Rabu, 25 Jun 2008

AYAT- AYAT CINTA

DI PAWAGAM MULAI 19 JUN 2008






Ayat- Ayat Cinta merupakan satu hasil produksi dari MD Pictures yang sebelum ini telah banyak menghasilkan sinetron- sinetron bermutu dari Indonesia melalui syarikat hiburannya iaitu MD Entertainment. Ianya juga boleh didapati dalam bentuk novel yang juga berjudul Ayat- Ayat Cinta (Verses of Love) hasil nukilan penulis muda yang berbakat Indonesia iaitu Habiburrahman El- Shirazy.


Filem arahan Hanung Bramantyo ini yang bergenre romantik dan drama, mengambil masa selama 130 minit penayangan bagi membawa penonton menyelusuri satu lagi kisah cinta yang agak luarbiasa dan penuh dengan kepelbagaian emosi sepanjang liku perjalanan cinta bagi tunjang utamanya Fahri Bin Abdillah, lakonan mantap oleh Fedi Nuril.


Filem ini turut dibarisi wajah wajah baru yang kurang dikenali di Malaysia namun berjaya membuktikan penjiwaan karakter mereka melalui filem ini. Namun, teknik penceritaan yang agak lemah membuatkan sesetengah penonton bagaikan kurang memahami plot plot yang dihasilkan.



(Fedi Nuril sebagai Fahri)




Filem ini mengisarkan tentang persoalan hidup manusia yang sentiasa mengalami turun naiknya. Istimewanya filem ini adalah kerana persoalan hidup itu dikupas secara pandangan Islam melalui karakter Fahri Bin Abdillah (Fedi Nuril) sebagai pelajar Indonesia yang berusaha keras bagi mendapatkan Ijazah Sarjananya di Al- Azhar, Mesir. Dia telah berjaya mengharungi setiap cabaran dalam hidupnya dengan penuh cekal kecuali permasalah cinta dan alam perkahwinan. Ini adalah kerana Fahri bersikap pasif terhadap perempuan selain dari kaum keluarganya dan iman yang tebal di dalam dada membataskan Fahri dari memikat mana mana perempuan untuk di jadikan suri hidupnya.


Namun begitu, takdir telah menetapkan segalanya buat Fahri. Setelah berada di Mesir, dia dikagumi oleh seorang wanita yang merupakan jirannya yang beragama Kristian namun amat meminati Al Quran. Wanita bernama Maria Girgis (Carissa Putri) ini walau bagaimanapun hanya sekadar mencurahkan cinta terhadap Fahri di dalam diari sahaja.


Fahri kemudiannya telah jatuh cinta pada Nurul (Melanie Putria) yang juga datang ke bumi Mesir demi mencari ilmu dan di dorong oleh bapanya, seorang imam yang terkenal di Indonesia. Bagaimanapun, perasaan Fahri yang kuat mengatakan bahawa terdapat jurang perbezaan yang besar di antara taraf kedudukan mereka membuatkan rasa cinta itu hanya di simpan di dalam hati dan sering menimbulkan keraguan dalam hati Nurul.


Muncul pula Noura (Zaskia Adya Mecca), jiran Fahri yang selalu di sika oleh ayahnya sendiri dan mengundang rasa simpati dalam hati Fahri. Rasa simpati Fahri itu sebaliknya telah di salahgunakan oleh Noura yang sememangnya menaruh hati terhadap Fahri dan memfitnah Fahri atas tuduhan memperkosanya hingga hamil.


Aisha (Rianti Cartwright) jatuh hati pada Fahri kerana kelantangan Fahri membela Islam dari tuduhan kolot dan kaku, lalu dengan sepasang matanya yang indah, Aisha turut membuatkan Fahri terpukau dan tidak mampu untuk berbohong kepada hatinya sendiri.


Siapakah yang sebenarnya menjadi pilihan hati Fahri? Mampukah Fahri menegakkan jalur jalur Islam dalam hidupnya seperti yang diyakininya selama ini? Saksikan kesudahan Ayat- Ayat Cinta di pawagam berhampiran anda. Selamat menonton!



1 ulasan:

DonCorleone berkata...

Salam. Banyak publisiti tentang filem ini, lalu aku membeli DVDnya dan menonton. Sayang sekali, aku rasa dalam pada membuat sebuah filem tentang kekuasaan Islam, filem ini menggambarkan tentang kealpaan orang Islam. Orang Islam Mesir digambarkan sebagai orang yang tidak buat usul periksa terhadap tuduhan. Mereka digambarkan sebagai pantas menghukum.

Memang benar bahawa filem ini mahu memperlihatkan Islam itu sebagai agama yang bertoleransi dan penyayang tetapi untuk sampai ke situ, Islam digambarkan sebagai dangkal.

Maafkan aku kalau kau rasa tak sama dengan apa aku rasa, tapi itulah apa yang aku rasa dan rasa itu tak semanis yang mungkin kau harapkan.

P/S; Perasaan tak jauh di bumi Mesir, bukan main ramai orang bisa berbahasa Indonesia termasuk polis Mesir itu sendiri.

Kalau tak silap aku, John Mctiernan ketika menghasilkan filem The Hunt For Red October pada 1990 lalu mahukan semua pelakonnya berbahasa Rusia tetapi sukar sekali kerana bintang utamanya, Sean Connery pun tidak boleh berbahasa Rusia, lalu ada satu babak yang dia buat almost 1 sec silence untuk memberikan petanda bahawa mereka akan bertukar dari bahasa Rusia kepada bahasa Inggeris. Transisi yang dia buat itu agak pelik, tapi aku boleh terima.