Jumaat, 17 Oktober 2008

Filem Punggok Rindukan Bulan


Sebenarnya aku telah menonton filem Punggok Rindukan Bulan ini 2 minggu yang lalu di GSC One Utama. Tiket filem ini telah diberikan secara percuma oleh Pak Hassan Muthalib. Sebenarnya kalau tidak mendapat tiket percuma pun aku dan Ikha memang bercadang hendak menonton filem ini. Tetapi bila dah ada yang hendak memberikannya secara percuma, kami sebagai pelajar yang sememangnya sentiasa kekurangan ongkos menerimanya dengan senang hati.

Selain mendapat tiket percuma, perkara menarik yang lain adalah hanya aku dan Ikha sahaja yang menonton di dalam panggung. Haha. sungguh romantis.( dan rupanya agak tidak best sebenarnya menonton di panggung yang kosong.)

Sebelum kami menonton filem ini aku telah sedia maklum bahawa filem ini merupakan sebuah filem Indie dari seorang pengarah muda yang bernama Azharr Rudin. Oleh itu aku sudah membuat persediaan mental untuk menghadam segala rupa bentuk visual yang akan dipertontonkan kepada kami.

Dan sebaik sahaja filem bermula apa yang dipaparkan adalah lebih jauh dari apa yang di jangka. Sesuatu yang tidak dijangka. Oleh kerana itu, aku terpaksa menunggu lebih kurang 2 minggu untuk mengulas tentang filem ini. Sebenarnya, aku ada cuba bersembang mengenai filem ini dengan pensyarah aku iaitu Norman yussof, tetapi tidak berkesempatan sehingga kini.

Oleh kerana itu, aku memberanikan diri untuk mengulas tentang filem ini mengikut fahaman aku. Oleh itu, segala ulasan aku tentang filem Punggok Rindukan Bulan ini merupakan ulasan terhad dan naif aku tentang filem tersebut. Aku rasa majoriti penonton di Malaysia ini juga akan sependapat dengan aku.

Sekiranya ditanya adakah filem ini menghiburkan jawapannya = Tidak.

Sekiranya ditanya tentang adakah filem ini mempunyai sesuatu yang hendak diperkatakan jawapannya = Ya.

Dan sekiranya ditanya adakah filem ini mempunyai identiti jawapannya = Ya.

Filem Punggok Rindukan Bulan ini mengisahkan tentang seorang budak lelaki yang rindukan emaknya. Ya, Dialah punggok di dalam cerita ini. Nama dia Sidi. Filem ini membawa kita merasai kekosongan hidup Sidi setelah secara tiba-tiba ditinggalkan oleh ibunya.

Sidi kemudiannya menghabiskan masanya dengan tidur, bermain skate dengan rakannya, mengintai anak gadis sunti orang, Menonton filem porno ayahnya, (fasa menonton porno ini amat rapat dengan jiwa remaja) tidur lagi, main video game dan pergi lambat ke sekolah.Dan makan.

Kekosongan hidup Sidi itu cuba di isi oleh ayahnya , Adman dengan aktiviti memancing. Satu aktiviti yang tidak berjaya menjadi hobi kepada Sidi. Sidi mula berani curi-curi bermain skate, membuat kurang ajar iaitu meludah terhadap seorang pak cik ( yang juga kurang ajar) dan akhirnya setelah segala kebosanan tentang hidup Sidi yang turut dirasa oleh penonton yang juga terasa bosan berakhir dengan amukan Adman dan tangisan Sidi.

Filem tamat secara mengejut selepas footage flat rumah Sidi (flat Bukit Chagar) dirobohkan oleh Jentolak. Ops...mana klimaksnya???

atau mungkin aku sahaja yang tidak terasa klimak???

Ok, kita pergi ke perkara-perkara yang lebih mikro.

Terdapat satu adegan dimana Sidi di biarkan memancing bersendirian di dalam gelap oleh ayahnya yang mahu mencari umpan. Sidi yang kebosanan mula berjalan tanpa arah di dalam gelap dengan menggunakan lampu suluh. adegan ini sangat gelap, aku tidak faham kenapa adegan ini begitu gelap seolah-olah Azharr Rudin tidak menggunakan lampu selain dari lampu suluh tersebut. Mungkin (mungkin disini boleh dibaca sebagai alasan kesalahan teknikal atau memang ianya bermaksud mungkin...haha) mahu penonton merasai kegelapan dan kesunyian hati Sidi???? Tetapi come on, Azharr Rudin...janganlah seteruk itu. Sidi terjumpa lopak air (atau anak sungai??? aku tak tau sebab gelap)... kemudian berpatah kembali dan membaling lampu suluhnya ke dalam unggun api. Dan ini mungkin simbolik Sidi kehilangan penyuluh hidupnya iaitu emaknya???

Aku mengetahui filem ini merupakan sebuah filem Indie tetapi adakah ini menghalalkan segala kehodohan kerja kamera di dalam filem ini??? Terdapat satu shot panning kiri ke kanan yang sangat ketara 'jerk'... juga kerja kamera secara handheld yang nampak tidak kena.

Adakah kerja kamera yang hanyai barai itu merupakan satu gaya atau satu falsafah yang so-called Indie atau satu kesilapan? Yang pasti ia sangat hodoh.

Terdapa satu 'layer' yang tersembunyi tentang hubungan Malaysia dan Singapura di dalam filem ini. Perkara ini amat jelas terdengar secara dietgetic melalui peti TV sewaktu Sidi makan, dan juga melalui dialog Sidi dengan Adman dan Adman dengan rakan sepemancingannya yang berasal dari Singapura iaitu Panjang dan Pendek.(ye ke pun nama watak ni?)

Secara kasarnya aku rasa Azharr Rudin cuba menunjukkan perasaan ramai rakyat Malaysia yang sentiasa mengingati negara Republik itu sebagai sebahagian dari negara Malaysia ini. Namun rasa nostalgic rakyat Malaysia itu ibarat 'Punggok Rindukan Bulan' apabila Singapura yang sudah berpisah dari Malaysia tidak mungkin akan bersatu kembali.

Ya seperti kata Adman, " Singapura itu nampak dekat, tetapi sebenarnya jauh".

Juga terdapat satu adegan di mana Adman mengamuk terhadap rakannya iaitu Panjang dan Pendek yang merupakan warga Singapura yang meminjam keretanya tetapi tidak bertanggunjawab serta membuat acuh tak acuh terhadap kerosakan kereta tersebut.

Penggunaan keris, simbol Melayu, dalam amukan terhadap warga Singapura itu seperti satu amaran terhadap Negara republik itu terhadap isu-isu sensitif yang sentiasa dipandang ringan oleh republik tersebut. Namun, ini sekadar andaian aku mengikut pemahaman aku.

Walaupun secara keseluruhannya aku tidak berpuas hati dengan filem ini, tetapi aku teringin untuk menonton versi festival filem ini. Khabarnya filem Punggok Rindukan Bulan ini mempunyai 2 versi yang mungkin juga merupakan director's cut.

Mungkin di dalam versi festival tersebut terkandung semua elemen-elemen yang hilang yang membuatkan aku keliru dan hilang arah sewaktu menonton filem Punggok Rindukan Bulan ini.

apapun tahniah kepada Azharr Rudin atas cubaan pertama beliau sekurang-kurangnya dia agresif untuk menghasilkan sesuatu.

1 ulasan:

Ajami Hashim berkata...

kelasss! jujur yaa amat!