Sabtu, 28 Februari 2009

SEMAN dan MANSOR PUTEH di Pancha Delima.


Mansor Puteh, Dikenali sebagai 'An angry young man' di dalam dunia perfileman tanah air. Cuba membawa konsep 'Perfileman Islam' ke dalam sinema Malaysia. Namanya sinonim dengan kritikan-kritikan pedas yang sangat kontroversi yang ditujukan kepada pengarah-pengarah filem arus perdana Malaysia.

Kelab Tayangan Filem, Uitm Puncak Perdana telah mengundang Mansor Puteh dan akan menayangkan filem Seman, satu-satunya filem beliau pada hari Rabu, 4 Mac 2009, pukul 8.10 malam. Bertempat di Studio Pancha Delima, Uitm Puncak Perdana. Sesi soal jawab bersama susuk kontroversi ini akan diadakan selepas tayangan.

Jangan ketinggalan dan melepaskan peluang untuk berdialog dengan beliau. Kehadiran anda semua amat dialu-alukan dan masuk adalah PERCUMA.

Sebarang pertanyaan boleh emel kami: aresbahar@gmail.com

Rabu, 25 Februari 2009

SCREENTALK ON SRI LANKAN CINEMA...MALAM INI!!!!

MODERATOR: PAK HASSAN MUTHALIB
PANEL 1 : MAMAT KHALID
PANEL 2 : HARITH BIN BAHARUDIN


Datanglah beramai ramai untuk menyaksikan perbahasan mengenai sinema Asia yang hebat ini dari pandangan Mamat Khalid sebagai pembikin filem dan Ares Bahar sebagai pelajar dan blogger filem yang sememangnya dinanti- nantikan....

Penuhkan tempat duduk yang kosong mulai sekarang kerana sembang skrin ini akan bermula pada jam 8 malam ini bertempat di Studio Pancha Delima, Uitm Kampus Puncak Perdana...

Semua di jemput hadir bagi menjadi sebahagian dari acara ini, segala soalan dan pandangan dari sekalian hadirin, sama ada anda seorang pelajar mahupun berkerjaya, akan di berikan perhatian..

Sekian, terima kasih...

p/s: Semak GPS sekiranya kamu sesat dalam perjalanan menuju Puncak Perdana. :)

Rabu, 18 Februari 2009

Abdul Razak Mohaideen, filemnya dan penonton Melayu.

Nama Abdul Razak Mohaideen yang selalunya di pangkal nama tersebut terdapat gelaran Profesor Madya adalah satu nama yang tidak asing lagi di dalam industri filem tanah air. Beliau dikenali sebagai seorang pengarah yang sangat prolifik dalam menghasilkan filem-filem Melayu. Selain itu, filem arahan beliau seringkali mendapat sambutan hangat dari penonton. Ini dapat dilihat dari hasil jualan tiket yang selalunya mencecah jutaan ringgit Malaysia.

Namun di sebalik sambutan penonton terhadap filemnya. Razak juga sinonim dengan fiilem-filem yang dianggap tidak berkualiti, sampah, bodoh dan membuang masa. Filem beliau dikecam sebagai filem yang tidak menjana minda dan tidak mendatangkan sebarang signifikan. Cendekiawan dan elitis filem melabel beliau sebagai seorang pengarah yang tidak sejajar dengan gelaran profesor yang disandang oleh beliau.

Persoalannya di sini, adakah wajar sesetengah pihak melabelkan filem beliau sebagai filem bodoh?

Ini kerana adalah sesuatu yang tidak boleh diterima dek akal sekiranya filem yang dikecam sebagai bodoh, sampah, tidak berkualiti, bangang dan sia-sia mendapat sambutan yang hangat dari penonton. Kita melihat sesuatu filem itu mendapat sambutan atau tidak adalah berdasarkan jualan tiketnya. Dan Razak telah membuktikan kepada kita dengan secara konsistennya filem-filem beliau seringkali mendapat pulangan yang tinggi dari segi jualan tiket.

Siapakah yang membeli tiket untuk menyaksikan filem yang dianggap sampah ini?

Sudah tentu tidak lain dan tidak bukan adalah penonton melayu. Ini kerana tiada kaum lain di Malayisa ini yang menonton filem Melayu melainkan orang melayu itu sendiri. Jika ada peratusan mereka adalah sangat kecil. Penonton inilah yang menjadi faktor permintaan filem Razak.

Razak seringkali mengatakan bahawa dia membikin filem adalah berdasarkan penonton. Baginya , tiada yang lebih bodoh dari menghasilkan sesuatu yang merugikan diri sendiri. Dia memilih jalan paling selamat, hasilkan filem yang penonton suka, walaupun filem itu dilabel sebagai bodoh, tetapi itu yang penonton mahukan. Dia menawarkan penonton filem yang mereka mahukan dan dia mendapat keuntungan dari filem tersebut.

Ini teori ekonomi yang paling asas, setiap penawaran haruslah mempunyai permintaan. Filem yang digelar bodoh itu adalah permintaan dari penonton. Dan ini adalah satu perniagaan yang bagus.

Sekarang, aku mengajak para cendekiawan dan elitis filem melihat Razak sebagai seorang peniaga, seorang businessman, kapitalis yang berkiblatkan keuntungan. Razak adalah seorang peniaga filem. Dia mahu mendapat keuntungan dari filemnya. Filemnya itu adalah sebuah komoditi dagang dan bukannya sebuah karya untuk memenuhi keperluan estetik minoriti penonton.

Oleh itu, tidak hairanlah Razak terus-terusan menghasilkan filem-filem sebegitu, kerana dia tahu terdapat ribuan penonton di belakangnya yang aka menyokong filem-filem beliau. Dia bijak mengeksploitasikan selera penonton untuk terus kukuh dan terus konsisten di dalam industri sambil mendapat keuntungan dari pengeksploitasian tersebut.

Berbalik kepada persoalan di atas tadi, sekiranya filem yang dihasilkan Razak adalah sebuah filem bodoh adakah mereka-mereka yang menonton, yang menyokong filem Razak adalah terdiri daripada mereka-mereka yang selabel dengan filem tersebut.

Ini kerana tiada apa yang lebih bodoh dari melakukan kerja bodoh. Menonton filem yang tidak mendatangkan sebarang faedah dan hanya membuang masa adalah kerja bodoh. Adakah penonton yang kita boleh gambarkan ramainya berdasarkan hasil jualan tiket itu terdiri daripada mereka yang bodoh?

Bagi aku tidak. Mereka tidak bodoh. Kita tidak boleh menghukum mereka kerana citarasa mereka yang berbeza dengan kita. Razak menghasilkan filem komedi, dan mereka rasa kelakar. Kita pula berpendapat ianya tidak kelakar langsung, malahan ianya lawak bodoh. Lalu kita menganggap mereka yang gemarkan lawak Razak adalah turut bodoh.

Ini adalah satu sikap yang tidak adil. Kelakar itu subjektif. Begitu juga dengan keseluruhan filem. Filem itu juga subjektif dan ianya bergantung kepada citarasa kompleks individu yang menonton.

Suka atau tidak itulah majoriti penonton Melayu. Aku secara peribadi menghormati setiap golongan penonton yang menonton filem Melayu. Kerana mereka ini setidaknya memberi sumbangan kepada industri filem Melayu.

(akan bersambung)

Secrets And Lies- Filem pilihan tayangan minggu ini.


Pada malam khamis ini, 19 februari 2009, bertempat di Studio Pancha Delima, Puncak Perdana akan ditayangkan sebuah filem british bertajuk Secrets and Lies (1996) arahan Mike Leigh.

Filem ini merupakan sebuah filem komedi drama yang sangat diraikan pada 1996 apabila berjaya memenangi 3 anugerah di BAFTA Awards, juga memenangi beberapa anugerah di Cannes dan mendapat pencalonan Oscar, mampu membuatkan penonton ketawa dalam tangis atau sebaliknya, menangis dalam tawa.

Filem ini mengisahkan tentang seorang wanita optometris kulit hitam yang mencari ibu kandungnya selepas ibu angkatnya meninggal dunia. Pencariannya itu akhirnya membawa kepada sebuah kenyataan yang memeranjatkan apabila Ibu kandung sebenar wanita tersebut adalah seorang wanita kulit putih.


Secrets and Lies mendapat kritikan yang sangat positif dari pengkritik filem di seluruh dunia, Anda boleh melihat review-review yang positif tentang filem ini bersepah di laman-laman web filem. Di sebalik kerja kamera yang minimal di dalam filem ini, Mike Leigh berjaya memaparkan emosi watak dengan sangat berkesan melalui lakon layarnya. Selain itu anda harus tidak melepaskan peluang untuk menonton adegan '7 minit 40 saat long takes Mike Leigh' yang sangat mengkagumkan dalam filem ini. Bagi yang menyanjung Yasmin Ahmad, pasti anda akan dapat melihat persamaan gaya Mike Leigh ini di dalam karya-karya Yasmin Ahmad.

Secrets and Lies sudah pasti merupakan sebuah filem yang harus ditonton oleh penonton yang menggelarkan diri mereka sebagai penggemar filem dan filem ini juga adalah filem yang patut ditonton oleh penggemar-penggemar filem yang belajar filem. Dalam masa 141 minit, filem British ini adalah sebuah filem yang sangat berbaloi untuk kita meluangkan masa menontonnya.

Ahad, 15 Februari 2009

MALAM PROMOSI FILEM 10&11 MAC 2009


Tarikh : 10 & 11 Mac 2009
Filem : Talentime (Yasmin Ahmad) & Skrip 7707 (Prof Razak)
Harga tiket : RM10 untuk 2 Filem
Tempat : Dewan Sri Budiman, Uitm Shah Alam

Berminat???Hubungi todaxx...

SRI LANKAN FILM WEEK 23-27 FEBRUARI 2009


SRI LANKAN FILM WEEK KINI DI UiTM KAMPUS PUNCAK PERDANA...

DATANGLAH BERAMAI RAMAI..

TEMPAT : UiTM PUNCAK PERDANA

MASA : 8.10 MALAM



SEPERTI BIASA, SILA KLIK SINI UNTUK MAKLUMAT LANJUT....

Kami mengalu-alukan semua pelajar Puncak Perdana bukan sahaja dari Fakulti T.E.K.A tetapi juga I.S , Perakaunan dan Pengajian Bahasa (TESL) untuk bersama-sama menonton di Dewan Pancha Delima. Kedatangan semua amat diundang...

Jumaat, 13 Februari 2009

GENG - Betul...betul...betulll best!!!




Pasti ramai yang sudah mengenali 2 budak nakal botak yang bernama Upin dan Ipin. Comel kan budak-budak tu? Kini Upin dan Ipin kembali lagi dalam filem animasi terbaru dan dijangka terhangat pada tahun ini dengan tajuk GENG: PENGEMBARAAN BERMULA.

Filem animasi yang diarahkan oleh saudara Mohd Nizam Abd Razak terbukti berjaya membuatkan penonton tidak kering gusi dan masih tersenyum sehingga di luar panggung wayang dengan kerenah 2 karekter cilik Upin dan Ipin yang menggunakan suara adik Fathiah yang sememangnya comel dan 'in character' dalam menyumbangkan suara dua beradik kembar tersebut yang popular dengan taglinenya 'Betul...betul...betul...'.

Filem yang menelan belanja RM 4 juta ini telah mendapat tajaan dari pelbagai pihak termasuklah kerajaan Malaysia sendiri melalui dana MOSTI eCONTENT dan disokong oleh publisiti yang meluas dari Media Prima, TV 9 dan RTM...wah..bertuahnya..tajaan tajaan yang mereka terima telah menjimatkan proses menyiapkan filem animasi ini dan sekaligus menjimatkan kos.

***

Bagi aku yang sememangnya menggemari filem animasi berbaur komedi ini, mestilah aku teramat suka dan rasa bertuah kerana akhirnya rakyat Malaysia mampu menghasilkan filem animasi 3D yang pertama di Malaysia dengan bajet hanya RM4 Juta. Lagi pula aku sememangnya tak miss mendownload setiap episod Upin dan Ipin dari internet sejak dari kemunculan pertama mereka dulu.

Buat filem ini, aku sukakan konsepnya, fresh, comel, dan setiap karakter, dari sekecil kecil karakter seperti anak ayam melintas jalan sehinggalah kepada watak utamanya diberikan perincian yang sangat detail. Naratifnya juga sangat mudah untuk difahami, sesuai dengan golongan sasaran mereka iaitu 'mesra keluarga'.

Bagi remaja atau golongan yang lebih berusia, jangan risau kerana aku rasakan yang filem ini sesuai ditonton oleh semua peringkat umur, dan aku pasti sedikit sebanyak hati kamu akan tergeletek melihat keletah dua orang kembar nakal yang memang suka menjawab. Rasa macam nak tampar je.hehe..

Sinopsis???ada..kat bawah ni haa.....

***

Mengisahkan keadaan di Kampung Durian Runtuh pada musim durian, yang mana Tok Dalang sebagai wakil penduduk interframe dalam berita terkini dan melaporkan tentang kes misteri buah durian yang semakin menjadi jadi dalam kampung itu di mana buah durian yang gugur ditemui telah terkopek kemas dan hilang isinya, sekaligus timbul kisah kisah mistik dimana penduduk kampung mengaitkan kehilangan buah durian tersebut dengan angkara hantu durian.

Berita tersebut ditonton oleh Badrol, cucu Tok dalang di Kuala Lumpur yang kebetulan sedang berkemas untuk pulang ke kampung bersama rakan baiknya, Lim yang sering dilihat memakai topi 'Tourism Malaysia'..Iklan ke Kak Deni??haha...

Setibanya Badrol dan Lim di kampung, mereka telah bertemu dengan si nakal Upin dan Ipin yang sedang bermain di sekitar warung Muthu dan meminta mereka berdua menunjukkan arah ke rumah Tok Dalang. Badrol dan Lim kemudiannya bertemu dengan Kak Ros yang sangat cantik namun garang.

Badrol dan Lim juga bertemu Rajoo, yang berkebolehan untuk berkomunikasi dengan binatang..watak lembu dalam filem animasi ini sangat comel dan melucukan, dan akan membuat pelbagai aksi jika diminta oleh Rajoo, tetapi tidak melayan permintaan orang lain.. 'Sapy...go!'

Pengembaraan mereka bermula apabila Upin, Ipin dan Rajoo tersesat ke dalam hutan di belakang kebun durian milik Tok Dalang kerana mengejar seekor makhluk misteri yang selama ini mencuri durian di kampung mereka. Kehilangan mereka disedari oleh Kak Ros, dan bertindak mencari adik adiknya, ditemani oleh Badrol dan Lim. Kesemua mereka akhirnya tersesat jauh ke dalam hutan...

Dalam masa yang sama, Rajoo, Upin dan Ipin berjaya mengekori makhluk pencuri durian tersebut dan dengan kemahiran berkomunikasi dengan haiwan yang Rajoo miliki, mereka "berkenalan" dengan makhluk tersebut yang bernama Oopet.. ya... Oopet...seperti nama uncle Ajami 'Oopet' Hashim kita sekarang..haha...

Kak Ros akhirnya berjaya menemui adiknya, namun turut menemui masalah yang lebih besar, sesat lebih jauh ke dalam hutan yang dipenuhi pelbagai binatang buas dan hantu durian...

Apa???hantu durian????jadi betullah ada hantu durian kat kampung tu ek???ha kawan kawan...kalau nak tahu...pergilah beli tiket wayang sekarang... Geng...gerenti best!!!

***
Filem animasi GENG adalah filem 'feature' animasi 3D Melayu pertama di Malaysia. Ini adalah contoh sebuah karya yang dibikin dengan penuh semangat, kerja keras dan mempunyai ambisi yang sangat tinggi oleh golongan muda. Filem ini membuktikan bahawa sekiranya golongan muda ( generasi muda perfileman) diberi ruang dan sokongan yang sepatutnya dari segi modal dan moral, sesuatu yang dibanggakan boleh dihasilkan.

Oleh itu Lagi-Lagi Filem mengajak semua pencinta filem dan setiap lapisan masyarakat yang prihatin kepada industri filem datang menonton filem animasi GENG ini dan sekaligus dapat memberi sokongan kepada pembikin filem animasi muda ini untuk terus berkarya di masa depan.

Rabu, 11 Februari 2009

Sifu dan Tongga

Kelmarin aku dan Ikha telah menonton filem terbaru Prof. Razak Mohaideen iaitu Sifu dan Tongga lakonan Saiful Apek dan Nabil di Sunway Piramid. Filem ini telah mendapat kritikan negatif yang sangat hebat di ruangan blogosfera oleh para blogger yang menghadiri pratonton filem tersebut. Ramai yang berpendapat filem ini adalah filem 'tak' layak ditonton namun di sebalik kecaman-kecaman hebat itu filem tersebut berjaya mengutip hasil jualan tiket yang memberangsangkan. Filem yang buruk seharusnya ditolak tetapi berdasarkan jualan tiket ianya jelas mendapat sambutan. Paradoks.

Oleh itu, aku dan Ikha menguatkan tekad dan semangat untuk menonton filem ini. Aku mengingatkan diri aku untuk tidak menonton dengan prejudis dan menonton dalam keadaan tenang dan neutral. Setelah menghabiskan hampir 90 minit di dalam panggung, inilah pendapat aku. Seperti biasa, aku mulakan dengan sinopsis.

***
Filem Sifu dan Tongga ini adalah sebuah filem komedi yang mengisahkan tentang advencer dua orang dari kaum yang 'hilang' (The Lost Tribe) iaitu Sifu (Apek) dan Tongga (Nabil) mencari anak gadis ketua kaumnya iaitu Mila yang juga kekasih kepada Sifu. Pencarian Mila ini telah dibantu oleh kuasa supernatural Sifu yang berkemampuan menyeru semangat 'nenek' bagi memberi penunjuk dalam misi mereka menyelamatkan Mila.

Dengan bantuan 'nenek', Sifu dan Tongga merentasi belantara dan sampai di bandar di mana Mila ditangkap dan akhirnya berjaya menyelamatkan Mila. (sinopsis pendek untuk mengelak spoiler)

***
Aku pasti tidak sukar untuk penonton menduga gaya komedi yang dihidangkan oleh prof. di dalam filem terbarunya ini. Komedi klise stereotaip Saiful Apek. Kelakar seperti yang sudah-sudah. Dikitar semula tetapi masih laku di pasaran. Komedi seperti ini masih mampu menarik hilaian gelak penonton di panggung.

Sekiranya penonton bosan dengan Apek. Prof mempunyai satu lagi senjata yang mampu menarik perhatian audiens iaitu Nabil. Pemenang Raja Lawak. Membawa watak Tongga.Tongga.Tongga.... Menggunakan Nabil sewaktu dia masih panas dengan title Raja Lawaknya adalah satu strategi yang agak berkesan. Penonton mahu lihat Nabil beraksi di layar perak. Penonton yang juga penyokong yang sanggup menghabiskan kredit telefon mengundinya di dalam program Raja Lawak tidak akan teragak-agak untuk menghabiskan RM 10-11 untuk menikmati lawaknya di layar perak. Namun Nabil tidak menyerlah di dalam filem ini. Saiful Apek lebih dominan.

Apabila kita berbicara mengenai soal komedi ianya sangat subjektif. Tahap penerimaan humor dalam diri seseorang individu adalah berbeza-beza. Aku dengar helaian gelak tawa penonton sepanjang filem ini ditayangkan. Mereka begitu terhibur. Aku pula terhibur mendengar gelak tawa mereka. Sangat kelakar apabila menonton sesuatu yang tidak kelakar tetapi di kiri dan kanan bingit dengan dekahan gelak tawa.

Sangat kelakar apabila itulah kelakar yang penonton 'kita' mahukan. Sekiranya aku melabel filem Prof ini sebagai sebuah filem komedi yang bodoh ini bermakna mereka yang sukakan filem ini adalah terdiri daripada orang-orang yang bodoh? Adilkah aku untuk melabel filem ini dan audiensnya sebegitu. Sudah tentu tidak.

Oleh itu aku tidak menganggap filem prof. ini filem komedi bodoh. Tetapi sebuah filem komedi yang sangat ringan. Ringan sehingga tiada apa-apa. Sebuah komedi lagha yang tidak memberi manfaat yang banyak kepada penonton. Filem ini bertujuan untuk penonton lari dari masalah hidup. Gelak lah kamu puas-puas. Habis 90 minit sambung kembali hidup kamu yang bitter.Haha. Itupun kalau kamu boleh gelak.

Selain itu, buang logik serta kemampuan waras sewaktu menonton. Apa yang perlu penonton harapkan dalam filem ini adalah sensual humor yang boleh mencuit hati. Payah hendak jumpa tetapi ada sedikit-sedikit yang penonton boleh rasa di beberapa tempat. Bagi aku adegan di balai polis sewaktu Sifu dan Tongga diarahkan untuk duduk di kerusi adalah salah satu dari hanya beberapa adegan yang boleh aku ketawakan.

***

Filem Sifu dan Tongga (sewaktu entri ini ditulis) masih ditayangkan di pawagam. Bagi mereka-mereka yang berminat dengan genre komedi sebegini serta gemarkan hasil karya Prof. Razak anda masih tidak terlewat untuk menontonnya. Filem ini dihasilkan untuk anda dan kerana anda.

LAGI LAGI FILEM ON KOSMO...THANKS TO LI SHIAN..

Blog yang berusia tidak sampai setahun itu menjadi wadah untuk menyuburkan budaya filem tempatan.



HARITH Baharudin dan Yusrilaikha Wan Yusoh mengakui diri mereka begitu 'menggilai' filem. Malah, lokasi temu janji mereka dianggap romantis iaitu di panggung wayang Cineleisure Damansara, Petaling Jaya. Pada masa yang sama, mereka taksub dalam bidang pengajian kerana kedua-duanya ketika itu menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) peringkat ijazah pertama jurusan Teknologi Kreatif (Seni Layar).

Bagi pasangan merpati dua sejoli ini, Harith, 26, dan Yusrilaikha, 23, seni filem sememangnya mengalir dalam darah mereka. Atas dasar cinta terhadap filem, maka lahirlah sebuah blog nukilan bersama.

Blog berjudul Lagi-lagi Filem (http:// coldheartediceprincess.blogspot.com/) itu, kata Harith, merupakan 'wadah' mereka berdua dalam memberi sedikit sumbangan kepada industri filem Melayu tempatan.


INILAH antara tiket-tiket wayang premier yang disimpan oleh Harith dan Ikha untuk kenangan.


Blog yang berusia kurang setahun itu memberi tumpuan kepada filem-filem Melayu dengan hasrat 'menyuburkan' budaya filem tempatan. Mungkin sebab kelainan itulah blog Lagi-lagi Filem mendapat banyak perhatian sejak kebelakangan ini.

Setakat ini, blog filem pasangan muda itu berjaya menarik perhatian lebih 4,000 pelawat secara keseluruhannya.

"Kami lihat terlalu banyak blog yang membuat ulasan filem. Tetapi filem-filem Melayu jarang dapat ulasan. Jadi, sebagai pelajar filem, inilah tanggungjawab kami untuk 'menyuburkan' filem Melayu," kata Harith, orang pertama yang memberi ulasan filem dalam blog tersebut.

Belasan buah filem Melayu telah diulas oleh pasangan itu, antaranya filem Maut, Histeria, Kinta, Budak Kelantan dan Susuk.

Harith yang menyimpan impian bergelar seorang pengarah filem suatu hari nanti berkata, biarpun dia mengulas dari sisi buah fikiran seorang pelajar filem, gaya ulasannya adalah ringkas.

Yusrilaikha yang lebih dikenali sebagai Ikha menambah, berkat kesungguhan mereka mengulas filem-filem tempatan, pelbagai jemputan previu wayang 'datang bergolek'. Sebahagian besar jemputan, katanya, datang daripada syarikat Tayangan Unggul Sdn. Bhd.

"Kebiasaannya kami mengulas sesebuah filem Melayu dari sisi luaran yang boleh difahami orang biasa. Kami akan menyentuh tentang aspek jalan cerita atau naratif, watak, cara kerja dan teknik filem.


HARITH


"Salah satu filem yang kami sangat berpuas hati dan suka ialah cerita Budak Kelantan arahan Wan Azli Wan Jusoh. Sebabnya, filem itu sangat raw dan lain daripada yang lain.

"Dengan bajet yang tidak banyak, mereka masih boleh hasilkan filem berkualiti yang berfalsafah dan disukai ramai. Jadi, kami dapat simpulkan cara penyampaian mesejnya dalam cerita Budak Kelantan itu sangat berkesan," ujar Ikha, anak kelahiran Johor Bahru.

Hanya berlatarbelakangkan platform hitam, blog Lagi-lagi Filem tidak menggunakan dekorasi melampau. Ia ringkas dan lebih menumpukan kepada isi kandungan yang ingin disampaikan.

Mengungkap kata-kata pengarah filem terkemuka, Yasmin Ahmad: 'If the film is best, it travels', Harith berkata, karya arahan Mamat Khalid adalah antara kesukaannya.

"Mungkin ramai tidak suka karya Mamat Khalid dan menganggapnya agak mengarut. Tetapi, sebagai pelajar filem, kami nampak sisi sindiran dan 'isi' kemasyarakatan atau sosial yang ingin disampaikan berbanding orang biasa," ujarnya sambil memberitahu ulasan cerita yang dibuat lazimnya dilakukan secara adil.


IKHA


Bagi filem-filem Melayu yang seteruk mana sekali pun, pasangan itu akan sedaya upaya mencari sisi positif untuk disampaikan kepada khalayak.

"Kadang-kadang kami akan tengok filem itu dua atau tiga kali untuk mencari kekurangan dan juga kelebihannya. Selain mempunyai dua pengarang dalam satu blog, kami berpendapat pentingnya pembaca memahami ulasan, mesej atau kritikan yang disampaikan.

"Kami perasan kebanyakan blog filem seakan-akan hanya ditujukan untuk golongan pembaca elit. Bahasanya terlalu teknikal. Satu kumpulan blogger filem pula tidak memiliki latar belakang mengenai topik yang diulas. Jadi, peranan kami adalah sebagai medium pertengahan. Maksudnya, kami pelajar filem tetapi berkomunikasi dengan pembaca menerusi gaya penyampaian yang difahami ramai," jelas Harith sambil memberitahu dia dan Ikha akan pergi menonton wayang tiga atau empat kali seminggu.

Selain berkongsi pandangan, Ikha berkata, blog itu juga membuka peluang kepada pembaca berdebat secara sihat jika terdapat percanggahan pendapat tentang sesebuah filem.

Menurutnya, bukan mereka tidak pernah mengulas filem-filem Hollywood, tetapi ruang perdebatan yang luas dalam blog mereka juga dilihat mampu memupuk budaya cintakan filem-filem tempatan menerusi komuniti dalam talian.

Ikha yang menyimpan cita-cita untuk menjadi pensyarah filem menjelaskan kesemua ulasan filem yang dibuatnya berpandukan kepada pemahaman dan selera peribadi.


SELAIN filem Melayu, blog Lagi-lagi Filem turut membuat ulasan filem Hollywood dan Indonesia.


"Tetapi, setiap ulasan yang dibuat tidak akan disertakan dengan kesimpulan jalan cerita. Sebabnya, kami mahu menggalakkan pembaca untuk pergi menonton filem itu sendiri. Itu satu lagi kelainan blog filem kami," tambahnya.

Namun, disebabkan jadual tugasan harian yang sangat padat sebagai seorang pelajar, Harith dan Ikha tidak mempunyai masa untuk mengemaskini blog secara kerap.

"Kadang-kadang sekali masuk blog, kami akan memuat naik dua hingga tiga post sekali gus. Kalau nak tahu, setiap wayang yang ditonton akan dikritik atau diulas dalam blog dahulu sebelum ditulis dalam kertas projek universiti. Langkah ini dapat membantu mengelakkan kami daripada terlupa," jelas Ikha sambil ketawa.


HARITH dan Ikha menjadikan blog mereka sebagai ruang perdebatan yang sihat mengenai filem tempatan.

Belum bersedia menjana pendapatan daripada blog filem Melayu mereka, pasangan ini mengakui mereka turut membantu fakulti mempromosikan tayangan-tayangan filem yang ditawarkan di kampus universiti.

"Datanglah, fakulti kami ada buat tayangan filem percuma dari pukul 8 hingga 10 malam di kampus UiTM Puncak Perdana, Shah Alam. Semua dijemput datang," pesan Ikha sambil memberitahu tayangan percuma itu bertujuan melatih golongan remaja meminati dunia sinema.

Rabu, 4 Februari 2009

SCREENING SEPANJANG BULAN FEBRUARI 2009



SETIAP HARI ISNIN - JUMAAT
8.10 MALAM
UITM PUNCAK PERDANA, SHAH ALAM

DATANG BERAMAI- RAMAI.......

Selasa, 3 Februari 2009

SCREEN TALK - 4 FEBRUARI 2009





MAKLUMAT LANJUT???KLIK -----------> SINI....