Khamis, 17 Mac 2011

... dalam botol

Saya sudah menonton filem '... dalam botol' (dir. Khir Rahman)yang memperalatkan persoalan taboo dan provokatif ini hampir 3 atau 4 bulan yang lepas. Saya teragak-agak untuk mengulas filem ini kerana saya tidak berpuas hati dengan kualiti visual yang dipancarkan kepada saya ketika majlis pratonton filem tersebut di FINAS.

Saya fikir yang dipertontonkan itu adalah sebuah filem yang masih lagi tidak siap. Oleh itu saya mahu menunggu untuk menonton produk akhir filem tersebut. Baru ianya adil untuk saya menembak kekurangannya. Harus diingat, masalahnya disini bukan pada stail independent atau lo bajet yang kita tahu akan mempengaruhi stail visual yang minimalis tetapi apa kejadahnya interlaced video keluar bersepah-sepah. Itu saya langsung tidak boleh terima. Itu dosa besar dalam sinematografi dan suntingan.

Saya harap ianya sudah diperbaiki apabila filem '... dalam botol' ditayangkan di panggung kelak.

Dan saya berjanji saya sendiri akan menonton filem ini lagi, saya akui saya tidak puas menontonnya pada majlis pratonton tersebut. Ianya bukan sahaja disebabkan trajedi interlaced itu, tetapi ada dua perkara yang lainnya.

Satu, saya hanya duduk di tangga sewaktu menonton filem tersebut akibat tempat duduk sudah penuh,ini adalah sesuatu yang sangat bangsat bila terpaksa menonton dalam keadaan yang tidak selesa, dan keduanya-tumpuan saya sedikit sebanyak terganggu apabila ada satu makhluk yang gasar perangainya yang bercakap-cakap sewaktu filem sedang ditayangkan.

Sudah lepas 10 tahun milenium baru, makhluk macam ini masih ada lagi di Malaysia. Terima kasih kepada Nazim Masnawi yang menjadi hero dengan men 'carutkan' makhluk tersebut.

Tentang filem ini, saya fikir ianya sebuah karya yang sederhana, ianya tidak seberani tajuknya (yang saya fikir adalah untuk meraih perhatian) tetapi Khir selaku pengarahnya telah memberikan satu atmosfera baru kepada penonton filem komersil. Iatu sebuah filem 'art house' yang jarang dapat ditonton dan dinikmati melainkan filem-filem digital yang dihasilkan oleh Da Huang Picture.

Filem ini mempersembahkan tentang kisah hidup seorang gay yang berubah menjadi seorang transeksual, Arja Lee, yang berhadapan dengan nasib celaka apabila dia telah membuat satu keputusan yang 'bodoh' demi pasangan homoseksualnya kerana tersalah faham akan hasrat dan maksud permintaan kekasihnya itu yang kononnya mengharapkan dirinya di dalam bentuk seorang perempuan.

Dia potong 'kote'nya itu. Simpan dalam botol (rasanya ada satu scene yang ternampak prop balang kaca ini) namun respon dari kekasihnya itu bukanlah seperti yang diharapkan melainkan 'kenapa kau buang benda alah tu? aku dah tak stim lagi dengan kau'.

Filem ini kemudiannya adalah berkisarkan tentang Arja Lee yang terpaksa mengunyah pahit maung kesilapannya itu dan secara tidak sengaja telah melukakan perasaan orang-orang yang menyayanginya dan cuba memberikannya harapan baru.

Dan ya, saya tidak mahu meneruskan sinopsis. Sila tonton filem ini yang akan ditayangkan hujung bulan ni.

*

Saya sedar bahawa filem ini adalah sebuah filem yang dikategorikan sebagai 'art film' atau bahasa melayunya 'filem seni'.Dan disebalik beberapa kenyataan dari pengkritik filem yang mengatakan bahawa filem ini bukan filem gay atau dikategorikan sebagai filem 'queer', saya berpendapat sebaliknya.

Filem ini adalah filem 'Queer'. Ianya mengetengahkan protagonis atau subjek yang mempunyai orientasi seksual yang di luar normal. Iaitu homoseksual. Persoalannya juga tentang nasib transgender ini iaitu Arja Lee dalam meneruskan kehidupannya yang tidak mempunyai 'jalan balik' lagi.

Dan bertitik tolak dari poin inilah saya agak terkilan dengan 'statement' atau pemaparan seorang transeksual di dalam filem ini yang tidak membawa apa-apa perubahan dan patuh dengan stigma sosial masyarakat. Ianya satu percubaan yang berani-berani takut. Arja Lee diseksa dengan ketidak tentuan dan kekecewaan terhadap dirinya sendiri.

Moral seringkali berlingkar di dalam masyarakat kita sehingga satu jalinan naratif yang alternatif tidak berani dipersembahkan di dalam filem ini. Klise.

Saya jadi skeptikal sudahnya dengan tajuk '... dalam botol ini' yang pada asalnya dicanang-canang sebagai 'anu dalam botol' kerana ia hanyalah sebuah tajuk yang cuba bersandarkan pada kontroversi sahaja.

Mujur. Mujur Khir telah cuba mempersembahkan satu bentuk stail visual yang alternatif yang secara tidak langsung menjadikan filem ini sebagai sebuah 'filem' dan bukannya telemovie. Sinematografi dan suntingan di dalam filem ini telah menyuntik satu atmosfera 'keterasingan' terhadap watak Arja Lee (yang juga telah dilakonkan dengan baik oleh beliau). Terdapat beberapa babak yang mempunyai kuasa sinema yang kuat di mana visual sahaja telah mampu bercerita.

saya 'salute' dengan kekuatan visual tersebut.

Filem ini juga dibarisi oleh para 'pelakon' yang sememangnya 'pelakon'. Pelakon-pelakon ini memberi jiwa kepada watak masing-masing yang menggerakkan filem ini hingga ke akhir. Tahniah kepada sesiapa sahaja di belakang tabir yang telah memilih pelakon-pelakon yang betul ini.

*
'... dalam botol' mempunyai kekuatannya sebagai sebuah karya filem. Tunduknya naratif filem ini kepada stigma masyarakat mungkin disebabkan bahawa ianya sememangnya bermotifkan sebegitu. Dan kepada saya, padan muka, kerana mahukan sesuatu yang berbeza.


Tiada ulasan: