Selasa, 21 Oktober 2008

BUDAK KELANTAN


Hari aku berpeluang menonton pra-tonton filem Budak Kelantan arahan pengarah baru Wan Azli di Cineleisure, Damansara.

Akhirnya!!! setelah hampir setahun menulis blog tentang filem-filem Melayu kami (Aku dan Ikha) akhirnya mendapat jemputan pratonton kami yang pertama. Terima Kasih kepada Mr Ajami yang mempelawa kami ke sana.

Sebelum menonton filem ini, aku sudah tertarik dengan poster Budak Kelantan semenjak kali pertama aku ternampak poster filem tersebut di GSC OneUtama. Poster tersebut walaupun sangat dibenci oleh pengarahnya, namun sangat-sangat 'keras' dan 'lantang' menjerit idea tajuk filem tersebut iaitu BUDAK KELANTAN. Yang paling signifikan, adalah logo bendera Kelantan di poster tersebut.

Filem ini pada awalnya adalah berjudul ' Koya Best' namun disebabkan faktor-faktor yang mungkin dirasakan lebih memberi nilai komersil telah ditukar kepada Budak Kelantan di saat-saat akhir.

Aku secara peribadi, yang mempunyai darah Kelantan di sebelah ibu sangat-sangat teruja untuk menonton filem ini sebaik sahaja ternampak poster filem ini. Selain itu, dengan hanya melihat tajuknya, yang sangat berterus-terang itu, aku secara automatis dapat mengagak apakah cerita yang hendak dipersembahkan. Ini kerana aku yang juga seperti pengarahnya, pernah bergelumang-hidup-mati dengan anak-anak muda Kelantan ( lebih tepat lagi sepupu-sepupu belah ibu aku) yang nakal di KL ini , sangat-sangat mengenali karekter dan sifat-safat mereka. Dan, segala jangkaan aku itu tidak silap sebaik sahaja aku menonton filem ini.

Baik mulakan review.

Sinopsis:

Filem ini mengisahkan tentang dua orang anak muda Kelantan yang menetap di KL iaitu Buchek ( Danny X-Factor) dan Jaha (Mohd Asrul Faizal). Mereka berdua adalah rakan semasa kecil dan setelah berbelas tahun tidak berjumpa akhirnya bertemu di Ibu kota (KL).

Buchek sangat berbeza dengan Jaha kerana dia merupakan graduan Universiti manakala Jaha pula berhijrah ke KL selepas tamat persekolahnya di Sekolah Henry Gurney. Perwatakan mereka berdua juga amat jauh berbeza iaitu Buchek berpewatakan Mat Belia manakala Jaha pula sangat-sangat 'gedebe'.

Buchek berminat untuk mengetahui kehidupan Jaha yang sangat bertentangan dengan gaya hidupnya dan akhirnya mendapati kehidupan rakannya itu sangat-sangat 'liar' dan di luar batasan (sila tonton filem ini untuk mengetahui betapa buruk perangainya Jaha). Perangai Jaha ini berkali-kali disindir sebagai 'Amerika' ( Amerika??? tersangatlah subteks ) oleh kawan-kawannya. Ini mendorong Buchek untuk membantu Jaha kembali ke pangkal jalan.

Peluang Buchek untuk membawa Jaha kembali ke sifat 'manusia' yang normal muncul apabila Jaha telah jatuh hati pada teman wanitanya. Buchek merasakan dengan membiarkan 'cinta' wujud subur di dalam hati Jaha merupakan satu-satunya cara membolehkan Jaha bersifat lebih 'manusia' dan seterusnya mengubah Jaha menjadi insan yang lebih 'Hadhari' (ehem..haha). Buchek percaya hanya cinta yang mampu menyelamatkan Jaha. Untuk tujuan ini, Buchek sanggup melakukan satu pengorbanan besar dengan melepaskan kekasihnya kepada Jaha.

Seterusny...opss...aku tidak mahu sinopsis ini mejadi spoiler terhadap filem ini oleh itu, jika anda mahu tahu apa yang berlaku kesudahannya silalah tonton filem Budak Kelantan ini.

***

Secara peribadi filem Budak Kelantan ini bagi aku mencukupi syarat untuk dilabelkan sebagai sebuah filem yang bagus dan menarik ini kerana ianya mempunyai elemen-elemen tersebut.

Menghiburkan- bravo!
Ada sesuatu yang hendak diperkatakan- bravo!
mempunyai identiti sesebuah masyarakat- bravo!

Walaupun mutu dan kualiti warna filem ini agak kurreng (atau berkali-kali disebut sebagai Raw..raw...raw beb...) tetapi bagi sesebuah filem yang mengenengahkan sesuatu isu yang disturb, yang kotor dan jauh dari moral seperti filem Budak Kelantan ini ianya merupakan sesuatu yang sangat-sangat signifikan. Raw ini menjadi satu konsep. ok, boleh diterima.

Filem Budak Kelantan ini juga, yang diakui sendiri oleh wan Azli, merupakan filem yang beraliran Italian neorealism dimana elemen-elemen realistik lebih diutamakan dari elemen-elemen yang bersifat teknikal. Oleh itu dosa-dosa kualiti warna filem yang raw itu tadi harus diampunkan.

Yang sangat-sangat dipuji di dalam filem ini ialah karekter Budak Kelantan yang divisualkan di dalam filem ini amat 'real'. Wan Azli pernah hidup bersama golongan ini, aku juga pernah hidup bersama golongan che awe donde gedebe seperti ini. Aku tahu apa yang mereka buat. Aku tahu bagaimana mereka bercakap,berlawak, selera fesyen ( levi's ori), berjahat, berkacik, bergeh(layan ubat batuk), aku juga tahu sangat perangai gedebe mereka, dan ini semuanya dimuntahkan kembali ke dalam bentuk visual oleh Wan Azli dengan sangat-sangat 'real'. Seperti menonton 'dejavu'. Pengalaman hidup 2 tahun dengan mereka kembali bermain-main dalam kotak memori aku.

Kredit juga harus diberikan kepada Mohd Asrul Faizal yang berjaya membawa watak Jaha dengan amat berkesan -gedebe nok mapuh, jahat macam sial. Aku yang menonton rasa seperti mahu menikam mati si nate gilo Jaha ini. Dah lama tidak nampak pelakon melayu sejahat ini. encore! untuk Mohd Asrulfaizal.

Filem ini tidak mempunyai mala fide terhadap budak-budak Kelantan atau orang-orang Kelantan khasnya. Perangai buruk yang dilakukan oleh budak-budak Kelantan di dalam filem ini juga dilakukan oleh budak Perak, Budak Selangor, Budak Perlis namun signifikan budak Kelantan ini di visualkan merupakan satu perkongsian pengalaman hidup yang jujur oleh pengarah kepada penonton.

Jaha membawa watak jahat gedebe Budak Kelantan manakala Buchek membawa watak baik budak Kelantan yang bijak, lepasan Universiti dan sangat taat kepada agama. Watak Jaha dan watak Buchek ini juga terdapat pada manusia-manusia lain, oleh itu tiada apa masalah dan bagi budok,abe,kakok,pokcik,mokcik,tue',pue' dari kelate usohla raso ter'insult dengan filem ini.

***

Naratif ini terdapat beberapa 'layer' dan secara Explicitnya filem ini mengisahkan tentang perbezaan perwatakan anak-anak Kelantan iaitu Buchek mewakili golongan terpelajar dan Jaha mewakili golongan perantau kelas perkerja, dari Kelantan ke Kuala Lumpur. Dimana Kelantan dan Kuala Lumpur menjadi satu transisi kehidupan.

Selain itu filem ini juga boleh dilihat dari symptomatic dimana perbezaan latarbelakang kehidupan, menjadikan individu-individu itu berbeza walaupun berasal dari tempat yang sama. Buchek yang latarbelakang hidupnya yang lancar dan normal, berjaya dalam pelajaran, berbeza dari kehidupan Jaha yang 'gelap' dan bermasalah. Akhirnya latarbelakang kehidupan ini membentuk dua individu ini menjad berbeza.

Wan Azli juga cuba mencapaikan mesej 'cinta' dan kasih sesama makhluk di dalam filem ini. Buchek tidak pernah bertindak untuk menghukum Jaha, atau membenci Jaha, walaupun Jaha berperangai seperti syaitan dan pernah bertindak kasar terhadapnya. Pengarah, melalui watak Buchek, cuba menyampaikan mesej bahawa membantu dan membimbing seseorang yang tersesat dari jalan itu adalah lebih mulia dari bertindak menghukum orang tersebut. Manusia tidak sempurna. Oleh itu sikap Hollier than thou harus dibuang jauh-jauh.

Sehingga ke akhiran cerita, hukum karma yang menimpa Jaha tidak melalui manusia. Tuhan yang membalasnya. Di sini hanya tuhan yang boleh menghukum hambanya. Bukan manusia kepada manusia lain.

***

Filem Budak Kelantan, di sebalik tajuk yang sangat 'lantang' ini, merupakan sebuah filem yang agak bagus. Sesiapa yang berasal dari Kelantan harus tengok dan aku pasti kamu akan bersetuju dengan paparan-paparan pengarah terhadap pandangannya terhadap Budak Kelantan. bagi mereka yang dari negeri-negeri lain, juga amat di alu-alukan menonton kerana filem ini lebih dari sekadar 'loghat kelantan'. Ianya merupakan satu paparan kehidupan.

End.

Jumaat, 17 Oktober 2008

Filem Punggok Rindukan Bulan


Sebenarnya aku telah menonton filem Punggok Rindukan Bulan ini 2 minggu yang lalu di GSC One Utama. Tiket filem ini telah diberikan secara percuma oleh Pak Hassan Muthalib. Sebenarnya kalau tidak mendapat tiket percuma pun aku dan Ikha memang bercadang hendak menonton filem ini. Tetapi bila dah ada yang hendak memberikannya secara percuma, kami sebagai pelajar yang sememangnya sentiasa kekurangan ongkos menerimanya dengan senang hati.

Selain mendapat tiket percuma, perkara menarik yang lain adalah hanya aku dan Ikha sahaja yang menonton di dalam panggung. Haha. sungguh romantis.( dan rupanya agak tidak best sebenarnya menonton di panggung yang kosong.)

Sebelum kami menonton filem ini aku telah sedia maklum bahawa filem ini merupakan sebuah filem Indie dari seorang pengarah muda yang bernama Azharr Rudin. Oleh itu aku sudah membuat persediaan mental untuk menghadam segala rupa bentuk visual yang akan dipertontonkan kepada kami.

Dan sebaik sahaja filem bermula apa yang dipaparkan adalah lebih jauh dari apa yang di jangka. Sesuatu yang tidak dijangka. Oleh kerana itu, aku terpaksa menunggu lebih kurang 2 minggu untuk mengulas tentang filem ini. Sebenarnya, aku ada cuba bersembang mengenai filem ini dengan pensyarah aku iaitu Norman yussof, tetapi tidak berkesempatan sehingga kini.

Oleh kerana itu, aku memberanikan diri untuk mengulas tentang filem ini mengikut fahaman aku. Oleh itu, segala ulasan aku tentang filem Punggok Rindukan Bulan ini merupakan ulasan terhad dan naif aku tentang filem tersebut. Aku rasa majoriti penonton di Malaysia ini juga akan sependapat dengan aku.

Sekiranya ditanya adakah filem ini menghiburkan jawapannya = Tidak.

Sekiranya ditanya tentang adakah filem ini mempunyai sesuatu yang hendak diperkatakan jawapannya = Ya.

Dan sekiranya ditanya adakah filem ini mempunyai identiti jawapannya = Ya.

Filem Punggok Rindukan Bulan ini mengisahkan tentang seorang budak lelaki yang rindukan emaknya. Ya, Dialah punggok di dalam cerita ini. Nama dia Sidi. Filem ini membawa kita merasai kekosongan hidup Sidi setelah secara tiba-tiba ditinggalkan oleh ibunya.

Sidi kemudiannya menghabiskan masanya dengan tidur, bermain skate dengan rakannya, mengintai anak gadis sunti orang, Menonton filem porno ayahnya, (fasa menonton porno ini amat rapat dengan jiwa remaja) tidur lagi, main video game dan pergi lambat ke sekolah.Dan makan.

Kekosongan hidup Sidi itu cuba di isi oleh ayahnya , Adman dengan aktiviti memancing. Satu aktiviti yang tidak berjaya menjadi hobi kepada Sidi. Sidi mula berani curi-curi bermain skate, membuat kurang ajar iaitu meludah terhadap seorang pak cik ( yang juga kurang ajar) dan akhirnya setelah segala kebosanan tentang hidup Sidi yang turut dirasa oleh penonton yang juga terasa bosan berakhir dengan amukan Adman dan tangisan Sidi.

Filem tamat secara mengejut selepas footage flat rumah Sidi (flat Bukit Chagar) dirobohkan oleh Jentolak. Ops...mana klimaksnya???

atau mungkin aku sahaja yang tidak terasa klimak???

Ok, kita pergi ke perkara-perkara yang lebih mikro.

Terdapat satu adegan dimana Sidi di biarkan memancing bersendirian di dalam gelap oleh ayahnya yang mahu mencari umpan. Sidi yang kebosanan mula berjalan tanpa arah di dalam gelap dengan menggunakan lampu suluh. adegan ini sangat gelap, aku tidak faham kenapa adegan ini begitu gelap seolah-olah Azharr Rudin tidak menggunakan lampu selain dari lampu suluh tersebut. Mungkin (mungkin disini boleh dibaca sebagai alasan kesalahan teknikal atau memang ianya bermaksud mungkin...haha) mahu penonton merasai kegelapan dan kesunyian hati Sidi???? Tetapi come on, Azharr Rudin...janganlah seteruk itu. Sidi terjumpa lopak air (atau anak sungai??? aku tak tau sebab gelap)... kemudian berpatah kembali dan membaling lampu suluhnya ke dalam unggun api. Dan ini mungkin simbolik Sidi kehilangan penyuluh hidupnya iaitu emaknya???

Aku mengetahui filem ini merupakan sebuah filem Indie tetapi adakah ini menghalalkan segala kehodohan kerja kamera di dalam filem ini??? Terdapat satu shot panning kiri ke kanan yang sangat ketara 'jerk'... juga kerja kamera secara handheld yang nampak tidak kena.

Adakah kerja kamera yang hanyai barai itu merupakan satu gaya atau satu falsafah yang so-called Indie atau satu kesilapan? Yang pasti ia sangat hodoh.

Terdapa satu 'layer' yang tersembunyi tentang hubungan Malaysia dan Singapura di dalam filem ini. Perkara ini amat jelas terdengar secara dietgetic melalui peti TV sewaktu Sidi makan, dan juga melalui dialog Sidi dengan Adman dan Adman dengan rakan sepemancingannya yang berasal dari Singapura iaitu Panjang dan Pendek.(ye ke pun nama watak ni?)

Secara kasarnya aku rasa Azharr Rudin cuba menunjukkan perasaan ramai rakyat Malaysia yang sentiasa mengingati negara Republik itu sebagai sebahagian dari negara Malaysia ini. Namun rasa nostalgic rakyat Malaysia itu ibarat 'Punggok Rindukan Bulan' apabila Singapura yang sudah berpisah dari Malaysia tidak mungkin akan bersatu kembali.

Ya seperti kata Adman, " Singapura itu nampak dekat, tetapi sebenarnya jauh".

Juga terdapat satu adegan di mana Adman mengamuk terhadap rakannya iaitu Panjang dan Pendek yang merupakan warga Singapura yang meminjam keretanya tetapi tidak bertanggunjawab serta membuat acuh tak acuh terhadap kerosakan kereta tersebut.

Penggunaan keris, simbol Melayu, dalam amukan terhadap warga Singapura itu seperti satu amaran terhadap Negara republik itu terhadap isu-isu sensitif yang sentiasa dipandang ringan oleh republik tersebut. Namun, ini sekadar andaian aku mengikut pemahaman aku.

Walaupun secara keseluruhannya aku tidak berpuas hati dengan filem ini, tetapi aku teringin untuk menonton versi festival filem ini. Khabarnya filem Punggok Rindukan Bulan ini mempunyai 2 versi yang mungkin juga merupakan director's cut.

Mungkin di dalam versi festival tersebut terkandung semua elemen-elemen yang hilang yang membuatkan aku keliru dan hilang arah sewaktu menonton filem Punggok Rindukan Bulan ini.

apapun tahniah kepada Azharr Rudin atas cubaan pertama beliau sekurang-kurangnya dia agresif untuk menghasilkan sesuatu.

Jumaat, 10 Oktober 2008

RASUKAN ABLASA.

Semalam aku telah menonton filem yang aku tunggu-tunggu semenjak 2 tahun lepas iaitu filem RASUKAN ABLASA arahan pengarah paling prolifik tanah air iaitu A. Razak Mohaideen..

Kenapa aku tunggu-tunggu? Jawapannya adalah kerana aku turut menyumbang tenaga di dalam pembikinan filem ini sewaktu aku praktikal kira-kira 2 tahun yang lepas. Filem ini juga merupakan pengalaman pertama aku berkerja di dalam sesebuah produksi filem dan sedikit sebanyak aku mendapat pelbagai pengalaman dan pengetahuan tentang selok-belok perjalanan sewaktu penggambaran.

Ya, bekerja di LineClear walaupun seperti anjing di bawah slogan ' Berat sama dipikul dan ringan sama dijinjing' yang secara teorikalnya telah menjadikan job fucntion itu hanya ilusi ( kalaulah runner dan FnB turut mengibas asap di dalam semak, job fucntion apa kejadahnya...) namun ianya memberi pendedahan awal yang amat berguna kepada aku dalam dunia perfileman.

Filem Rasukan Ablasa ini merupakan sebuah filem di bawah genre seram. Filem ini pada awalnya hanya berjudul Ablasa yang mengikut kata Prof dan Azhari Zain bermaksud 'The Broken Spirit' atau juga 'The root of evil' namun ditambahkan perkataan rasukan di hadapannya supaya tajuknya lebih dekat dengan idea filem iaitu yang mempunyai unsur-unsur 'kerasukan'.

Filem ini telah mengetengahkan bakat-bakat baru iaitu Gambit, Almi Nadia, Hafiz, Fauziah Ghouse dan beberapa orang yang lain yang pada waktu itu merupakan pelakon-pelakon di bawah pengurusan LineClear itu sendiri (kecuali Gambit).

Apabila menyebut pelakon baru, sudah pastilah penonton tidak perlu untuk menaruh harapan yang tinggi terhadap mutu lakonan mereka. Apapun usaha LineClear untuk mengetengahkan bakat-bakat baru haruslah dipuji kerana selain berusaha melatih bakat-bakat yang...ehem..baru... sudah pastilah kos pembikinan filem ini juga turut...ehem..(hahahhaa).

Baiklah mulakan review.

Filem ini bermula dengan prolog seorang penyembah syaitan bernama Omar yang tinggal di Bukit Gemuruh telah membunuh isterinya yang sedang berlaku curang bersama seorang lelaki. Sebelum Melati dibunuh, Melati sempat memberitahu penonton bahawa suaminya ( Omar) adalah seorang penyembah Iblis. Dari setting, prop dan kostum penonton dapat mengagak bahawa masa tragedi itu berlaku adalah puluhan tahun yang lampau. ( non-diegetic teks turut memberitahu penonton bahawa ianya berlaku pada tahun 1957)

Kemudian naratif diteruskan secara non-linear iaitu Ashraf ( Gambit) sedang ditemuramah oleh seorang wartawan atas kejayaannya di dalam pertandingan muzik 'Voice Of Nature' namun Gambit yang kelihatan tidak berminat dengan kejayaannya itu memberitahu bahawa keputusannya menyertai pertandingan tersebut adalah permulaan tragedi ngeri dan malapetaka yang menimpa rakan-rakannya.

Ashraff kemudiannya bertukar menjadi agresif dengan menghempas perakam suara milik wartawan tersebut sebaik sahaja wartawan tersebut terus mengajukan pertanyaan demi pertanyaan tentang bunyi yang telah dihasilkannya

Kerana reaksi agresif Ashraf terhadap pertanyaan wartawan tersebut akhirnya bermulalah siri imbas kembali (flash back ) terhadap apa yang berlaku terhadap kawan-kawannya dan bagaimana mereka boleh dikurung di wad gila.

Secara peribadi, aku merasa agak kecewa dengan filem ini. Perasaan ini mungkin adalah kerana aku yang menjadi salah satu tenaga produksi di peringkat pencacai paling hina yang berkerja separuh mati tidak menyangka final product filem ini sehodoh ini.

Filem yang seharusnya seram ini langsung tidak seram. Hantunya, seperti kata Ikha kelihatan kelakar dengan effect 'glow in the dark' berwarna hijau. Tak ubah seperti kostum halloween. Ditambah dengan mutu lakonan yang...urghh..lebih-lebih lagi lakonan Hafiz yang macam gampang berdialog sambil terjerit-jerit dan memekik.

Tidak keterlaluan untuk menyamakan filem ini dengan filem Mistik yang juga diarahkan oleh Prof dahulu. Elemen ngerinya adalah terpekik dan terlolong tanpa hujung pangkal. Bunyi pekikan dan terjerit-jerit ini mematikan rasa seram terhadap visual di layar perak. Entah kenapa Prof masih lagi menggunakan gaya lakonlayar sebegini.???

Selain itu, efek bunyi 'growl' seperti (suara Danny Filth vokalis band metal 'Cradle Of The Filth ')yang akan kedengaran pada babak-babak hantu akan muncul turut mengganggu mood seram di samping bunyi yang dikeluarkan dari tulang bertanduk Ablasa yang tidak ubah seperti bunyi 'techno' atau 'rave' gagal membangkitkan rasa seram. Tiada bunyi lainkah?

Aku dengan berani mengatakan efek bunyi di dalam filem ini merupakan dosa terbesar yang dilakukan terhadap filem ini.

Begitu juga halnya dengan efek suara seorang watak yang 'kerasukan'. Majoriti penonton di sebelah aku ketawa terkekek-kekek mendengar suara tersebut. Bukan sahaja mereka malahan aku turut tergelak mendengar suara garau 'kerasukan' itu yang mirip suara lelaki perancis bercakap Melayu dengan suara garau. Sungguh ni...aku tak tipu...sangat kelakar!!!

Secara peribadi aku berpendapat filem-filem seram tidak perlu dipenuhi dengan pekikan dan jeritan. Kadangkala sunyi dan sepi itu lebih seram dari suara jeritan ketakutan.

Filem ini berkesudahan dengan munculnya seorang lelaki tua yang hodoh serta misterius secara tiba-tiba yang menawarkan diri membantu Ashraf. ( watak lelaki tua yang misterius adalah amat sinonim dalam filem-filem seram tempatan, kenapa ya???? mereka ada di dalam filem mistik (arwah Ismail Din), juga di dalam filem Congkak(M.Rajoli)) Watak lelaki tua ini sangat kabur dimana datangnya, tetapi sekiranya dilihat dari skrip watak lelaki tua ini sebenarnya adalah budak yang terlibat di dalam kejadian pembakaran rumah Omar yang menyembah syaitan.

Lelaki tua ini telah menjalankan satu ritual untuk menanam kembali ablasa di dalam muka bumi dan akhirnya dia berjaya sekaligus memulihkan kawan-kawan Ashraf dari penyakit gila masing-masing.

filem ini berakhir dengan pengakhiran klise dan stereotaip di mana pengarah akan memberi ruang untuk sekuel filem iaitu ancaman Ablasa ini tidak tamat disitu apabila rakan sekerja Ashraf menjumpai cd yang mengandungi bunyi 'Ablasa' tersebut yang terjatuh sewaktu Ashraf cuba membuang cd-cd tersebut.

konklusinya, filem rasukan Ablasa ini merupakan filem-filem seram stereotaip Pro. Madya Razak Mohaideen. Sekiranya anda meminati filem-filem Prof. seperti filem Mistik, anda mungkin masih lagi boleh terhibur dengan filem ini. Tetapi sekiranya anda mahukan filem-filem seram yang sama tarafnya dengan filem-filem Jepun dan Korea, mungkin anda harus rendahkan sedikit citarasa anda.

Khamis, 9 Oktober 2008

KAMI


KAMI merupakan filem yang mengisahkan tentang kehidupan anak-anak muda yang komplikated. Yang bercelaru dan yang rumit.

Kehidupan anak-anak muda di dalam filem ini merupakan refleksi kehidupan di urban area di mana nilai-nilai moral seringkali bertembung dengan desakan-desakan ekonomi dan seterusnya mewujudkan suasana perhubungan sosial yang rumit. Anak-anak muda yang kekacauan dan terganggu ini kemudiannya akan mencari ruang escapism dan yang paling dekat dengan jiwa mereka adalah muzik.

Oleh kerana itu, filem ini turut mengangkat scene muzik Indie yang amat signifikan dengan falsafah kebebasan dan ruang escapism yang amat di dambakan oleh mereka (golongan anak-anak muda) ini.

Filem KAMI ini merupakan kesinambungan dari siri TV KAMI yang ditayangkan di 8tv kira-kira setahun yang lalu dan kemudianya menjadi satu fenomena di Malaysia di mana semakin ramai anak-anak muda meminati muzik Indie yang menjadi nadi utama siri TV tersebut.

Buktinya, band-band Indie seperti Meet Uncle Hussein, Bittersweet, Hujan dan They Will Kill Us All yang selama ini bergerak secara underground telah dapat diterima ramai dan telah mendapat perhatian dan apresiasi yang sewajarnya.

Ok, mulakan review.

Filem KAMI ini adalah filem kesinambungan dari siri TV KAMI dan ini bermakna kepada penonton yang belum menonton siri TV filem ini pastinya akan sedikit tertanya-tanya pada permulaan awal filem. Ini kerana terdapat banyak perkara penting mengenai watak yang tidak mereka fahami. Soalan-soalan tersebut adalah seperti kenapa Abu dimasukkan ke sekolah pemulihan, Kenapa gambar Ali dan Sofie di jadikan sebagai screensaver di telefon bimbit Sofie, kenapa Boy mengganggu Lynn, Kenapa ibu bapa Ali bercerai dan kenapa Adii ternanti-nanti Vanilla Ice serta etc...etc...

Ya jawapan kesemuanya ada di dalam siri TV KAMI. Walaupun persoalan-persoalan itu akan terjawab di akhiran cerita namun impaknya tidak cukup kuat. Oleh itu saranan aku, sebelum anda pergi menonton filem ini, adalah lebih elok sekiranya anda menonton terlebih dahulu siri TVnya di youtube atau fail-fail torrent ataupun di dalam bentuk dvd.

Bagi mereka yang sudah menonton dan menjadi sebahagian dari fenomena KAMI setahun yang lepas, sudah pasti filem ini merupakan satu peleraian, kemuncak klimaks yang di tunggu-tunggu semenjak berakhirnya siri TV KAMI tersebut.

Segala persoalan terjawab dan segala rahsia telah terbongkar. Walaupun begitu, harga untuk rahsia dan persoalan tersebut adalah amat besar.

Kita(penonton) kehilangan satu watak favourite kita dan ouchhh...itu sangat perit.

Filem ini mengajak penonton melihat ke dalam dunia remaja jauh dari stereotaip filem-filem Melayu remaja yang klise dengan cinta, perangai nakal di sekolah, dan dialog kebudak-budakan. Filem ini tidak menggunakan penyanyi pop sebagai hero dan heroin. Dan filem ini jauh dari menyuruh penonton berjiwang walaupun terdapat scene jiwa-jiwa namun ianya dibuat dengan lebih 'depth' dan bukannya sekadar mengungkapkan 'I love you...".

Filem ini mengajak penonton merasai kekusutan dan kesuraman hidup Ali yang menjadi punca penyalah gunaan dadah yang dilakukannya, begitu juga membawa penonton merasai ketersisihan Abu dari keluarganya dan penyebab dia mempunyai tabiat suka mencuri. Selain itu, penonton dapat mengerti bagaimana seseorang yang bijak seperti Lynn boleh terjebak dengan kegiatan pengedaran dadah dan begitu juga kita dapat melihat bagaimana anak kepada seorang ibu tunggal seperti Sofie terpaksa berhadapan dengan karenah ibunya yang materialistik.

Anak-anak muda yang kelihatan riang ini sebenarnya mempunyai cerita-cerita rahsia yang tersimpan kemas di dalam hidup mereka. Di dalam senyum dan ketawa mereka tersimpan cerita-cerita duka.

Setiap sesuatu yang berlaku mempunyai alasannya dan setiap rahsia yang tersimpan mempunyai sebabnya.

Keseluruhannya aku dan my other half amat terhibur dan berpuas hati dengan filem ini dan kesemua para pelakon harus di beri kredit di atas keberkesanan watak dan lakonan mantap mereka termasuk watak 'Boy' yang memang cool gila walaupun jahat gila babi. Begitu juga halnya dengan skrip yang mantap dan cool di dalam filem ini ( Ini tidak hairan sekiranya Mike yang famous dengan blog Semusim Di Neraka turut terlibat di dalam penyelengaraan skrip filem tersebut.)

Akhir sekali, sekiranya anda seseorang yang gemarkan kelainan di dalam filem-filem Melayu, filem KAMI ini merupakan sebuah filem yang tepat tergolong di dalam kumpulan filem tersebut.

p/s - gambar poster di atas diambil dari blog hebat ini.

SENARIO EPISODE 1


Aku pasti hampir setiap warga Malaysia terutamanya yang berbangsa Melayu mengenali kumpulan lawak tersohor yang bernama Senario ini. Kumpulan ini merupakan sebuah kumpulan yang popular yang mempunyai peminat dari setiap lapisan umur masyarakat.

Kita dapat lihat betapa kuatnya dan besarnya pengaruh kumpulan lawak ini sehinggakan perkataan SENARIO itu telah sinonim dengan kumpulan tersebut, maksud aku di sini ialah apabila seseorang itu mengungkapkan perkataan senario atau terbaca perkataan senario, pastinya secara automatik akan terbayang wajah Wahid, Azlee dan Lan Pet-Pet berserta lawak-lawak slapstik mereka walaupun perkataan senario itu juga mempunyai maksud yang lain selain dari menjadi nama kumpulan tersebut.

Aku masih ingat kira-kira 10 atau 11 tahun lepas aku menonton filem pertama Senario iaitu Senario The Movie, dan aku masih ingat betapa aku yang ketika itu berumur 14 tahun berdekah-dekah bagaikan orang gila di dalam panggung. Begitu juga apabila aku menonton filem Lagi-Lagi Senario. Kedua-dua filem ini telah di arahkan oleh Aziz M. Osman

Kemudian filem Lang Buana arahan Mamat Khalid turut menampilkan kumpulan lawak tersohor ini sebagai teraju utama. Filem itu walaupun tidak mendapat sambutan yang hangat tetapi telah memenangi anugerah khas juri di Festival Filem Malaysia. Filem ini juga telah memperkenalkan aku dengan Mamat Khalid dan filem ini juga tidak gagal membuatkan aku terbahak-bahak.

Selain itu, aku turut menonton filem Senario XX arahan Aziz M. Osman, filem komedi yang mempunyai unsur-unsur Sci-Fi dan kesan-kesan khas yang menghiburkan. Di dalam filem ini sekali lagi kumpulan lawak senario ini membuatkan aku tidak kering gusi di panggung. Selain kumpulan lawak tersebut filem, ini turut dibantu oleh Saiful Apek dan Yassin yang juga merupakan pelakon komedi yang hebat.

Pada tahun 2006, sebuah lagi filem yang menampilkan Senario ditayangkan iaitu berjudul Pemburu Emas Yamashita. Walaupun pra tonton filem ini ditayangkan di Uitm, tetapi sehingga kini aku masih lagi belum menonton filem tersebut.

Akhirnya, tibalah giliran filem terbaru Senario yang masih lagi ditayangkan di panggung iaitu filem Senario Episod 1. Filem ini merupakan filem Senario pertama arahan Ahmad Idham dan merupakan usahasama Metrowealth dan Grand Brilliance. Filem ini telah berjaya mendapat kutipan 3 juta dalam masa 3 hari tayangannya.

3 juta dalam masa 3 hari? wow...banyak tu.

Kelakar sangatkah filem ini sampai berjaya mendapat keuntungan sebanyak itu? Bagus sangatkah filem ini? Apa Syiokk sangatkah filem ini?

Secara peribadi, diulangi secara peribadi, aku merasakan filem Senario terbaru ini agak... hurmm...tidak sepatutnya begitu. Filem ini pada pandangan aku merupakan filem terburuk yang pernah dilakonkan oleh Senario.

Filem ini adalah filem Senario dan filem Senario seharusnya kelakar tetapi kenapa aku rasa kelakar atau lawak di dalam filem ini sangat-sangat...maaf untuk dikata...tidak bijak dan kurang bijak sehinggakan aku terasa diperbodohkan. Rasa diperbodohkan itu bukanlah sesuatu yang kelakar bagi aku dan aku rasa ramai yang menonton filem ini sependapat dengan aku.

Secara tidak langsung filem ini telah gagal memenuhi kriteria pertama yang perlu ada pada sesebuah filem iaitu sesebuah filem itu seharusnya menghiburkan. Filem ini tidak kelakar malahan menghina intelektual dan ianya secara automatik tidak menghiburkan bagi aku.

Aku sudah bosan dan mual dengan lawak mata juling dan aksi serebrum palsi Azlee, Juga lawak terjerit-jerit merapu dengan bunyi trumpet tanpa biji butir Lan serta lawak langsing bingit loghat Perak yang terlampau di melerek-lerekkan WahiD. ( Teman Oghang Peghok jugok yeop, takde pulok cakap ghupe itu).

Maaf. Aku tidak terhibur.

Yang kedua, filem juga seharusnya mempunyai sesuatu yang hendak diperkatakan. Mari kita tengok apakah yang hendak diperkatakan oleh filem ini.

Filem ini cuba memberi mesej...err... lakukanlah apa sahaja bagi mencapai cita-cita... er ye ke itu mesej dia? atau...err... MATLAMAT MENGHALALKAN CARA dengan lakukan apa sahaja baik bermoral ataupun tidak asalkan matlamat itu dicapai?..er..ke filem ini memang tidak ada apa yang hendak diperkatakan atau sememangnya tiada mesej yang hendak disampaikan?

Rasa-rasanya?

Aku tidak nampak perkara yang hendak diperkatakan jauh sekali mesej atau moral yang baik di dalam filem ini. watak Lan Pet-pet amat kurang ajar, terutamanya sewaktu adegan dia memarahi pelanggan yang datang mengadu akibat ubat yang dijual kepadanya salah. Adakah ini kelakar?

Azlee pula mencuri ayam dan mencuri telur ayam di ladang ternakan ayam tempat dia mencari rezeki. Azlee sanggup mencuri untuk datang ke Kuala Lumpur bagi sesi uji bakat. Tepuk- tepuk tangan semua... satu contoh moral yang bagus untuk adik-adik yang datang menonton. Mujur watak Wahid sedikit putih dari watak-watak yang lain.

Jalan ceritanya pula...

Filem ini cuba membawa penonton menelusuri kehidupan 3 orang lelaki ini untuk jadi pelawak, kisah ketiga-tiganya silih berganti dan kadangkala tidak mempunyai signifikan di antara satu sama lain.

Setelah melakukan kegiatan yang tidak senonoh, mereka akhirnya berjaya ke Kuala Lumpur dan kemudiannya menghadapi pelbagai cabaran yang mengarut (hahahaha...adoih...) dan akhirnya berjaya menyertai ujibakat yang menjadi matlamat mereka namun akhirnya mereka gagal. Namun begitu mereka tetap menjadi pelawak yang berkerja di zoo apabila seorang pengurus zoo ( Zaibo) konon-kononnya menyedari bakat mereka sewaktu sesi ujibakat tersebut.

Disini aku tidak nampak signifikan adegan perompak yang menyerupai wajah mereka bertiga yang muncul di awal scene dan kemudiannya di tengah-tengah scene yang menyebabkan mereka bertiga di tahan di lokap. Kalau ada pun signifikannya ianya sangat longgar dan tidak memberi impak. Mungkin scene tersebut digunakan bagi menemukan mereka bertiga di Kuala Lumpur tetapi ianya seperti tidak memberi makna yang besar kepada jalan cerita.

Selain itu, aku tidak faham kenapa Ahmad Idham harus mengulangi lawak-lawak yang sudah berpuluh tahun lepas telah di persembahkan mereka sewaktu program Sinaran Pasport Kegemilangan dahulu?

Adakah alasannya adalah kerana ianya filem ini merupakan prequel? iaitu episod 1?

hurm...(mengeluh lagi..maaf!!)

Aku secara peribadi berpendapat masalah filem ini berpunca dari kegagalan Ahmad Idham sebagai pengarah yang mengarahkan filem ini. Ahmad Idham tidak dinafikan merupakan pengarah yang hebat dan berbakat yang mampu menjayakan filem seram seperti Jangan Pandang Belakang dan filem aksi serius seperti Remp-It dan Impak Maksima namun di dalam filem komedi ini, Ahmad Idham seakan-akan ketandusan idea dan tidak berjaya mengawal lakonan kumpulan Senario tersebut.

( Aku pernah melihat pelakon-pelakon Senarion ini berlakon di lokasi, ya..aku tahu amat sukar mengawal mereka dari membuat adlip mengubah skrip dan mengexaggerate lakonan mereka.)

Namun kumpulan Senario ini adalah boneka pengarah yang boleh dieksploitasikan bagi menghasilkan filem-filem komedi yang menarik. Buktinya Aziz M. Osman berjaya mengeksploitasikan mereka, begitu juga dengan Mamat Khalid. Mereka sangat-sangat kelakar dan lawak di dalam filem-filem Senario terdahulu.

Namun sekiranya lakonan dan skrip itu sememangnya kehendak Ahmad Idham sendiri, ini bermakna kesilapan itu berpunca dari pengarahan dan bukannya lakonan.

Harapnya Ahmad Idham tidak mengulangi lagi filem-filem sebegini dan belajar dari kesilapan ini..err..kesilapan ke?

Ironi sungguh apabila mengatakan sesuatu yang memberi keuntungan berjuta-juta seperti filem Senario ini merupakan sesuatu kesilapan. hahaha.

Tetapi itulah senario industri perfileman kita. wink.