Rabu, 24 Disember 2008

Histeria


Sepanjang bulan Disember ini, aku telah meraikan dua perkara yang amat bermakna dalam hidupku. Pertama : kejayaanku mendapatkan Anugerah Dekan buat kali kedua berturut turut sepanjang 2 semester pengajianku dalam bidang filem (walaupun pada semester ini takhta pelajar terbaik fakulti jatuh ke tangan Ares.. :) ) dan kedua : aku menyambut hari ulangtahun kelahiran dan keperitan ibu melahirkanku semalam, 23 Disember dimana genaplah 22 tahun aku bernafas di muka bumi ini.

Sebagai hadiah bagi kedua perkara diatas, aku telah dibawa ke Sunway Lagoon untuk berseronok dan pada sebelah malamnya aku telah menonton Histeria di TGV Sunway Pyramid. Walaupun agak keletihan, aku cukup teruja untuk menonton hasil karya sutradara James Lee, iaitu filem pertama bergenre seram yang diarahkannya. Aku amat meminati stail pengarahan beliau dalam karya sebelumnya ‘The Beautiful Washing Machine’ dan menaruh harapan yang agak tinggi melalui Histeria ini.

***

Sutradara James Lee mempertaruhkan 7 pelakon muda yang amat berbakat, namun sayangnya penggunaan pelakon muda yang cukup talented seperti Liyana Jasmay seperti tidak di ulitised sepenuhnya, namun aku cukup sukakan watak Alyssa lakonan Scha yang bertenaga dan menjadi ketua bagi kumpulan ‘The Pink Ladies’. Dan oh, special effect make-up yang sangat real, berjaya menimbulkan impak yang agak besar buat para penonton. Tahniah kepada Ella Sandera yang amat pakar dalam bidang itu.

Dari segi naratif, Histeria mempunyai jalinan naratif yang agak mudah difahami, bermula dengan jeritan Murni dengan baju yang dipenuhi darah dan disusuli dengan babak flashback tentang kejadian yang berlaku 4 hari sebelumnya, serta tragedi yang menimpa mereka. Namun filem ini agak slow, sehingga aku seperti merasakan masa berlalu dengan begitu lambat di panggung semasa cerita diputarkan.

***

Sinopsisnya...

Filem ini mengisahkan tentang sekumpulan pelajar dengan gelaran ‘The Pink Ladies’ dan mempunyai bracelet berwarna pink yang sama (cute, kat mana boleh aku beli ya??) terdiri daripada 6 orang ahli iaitu Murni, Alyssa, Kerek, Tini, Marina, Junita yang didorong oleh jiwa remaja mereka lalu mendownload jampi serapah dari internet untuk diaplikasikan pada sebuah busut di belakang sekolah (wah...sangat pandai..)... Lalu mereka didenda oleh pengetua untuk tinggal di sekolah permulaan musim cuti sekolah selama tiga hari bagi membersihkan kawasan sekolah dan diawasi oleh Cikgu Helmi, dan Zeta, seorang pengawas yang baru berpindah (dah setahun kira baru ke??)

Dek kerana kumpulan ini agak terkenal di sekolah mereka iaitu Sekolah Menengah Tinggi TunTeja, maka mereka turut berjaya merekrut Zeta, pengawas tersebut menjadi ahli baru kumpulan mereka melalui satu ujian yang perlu Zeta tempuhi, iaitu bermalam semalaman di makmal yang dikatakan berhantu!

Bagi lebih menghangatkan cerita, Zeta adalah merupakan seorang lesbo dan menaruh minat terhadap Alyssa, (namun tiada adegan hampir berciuman di pawagam seperti yang heboh diperkatakan oleh rakan bloggers yang telah menghadiri pratonton, mungkin telah dipotong oleh LPF bagi mengelakkan spekulasi.) Hal ini telah membuatkan hubungan rapat diantara Alyssa dan Murni , pelajar yang sentiasa dibuli dalam kumpulan tersebut, semakin renggang. Selain itu, penonton juga dijamu dengan skandal diantara Junita dan Cikgu Helmi yang membuatkan Junita mendapat keistimewaan dalam aktiviti pembersihan sekolah tersebut.

Namun pada sebelah malamnya, keadaan sekolah bertukar menakutkan. Satu demi satu pelajar terbunuh, termasuk Cikgu Helmi dan kesemuanya menunding jari kepada tukang kebun yang dikatakan membela jin. Apa sebenarnya yang berlaku?Siapa pembunuh sebenarnya?Mengapa hanya Murni yang terselamat?

***

Tidak banyak yang mampu aku perkatakan tentang filem ini kerana kesemua unsur- unsur keseramannya sudah 'terhidang' di depan mata. Namun, pada pandangan peribadiku hantu yang ditonjolkan dalam filem ini hanyalah sesuatu yang biasa dilihat, tidak banyak kejutan dan ianya hanyalah sebuah kisah seram dari asrama seperti yang biasa kita dengar ketika zaman persekolahan dahulu, bezanya cuma hantu ini kuat membunuh, dan walaupun pada jampinya dikatakan hantu ini hanya makan telur ayam sahaja namun divisualkan hantu tersebut membunuh dengan menerkam dan menggigit gigit mangsanya hingga muka herot berot..haha..

Dan aku juga agak hairan, musim cuti sekolah sudah bermula, namun apa relevannya kesemua pelajar tersebut masih berpakaian sekolah bagi melakukan tugasan mengutip sampah dan membersihkan sekolah tanpa ditemani guru? Bukankah mereka sepatutnya berpakaian sukan?

Bagi penggemar filem seram, eloklah menonton filem ini kerana walaupun tidak sehebat filem seram yang lain, sekurang- kurangnya James Lee telah berjaya membuatkan filem ini menjadi "sesuatu".

***

P/s: Menulis dalam keadaan demam memang membuatkan aku kering idea.

Jumaat, 5 Disember 2008

TRANSPORTER 3



Buat pertama kalinya aku telah menghadiri pratonton filem Transporter 3 di Cineleisure, Damansara secara berseorangan kerana Ares sedang berada di Perak bagi menghabiskan musim cuti semesternya. Aku sedar aku bukanlah orang yang sesuai untuk menulis review bagi filem ini kerana aku lebih sukakan filem-filem bergenre fantasi dan sains fiksyen berbanding Ares yang sememangnya gemarkan filem aksi dan letupan sebegini.

Bak kata rakan blogku Ray dan Megat, filem ini sama sekali tidak sesuai untuk ditonton oleh sekalian para pesakit jantung, ibu-ibu mengandung, pesakit kencing manis, diabetes dan sebagainya bagi memastikan kemandirian kehidupan mereka.haha..

Filem ini, seperti yang anda sedia maklum adalah merupakan francais ketiga dalam siri Transporter. Aku yang tidak pernah menonton 2 francais sebelumnya menjangkakan bahawa filem ini mungkin akan menimbulkan banyak pertanyaan dari segi naratifnya, kerana ianya mungkin bersangkut paut dengan filem terdahulu namun aku silap. Filem ini yang sarat dengan aksi menpunyai jalinan naratif yang....erm....walaupun tidak terlalu mudah namun masih mampu aku fahami dan tidak membosankan berbanding dengan kebanyakan filem francais yang lain.

Menariknya filem ini adalah penggunaan elemen seni mempertahankan diri dari Benua Asia iaitu kungfu ,melawan penggunaan senjata moden iaitu pistol yang dilihat menggambarkan ketangkasan dan kekemasan seni beladiri tersebut. Dan ya, aku sukakan heronya Frank Martin lakonan mantap Jason Statham yang kelihatan sangat sexy pada kanta mataku, berbanding dengan heroinnya Valentina yang mempunyai wajah yang...hurm...eksotik namun freckles yang memenuhi wajahnya itu agak membuatkan aku merasa annoyed. (maaf, ini bukan atas dasar cemburu sesama kaum wanita..haha..)

***

Ok, cukup tentang pelakon. Filem ini mengisahkan tentang syarikat pembuangan sisa berjadual, ECOCORP yang telah membeli hak pembuangan sisa toksik di Ukraine. Namun, masalah terbesar mereka adalah Menteri Alam Sekitarnya yang telah merancang strategi pembaikpulihan alam sekitar secara besar besaran, bermakna, pembuangan sisa toksik di mana-mana sudut negara itu adalah diharamkan sama sekali.

Hal ini menimbulkan kesulitan buat pihak ECOCORP, yang memerlukan tandangan menteri itu sebelum mampu beroperasi, dan mengupah Jonas Johnson, bekas ahli Delta Force untuk mendapatkan tandatangan tersebut bagi pihak mereka. Jonas kemudiannya telah mengugut menteri itu dan memaksa Frank Martin membantunya dalam penghantaran 'Pakej' tersebut di tempat yang telah mereka tetapkan melalui sistem GPS kereta yang dipandu beliau.

Dari titik tersebut bermulalah tugas Frank Martin dalam misi penghantaran 'Pakej' ke destinasi yang dirahsiakan bertemankan seorang gadis manis, Valentina dengan gelang tangan berteknologi tinggi yang akan meletup sekiranya mereka berada lebih dari seratus kaki dari kereta tersebut. Dari sini bermulalah episod perjalanan yang mendebarkan dan dipenuhi aksi-aksi hebat dan mengujakan dalam usaha Frank Martin bagi merungkai rahsia tujuan sebenar penghantarannya dan misteri identiti Valentina.

***

Filem ini sangat disyorkan oleh aku kepada pada pencinta filem aksi yang dalam masa yang sama dahagakan momen- momen romantik bersama pasangan. Filem ini mampu mencetuskan idea idea baru bagi mengharmonikan rumah tangga kalian (Itupun jikalau kalian berani mencuba aksi tarian yang baru dan bertubuh sasa seperti heronya... :) ).

Selain itu, mesej kesedaran jalanraya turut diselitkan oleh heronya dan disebutkan secara pengulangan, dengan ayatnya,'fasten your seatbelt'. Mesej ini sesuai dengan saranan pihak kerajaan Malaysia yang telah mewar-warkan penggunaan tali pinggang keledar bagi penumpang tempat duduk belakang kereta berkuatkuasa 1hb Januari 2009. Haha..

Terdapat juga banyak dialog pengulangan di dalam filem ini, dan babak yang dilihat mempunyai similarity contohnya babak memancing pada pengawalan cerita diantara Frank Martin dan Inspektor, yang diulangi pada babak terakhir filem ini.

***

Secara kesimpulannya, banyak lagi yang ingin aku bincangkan di sini mengenai plot dan naratif, namun aku tidak mahu ianya menjadi spoiler pada kalian yang ingin menontonnya kelak.

Filem ini aku rasakan amat berbaloi ditonton oleh mereka-mereka yang gemarkan aksi dan letupan. Pergilah menonton di pawagam berhampiran hari ini.

Haa...apa tunggu lagi??? Pergi lah sekarang...