Isnin, 31 Ogos 2009

Orphan - There's Something Wrong With Esther





"Apa yang tidak kena dengan Esther?"

Dan selepas aku menonton filem Orphan arahan Jaume Collet Sera, malam merdeka tadi, Memang terlalu banyak yang tidak kena dengan Esther (Isabelle Furhman), si anak yatim perempuan berumur 9 tahun, yang dasarnya kelihatan begitu manis, bijak dan menawan ini. Sehinggakan budak perempuan ini bagi aku sangat 'layak' untuk bergurau senda dan bertepuk tampar dengan si Daniel ( The Omen).

Filem Orphan ini boleh digolongkan di dalam filem-filem evil child seakan The Omen, atau terbaru The Unborn, cumanya, budak perempuan ini bukan syaitan dan tidak juga ada kuasa-kuasa paranormal melainkan kehadirannya bakal mengundang siri-siri malang yang berlanjutan.

Esther, si anak kecil, dari Russia ini telalu menawan, terlalu bijak berkata-kata, terlalu berbakat, dan kelihatan sebagai seorang budak perempuan yang sangat sempurna. Kesempurnaan ini awal-awal lagi sudah cukup 'menyeramkan'. Namun bagi pasangan Coleman, Kate dan John, budak perempuan ini seorang kanak-kanak perempuan yang sangat sesuai dijadikan pengganti kepada bayi mereka yang telah mati. Pasangan yang sedang cuba melupakan 'trauma' kerana kehilangan bayi mereka akibat tabiat alkoholik Kate,

Terpesona dengan kharisma Esther, Kate dan John langsung mengambilnya menjadi ahli keluarga baru mereka tanpa mengetahui bahawa mereka sedang membawa malapetaka ke dalam rumah mereka.

Tidak perlu masa yang lama untuk Kate, mula mengesyaki adanya sesuatu yang tidak kena pada anak angkatnya itu. Keanehannya cara berpakaiannya yang seakan Little Bo-Peep itu, kemampuan memainkan Tchaikovsky, kemalangan yang menimpa teman sekelasnya dan juga penggunaan F words dan pengetahuan seksnya.

Kate secara perlahan menyedari Esther bukan budak perempuan normal!

Namun, seperti kebiasaan di dalam filem-filem horor dan thriller, si hero (atau di dalam filem ini si heroin kerana watak Kate lebih dominan), akan membiarkan Kate berseorangan menentang dunia. Tiada sesiapa yang mempercayainya, apatah lagi rekodnya sebagai seorang alkoholik dan memerlukan kaunseling. Suaminya John, memaparkan sikap primitif kaum lelaki/bapa yang bersikap 'pasif' dan acuh tak acuh terhadap dakwaan-dakwaan negatif yang ditujukan kepada si anak perempuan yang menawan. Begitu juga kaunselornya yang sememangnya bersikap 'skeptikal' terhadap Kate. Oh Tuhan, kenapalah sampai begitu buta orang-orang di sekeliling Kate ini?

Esther pula, seperti jelmaan Hannibal Lecter versi kanak-kanak, sangat bijak memanipulasi dan melakukan provokasi. Kata-katanya sahaja sudah cukup menyakitkan hati. Perlakuan-perlakuan provokasinya terhadap Kate ternyata memberi keuntungan terhadap dirinya. Esther tidak teragak-agak menzalimi dirinya sendiri untuk tujuan mengenakan Kate.

Paling menarik tentang filem ini adalah penonton awal-awal lagi sudah mempunyai pengetahuan bahawa Esther adalah antagonis yang merbahaya, namun di sebalik pengetahuan dan kesediaan penonton untuk menerima Esther yang comel ini sebagai seekor 'monster', penonton masih lagi akan terkejut dan terpegun kerana tahap 'sadis' dan 'psikotik' budak ini sangat-sangat tidak diterima akal. Tangan comelnya tidak akan teragak-agak mengetuk lumat kepala mangsanya menggunakan tukul kuku kambing!!!

Aku bukan penggemar horor tetapi secara peribadi aku menganggap filem Orphan ini di antara filem horor/Thriller/ evil child yang sangat mengesankan. Esther bukan hantu, juga bukan syaitan, tetapi ada sesuatu yang tidak kena pada budak ini yang akan mengganggu hidup kamu!!

Rabu, 19 Ogos 2009

Dsitrict 9


District 9. Arahan Neill Blomkamp.

Apakah yang akan berlaku sekiranya bumi bekas pengamal 'apartheid', Johannesburg, Afrika Selatan, dibanjiri oleh makhluk asing? Jawapannya mudah, ' Konfrontasi' interspesis akan berlaku. Sedangkan diantara manusia dengan manusia yang sama spesisnya pun berbalah, inikan pula 'alien'?.

Natijahnya, ribuan (atau mungkin jutaan) makhluk asing yang diberi jolokan 'udang' yang terkandas di langit Johannesburgh telah diisolasikan di sebuah kawasan 'restricted' yang digelar District 9. Namun selepas 2 dekad. Populasi makhluk asing semakin bertambah, pembangunan infrastruktur di kawasan Distict 9 turut berlaku iaitu dari khemah sementara kepada rumahy-rumah daif binaannya. Konfrontasi diantara manusia dengan makhluk asing semakin memuncak akibat perbezaan nilai hidup. Kemuncaknya, kerajaan mengarahkan warga District 9 berpindah ke sebuah kawasan baru yang lebih terpencil yang dinamakan District 10.

tugas pemindahan ini di jalankan oleh MNU, sebuah badan korporat yang memperoleh kontrak menyelia kawasan makhluk asing tersebut, termasuk hak penyiaran eksklusif dan apa sahaja yang berkaitan dengan District 9.

Si Hero, Wikus Van De Merwe, telah diberikan tugas mengetuai projek pemindahan MNU. Dia, berpewatakn bendul dan bodoh alang, menjalankan tanggung jawabnya dengan baik namun kurang kemanusiaan, sikapnya anti hero. Tidak banyak 'kasihan' yang ditunjukkan kepada makhluk asing yang terdesak dan keliru itu. Satu adegan dia membakar telur makhluk aisng tersebut merupakan satu perbuatan yang sangat 'anti' hero. Namun segalanya berubah apabila, Wikus dengan secara tidak sengaja terkena sejenis cecair ke wajahnya.

Cecair itu, telah mengubah nasib si hero Wikus secara menggerikan. Berlaku twist!!!

***

District 9 adalah sebuah filem parodi dan satira tentang kemanusiaan. Humor di dalamnya berunsur 'dark'. District 9 adalah sebuah sci-fi yang sosiolojikal. Menyentuh keseluruhan sistem perhubungan manusia dengan manusia.

Isu korup nepotisme, seks, dan eksploitasi media di dalam filem ini , disentuh secara 'organik'. Wikus mendapat peluang untuk memimpin projek pemindahan tersebut adalah kerana bapa mertuanya, si empunya MNU. Secara warasnya, si bendul seperti Wikus tidak mungkin akan memegang tugas penting dalam projek yang 'berat' ini. Dan apabila Wikus melepaskan diri dari menjadi mangasa eksperimen kerajaan. Media telah digunakan oleh kerajaan untuk memburukkan Wikus, dan senjatan yang digunakan adalah 'seks'!. Ehem!!! Seks!!!
Wikus dituduh bersenggama dengan 'alien'! Sangat keji, tuduhan itu. Sinis menempelak sesiapa sahaja, baik individu atau manusia-manusia konspirator yang menggunakan taktik kotor tetapi 'ampuh' sebegini bagi menjatuhkan air muka dan keperibadian seseorang.

Makhluk asing pula satira kelompok imigran, Punya nilai dan cara hidup berbeza yang tidak diterima penduduk setempat lalu jalan mudah untuk menangani masalah tersebut adalah dengan taktik pengasingan. Imigran juga cenderung dilihat sebagai satu kelompok jijik dan hina.

Ironinya, di dalam filem ini. Si Makhluk asing benar-benar ditunjukkan sebagai kelompok spesis yang sangat celaka sifatnya. Tetapi sekiranya difikirkan kembali, spesis tersebut bukan manusia. Nilai hidup pasti tidak sama.

***

Filem District 9 ini merupakan sebuah filem lo bajet sekiranya mengikut standard Hollywood. Namun CGInya sangat mengkagumkan. Gaya visualnya kelihatan gerila, Adunan dokumentari, broadcast dan drama. Aku kagum melihat Neill mampu untuk mengadun perbezaan gaya visual ini iaitu diantara stail dokumentari, liputan media broadcast serta klasik drama ke dalam satu bentuk. Ianya sangat 'cool', dan grungy.

***

Aku serius mencadangkan kamu menonton filem ini. serius.....