apabila Munirah sudah tidak tahan lagi dengan kesibukan Saadom yang seolah-olah mementingkan duit daripada keluarga dan anak mereka...

dan Boom!~

Munirah meninggal. Kemalangan semasa memandu sewaktu bergaduh dengan Saadom.

Natijahnya, Saadom yang merasa bersalah kerana mengabaikan tanggungjawabnya terhadap keluarganya sehingga menjadi punca kematian isterinya tidak mahu megulangi kesilapan yang sama.

Dia harus menebus segala kesalahan mengabaikan Miasara dan perlu melindungi satu-satunya anak perempuan merangkap juga satu-satunya ahli keluarganya itu. walau dengan apa cara sekalipun. Agar kesilapan lalu dapat ditebus dan tidak akan berulang lagi.

Oh lala...

That's all. ( Nak tau lebih pergi tonton sendiri .)

***
Papadomm merupakan dilema, trauma dan fobia seorang patriak yang bernama Saadom ini. Ini semua telah membentuk masalah kejiwaan dalam diri Saadom.

Sebagai seorang lelaki yang mahu memperbaiki kehidupan ekonomi rumah tangganya, Saadom terpaksa membayar harga yang tinggi dengan menggadaikan waktu-waktu bersama isteri dan anaknya. Dilema tuntutan material dan 'kehilangan' masa bersama keluarga ini diperlihatakan dengan jelas dalam rentak sunting yang pantas di awal 10 minit pertama filem. Mood di awal 10 minit pertama filem ini juga serius. Seserius dilema Saadom yang terpaksa memilih antara tanggung jawab mencari nafkah dan tanggung jawab untuk isteri dan anaknya.

Munirah meninggal, Berlaku transformasi watak Saadom juga terhadap mood filem. Dimana suasana buram dan serius ironinya telah bertukar menjadi lebih ceria selepas kematian Munirah. Trauma kehilangan isterinya telah menyebabkan Saadom mengalami fobia. Saadom menjadi terlalu protective terhadap Miasara. dari seorang yang serius, Saadom bertukar menjadi seorang yang ceria.Ini adalah denial state. Mekanisme Beladiri Saadom telah membentuk perilaku sebaliknya daripada kegelisahan dan keresahan hatinya terhadap sesuatu perkara. Dimana apabila seorang mengalami sesebuah trauma dia harus menentang perasaan itu dengan menunjukkan sikap yang berbeza. Saadom sebelum ini yang serius telah bertukar menjadi seorang yang ceria dan kelakar. Sekaligus mengheret sekali penonton untuk terpedaya dengan masalah emosinya yang sebenar.

Kegilaan Saadom ini juga jelas kelihatan apabila dia mula mengkhayalkan bahawa Munirah sentiasa di sisinya. Ini adalah skizopherenia. Saadom benar-benar ada masalah! Namun kematian Munirah dilegakan dengan kewujudan-kewujudan beliau sebagai imaginary friends Saadom.

Kegilaannya mengongkong Miasara adalah refleksi kegilaan dan keresahan hati Saadom terhadap perasaan bersalah yang di dalam dirinya. Miasara membesar dan menjadi seorang gadis remaja malangnya papanya tidak mahu menerima bahawa anak perempuannya sudah menjadi seorang anak gadis dan sudah memerlukan sedikit ruang privasi dan kebebasan untuk berdikari.

berlaku konflik di sini apabia Miasara memberontak untuk sedikit kebebasan.

Namun tidak mudah untuk seseorang seperti Saadom untuk menerima kenyataan ini. Walaupun berjanji untuk menjauhkan diri dari Miasara tetapi Saadom tetap meng'stalker' anak gadisnya itu walaupun terpaksa menjadi seorang tukang kebun di Universiti Miasara belajar.

***
Filem Papadom ini mempunyai 'approach' yang pelbagai. Afdlin mempunyai niat untuk memparodikan filem-filem tempatan. Mewujudkan semangat muhibbah antara kaum. Juga terdapat beberapa elemen satira dan sindiran terhadap industri perfileman. Untuk maklumat yang lebih lumayan sila klik blog ini ( Ianya sangat padat dan kemasss!!!).

Tidak dapat dinafikan Afdlin telah menghasilkan sebuah filem komedi kekeluargaan yang menarik, kelakar, dan menghiburkan. Kalau kamu sukakan filem-filem Afdlin sebelum ini. Ya, filem ini memang akan kamu suka.

Sama seperti tajuknya, Papadom merupakan keropok yang enak, rangup dan sedap. Membuka selera. Namun papadom tetap papadom. Makan sedap apabila kena dengan nasi kandar. Jika makan dengan tempoyak? haa?

Aku makan macam-macam. Tolak kayu dengan batu je. :)

p/s- Ulasan yang lebih kritikal apabila aku telah menonton kali kedua filem ini. Tengok sekali tak fair la nak cakap banyak. haha.

Selasa, 8 September 2009

Seni Realiti









'Film is essentially an extension of photography and therefore shares with this medium a marked affinity for the visible world around us. Films come into their own when they record and reveal physical reality...[and] are true to the medium to the extent that they penetrate the world before our eyes' - Siegfried Kracauer

Rabu, 2 September 2009

Sinema 'Sampah' Melayu/Malaysia

Sudah lama penonton/pengkritik (jika ada)/ pengulas/ blogger dan penggemar filem melayu/tempatan merungut dan mengeluarkan cemuhan bahawa filem melayu yang ditonton oleh mereka adalah filem 'sampah'. Dengan kata lain, filem itu adalah sampah!

Sampah di dalam bahasa melayu (tanpa perlu merujuk kepada Kamus Dewan, kerana kamus dewan tiada di sebelah aku masa menulis ni) membawa maksud ' bahan sisa/ barangan tidak berguna/ tidak bernilai/ etc ... , oleh yang demikian, apabila seseorang penonton mengatakan bahawa filem yang ditontonnya adalah filem sampah, ianya membawa maksud filem tersebut adalah filem yang tidak mempunyai nilai/ tidak mendatangkan faedah/ bersifat buruk dan jelek secara fizikalnya.

Dari mana idea melabelkan filem sebagai 'sampah' ini datang? Secara mudah. tanpa perlu membuat sebarang kaji selidik ilmiah ( ini adalah blog bukan tesis) dan hanya menggunakan common sense, kita tahu bahawa 'label' sampah ini datangnya dari budaya 'berbahasa' orang melayu yang sering secara mudah melabelkan sesuatu perkara ( dalam konteks ini adalah filem) berdasarkan ciri-ciri dan rasa peribadi mereka terhadap perkara tersebut.

Apabila seorang penonton melayu menonton filem, dan kemudiannya dengan sangat marah dan kecewa merasakan bahawa filem yang ditontonnya secara 'kasar' telah memperbodohkan intelektualnya, atau tidak langsung memenuhi citarasa hiburan atau selera visualnya. Selain turut merasakan bahawa menonton filem itu merugikan masa dan duitnya (tiket) secara sangat sia-sia. Tentu dengan mudah dia (baca:penonton/penggemar/pengulas filem melayu) dengan mudah (atau dengan marah) melabelkan filem yang ditontonnya adalah filem sampah mengikut alasan-alasan di atas itu tadi.

Dengan itu, wujudlah satu istilah yang sangat sinonim dengan filem-filem melayu iaitu filem 'sampah' ini.

Baiklah, setelah kita mengetahui (secara mudah) kewujudan istilah filem 'sampah' ini, kita mulakan pula fasa kedua diskusi ( pseudo intelektual!) iaitu ' anjuran peribadi aku, Ares Bahar, supaya istilah 'filem sampah' ini diwujudkan sebagai satu 'genre atau subgenre' (sebutannya adalah joner) di dalam filem-filem melayu/Malaysia. Atau untuk skop yang lebih luas lagi wujudkan apa yang digelar sebagai 'Sinema Sampah Melayu/Malaysia' sebagai satu takrif baru di dalam sinema 'popular' di Malaysia.

Anjuran aku supaya 'filem sampah' dijadikan sebagai satu genre tidak perlu dilihat sebagai satu usaha negatif malahan ianya satu usaha yang patut diraikan. Sekurang-kuranya bila anjuran ini sudah konkrit, secara rasmi dan diterima umum, filem-filem melayu telah mempunyai satu lagi 'genre' iaitu filem sampah. Ini secara tidak langsung memudahkan penerbit dan pengarah filem mengeluarkan sebuah filem melayu tanpa takut akan kecaman dan kritikan kerana sekiranya filem mereka dihentam, mereka boleh berkata,

" saya sememangnya membikin sebuah filem bergenre 'sampah' "

Selain itu, ianya juga memudahkan penggemar-penggemar 'filem sampah' melayu yang ramai itu menonton filem-filem kegemaran mereka kerana di poster-poster sudah awal-awal lagi dinyatakan genrenya. Sebagai contoh ' KEPOHH sebuah filem 'sampah' dari si polan atau si polan. Selepas ini, sesiapa yang tidak sukakan filem sampah tidak akan rasa diperbodohkan lagi.

Matlamat utama men'genrekan' sampah adalah supaya industri filem Malaysia seterusnya dapat berbangga bahawa telah wujud satu genre baru yang lahir dari industri filem Malaysia.


'Sampah' sebagai satu genre masih lagi diperingkat cakap-cakap kosong, ianya sama seperti konsep Satu Malaysia, sesiapa sahaja masih boleh memberikan definisi masing-masing mengikut kefahaman masing-masing. Ini kerana, ciri-ciri 'genre' ini masih baru dan masih lagi terbuka untuk sesiapa sahaja meng'konruksikannya. Namun bagi aku, ciri-ciri filem sampah haruslah seperti berikut :

1. Ianya haruslah sebuah filem melayu dan dialog pertuturannya adalah di dalam bahasa melayu.

2. Premis cerita/ idea cerita yang tidak munasabah/ tidak masuk akal.

3. Genre kembarnya adalah komedi/ komedi seram/ komedi aksi.

Ketiga-tiga ciri-ciri utama itu masih diperingkat perbahasan kerana tidak semestinya ciri-ciri utama tersebut merupakan filem sampah. Aspek mis-en scene, stail, content dan seterusnya form merupakan aspek-aspek penting yang membezakan sesuatu filem itu Sampah atau tidak.

akan bersambung ....


p/s - Diskusi pseudo intelektual ini akan bersambung dengan mengambil contoh filem Sifu dan Tongga ( A. Razak Mohaideen) , Antoo Fighter ( Azizi Chunk) sebagai contoh paling efektif untuk digenrekan sebagai 'sampah'.

Filem di dalam senarai pendek.

Ini adalah senarai pendek, filem yang wajib aku tonton bulan ini.

Ini yang paling aku tunggu. Inglorious Basterd. Tarantino dan Brad Pitt. Huh..




Mendapat rebiu yang positif dari Filmcritic dan pengulas tersohor Roger Ebert. Kalau tidak sebab rebiu dari mereka, aku tetap akan menonton filem ini. Satu disebabkan Tarantino. dan satu lagi sebab Brad Pitt. Oh ya, satu lagi sememangnya aku penggila war movie.


Murderer

Sudah lama tidak melayan filem Hong Kong. Arahan Roy Chow Hin Yeung. Filem Thriller/crime/detective??? Apapun Murderer di dalam senarai kedua. Lakonan Aaron Kwok mendapat pujian tetapi filemnya di label sebagai 'crap' haaha.




Up

Filem animasi 3D yang juga mendapat rebiu yang sangat positif. Arahan Pete Docter. Tidak salah kalau diletakkan di senarai yang keempat.


http://www.youtube.com/watch?v=USpI6Jzl3No



Alien In The Attic.

Ini filem yang ditunggu oleh Ikha tersayang dari pengarah John Schultz. Aliennya nampak comel. Berbeza sungguh dari filem District 9. Haha.




Ada beberapa buah filem lagi yang di dalam senarai tetapi masih dipertimbangkan. Nak tengok semua memang la 'kopak' poket. Ada apa-apa pandangan dari kamu yang sudah menonton filem-filem di atas?. Selain dari Inglorious Basterd, yang lainnya sudah ditayangkan.Harap, boleh kongsikan di ruangan komen ya...