Isnin, 22 Februari 2010

Samson And Delilah (2009)



Filem Samson and Delilah (2009) ini telah memenangi anugerah Camera d'Or di Cannes untuk filem debut bagi Warwick Thorthorn. Mamat Warwick ini merupakan seorang Pengarah Fotografi ( D.O.P), dan pengarah bagi beberapa buah filem pendek sebelum menghasilkan filem feature sulungnya ini. Dia juga merupakan pengarah,penulis skrip,dam juga sinematografer bagi filem ini.

Merupakan sebuah drama romantik tentang percintaan dua anak muda aborigin Australia. Bagi yang menyangka filem ini ada kena mengena dengan kisah seorang hero yang gagah perkasa yang akhirnya mati disebabkan seorang perempuan yang dipetik dari Injil, yep...anda silap. Langsung tiada kena mengena. Ini bukan remake Samson and Delilah ( 1949) yang berdasarkan kisah dari kitab injil itu.

Filem ini adalah sebuah filem dengan ruh dan semangat neorealisma yang merakamkan keterasingan masyarakat asli Aborogin di Australia. Samson (Rowan McNamara) dan Delilah (Marissa Gobson) merupakan dua anak muda dari sebuah teritori terpencil masyarakat Aborigin. Teritori ini hanya mempunyai beberapa buah keluarga dengan kehidupan yang sangat minimal dan ringkas.

Adegan-adegan awal filem ini menunjukkan bahawa Samson dan Delilah terperangkap di dalam rutin (maha bosan!) yang sama. Samson akan bangun setiap pagi diiringi muzik band 3 piece Ska abangnya yang berlatih di hadapan rumah. Perkara pertama yang dilakukannya adalah dia menghidu cat (Samson adalah seorang Junkie Inhalan) kemudian akan ke luar rumah dan strumming/goreng gitar abangnya ala-ala rock star sebelum dihalau oleh abangnya kerana mengganggu. Adegan/ screen play yang seakan sama ini diulang dua kali. Ini adalah penegasan dari Warwick bahawa masyarakat Aborigin ini terperangkap di dalam situasi statik/tidak berubah.

Begitu juga halnya dengan Delilah dimana setiap pagi dia akan bangun tidur, mengejutkan neneknya untuk makan ubat, membawa neneknya ke pusat kesihatan,ke gereja dan kemudiannya akan menghasilkan beberapa kraftangan/catan tribal dan pada malamnya sebelum tidur dia akan mendengar muzik latin/flamenco di dalam keretanya. Aktiviti ini juga ditunjukkan kepada penonton sebanyak dua kali.

Elemen yang paling nyata di dalam filem ini adalah keterasingan. Keterasingan kehidupan Samson dengan ahli keluarganya ( abangnya). Keterasingan Samson bersama masyarakat di persekitarannya. Keterasingan Samson ini berpunca dari sikapnya yang tidak mahu berkomunikasi dengan orang lain (walaupun di adegan yang terkemudiannya telah menjelaskan sikap tidak bercakap ini bukan kerana Samson ini bisu tetapi dia gagap).

Samson adalah simbolik kepada kaum aborigin yang sememangnya 'terasing'/di'asingkan di negara mereka. Sikap tidak berkomunikasi Samson adalah menifestasi suara-suara Aborigin yang tidak didengari dan tertindas. Selain itu, keterasingan Samson di dalam masyarakat dan keluarganya sendiri adalah simbolik kepada jiwa anak muda yang memberontak dan mahukan perubahan di dalam kehidupannya.

Samson meminati muzik 'rock' (ini dapat dilihat dari dua adegan dia goreng gitar abangnya dengan muzik rock), muzik ini adalah lambang kepada jiwa anak muda yang mahukan kebebasan, juga lambang kemarahan dan pemberontakan. Abangnya pula adalah simbolik kepada identiti indigenous/black tipikal dengan meminati muzik ska ( walaupun muzik ini berasal dari campuran reggae Jamaica...so still black music right? still beridentitikan muzik kulit hitam kan?), muzik yang menunjukkan abangnya adalah seperti kebanyakan masyarakat aborigin di teritorinya yang selesa dan tidak mahukan perubahan.

Selain itu, Watak Samson yang ketagihan inhalan adalah satu lagi simbolik kepada elemen pengasingan dan keterasingan. Memilih untuk high juga adalah satu elemen peng'asingan di dalam filem ini. Ini kerana, Samson memilih untuk mengasingkan diri dari dunia real kepada dunia stimnya yang mengkhayalkan. Memilih untuk high adalah satu jalan bagi kebanyakan junkie yang bencikan dunia bitternya. Contoh paling relevan, penggunaan inhalan ini untuk melarikan diri dan melupakan kepahitan dan kesengsaraan perasaan Samson adalah apabila dia yang menyangkakan Delilah telah mati, tidak berhenti dari mengalihkan hidungnya dari botol petrol.

Aku juga melihat penggunaan petrol secara salah oleh Samson ini adalah salah satu bentuk sindiran sinis Warwick kepada pergantungan masyarakat terhadap bahan api tersebut.
Petrol digunakan sebagai bahan api kenderaan untuk menghidupkan kenderaan bagi membawa seseorang dari satu destinasi ke satu destinasi. Tetapi bagi Samson, petrol, selain dari membawa dirinya dari satu destinasi ke satu destinasi secara nyata atau real, ianya juga boleh membawanya dari dunia realitinya ke dunia khayalannya/highnya. Dan Samson lebih menghargai petrol bagi tujuan yang kedua tersebut. Ini dapat dilihat apabila Samson sanggup meninggalkan keretanya yang kehabisan minyak dan meneruskan advencernya bersama Delilah dengan berjalan kaki sedangkan dia masih mempunyai sebotol lagi petrol yang tidak mahu digunakannya sebagai bahan api kenderaan tersebut kerana dia mahu menggunkan petrol tersebut bagi tujuan highnya. Ini adalah kerana Samson tiada hala tuju dan tidak mempunyai apa-apa destinasi dalam hidupnya. Semua tempat di muka bumi ini adalah sama sahaja (tiada tempat untuk orang sepertinya). Oleh itu lebih baik dia high. Sekurang-kurangnya ia membawa Samson ke satu dunia yang lebih aman walaupun ainya tidak real. Siapa yang pernah hidu gam tahu akan perasan Samson ini hahaha.

Petrol juga adalah simbol kapitalisma. Simbol kemajuan dan teknologi. Tamadun dunia sekarang ini adalah berdasarkan bahan api yang ini. tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa petroleum adalah penggerak kepada dunia moden sekarang ini.Penggunaan petrol secara salah oleh Samson secara tidak langsung merupakan satu pernyataan bahawa Samson/aborigin bukan sahaja terpinggir dari kemajuan tamadun dunia malahan telah menjadi mangsa kemodenan dan kemajuan dunia. Petrol yang dihidu oleh Samson (bukan sahaja Samson wei, malahan sesiapa sahaja yang menghidu petrol atau gam, Belia Benci Dadah!) boleh menjahanamkan otak. Ini adalah simbolik dimana kemajuan dan kemodenan tamadun kapitalisma sedang memangsakan puak-puak indigenous bukan sahaja Aborigin malahan di serata dunia. Di Malaysia boleh lihat apa yang terjadi kepada kaum Penan.

Filem ini sangat menggunakan kekuatan visual. Sangat dipengaruhi neorealisme. Teknik kamera+editing yang minimalis yet sinematografinya sungguh cantik. Visual ala dokumentari, menonjolkan lanskap dan bentuk geografi di teritori aborigin, ini semangnya meminjam semangat Italian neorealisme dimana gaya visual dokumentari adalah salah satu ciri-ciri pentingnya.

Teknik kamera hand held yang digunakan di dalam filem ini turut memberi impak realisme. Warwick yang mempunyai pengalaman sebagai seorang d.o.p telah mengaplikasikan kemahiran simematografinya dengan menjadikan adegan-adegan (yang menggunakan) hand held ini supaya ianya memberi impak real kepada penonton. Falsafahnya mudah, hand held menjadikan visual yang dirakam seperti penglihatan mata manusia. Penglihatan manusia tidak statik. Oleh itu, viusal hand held yang sedikit bergoyang adalah lebih real dari visual yang statik di atas tripod.Namun, harus diingat, hand held yang Warwick lakukan ini disandarkan dengan kefahaman dan pengalaman serta pengetahuannya terhadap teknik ini. Dengan kata lain, Warwick tahu apa dia buat. Ini bukan sesuatu yang trendy dan konon rebellious yang ramai budak-budak Indie (termasuklah aku) cuba lakukan. Hasil hand held Warwick ini lembut, (tidak seperti Budak Kelantan,yang lebih shaking visualnya, walaupun Budak Kelantan sebenarnya sudah dikira o.k) ianya juga adalah konsisten dan memberi signifikan kepada form/bentuk filem ini secara keseluruhan (neorealisma itu tadi).

Satu perkara lagi yang menarik bagi filem ini adalah kaedah penceritaan Warwick yang disampaikan tanpa dialog (again! filem adalah visual!) atau secara tepatnya dengan menggunakan keadah dialog yang sangat minimal. Mood dan feel filem ini dihantar melalui mise-en-scene. (Segala apa yang ada di frame-set,lakonan,prop,pengcahayaan,kostum,) Tapi yang paling utama adalah dari lakonan tanpa dialog Rowan dan Marissa. Keduanya merupakan pelakon muda yang sangat superb. Mood,feeling dan emosi dihantar dari renungan mata, dan riak wajah.

So bagi penulis skrip di luar sana (peringatan ini untuk diri aku sendiri) menulis skrip adalah berdasarkan visual. Ini kerana penceritaan sesebuah filem haruslah dinyatakan secara visual. Visual adalah keistimewaan filem paling unggul. Bukan pada dialog. Kalau banyak sangat menggunakan dialog. Secara literal. Baik orang dengar drama radio.

Selain itu, sekali lagi, kerja kamera, iaitu shot-shot yang diambil iaitu secara sekuen ,durasi shot, level dan angle shot,serta size shot banyak membantu lakonan tanpa dialog menghantar emosi dalaman kepada penonton. Contohnya adalah long takes, Samson menyelubung diri dengan selimut keraan menyangka Delilah mati. Mood long takes ini memberi impak perasaan sedih Samson kepada penonton. Begitu juga sekuen shot, dimana shot yang diambil secara berterusan tanpa gangguan dari suntingan yang akan menjejaskan feel real diantara Samson dan Delilah. Begitu juga halnya dengan saiz shot. CU ( Close up) usah ceritalah digunakan dengan acap kalinya kerana dari CU inilah riak wajah yang menggambarkan perasaan watak dapat dirasai oleh penonton. ( ini dipanggil mise-en-shot/ betul atau tidak akan aku confirmkan hal ini)

Selain itu, Samson and Delilah ini juga merupakan satu kritikan sosial terhadap layanan dan nasib aborigin di Australia. Aborigin di Australia sinonim dengan penyanggak, perampok, pelacur dll. Kita dapat lihat, adegan dimana seorang Pengawal sentiasa mengikuti Samson apabila dia masuk ke pasar raya (ironinya Samson memang mahu mencuri). Kita juga dapat lihat bagaimana seorang kulit putih telah mengeksploitasi bakat nenek Delilah dengan membeli hasil krafnya dengan harga yang murah tetapi di adegan yang berikutnya Delilah ternampak hasil kraf neneknya yang berharga ribuan AUD. (Eksploitasi ekonomi terhadap indigenous people ini berlaku dimana-mana termasuklah di Malaysia ini. Orang Asli yang bertarung nyawa memanjat pokok petai untuk mendapatkan petai dibayar murah, dan kemudian pemborong menjualnya dengan harga yang gila berganda)Selain itu, layanan kasar terhadap Delilah ( aborigin amnya) juga dapat dilihat pada scene dia ingin menjual hasil krafnya tetapi tidak dilayan, sedangkan kedai tersebut sememangnya menjual hasil kraftangannya bersama neneknya. Begitu juga layanan dan prejudis segelintir (segelintir???) anglo Australia yang sentiasa memandang rendah dan hina akan kaum aborigin di mana terdapat satu adegan Delilah telah diserang secara seksual. Signifikan adegan ini adalah menunjukkan bahawa maruah kaum wanita aborigin adalah sangat rendah dan tiada harga pada pandangan kaum kulit putih yang segelintir itu.

Samson and Delilah ini bagi aku merupakan sebuah filem yang sangat berguna untuk ditonton. Lebih-lebih lagi kepada young filmaker di luar sana. Sebenarnya aku ingin menulis lebih panjang lagi tentang filem ini tetapi perkara-perkara utama yang aku suka di dalam filem ini telah aku nyatakan di atas. Apa kata korang yang telah menonton filem ini berkongsi pendapat tentang filem ini. Mungkin ada elemen-elemen lain yang korang suka yang tidak aku nyatakan di atas boleh korang kongsikan. Tidak salah bukan. Ayat paling halus untuk menghidupkan budaya filem. haha.

p/s- Oh aku langsung tidak masukkan sinopsis. Hah, sinopsis? apa barang beb...cari je la DVD dan tonton terus.





Tiada ulasan: