Jumaat, 26 Februari 2010

NIYANG RAPIK (2010)


Review ini ditulis untuk www.yoyooh.com

Filem Niyang Rapik adalah merupakan sebuah filem seram terbaru arahan Ahmad Idham dan diterbitkan/diedarkan oleh MIG production sdn bhd. Filem ini dihasilkan dari legasi drama yang berjudul Puaka Niyang Rapik yang turut diarahkan oleh Ahmad Idham yang mana drama seram ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan dari penonton dengan rating penonton yang mencecah ke angka 4 juta apabila ianya disiarkan di TV3 pada setiap hari khamis.

Filem Niyang Rapik ini walau bagaimanapun adalah berlainan sekali dari drama Puaka Niyang Rapik. Ceritanya masih berlatarbelakangkan kampung yang bernama Niyang Rapik, namun watak-wataknya adalah berlainan sama sekali. Di dalam filem ini, kesemua watak-wataknya adalah watak baru yang tiada kena mengena dengan watak yang terdapat di dalam drama Puaka Niyang Rapik. Namun kandungan ceritanya masih berkisar tentang pengamalan ilmu hitam/paranormal dan gangguan-gangguan dari mahkluk-mahkluk halus yang mendiami kampung Niyang Rapik tersebut.

Ianya mengisahkan tentang sekumpulan pelajar jurusan arkeologi iaitu Helmi (Kamal Adli) Saiful (Zed Zaidi) Zizan (Shaheizy Sam) dan Amir (Awal Ashaari) yang terpaksa kembali ke sebuah kampung yang terletak di kawasan pendalaman yang bernama Niyang Rapik,dimana kampung ini pernah menjadi kawasan projek arkeologi mereka, bagi menghantar sebuah kerambit yang dikatakan menjadi punca kepada kematian misteri lagi menggerikan kawan mereka iaitu Zack (Fizz Fairuz) yang maut akibat busung.

Namun, kehadiran mereka untuk kali kedua di kampung tersebut sudah tidak lagi sama seperti kedatangan mereka dahulu. Kampung itu sudah menjadi sebuah kampung tinggal dan suasana suram dan menyeramkan menyelubungi kampung tersebut. Mereka bertekad untuk memulangkan kerambit yang diambil oleh Zack kepada Tuk Neram (Nasir Bilal Khan) iaitu ketua kampung tersebut dan satu-satunya insan yang dapat dan ingin membantu mereka di kampung tersebut adalah seorang gadis yang bernama Laila (Liyana Jasmay) iaitu anak gadis kepada Tuk Neram, juga bekas teman wanita Zack dan satu-satunya gadis yang rapat dengan mereka sewaktu mereka mengadakan projek di kampung tersebut dahulu.

Sangkaan mereka dengan menghantar kerambit tersebut. Masalah mereka telah selesai dan misteri kematin Zack akan terjawab namun, sangkaan mereka meleset kerana segala kejahatan yang menyeramkan dan yang menakutkan baru sahaja bermula dan menghantui mereka sebaik sahaja mereka memijakkan kaki ke kampung berpuaka yang bernama Niyang Rapik itu.

Secara keseluruhannya filem Niyang Rapik ini masih lagi mengekalkan formula biasa filem-filem seram tempatan. Hantu akan muncul di belakang watak tanpa watak menyedarinya dan kemunculan hantu tersebut adalah khas untuk dilihat oleh penonton dan terdapat bunyi latar dan bunyi efek seram yang keterlaluan sebagai satu usaha menakut-nakutkan penonton. Ini formula biasa filem seram dan Ahmad Idham sedari filem Jangan Pandang Belakang dan Congkak memang gemar bermain dengan formula ini. Namun pujian harus diberikan kepada jurusolek kesan khas kerana solekan yang dilakukannya terhadap watak-watak hantu dan puaka itu sememangnya berjaya menakutkan penonton.

Jalan cerita atau naratif filem Niyang Rapik ini juga mempunyai simmilarity atau persamaan yang agak ketara dengan filem-filem seram yang pernah dihasilkan di Malaysia iaitu tentang sekumpulan pelajar/anak muda dari ekspedisi yang mereka lakukan. Filem yang mempunyai naratif begini dapat dilihat dalam filem arahan Prof. A. Razak Mohaideen seperti Mistik, Potret Mistik, Rasukan Ablasadan Gong dan beberapa buah filem lain. Kerana itu, saya katakan tadi bahawa filem ini tidak lebih dari kitaran semula idea-idea lama filem seram yang sering kita lihat di layar perak.

Persamaan ini juga dapat dilihat terdapat di dalam aspek lakonan dan lakon layar, dimana kumpulan pelajar ini sering bertelagah sesama sendiri dan pertelagahan ini memungkinkan pelakon-pelakon muda ini menjerit di antara satu sama lain dan hasilnya filem ini hampir 80 peratus dialognya adalah terdiri dari dialog-dialog menjerit. Syukurlah ianya tidak seteruk Mistik atau Rasukan Ablasa walaupun hampir-hampir sahaja filem ini menjadi seperti dua filem itu yang selamanya akan diingati akibat kesakitan telinga penonton mendengar jerit lolong pelakon.

Dialog dan lakon layar terjerit-jerit sebegini hampir-hampir sahaja menjejaskan kehebatan seorang pelakon muda berbakat besar seperti Shaheizy Sam. Manakala Awal Ashaari dan Zed Zaidi juga kurang menyerlah lakonan mereka. Kemungkinan besar ini adalah disebabkan kerana lakon layar yang kurang kreatif, atau limitasi dialog yang tidak memungkinkan mereka boleh lebih mengimprovisasikan kemampuan lakonan mereka.

Dan satu perkara yang paling diambil lewa adalah di bahagian penataan seni. Ini dapat dilihat dari kerja-kerja penataan seni (tidak termasuk solekan yang bagus tadi) dilakukan secara ambil mudah dan sambil lewa. Ini dapat dilihat dari set yang terlampau bersih dan kelihatan baru dibina seperti set kedai makan yang papannya kelihatan terlalu baru, kayu pagar rumah yang juga terlalu baru dan bersih, Gua dimana menjadi tempat arkeologi juga adalah tersangat bersih. Ini belum lagi jika dilihat suasana di dalam rumah yang set dan propnya tidak meyakinkan bahawa itu adalah sebuah rumah kampung yang sebenar. Ianya bagaikan model rumah kampung yang dibina bagi tujuan pameran seperti yang terdapat di Taman Cahaya Bukit Cerakah. Terdapat juga prop-prop yang tidak munasabah seperti kerusi rotan yang tidak mempunyai kusyen di rumah Tuk Neram, Begitu juga kerusi batu yang diduduki oleh watak sewaktu adegan malam keramaian di kampung. Kerusi batu itu memanglah bentuknya seperti kayu, tetapi penonton tahu bahawa kerusi yang macam kayu itu adalah sebenarnya kerusi batu yang sering kkita dapat lihat di taman-taman. Hal-hal penataan seni ini tidak sepatutnya diambil mudah oleh Ahmad Idham kerana ianya sedikit sebanyak akan mempengaruhi logik visual filem ini. Samada pengarah seni tidak buat kerja atau bajet yang sedikit telah diberikan untuk bahagian penataan seni ini sehingga terjadinya kelewaan yang tidak sepatutnya berlaku ini.

Walau bagaimanapun, saya menikmati sedikit rasa takut dan seram di dalam filem ini di mana terdapat beberapa adegan yang menjadi favourite Ahmad Idham di dalam kebanyak filem seramnya iaitu babak exorcism atau babak kerasukan. Di dalam filem ini, Watak Helmi yang kerasukan dan bertenggek di serambi itu adalah babak yang agak menakutkan saya. Mood babak ini dan lakonan kerasukan oleh Awal boleh dikatakan menjadi. Ahmad Idham memang boleh menjadi pakar dalam babak kerasukan ini, lihat sahaja babak kerasukan dalam Jangan Pandang Belakang dan Congkak.

Babak watak kerasukan yang akan bertenggek di serambi telah berulang kali digunakan oleh Ahmad Idham, satu dalam Jangan Pandang Belakang, Pierre Andre yang kena rasuk berlari bertenggek di serambi, satu lagi di dalam drama Puaka Niyang Rapik kalau tidak silap, Liyana Jasmay bertenggek di atas serambi. Lakon layar ini pun recycle.

Perkara yang menyelamatkan filem ini dari menjadi sebuah filem seram picisan dan menghampakan adalah kerana pengakhiran filem ini yang tidak dapat diagak (unpredictable). Ini adalah sesuatu yang sangat berjaya bagi saya kerana ianya menjadi satu penyebab utama untuk saya mengatakan bahawa filem ini agak menarik kerana ianya membuatkan saya tertanya-tanya sehingga ke akhir cerita

Kesimpulannya, filem Niyang Rapik ini adalah sebuah filem seram dengan idea yang klise dan recycle namun mempunyai efek khas yang bagus, selain itu lakonan yang tidak begitu mengecewakan dari Sam, Awal, Zed dan Nasir Bilal Khan dan tidak lupa juga pada Liayana Jasmay menjadikan filem Niyang Rapik ini adalah sebuah horror flick cara melayu yang seronok untuk ditonton.

P/s- Ada adegan hot dari Liyana Jasmay. :) . Saya bagi 2 bintang setengah untuk filem ini.

Isnin, 22 Februari 2010

Samson And Delilah (2009)



Filem Samson and Delilah (2009) ini telah memenangi anugerah Camera d'Or di Cannes untuk filem debut bagi Warwick Thorthorn. Mamat Warwick ini merupakan seorang Pengarah Fotografi ( D.O.P), dan pengarah bagi beberapa buah filem pendek sebelum menghasilkan filem feature sulungnya ini. Dia juga merupakan pengarah,penulis skrip,dam juga sinematografer bagi filem ini.

Merupakan sebuah drama romantik tentang percintaan dua anak muda aborigin Australia. Bagi yang menyangka filem ini ada kena mengena dengan kisah seorang hero yang gagah perkasa yang akhirnya mati disebabkan seorang perempuan yang dipetik dari Injil, yep...anda silap. Langsung tiada kena mengena. Ini bukan remake Samson and Delilah ( 1949) yang berdasarkan kisah dari kitab injil itu.

Filem ini adalah sebuah filem dengan ruh dan semangat neorealisma yang merakamkan keterasingan masyarakat asli Aborogin di Australia. Samson (Rowan McNamara) dan Delilah (Marissa Gobson) merupakan dua anak muda dari sebuah teritori terpencil masyarakat Aborigin. Teritori ini hanya mempunyai beberapa buah keluarga dengan kehidupan yang sangat minimal dan ringkas.

Adegan-adegan awal filem ini menunjukkan bahawa Samson dan Delilah terperangkap di dalam rutin (maha bosan!) yang sama. Samson akan bangun setiap pagi diiringi muzik band 3 piece Ska abangnya yang berlatih di hadapan rumah. Perkara pertama yang dilakukannya adalah dia menghidu cat (Samson adalah seorang Junkie Inhalan) kemudian akan ke luar rumah dan strumming/goreng gitar abangnya ala-ala rock star sebelum dihalau oleh abangnya kerana mengganggu. Adegan/ screen play yang seakan sama ini diulang dua kali. Ini adalah penegasan dari Warwick bahawa masyarakat Aborigin ini terperangkap di dalam situasi statik/tidak berubah.

Begitu juga halnya dengan Delilah dimana setiap pagi dia akan bangun tidur, mengejutkan neneknya untuk makan ubat, membawa neneknya ke pusat kesihatan,ke gereja dan kemudiannya akan menghasilkan beberapa kraftangan/catan tribal dan pada malamnya sebelum tidur dia akan mendengar muzik latin/flamenco di dalam keretanya. Aktiviti ini juga ditunjukkan kepada penonton sebanyak dua kali.

Elemen yang paling nyata di dalam filem ini adalah keterasingan. Keterasingan kehidupan Samson dengan ahli keluarganya ( abangnya). Keterasingan Samson bersama masyarakat di persekitarannya. Keterasingan Samson ini berpunca dari sikapnya yang tidak mahu berkomunikasi dengan orang lain (walaupun di adegan yang terkemudiannya telah menjelaskan sikap tidak bercakap ini bukan kerana Samson ini bisu tetapi dia gagap).

Samson adalah simbolik kepada kaum aborigin yang sememangnya 'terasing'/di'asingkan di negara mereka. Sikap tidak berkomunikasi Samson adalah menifestasi suara-suara Aborigin yang tidak didengari dan tertindas. Selain itu, keterasingan Samson di dalam masyarakat dan keluarganya sendiri adalah simbolik kepada jiwa anak muda yang memberontak dan mahukan perubahan di dalam kehidupannya.

Samson meminati muzik 'rock' (ini dapat dilihat dari dua adegan dia goreng gitar abangnya dengan muzik rock), muzik ini adalah lambang kepada jiwa anak muda yang mahukan kebebasan, juga lambang kemarahan dan pemberontakan. Abangnya pula adalah simbolik kepada identiti indigenous/black tipikal dengan meminati muzik ska ( walaupun muzik ini berasal dari campuran reggae Jamaica...so still black music right? still beridentitikan muzik kulit hitam kan?), muzik yang menunjukkan abangnya adalah seperti kebanyakan masyarakat aborigin di teritorinya yang selesa dan tidak mahukan perubahan.

Selain itu, Watak Samson yang ketagihan inhalan adalah satu lagi simbolik kepada elemen pengasingan dan keterasingan. Memilih untuk high juga adalah satu elemen peng'asingan di dalam filem ini. Ini kerana, Samson memilih untuk mengasingkan diri dari dunia real kepada dunia stimnya yang mengkhayalkan. Memilih untuk high adalah satu jalan bagi kebanyakan junkie yang bencikan dunia bitternya. Contoh paling relevan, penggunaan inhalan ini untuk melarikan diri dan melupakan kepahitan dan kesengsaraan perasaan Samson adalah apabila dia yang menyangkakan Delilah telah mati, tidak berhenti dari mengalihkan hidungnya dari botol petrol.

Aku juga melihat penggunaan petrol secara salah oleh Samson ini adalah salah satu bentuk sindiran sinis Warwick kepada pergantungan masyarakat terhadap bahan api tersebut.
Petrol digunakan sebagai bahan api kenderaan untuk menghidupkan kenderaan bagi membawa seseorang dari satu destinasi ke satu destinasi. Tetapi bagi Samson, petrol, selain dari membawa dirinya dari satu destinasi ke satu destinasi secara nyata atau real, ianya juga boleh membawanya dari dunia realitinya ke dunia khayalannya/highnya. Dan Samson lebih menghargai petrol bagi tujuan yang kedua tersebut. Ini dapat dilihat apabila Samson sanggup meninggalkan keretanya yang kehabisan minyak dan meneruskan advencernya bersama Delilah dengan berjalan kaki sedangkan dia masih mempunyai sebotol lagi petrol yang tidak mahu digunakannya sebagai bahan api kenderaan tersebut kerana dia mahu menggunkan petrol tersebut bagi tujuan highnya. Ini adalah kerana Samson tiada hala tuju dan tidak mempunyai apa-apa destinasi dalam hidupnya. Semua tempat di muka bumi ini adalah sama sahaja (tiada tempat untuk orang sepertinya). Oleh itu lebih baik dia high. Sekurang-kurangnya ia membawa Samson ke satu dunia yang lebih aman walaupun ainya tidak real. Siapa yang pernah hidu gam tahu akan perasan Samson ini hahaha.

Petrol juga adalah simbol kapitalisma. Simbol kemajuan dan teknologi. Tamadun dunia sekarang ini adalah berdasarkan bahan api yang ini. tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa petroleum adalah penggerak kepada dunia moden sekarang ini.Penggunaan petrol secara salah oleh Samson secara tidak langsung merupakan satu pernyataan bahawa Samson/aborigin bukan sahaja terpinggir dari kemajuan tamadun dunia malahan telah menjadi mangsa kemodenan dan kemajuan dunia. Petrol yang dihidu oleh Samson (bukan sahaja Samson wei, malahan sesiapa sahaja yang menghidu petrol atau gam, Belia Benci Dadah!) boleh menjahanamkan otak. Ini adalah simbolik dimana kemajuan dan kemodenan tamadun kapitalisma sedang memangsakan puak-puak indigenous bukan sahaja Aborigin malahan di serata dunia. Di Malaysia boleh lihat apa yang terjadi kepada kaum Penan.

Filem ini sangat menggunakan kekuatan visual. Sangat dipengaruhi neorealisme. Teknik kamera+editing yang minimalis yet sinematografinya sungguh cantik. Visual ala dokumentari, menonjolkan lanskap dan bentuk geografi di teritori aborigin, ini semangnya meminjam semangat Italian neorealisme dimana gaya visual dokumentari adalah salah satu ciri-ciri pentingnya.

Teknik kamera hand held yang digunakan di dalam filem ini turut memberi impak realisme. Warwick yang mempunyai pengalaman sebagai seorang d.o.p telah mengaplikasikan kemahiran simematografinya dengan menjadikan adegan-adegan (yang menggunakan) hand held ini supaya ianya memberi impak real kepada penonton. Falsafahnya mudah, hand held menjadikan visual yang dirakam seperti penglihatan mata manusia. Penglihatan manusia tidak statik. Oleh itu, viusal hand held yang sedikit bergoyang adalah lebih real dari visual yang statik di atas tripod.Namun, harus diingat, hand held yang Warwick lakukan ini disandarkan dengan kefahaman dan pengalaman serta pengetahuannya terhadap teknik ini. Dengan kata lain, Warwick tahu apa dia buat. Ini bukan sesuatu yang trendy dan konon rebellious yang ramai budak-budak Indie (termasuklah aku) cuba lakukan. Hasil hand held Warwick ini lembut, (tidak seperti Budak Kelantan,yang lebih shaking visualnya, walaupun Budak Kelantan sebenarnya sudah dikira o.k) ianya juga adalah konsisten dan memberi signifikan kepada form/bentuk filem ini secara keseluruhan (neorealisma itu tadi).

Satu perkara lagi yang menarik bagi filem ini adalah kaedah penceritaan Warwick yang disampaikan tanpa dialog (again! filem adalah visual!) atau secara tepatnya dengan menggunakan keadah dialog yang sangat minimal. Mood dan feel filem ini dihantar melalui mise-en-scene. (Segala apa yang ada di frame-set,lakonan,prop,pengcahayaan,kostum,) Tapi yang paling utama adalah dari lakonan tanpa dialog Rowan dan Marissa. Keduanya merupakan pelakon muda yang sangat superb. Mood,feeling dan emosi dihantar dari renungan mata, dan riak wajah.

So bagi penulis skrip di luar sana (peringatan ini untuk diri aku sendiri) menulis skrip adalah berdasarkan visual. Ini kerana penceritaan sesebuah filem haruslah dinyatakan secara visual. Visual adalah keistimewaan filem paling unggul. Bukan pada dialog. Kalau banyak sangat menggunakan dialog. Secara literal. Baik orang dengar drama radio.

Selain itu, sekali lagi, kerja kamera, iaitu shot-shot yang diambil iaitu secara sekuen ,durasi shot, level dan angle shot,serta size shot banyak membantu lakonan tanpa dialog menghantar emosi dalaman kepada penonton. Contohnya adalah long takes, Samson menyelubung diri dengan selimut keraan menyangka Delilah mati. Mood long takes ini memberi impak perasaan sedih Samson kepada penonton. Begitu juga sekuen shot, dimana shot yang diambil secara berterusan tanpa gangguan dari suntingan yang akan menjejaskan feel real diantara Samson dan Delilah. Begitu juga halnya dengan saiz shot. CU ( Close up) usah ceritalah digunakan dengan acap kalinya kerana dari CU inilah riak wajah yang menggambarkan perasaan watak dapat dirasai oleh penonton. ( ini dipanggil mise-en-shot/ betul atau tidak akan aku confirmkan hal ini)

Selain itu, Samson and Delilah ini juga merupakan satu kritikan sosial terhadap layanan dan nasib aborigin di Australia. Aborigin di Australia sinonim dengan penyanggak, perampok, pelacur dll. Kita dapat lihat, adegan dimana seorang Pengawal sentiasa mengikuti Samson apabila dia masuk ke pasar raya (ironinya Samson memang mahu mencuri). Kita juga dapat lihat bagaimana seorang kulit putih telah mengeksploitasi bakat nenek Delilah dengan membeli hasil krafnya dengan harga yang murah tetapi di adegan yang berikutnya Delilah ternampak hasil kraf neneknya yang berharga ribuan AUD. (Eksploitasi ekonomi terhadap indigenous people ini berlaku dimana-mana termasuklah di Malaysia ini. Orang Asli yang bertarung nyawa memanjat pokok petai untuk mendapatkan petai dibayar murah, dan kemudian pemborong menjualnya dengan harga yang gila berganda)Selain itu, layanan kasar terhadap Delilah ( aborigin amnya) juga dapat dilihat pada scene dia ingin menjual hasil krafnya tetapi tidak dilayan, sedangkan kedai tersebut sememangnya menjual hasil kraftangannya bersama neneknya. Begitu juga layanan dan prejudis segelintir (segelintir???) anglo Australia yang sentiasa memandang rendah dan hina akan kaum aborigin di mana terdapat satu adegan Delilah telah diserang secara seksual. Signifikan adegan ini adalah menunjukkan bahawa maruah kaum wanita aborigin adalah sangat rendah dan tiada harga pada pandangan kaum kulit putih yang segelintir itu.

Samson and Delilah ini bagi aku merupakan sebuah filem yang sangat berguna untuk ditonton. Lebih-lebih lagi kepada young filmaker di luar sana. Sebenarnya aku ingin menulis lebih panjang lagi tentang filem ini tetapi perkara-perkara utama yang aku suka di dalam filem ini telah aku nyatakan di atas. Apa kata korang yang telah menonton filem ini berkongsi pendapat tentang filem ini. Mungkin ada elemen-elemen lain yang korang suka yang tidak aku nyatakan di atas boleh korang kongsikan. Tidak salah bukan. Ayat paling halus untuk menghidupkan budaya filem. haha.

p/s- Oh aku langsung tidak masukkan sinopsis. Hah, sinopsis? apa barang beb...cari je la DVD dan tonton terus.





Selasa, 16 Februari 2010

Reviu Pendek Muallaf sekali lalu.

Beberapa hari yang lepas aku baru sahaja menonton filem Muallaf. Aku tidak berkesempatan untuk menonton filem ini di pawagam kerana sewaktu filem ini ditayangkan aku sedang berpraktikal di Kuala Kangsar selama 27 hari ( filem Hantu Kak Limah Balik Rumah). Terima kasih kepada Kelab Skrin Filem FACT yang membuat tayangan secara percuma di Puncak Perdana baru-baru ini.

Jujurnya aku tidak begitu selesa dan perhatian aku terganggu sewaktu menonton filem ini tempoh hari. Tayangan terpaksa berpindah dari Dewan Pancha Delima ke sebuah Bilik gerakan di kolej yang macam hampeh. Panas dan sempit. Kenapalah saat-saat inilah Dewan Pancha itu hendak direnovate. Natijahnya aku terpaksa bersila dan bersandar di dinding, skrin adalah berkedudukan 25 darjah dari aku. Naik sakit tengkuk aku sebab terpaksa meneleng ( meneleng? ayat ni ada ke?...).

Filem Muallaf ini dianggap sebuah naskah yang begitu berat oleh ramai penonton namun bagi aku adalah sebaliknya. Apa yang beratnya? Sebab pening dengan nombor-nombor verses/surah tu atau dialog-dialog yang preachy tu?

yes, nombor-nombor itu setidaknya akan membuatkan ramai penonton yang tidak selalu membaca kitab Tuhan terpingga-pingga.Tidak kiralah dari Koran atau Bible.

Filem ini merupakan sebuah filem tentang dua orang budak perempuan yang bijak yang meminati pengajian tentang agama/falsafah/teoloji dan suara mereka adalah tidak lebih dan tidak bukan merupakan suara arwah Yasmin yang secara halus berselirat dengan kepercayaan pluralisme dan disaluti tassawuf/ sufistik dimana hal ini tidaklah pula sesuatu yang asing bagi diri aku. Dan bagi yang hyper sensitif, Konotasi pluralisme itu pula tidak aku maksudkan secara negatif ,jangan salah faham, dan mungkin ramai yang tidak bersetuju dan menentang,terpulang...,aku tidak ingin berbahas mengenai siapa betul atau siapa salah di dalam hal ini.

Aku hanya lemparkan pandangan aku terhadap rasa saling hormat dan toleransi beragama yang pada aku sangat kuat cuba disemai oleh Yasmin di dalam filem ini. Ini adalah kepercayaannya, dan aku hormati pandangannya ini.

Rohana dan Rohani memetik ayat baik dari Bible mahupun dari Koran secara tidak langsung menggambarkan bahawa Yasmin mempercayai kebaikan-kebaikan yang dibawa oleh kedua kitab tersebut.

Brian tetap pengganut Kristian hingga ke tamat cerita dan ini menunjukkan Yasmin tidak cuba untuk meletakkan agama Kristian sebagai kos lepas dalam percintaan diantara Brian dan Rohani. Ini juga boleh dilihat sebagai Yasmin meletakkan rasa Cinta dan Kasih Sayang itu lebih dari ketaksuban agama. Dan disinilah kelihatan elemen sufistikal ( bagi aku) di dalam filem ini.

Rasa cinta itu membuatkan Brian cuba memahami agama wanita yang dicintainya dan di dalam masa yang sama dia kembali mendekati agamanya, Kristian ( yang sebelum ini dilihatnya dari sudut negatif kerana hukuman berat yang dikenakan oleh bapanya atas alasan agama sewaktu ditangkap sedang bermasturbasi).

Ini adalah alasan paling mutlak kenapa harus ada rasa 'cinta' (dan darjat cinta ini diletakkan tinggi setaraf dengan agama) sesama manusia kerana dengan adanya cinta barulah datangnya respect terhadap manusia lain iaitu respect terhadap agamanya,kepercayannya,budayanya dll. Dan bila ada respect begitu barulah takde perang yang digunakan atas alasan agama, barulah gereja tak kena bakar, barulah kepala babi tak dicampak ke dalam surau, dan barulah takde kepala lembu kena pijak-pijak.

Cuma, seperti kata Saniboey, aku agak merasakan filem ini preachy, dan ya, filem-filem Yasmin sebelum ini juga memang preachy tapi aku rasa tak sepreachy yang ini. Contohnya scene Dato' minum arak tapi tak nak salam dengan cina yang pegang anjing tu. Aku rasa seperti terlalu bersungguh-sungguh hendak mengatakan bahawa orang melayu baik yang suka minum arak ke, kaki zina ke, peliwat ke,pemakan rasuah ke, walau jahat macamanapun dia... dia tak akan pegang anjing atau makan babi.

Scene ini tidak seperti scene Nam Ron pegang anjing sewaktu nak ke surau di dalam Gubra. Scene tersebut dibuat secara bersahaja, satu take, long shot.Lembut tetapi sinis.Pom tepat kena pangkal dada fundamentalis. Tetapi scene Dato' dan anjing di dalam filem Mualaf ni banyak shot. Siap close up anjing, muka Dato jijik. Bersungguh-sungguh scene ni. Tapi dia jatuh di tahap cliche'. Hahaha...

Yang preachy secara literal itu, yes... i agree with my mentor, Mr Norman,filem-filem Yasmin memang dipenuhi dengan elemen-elemen bersyarah di dalam dialog-dialognya. Dan itu tidak menjadi hal, malah inilah trade mark. dailog-dialog preachy di dalam filem Yasmin tidak seperti drama RTM atau Siri Gerak Khas. Preachy RTM itu preachy yang menakutkan dan seperti kelas pendidikan moral.

Berbalik kepada filem Muallaf, kerana ianya tidak asing bagi aku maka aku menganggap isi/content filem ini tidaklah banyak memberi apa-apa impak kepada diri aku. Aku lebih terpesona dengan subjek kematian di dalam filem Talentime. Namun aku akui bahawa pengalaman sinematik sewaktu menonton filem Muallaf ini masih lagi sama seperti aku menonton filem-filemnya yang lepas. Dan aku sukakan dan akan rindukan gaya/style filem-filem beliau. Benar, seperti kata Wahab Hamzah, Yasmin adalah seorang auteur.


p/s- Aku mau mengulas filem ini dengan lebih kritis. Mungkin selepas aku mendapatkan DVDnya.

Isnin, 8 Februari 2010

Ajak Tonton - Muallaf


Di pelawa semua penggemar/peminat/pencinta/penagih filem menonton filem Muallaf yang akan ditayangkan di Studio Dupa Chendana, Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik, Uitm Kampus Puncak Perdana.

Bagi yang belum tonton filem ini, nah! kamu diberi peluang kedua oleh Tuhan untuk menontonnya di atas skrin lebar dan di dalam suasana panggung. Bagi yang dah tonton, boleh datang tonton lagi sebab selepas tayangan akan ada sesi soal jawab bersama Amir Muhammad, penulis buku Yasmin Ahmad's Films.

Mungkin akan dapat sesuatu (ilmu,pengetahuan,informasi-informasi rare) dari sesi soal jawab tersebut.

Hari : Rabu

Tawarikh : 10 Februari 2010

Tempat : Studio Dupa Chendana

Masuk adalah percuma. Early Bird dapat memilih kerusi/tempat yang strategik bagi tontonan yang lebih selesa.



P/s- Pihak penganjur sedia maklum akan kesukaran untuk sampai ke Puncak Perdana yang agak jin bertendang tempatnya. Segala maklumat awal mengenai laluan ke Puncak Perdana boleh ditanyakan di bahagian komen. Thanks.

Rabu, 3 Februari 2010

2 Hati 1 Jiwa - Dan ini review yang mengikut hati.


Inspirasi dari kisah kembar siam Iran yang maut sewaktu menjalani pembedahan (untuk memisahkan badan) di Singapura.

2 Hati 1 Jiwa. Filem terbaru dari Prof. Madya A. Razak Mohaideen. Mengisahkan tentang pasangan kembar yang bernama Lana ( Fauziah Ghouse) dan Lina ( Yasmin Hani) yang meningkat dewasa, keluar dari rumah, menempuhi kehidupan kolej, lalu dunia ini mula menunjukkan giginya dan kehidupan menjadi bertambah rumit, berkonfrontasi mengenai soal hati, cita-cita, emosi dan cinta.

Akhirnya mengambil keputusan untuk berpisah melalui pembedahan.

Filem ini di sebalik kisah kembar siam yang seharusnya menarik ( kembar siam! bunyinya menarik bukan?) malangnya menjadi sebuah so - so movie. Lakonan dangkal lagi tidak bermutu Fauziah Ghouse terlalu banyak menyumbang kepada kegagalan filem ini untuk menjadi lebih versatile terhadap penonton yang lebih cerdik. Maaf.

Terdapat satu babak yang akan menjadi legend dan akan selamanya menjadi satu contoh terbaik kepada para pelajar perfileman yang akan mengambil kelas pengarahan di Uitm.

Adalah babak seorang gadis/ rakan sekelas Lina/ lakona Irma yang diperkosa sewaktu di dalam perjalanan pulang.

Ini adalah babak yang boleh dijadikan contoh terbaik babak yang tidak signifikan dan tidak berfaedah serta tidak membantu kepada keseluruhan isi kandungan cerita. Babak wasted ini tergantung. Ape entah relevannya, minah ni kena rogol lepas tu?

(Dia rilek-rilek je datang ke kampus. Hahaha... ini komedi gelap ke apa?) Atau seperti yang dikatakan oleh seorang blogger filem ini ianya mungkin sebagai satu PSA. Mungkin? Atau babak ini diwujudkan semata-mata kerana sang sutradara mengetahui bahawa tempo filemnya sudah mendatar dan terpaksa memasukkan unsur-unsur suspen bagi mencengkam fokus penonton yang sudah mula menguap.

Dan ohh.., mengulas filem ini juga membuatkan aku mengantuk.

Terus kepada point. Filem ini happy ending. Nak tengok masih ada di tayangkan di panggung yang berdekatan. Sangat sesuai kepada mereka yang ada anak-anak bawah umur 12 tahun yang sudah pastinya akan tertarik dengan watak terencat Lana menyanyikan lagu Ikan Kekek di fakulti Muzik Uitm.

(Kasihan fakulti ini menjadi mangsa keadaan/ divisualkan di dalam filem ini sebagai fakulti yang menerima pelajar yang sangat kasihan i.qnya seperti watak Lana ini.)

end.