Jumaat, 8 Mei 2009

Sell out (Spoiler Alert)






Ketika aku mendapat jemputan bagi menonton filem ini, aku sedang kalut berhadapan dengan paper final exam dan kerja editing bagi filem pendek Nausea yang sudah sekian lama tertangguh perjalanan post- produksinya. Namun, peluang menonton Sell Out yang telah memenangi anugerah di Venice Film Festival dan Taipei Golden Horse Film Festival ini memang amat aku nanti- nantikan.

Filem ini diarahkan oleh Yeo Joo Han, pengarah muda yang sebelumnya telah menghasilkan beberapa filem pendek yang turut mendapat perhatian di festival luar negara, diantaranya ialah 'Adults Only(2006)' dan 'Girl in a Soap Bubble(2007)'.

***

Filem ini mengisahkan tentang seorang pengacara rancangan realiti tv, Rafflesia Pong lakonan Jerrica Lai yang berhadapan dengan masalah kegagalan program kendaliannya menarik perhatian penonton, di mana penonton lebih menggemari program realiti TV kendalian bakat baru Hannah Edwards Leong, seorang hos cantik Eurasian lakonan Hannah Tan. Justeru dengan rating yang turun mendadak, Rafflesia terdesak untuk mencari idea baru untuk mengisi program kendalian beliau atau berhadapan risiko disingkirkan dari Syarikat Fony multinasional.

Rafflesia yang terdesak kemudiannya memberi peluang kepada bekas kekasihnya yang sedang tenat, Tony (Lee Szu Hung) bagi membacakan puisi tentang percintaan mereka untuk slot terakhir program tv itu.

Sedang Tony membacakan puisi (yang kemudiannya bertukar menjadi muzikal), penyakitnya bertukar teruk dan mati di hadapan kamera. Apabila program itu disiarkan kemudiannya, ianya mendapat rating yang tinggi serta digemari oleh penonton, sekaligus mendorong Rafflesia untuk mengacarakan satu program realiti tv yang baru, iaitu program yang memaparkan detik sebelum kematian seseorang.

Syarikat Fony turut mempunyai bahagian penjualan barangan elektrik, di mana Eric Tan (Peter Davis) bekerja sebagai salah seorang dari pengurusnya. Eric Tan berhadapan dengan masalahnya yang tersendiri apabila dia mencipta satu mesin pelbagai fungsi yang boleh menukarkan bijirin kacang soya mentah kepada 8 jenis produk soya yang berbeza.

Namun malangnya ciptaan yang cukup cemerlang itu berhadapan dengan masalah, iaitu kedua- dua CEO dari Syarikat Fony hanya mahu produk yang diciplak dari luar, bukannya hasil originaliti mereka yang tersendiri dan produk tersebut haruslah mempunyai mekanisma rosak sendiri, yang akan berfungsi sebaik sahaja waranti tamat!

CEO tersebut turut menyumbang kepada permasalahan pada jalan cerita bagi filem ini dan merumitkan keadaan dengan membawa Eric Tan bertemu Bomoh yang kemudiannya memisahkan bahagian badan imaginasi Eric Tan dan bahagian badan realitinya. Namun bahagian badan imaginasi ini kemudiannya tidak dapat dihapuskan dari realiti, memaksa Eric Tan hidup dalam 2 jasad yang berbeza.

Eric Tan bertemu Rafflesia Pong di Syarikat Fony Multinasional dan dari situ plot diperkembangkan lagi dengan Rafflesia Pong yang kini terdesak mencari orang yang hampir mati bagi memenuhi kehendak program realiti tv nya manakala Eric Tan berhadapan dilema bagi memasarkan produk ciptaannya tanpa memenuhi kehendak CEO Fony untuk meletakkan mekanisma rosak sendiri di dalam produk tersebut. Berjayakah mereka berdua mendapat apa yang mereka impikan?

***

Filem ini mempunyai banyak lapisan yang harus diterokai bagi memahami apa yang hendak diperkatakan oleh pengarah. Aku secara peribadinya berpendapat filem 'Sell Out' ini adalah sebuah filem komedi gelap yang 'bagus' yang pernah dihasilkan di Malaysia. Komedi Sell Out ini bukan komedi kosong, ianya komedi yang berselirat dengan pelbagai kritikan terhadap pelbagai perkara.

Aku secara jujur amat tertarik dengan pelbagai isu yang dipertontonkan yang dipersembahkan secara satira dan parodi kepada penonton. Humor satira/ perodi ini bagi aku lebih halus menusuk kalbu dari filem-filem yang mengkritik secara 'lantang' dan 'terang'. Mungkin bagi sesetengah individu, menyampaikan sesuatu isu secara terang dan 'lepas' itu adalah satu perbuatan jujur dan 'gentleman', tetapi untuk mengkritik sesuatu isu, tidak semestinya harus kasar berbahasa, kadangkala dengan satira humor begini, pelbagai perkara dapat diperkatakan tanpa perlu begitu 'menyinggung' dan impaknya tidaklah lebih kurang pula 'pedasnya'.

Filem ini banyak mengkritik sosio-ekonomi dan budaya masyarakat khususnya di Malaysia. Dimana golongan pekerja adalah 'zombie' yang harus menurut kata. Idea, seni, dan 'kejujuran' pula adalah perkara-perkara yang terlarang dan merupakan satu 'taboo'.  

Apa yang paling penting adalah 'material'. Dunia materialistik inilah yang menggerakkan dunia oleh itu perkara yang paling diutamakan adalah bagaimana mahu memaksimumkan 'untung dan meminimalkan 'rugi'.  Oleh yang demikian dengan menggunakan syarikat konglomerat 'Fony' dan dua orang watak C.E.O nya yang sadistik, 'Sell Out' menghentam kapitalisme dan eksploitasi media terhadap massa. 

Sell Out mampu mempermainkan subjek gelap seperti kematian sebagai bahan komedi. Ini adalah salah satu contoh kritikan terhadap perkara-perkara popular dalam masyarakat seperti program Realiti TV yang sekiranya dilihat secara halus adalah program yang sangat zalim dan kejam.  Peserta program realiti harus bersedia terdedah kepada eksploitasi dan manipulasi media, dimana program ini mengeksploitasikan mereka untuk mendapatan keuntungan. Sila lihat realiti TV seperti AF, peserta AF dengan mudah terdedah kepada eksploitasi yang sangat kejam. Bakat nombor dua, populariti yang diambil kira. Tetapi perkara-perkara inilah yang dimahukan oleh penonton. Sell Out menunjukkan betapa masyarakat tergilakan program realiti sehinggakan program realiti tentang saat-saat kematian menjadi satu program yang sangat hits berbanding program seni yang di hoskan oleh Raflessia sebelum itu yang nyaris-nyaris dihentikan.

Selain itu, Sell Out juga memaparkan sikap prejudis  terhadap idea-idea baru yang melampaui pemikiran kebiasaan. Inilah yang dihadapi oleh watak Eric dimana dia terlalu 'idealis' sehingga bahagian yang idealistik ini terpaksa dipisahkan dari jasadnya dan kemudian bahagian itu harus dihapuskan. Yang tinggal adalah bahagian Eric yang 'zombie' dan hanya pentingkan keselesaan dan kestabilan hidupnya. 

Ini bukan perkara baru. Ingat naskah klasik Hang Nadim? Kebijaksanaan dan kepandaian kadangkala dilihat sebagai salah satu bentuk ancaman. 


***

Ada beberapa pengulas mengatakan satu-satunya perkara 'negatif' tentang Sell Out adalah kerana ketiadaan bahasa Melayu dan penonjolan watak Melayu di dalam filem, sehinggakan tidak nampak filem ini sebagai sebuah filem dari Malaysia.

Bagi aku, filem ini tidak seharusnya terjejas oleh kerana hal ini. Memang aku bersetuju bahawa bahasa melayu yang ada di dalam filem ini hanyalah akhiran 'lah' di dalam ayat Manglish yang dipertuturkan oleh watak. Tiada satu struktur ayat bahasa Melayu yang lengkap di dalam dialog ini meskipun ianya adalah sebuah filem dari Malaysia yang bahasa rasminya adalah bahasa Melayu. Begitu juga tiada langsung watak melayu di dalam filem ini.

Tetapi jika filem Sell Out ini dipersoalkan begini, mengapa filem-filem Melayu yang tiada penonjolan watak kaum minoriti lain tidak diajukan soalan yang serupa?

Sedangkan filem melayu itu juga adalah filem dari Malaysia?

***

Apa-apapun, filem ini sememangnya sebuah filem komedi yang sangat berbaloi untuk ditonton oleh anda. Tonton filem ini sebagai sebuah filem tanpa prejudis dan tanpa perasaan nasionalis dangkal. Anda pasti terhibur dan berbangga dengan filem ini.








6 ulasan:

Qarl berkata...

hehehe

dis movie sgt2 entertaining kan

Edzlin berkata...

saya sangat terkilan tak sempat menonton filem ini. sekarang saya di utara, dan tayangan di utara telah tamat. huhu sedih gilos.

semasa ia mula ditayangkan di seluruh malaysia, saya sibuk dengan exam. alangkah bagusnya kalau ia dijual dalam dvd/vcd, memang akan ku beli sebab setakat ini, semua orang beri review yang baik mengenainya

Naddy berkata...

aku menonton dengan jitunya tapi tak berapa nak masuk lagi dalam jiwa. partner aku dah berlayar ke dunia zzz dg diiringi gelak2 orang kat belakang.

Sinefelia berkata...

karl - yup... gelak-gelak tapi tak kosong.

edzlin007 - nanti akan keluar DVD dont worry, tapi beli yang ori ok?

mizzyN - hehe, its ok, lain org lain taste kan...

hilmi9685 berkata...

saya harap saya dapat menonton filem ni tidak lama lagi!

alhariesz berkata...

semalam saya menonton filem ini di Midvalley, and guess what? pawagam hampir penuh, dan hanya saya seorang yg berwarna 'cekelat' kat daam cinema...

bila kamu mengatakan tentang aspek 'Melayu', saya juga pada mulanya merasakan 'kekosongan' yg sama... mana peginya watak melayu? saya hanya lihat watak melayu di babak akhir filem, ketika tetamu2 program realiti membelasah 'Eric The Dreamer'...dan juga ketika undian SMS dijalankan...ada yg bertudung, rumah2 kmapung dan sesetengah yg lain saya kenal wajah mereka dari drama melayu tempatan, sering membawa watak tempelan...

dan perasan kah kamu, ada 3x azan kedengaran dilaungkan (background sound)...tak pasti samada disengajakan atau tidak... yg pasti, saya tidak memikirkan yang negatif...saya beranggapan Yeo sekadar ingin membawakan essence of Malaysia....itu saja...

verdict saya? 5 bintang untuk SELL OUT!...lagu2 nya juga menarik didengar dan sangat JUJUR...saya boleh LAYAN dan rasakan emosi setiap lagu, meskipun sekadar KARAOKE-like....

Syabas fiem Malaysia! :)