Jumaat, 26 Februari 2010

NIYANG RAPIK (2010)


Review ini ditulis untuk www.yoyooh.com

Filem Niyang Rapik adalah merupakan sebuah filem seram terbaru arahan Ahmad Idham dan diterbitkan/diedarkan oleh MIG production sdn bhd. Filem ini dihasilkan dari legasi drama yang berjudul Puaka Niyang Rapik yang turut diarahkan oleh Ahmad Idham yang mana drama seram ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan dari penonton dengan rating penonton yang mencecah ke angka 4 juta apabila ianya disiarkan di TV3 pada setiap hari khamis.

Filem Niyang Rapik ini walau bagaimanapun adalah berlainan sekali dari drama Puaka Niyang Rapik. Ceritanya masih berlatarbelakangkan kampung yang bernama Niyang Rapik, namun watak-wataknya adalah berlainan sama sekali. Di dalam filem ini, kesemua watak-wataknya adalah watak baru yang tiada kena mengena dengan watak yang terdapat di dalam drama Puaka Niyang Rapik. Namun kandungan ceritanya masih berkisar tentang pengamalan ilmu hitam/paranormal dan gangguan-gangguan dari mahkluk-mahkluk halus yang mendiami kampung Niyang Rapik tersebut.

Ianya mengisahkan tentang sekumpulan pelajar jurusan arkeologi iaitu Helmi (Kamal Adli) Saiful (Zed Zaidi) Zizan (Shaheizy Sam) dan Amir (Awal Ashaari) yang terpaksa kembali ke sebuah kampung yang terletak di kawasan pendalaman yang bernama Niyang Rapik,dimana kampung ini pernah menjadi kawasan projek arkeologi mereka, bagi menghantar sebuah kerambit yang dikatakan menjadi punca kepada kematian misteri lagi menggerikan kawan mereka iaitu Zack (Fizz Fairuz) yang maut akibat busung.

Namun, kehadiran mereka untuk kali kedua di kampung tersebut sudah tidak lagi sama seperti kedatangan mereka dahulu. Kampung itu sudah menjadi sebuah kampung tinggal dan suasana suram dan menyeramkan menyelubungi kampung tersebut. Mereka bertekad untuk memulangkan kerambit yang diambil oleh Zack kepada Tuk Neram (Nasir Bilal Khan) iaitu ketua kampung tersebut dan satu-satunya insan yang dapat dan ingin membantu mereka di kampung tersebut adalah seorang gadis yang bernama Laila (Liyana Jasmay) iaitu anak gadis kepada Tuk Neram, juga bekas teman wanita Zack dan satu-satunya gadis yang rapat dengan mereka sewaktu mereka mengadakan projek di kampung tersebut dahulu.

Sangkaan mereka dengan menghantar kerambit tersebut. Masalah mereka telah selesai dan misteri kematin Zack akan terjawab namun, sangkaan mereka meleset kerana segala kejahatan yang menyeramkan dan yang menakutkan baru sahaja bermula dan menghantui mereka sebaik sahaja mereka memijakkan kaki ke kampung berpuaka yang bernama Niyang Rapik itu.

Secara keseluruhannya filem Niyang Rapik ini masih lagi mengekalkan formula biasa filem-filem seram tempatan. Hantu akan muncul di belakang watak tanpa watak menyedarinya dan kemunculan hantu tersebut adalah khas untuk dilihat oleh penonton dan terdapat bunyi latar dan bunyi efek seram yang keterlaluan sebagai satu usaha menakut-nakutkan penonton. Ini formula biasa filem seram dan Ahmad Idham sedari filem Jangan Pandang Belakang dan Congkak memang gemar bermain dengan formula ini. Namun pujian harus diberikan kepada jurusolek kesan khas kerana solekan yang dilakukannya terhadap watak-watak hantu dan puaka itu sememangnya berjaya menakutkan penonton.

Jalan cerita atau naratif filem Niyang Rapik ini juga mempunyai simmilarity atau persamaan yang agak ketara dengan filem-filem seram yang pernah dihasilkan di Malaysia iaitu tentang sekumpulan pelajar/anak muda dari ekspedisi yang mereka lakukan. Filem yang mempunyai naratif begini dapat dilihat dalam filem arahan Prof. A. Razak Mohaideen seperti Mistik, Potret Mistik, Rasukan Ablasadan Gong dan beberapa buah filem lain. Kerana itu, saya katakan tadi bahawa filem ini tidak lebih dari kitaran semula idea-idea lama filem seram yang sering kita lihat di layar perak.

Persamaan ini juga dapat dilihat terdapat di dalam aspek lakonan dan lakon layar, dimana kumpulan pelajar ini sering bertelagah sesama sendiri dan pertelagahan ini memungkinkan pelakon-pelakon muda ini menjerit di antara satu sama lain dan hasilnya filem ini hampir 80 peratus dialognya adalah terdiri dari dialog-dialog menjerit. Syukurlah ianya tidak seteruk Mistik atau Rasukan Ablasa walaupun hampir-hampir sahaja filem ini menjadi seperti dua filem itu yang selamanya akan diingati akibat kesakitan telinga penonton mendengar jerit lolong pelakon.

Dialog dan lakon layar terjerit-jerit sebegini hampir-hampir sahaja menjejaskan kehebatan seorang pelakon muda berbakat besar seperti Shaheizy Sam. Manakala Awal Ashaari dan Zed Zaidi juga kurang menyerlah lakonan mereka. Kemungkinan besar ini adalah disebabkan kerana lakon layar yang kurang kreatif, atau limitasi dialog yang tidak memungkinkan mereka boleh lebih mengimprovisasikan kemampuan lakonan mereka.

Dan satu perkara yang paling diambil lewa adalah di bahagian penataan seni. Ini dapat dilihat dari kerja-kerja penataan seni (tidak termasuk solekan yang bagus tadi) dilakukan secara ambil mudah dan sambil lewa. Ini dapat dilihat dari set yang terlampau bersih dan kelihatan baru dibina seperti set kedai makan yang papannya kelihatan terlalu baru, kayu pagar rumah yang juga terlalu baru dan bersih, Gua dimana menjadi tempat arkeologi juga adalah tersangat bersih. Ini belum lagi jika dilihat suasana di dalam rumah yang set dan propnya tidak meyakinkan bahawa itu adalah sebuah rumah kampung yang sebenar. Ianya bagaikan model rumah kampung yang dibina bagi tujuan pameran seperti yang terdapat di Taman Cahaya Bukit Cerakah. Terdapat juga prop-prop yang tidak munasabah seperti kerusi rotan yang tidak mempunyai kusyen di rumah Tuk Neram, Begitu juga kerusi batu yang diduduki oleh watak sewaktu adegan malam keramaian di kampung. Kerusi batu itu memanglah bentuknya seperti kayu, tetapi penonton tahu bahawa kerusi yang macam kayu itu adalah sebenarnya kerusi batu yang sering kkita dapat lihat di taman-taman. Hal-hal penataan seni ini tidak sepatutnya diambil mudah oleh Ahmad Idham kerana ianya sedikit sebanyak akan mempengaruhi logik visual filem ini. Samada pengarah seni tidak buat kerja atau bajet yang sedikit telah diberikan untuk bahagian penataan seni ini sehingga terjadinya kelewaan yang tidak sepatutnya berlaku ini.

Walau bagaimanapun, saya menikmati sedikit rasa takut dan seram di dalam filem ini di mana terdapat beberapa adegan yang menjadi favourite Ahmad Idham di dalam kebanyak filem seramnya iaitu babak exorcism atau babak kerasukan. Di dalam filem ini, Watak Helmi yang kerasukan dan bertenggek di serambi itu adalah babak yang agak menakutkan saya. Mood babak ini dan lakonan kerasukan oleh Awal boleh dikatakan menjadi. Ahmad Idham memang boleh menjadi pakar dalam babak kerasukan ini, lihat sahaja babak kerasukan dalam Jangan Pandang Belakang dan Congkak.

Babak watak kerasukan yang akan bertenggek di serambi telah berulang kali digunakan oleh Ahmad Idham, satu dalam Jangan Pandang Belakang, Pierre Andre yang kena rasuk berlari bertenggek di serambi, satu lagi di dalam drama Puaka Niyang Rapik kalau tidak silap, Liyana Jasmay bertenggek di atas serambi. Lakon layar ini pun recycle.

Perkara yang menyelamatkan filem ini dari menjadi sebuah filem seram picisan dan menghampakan adalah kerana pengakhiran filem ini yang tidak dapat diagak (unpredictable). Ini adalah sesuatu yang sangat berjaya bagi saya kerana ianya menjadi satu penyebab utama untuk saya mengatakan bahawa filem ini agak menarik kerana ianya membuatkan saya tertanya-tanya sehingga ke akhir cerita

Kesimpulannya, filem Niyang Rapik ini adalah sebuah filem seram dengan idea yang klise dan recycle namun mempunyai efek khas yang bagus, selain itu lakonan yang tidak begitu mengecewakan dari Sam, Awal, Zed dan Nasir Bilal Khan dan tidak lupa juga pada Liayana Jasmay menjadikan filem Niyang Rapik ini adalah sebuah horror flick cara melayu yang seronok untuk ditonton.

P/s- Ada adegan hot dari Liyana Jasmay. :) . Saya bagi 2 bintang setengah untuk filem ini.

3 ulasan:

amer zaman berkata...

ada adegan hot liyana jasmay?

tiba-tiba aku rasa filem ni wajib tonton.

Ajami Hashim berkata...

hot kah? hahaha!

Unknown berkata...

saya stuju dgn pndpat sudara/saudari mngenai pengakhirn crita yg xdpt dijngka.. crite ni mmg byk recycle dripd filem2 ahmad idhlam dluw.. tpi xpe la, yg pnting agk sronok juga la utk dtonton. cuma kurng seram saja. sbb mngkin babak nye cam da bese di tonton dripada filem2 sblumnya (recycle) .. k itu saje. salam..