Khamis, 17 Mac 2011

... dalam botol

Saya sudah menonton filem '... dalam botol' (dir. Khir Rahman)yang memperalatkan persoalan taboo dan provokatif ini hampir 3 atau 4 bulan yang lepas. Saya teragak-agak untuk mengulas filem ini kerana saya tidak berpuas hati dengan kualiti visual yang dipancarkan kepada saya ketika majlis pratonton filem tersebut di FINAS.

Saya fikir yang dipertontonkan itu adalah sebuah filem yang masih lagi tidak siap. Oleh itu saya mahu menunggu untuk menonton produk akhir filem tersebut. Baru ianya adil untuk saya menembak kekurangannya. Harus diingat, masalahnya disini bukan pada stail independent atau lo bajet yang kita tahu akan mempengaruhi stail visual yang minimalis tetapi apa kejadahnya interlaced video keluar bersepah-sepah. Itu saya langsung tidak boleh terima. Itu dosa besar dalam sinematografi dan suntingan.

Saya harap ianya sudah diperbaiki apabila filem '... dalam botol' ditayangkan di panggung kelak.

Dan saya berjanji saya sendiri akan menonton filem ini lagi, saya akui saya tidak puas menontonnya pada majlis pratonton tersebut. Ianya bukan sahaja disebabkan trajedi interlaced itu, tetapi ada dua perkara yang lainnya.

Satu, saya hanya duduk di tangga sewaktu menonton filem tersebut akibat tempat duduk sudah penuh,ini adalah sesuatu yang sangat bangsat bila terpaksa menonton dalam keadaan yang tidak selesa, dan keduanya-tumpuan saya sedikit sebanyak terganggu apabila ada satu makhluk yang gasar perangainya yang bercakap-cakap sewaktu filem sedang ditayangkan.

Sudah lepas 10 tahun milenium baru, makhluk macam ini masih ada lagi di Malaysia. Terima kasih kepada Nazim Masnawi yang menjadi hero dengan men 'carutkan' makhluk tersebut.

Tentang filem ini, saya fikir ianya sebuah karya yang sederhana, ianya tidak seberani tajuknya (yang saya fikir adalah untuk meraih perhatian) tetapi Khir selaku pengarahnya telah memberikan satu atmosfera baru kepada penonton filem komersil. Iatu sebuah filem 'art house' yang jarang dapat ditonton dan dinikmati melainkan filem-filem digital yang dihasilkan oleh Da Huang Picture.

Filem ini mempersembahkan tentang kisah hidup seorang gay yang berubah menjadi seorang transeksual, Arja Lee, yang berhadapan dengan nasib celaka apabila dia telah membuat satu keputusan yang 'bodoh' demi pasangan homoseksualnya kerana tersalah faham akan hasrat dan maksud permintaan kekasihnya itu yang kononnya mengharapkan dirinya di dalam bentuk seorang perempuan.

Dia potong 'kote'nya itu. Simpan dalam botol (rasanya ada satu scene yang ternampak prop balang kaca ini) namun respon dari kekasihnya itu bukanlah seperti yang diharapkan melainkan 'kenapa kau buang benda alah tu? aku dah tak stim lagi dengan kau'.

Filem ini kemudiannya adalah berkisarkan tentang Arja Lee yang terpaksa mengunyah pahit maung kesilapannya itu dan secara tidak sengaja telah melukakan perasaan orang-orang yang menyayanginya dan cuba memberikannya harapan baru.

Dan ya, saya tidak mahu meneruskan sinopsis. Sila tonton filem ini yang akan ditayangkan hujung bulan ni.

*

Saya sedar bahawa filem ini adalah sebuah filem yang dikategorikan sebagai 'art film' atau bahasa melayunya 'filem seni'.Dan disebalik beberapa kenyataan dari pengkritik filem yang mengatakan bahawa filem ini bukan filem gay atau dikategorikan sebagai filem 'queer', saya berpendapat sebaliknya.

Filem ini adalah filem 'Queer'. Ianya mengetengahkan protagonis atau subjek yang mempunyai orientasi seksual yang di luar normal. Iaitu homoseksual. Persoalannya juga tentang nasib transgender ini iaitu Arja Lee dalam meneruskan kehidupannya yang tidak mempunyai 'jalan balik' lagi.

Dan bertitik tolak dari poin inilah saya agak terkilan dengan 'statement' atau pemaparan seorang transeksual di dalam filem ini yang tidak membawa apa-apa perubahan dan patuh dengan stigma sosial masyarakat. Ianya satu percubaan yang berani-berani takut. Arja Lee diseksa dengan ketidak tentuan dan kekecewaan terhadap dirinya sendiri.

Moral seringkali berlingkar di dalam masyarakat kita sehingga satu jalinan naratif yang alternatif tidak berani dipersembahkan di dalam filem ini. Klise.

Saya jadi skeptikal sudahnya dengan tajuk '... dalam botol ini' yang pada asalnya dicanang-canang sebagai 'anu dalam botol' kerana ia hanyalah sebuah tajuk yang cuba bersandarkan pada kontroversi sahaja.

Mujur. Mujur Khir telah cuba mempersembahkan satu bentuk stail visual yang alternatif yang secara tidak langsung menjadikan filem ini sebagai sebuah 'filem' dan bukannya telemovie. Sinematografi dan suntingan di dalam filem ini telah menyuntik satu atmosfera 'keterasingan' terhadap watak Arja Lee (yang juga telah dilakonkan dengan baik oleh beliau). Terdapat beberapa babak yang mempunyai kuasa sinema yang kuat di mana visual sahaja telah mampu bercerita.

saya 'salute' dengan kekuatan visual tersebut.

Filem ini juga dibarisi oleh para 'pelakon' yang sememangnya 'pelakon'. Pelakon-pelakon ini memberi jiwa kepada watak masing-masing yang menggerakkan filem ini hingga ke akhir. Tahniah kepada sesiapa sahaja di belakang tabir yang telah memilih pelakon-pelakon yang betul ini.

*
'... dalam botol' mempunyai kekuatannya sebagai sebuah karya filem. Tunduknya naratif filem ini kepada stigma masyarakat mungkin disebabkan bahawa ianya sememangnya bermotifkan sebegitu. Dan kepada saya, padan muka, kerana mahukan sesuatu yang berbeza.


Khamis, 10 Mac 2011

MERONG MAHAWANGSA

















Merong Mahawangsa (dir. Yusri Abd. Halim) terbitan KRU menerima publisiti yang meluas dan sangat disebut-sebut, terlalu hype. Ini merupakan filem Melayu pertama menjengah ke pasaran 72 buah negara (kalau tidak silap fakta). Rekod dicipta. Kehebatan CGI dan Setnya diwar-war. Sesuai dengan bajetya yang menggila. Katanya RM8 Juta.

Mari kita lihat adakah filem ini benar bak dikata.

Saya fikirkan ianya sebuah filem lagenda yang epik sifatnya. Saya salah disini. Tanpa perlu saya mengulang poin-poin dari pemblog filem ini, secara pukalnya saya bersetuju dengan kesemua poin-poin yang beliau hamburkan tentang mutu lakonan, dan ianya telah dilakukan dengan penuh bersopan. Secara peribadi saya beranggapan meletakkan Stephen Rahman untuk watak ini adalah satu kesilapan. Saya sangkakan dengan menggunakan hero impot, ianya akan memberikan saya satu persembahan mutu lakonan yang meyakinkan. Saya kecewa. Hampir kesemua cast yang bukan melayu di dalam filem itu, kecuali Nell Ng, gagal berlakon dengan baik.

Ini bukan kenyataan rasis, maaf kata, bagi saya Wan Hanafisu dan Khir Rahman, apatah lagi si Gandalf Rahim Razali malahan si bibir ngiur Ummi Naziera, berlakon lebih baik dari mereka itu. Moralnya, alang-alang dah ambil pelakon luar, ambil lah yang berjenis sikit.

Namun yang paling mengecewakan, saya kesal filem ini, tidak mampu, tidak berjaya, gagal, secara visual walaupun dengan ruh komersil dan popular, menonjolkan keunggulan dan kehebatan heritage dan susur galur Raja Melayu (Kedah). Contoh filem 300, walaupun digarap secara komersil tambah surreal, tapi dipersembahkan dengan penuh heroic visualnya.

*

Stephen Rahman dari seorang gelandangan pelaut yang assholes dan playboy, mendapat peluang kembali ke Semenanjung Emas, bagi membantu seorang putera Rom yang dilakonkan oleh Gavin bagi menemui pengantin perempuannya iaitu Puteri Raja China iaitu Jing Lusi. Kedua anak raja China dan Rom ini dikahwinkan atas dasar politik. Lokasi perkahwinan adalah di Utara Semenanjung Emas, dan lokasi ini dipilih atas sebab Feng Shui dan kerana berada di tengah-tengah laluan diantara Barat dan Timur.

Stephen Rahman berjaya membawa Gavin ke Semenanjung Emas namun kehadiran mereka telah dapat dihidu oleh kumpulan Lanun Geroda yang diketuai oleh Wan Hanafisu dan Khir Rahman (Khir Rahman dan Stephen Rahman bukan adik beradik, wajah mereka jauh beza,jangan keliru).

Geroda menyerang dibantu oleh ilmu hitam Wan Hanafisu, Jing Lusi berjaya diculik oleh Khir Rahman,manakala Stephen Rahman yang nyaris maut di dalam serangan itu telah diselamatkan oleh Rahim Razali dan anak angkatnya Ummie Naziera. Rupa-rupanya Stephen Rahman adalah orang yang ditunggu-tunggu oleh Rahim Razali dimana dengan kehadirannya, puak mereka akan berjaya disatukan dan seterusnya Geroda yang selama ini melanun mereka akan berjaya dihapuskan.

Seterusnya adalah sebagaimana yang telah dinyatakan di dalam buku sejarah The Malay Annal, dimana Merong Mahawangsa diangkat menjadi raja dengan menubuhkan sebuah kerajaan yang bernama Langkasuka.

*

Tidak banyak yang dapat diulas dari sebuah filem sebegini. Ianya ringan, walau terdapat beberapa simbolisme politik, namuan untuk mentafsirkannya secara politik, ianya tidak keruan dan keliru di penghujung filem.

Tiada pemberat yang dapat diperkatakan, kalau diteruskan ulasan ini akan dipenuhi dengan kutukan demi kutukan, cuma mungkin kalau mahu digali juga, pujian harus diberikan kepada KRU kerana terus mencuba menghasilkan sebuah filem CGI sebegini bagi tujuan pembangunan dan perkembangan teknologi dalam pembikinan filem.



Rabu, 9 Mac 2011

CUN.



Menonton 10 minit awal filem CUN (dir. Osman Ali), tidak dinafikan bahawa hati saya cukup gusar. Permulaan 10 minit filem ini mengingatkan saya kepada komedi-komedi janaan A. Razak Mohaideen dan Aziz M. Osman, tapi tiada salahnya disitu, mungkin saya secara peribadi telah meletakkan Osman Ali di tahap yang lain dari pengarah-pengarah komersil veteran tersebut.

10 minit yang penuh What the fuck ini bagaimanapun berubah selepas memasuki minit ke 15.

Maya Karin, seorang personaliti TV, hos program gosip popular MELETOP melarikan diri dari kehidupan penuh plastik ( <-- agak geli menggunakan perkataan ini!!!) di Kota akibat kecurangan tunangnya, Jehan Miskin. Dalam satu adegan komedi gelap yang menghiburkan, Maya telah ter-mengkantoikan Jehan bersama Marsha Londoh sewaktu mahu sahaja memulakan foreplay kinky seks kostum mereka, dihadapan krew MELETOP dan seterusnya merasa sedap dan nikmatnya gosip itu apabila terkena ke batang hidung sendiri.

Dengan satu keputusan terburu-buru, Maya meminta Faezah Elai membawa mereka lari sebentar dari isu panas tersebut dan destinasi yang menjadi pilihan adalah Kampung Mata Air yang juga merupakan Kampung Faezah Elai.

Kampung Mata Air ini adalah sebuah kampung ceruk lagi terhulu yang sangat menepati khayalan dan imajinasi sebuah kampung idaman bagi mamat dan minah-minah kota yang tidak mempunyai kampung apabila disebut akan perkataan kampung itu.

Di kelilingi sawah padi saujana mata memandang, berbukit bukau dan bertali air. Maya telah bertemu cinta sebenarnya iaitu Remy Ishak sepupu kepada Faezah Elai. Satu watak lelaki yang naif tapi baran yang sangat pandai dilakonkan oleh Remy. Keseluruhan hampir 90 peratus adegan kekeluargaan, percintaan di kampung inilah yang menjadikan filem CUN ini menjadi sebuah filem yang sangat CUN dan manis untuk ditonton.



*

Filem CUN ini merupakan contoh sebuah filem romantik komedi screwball . Pada dasarnya adalah klise seperti Notting Hill, tapi kerana kepandaian Osman Ali mempersembahkan satu jalinan lakon layar yang menarik disokong oleh kekuatan lakonan dari barisan pelakon utama berserta skrip yang bersahaja, filem ini naik satu tangga ke hadapan dari kelompok romantik komedi melayu yang sedia ada.

Inilah yang dikatakan bahawa tidak peduli seklise mana idea sesebuah penceritaan itu kerana bagaimana cerita itu dipersembahkan (plot) dan diceritakan akan menjadikan filem itu ok atau tidak ok. Komedi di dalam filem ini nampak lebih segar berbanding filem Hatta Azad Khan seperti Senario Asam garam dan Kembar Siang. Ini mungkin faktor umur atau faktor citarasa komedi yang berbeza diantara mereka dan saya selaku golongan yang masih muda lebih cenderung dengan komedi-komedi yang lebih segar sebegini.

Walaupun begitu, terdapat juga beberapa hal yang kelakar dan boleh dipertikaikan terutamanya pada Watak Faezah Elai seperti hal takut gelap, (perempuan kampung yang dibesarkan dalam suasana kampung terceruk begitu tak akan takut pada kegelapan malam), dan sewaktu adegan dia bertemu dengan Remy dimana Remy tidak mengenalinya, oh damn... mereka berdua ini membesar bersama (melalui apa yang dikatakan oleh Kartina Aziz) tak kan boleh tak cam kot. Berapa tahun Minah ni tak balik kampung?

Begitu juga dengan keadaan dan suasana kampung yang agak dibesar-besarkan oleh Osman Ali, tapi apa ada hal. Ini kan filem?

*
Saya sangat terpesona melihat Maya Karin di dalam filem ini, kualiti bintangya semakin bersinar. Lakonannya semakin baik dari sebuah filem ke sebuah filem. Maya tolong jangan jual roh mu kepada David Teoh.

Saya juga sangat impress dengan Remy Ishak. Alternatif hero Melayu bagi Shaheizy Sam dan pilihan yang lebih bagus dari wajah hero tak berkarekter Farid Kamil. Remy tolong jangan jual jiwa kepada David Teoh.

Gandingan kedua pelakon ini menimbulkan tarikan kimia yang sangat kuat dan memukau. Dan yang pastinya mereka berdua ini sangat - CUN!