Isnin, 26 Januari 2009

Naratif 'Braveheart'

Pendahuluan
Manusia menonton filem adalah untuk satu tujuan, iaitu menikmati sebuah penceritaan. Filem merupakan satu medium bagi pengarah untuk menghidangkan idea sebuah cerita kepada khalayak atau penonton. Penceritaan ini digelar juga sebagai naratif. Naratif di dalam filem seringkali dikaitkan dengan filem-filem bercorak fiksyen, walaupun begitu, naratif juga terdapat di dalam genre-genre filem yang lain seperti dokumentari dan animasi dan ianya merupakan faktor utama yang menarik penonton untuk menonton sesebuah filem kerana penonton mahu melihat, mendengar dan menikmati naratif atau cerita yang terkandung di dalam filem tersebut.

Disini dapat dilihat bahawa makna naratif itu secara mudahnya boleh ditakrifkan sebagai ‘cerita’. Namun, apakah yang sebenarnya membentuk sesebuah naratif di dalam sesebuah filem fiksyen itu?. David Bordwell, merungkaikan persoalan ini dengan menyifatkan naratif sebagai:
A chain of events in cause – effect relationship occurring in time and space. A narrative is thus what we usually mean by term story, although we shall be using story in slightly different way later.

David Bordwell mengatakan bahawa naratif itu adalah rentetan dari keadaan sebab- akibat yang berhubungkait dengan masa dan ruang. Ini bermakna naratif berlaku apabila ada sesuatu yang mencetuskan atau menjadi penyebab sesuatu perkara dan berlaku tindakbalas yang terkesan akibat penyebab tersebut lalu jadilah sebuah jalinan cerita atau jalinan naratif.

Naratif khususnya di dalam filem tidak dapat bediri sendiri tanpa ada struktur yang membentuk naratif tersebut. Pelbagai teknik penceritaan atau teknik naratif dieksploitasi oleh pengarah bagi tujuan membentuk sebuah sistem penceritaan dan seterusnya membentuk naratif. Naratif di dalam filem juga merupakan satu kesinambungan plot yang berpecah-pecah yang membentuk satu idea cerita. Esei ini, dengan tujuan perbincangan, akan mengupas struktur-struktur dan teknik-teknik yang digunakan yang terdapat di dalam naratif bagi membentuk sebuah fiksyen di dalam sesebuah filem. Untuk tujuan ini, filem Braveheart arahan pelakon dan aktor terkenal iaitu Mel Gibson akan di jadikan sumber perbincangan. Esei ini akan membincangkan secara terperinci struktur naratif yang membentuk jalinan cerita di dalam filem tersebut.

Sinopsis Filem Braveheart.
Filem Braveheart adalah berdasarkan riwayat hidup sebenar seorang wira Scotland yang bernama William Wallace yang mengetuai pasukan penentang Scotland bagi membebaskan tanah airnya dari penjajahan dan kezaliman Raja England iaitu King Edward Longshank. Pada awalnya, William Wallace tidak mahu terlibat dengan gerakan kumpulan penentang kerana beliau pulang ke Scotland adalah untuk membina sebuah kehidupan biasa yang aman damai.

Namun, hasratnya untuk membina sebuah keluarga dan hidup sebagai seorang petani biasa musnah apabila Murron, iaitu isteri yang dinikahinya secara sembunyi-sembunyi (kerana mahu mengelakkan undang-undang England yang memberi hak kepada tuan tanah Inggeris menyetubuhi pengantin perempuan pada malam pertama), telah dibunuh dengan zalim oleh seorang bangsawan Inggeris. Pembunuhan Murron ini menyebabkan beliau telah menyerang kubu bangsawan tersebut lalu membunuh bangsawan Inggeris itu dengan bantuan beberapa orang rakan-rakannya.

Kejayaan William Wallace membunuh bangsawan Inggeris tersebut telah menyemarakkan semangat orang-orang Scotland yang mahukan kebebasan untuk bersama-samanya menentang penjajahan Inggeris dan mereka telah melakukan serangan demi serangan dan mencapai kejayaan. Hal ini telah menyebabkan Raja Edward Longshank mengarahkan tenteranya menyerang Scotland bagi menghapuskan penentangan. Walaupun pihak William Wallace telah berjaya dalam banyak siri serangan, namun bangsawan Scotland yang saling berebutkan takhta Scotland tidak menyokong gerakan pembebasan yang diketuai oleh Wallace. Ini kerana mereka telah disogok oleh Raja Edward Longshanks dan tidak yakin dengan kemampuan orang-orang Scotland menentang tentera Inggeris yang mempunyai tentera berkuda yang kuat.

Namun kerana karisma dan kebijaksanaan Wallace, para bangsawan ini telah dipaksa berperang dan tentera Inggeris telah dapat ditewaskan. William Wallace menjadi lebih popular dan lebih ramai sukarelawan yang menyertai William Wallace. Dengan kekuatan yang telah diperolehi, akhirnya Wiiliam Wallace telah menyerang Utara England dan merampas kota York. Hal ini telah menyebabkan Raja Edward Longshank terpaksa menghantar menantunya untuk membuat gencatan senjata dengan pihak pemberontak. Namun, gencatan senjata ini merupakan satu helah Longshank untuk menyerang Wallace dan akhirnya, dengan kelicikan Longshank dan akibat pembelotan dari golongan bangsawan. William Wallace telah ditangkap dan kemudiannya telah dijatuhkan hukuman mati.

Walaupun telah diseksa dan dizalimi, William Wallace tidak meminta ampun dari Longshank yang melabelkannya sebagai penderhaka dan sehingga ke saat-saat akhir hayatnya William Wallace tetap dengan pendiriannya dan menjerit perkataan ‘Freedom’ yang bermaksud ‘Kebebasan’. Akhirnya Wallace telah dijatuhi hukuman mati dengan dipancung kepala dan mayatnya telah dikerta-kerat dan di letakkan di empat penjuru negara England sebagai amaran kesalahan menderhaka.

Perbincangan Struktur Naratif Di Dalam Filem Braveheart
Filem Braveheart ini merupakan sebuah filem di dalam genre epic yang diadaptasi dari peristiwa sebenar yang berlaku pada kurun ke 13. Filem ini mengisahkan tentang perjuangan seorang wira dari negara Scotland yang bernama William Wallace yang telah memberontak menentang penjajahan Inggeris.

Di awal filem, penonton akan terdengar muzik non-diegetic iaitu tiupan vio pipe iaitu intrumen muzik orang-orang Scotland dan kemudiannya filem bermula denga suara voice over yang bertindak sebagai narrator di dalam filem ini. Suara narrator ini kemudiannya dapat dikenalpasti di akhir filem iaitu milik suara Robert Bruce ke 17. Penggunaan Narrator di dalam filem ini telah membantu penonton untuk mendapat gambaran sepenuhnya tentang naratif filem ini. Ini kerana narrator telah berkongsi sedikit sebanyak pengetahuannya dan menceritakan kepada penonton.

Perkara yang paling utama bagi mengkaji struktur naratif adalah penyebab dan akibat atau cause and effect. Tindakbalas penyebab dan akibat ini yang membentuk sebuah jalinan naratif yang kukuh. Di dalam filem Braveheart, naratif digerakkan oleh watak utama iaitu William Wallace lakonan Mel Gibson. Di dalam filem ini kita dapat melihat bagaimana elemen cause and effect pada watak utama telah membentuk satu jalinan naratif sehingga ke akhiran cerita. Di dalam filem ini, dapat dilihat pembunuhan beramai-ramai dan pembunuhan ayah dan abang William Wallace telah menyebabkan kesan trauma di dalam hidup Wallace dan dendam ini telah tersimpan sehinggalah Murron pula dibunuh oleh tentera Inggeris dan menyebabkan Wallace telah bertindak memerangi dan menentang penjajahan Inggeris. Di sini, dapat dilihat bahawa pembunuhan ayah, abang dan Murron adalah menjadi penyebab dan pemberontakan Wallace adalah bertitik tolak dari pembunuhan tersebut. Selain itu, pemberontakan dan penentangan yang dilakukan oleh William Wallace menjadi penyebab kepada hukuman mati yang dijatuhkan kepadanya.

Selain itu, setiap watak sampingan di dalam filem Braveheart ini juga adalah disebabkan cause and effect, iaitu golongan bangsawan telah bertindak membelot adalah disebabkan sogokan Longshanks dan mahukan pengaruh England bagi mendapatkan takhta. Manakala Longshank membunuh Wallace adalah disebabkan Wallace telah menyebabkan orang-orang Scotland menentang penjajahannya.Di sini kita dapat melihat rantaian sebab dan akibat di dalam filem Braveheart ini. Selain daripada sebab dan akibat yang dipandu oleh watak utama dan watak sampingan, elemen cause and effect ini juga boleh di lihat dari skop yang lebih luas iaitu kekejaman tentera dan bangsawan Inggeris telah menyebabkan penentangan dari orang-orang Scotland.

Filem Braveheart ini telah mengaplikasikan jalan penceritaan yang linear iaitu mengikut kronologi. Maksud perjalanan naratif yang linear adalah pergerakan masa di dalam filem adalah mengikut kronologi dan turutan plot iaitu dari A ke B dan seterusnya C dan D. Selain itu, untuk menjelaskan struktur naratif linear ini adalah dengan melihat susunan beginning, middle dan end naratifnya. Di dalam filem Brveheart ini ketiga-tiga faktor ini amat jelas ditunjukkan mengikut kronologi.

Penonton dapat menyaksikan filem berjalan dari William Wallace yang masih kecil telah kematian ayah dan abangnya dan dia kemudiannya telah dijaga oleh pakciknya dan kembali semula ke Scotland. Sekembalinya dia ke Scotland, Wallace telah menjadi seorang yang dewasa dan bertemu Murron. Murron dibunuh dan Wallace telah mengetuai pemberontakan dan akhirnya Wallace telah dijatuhi hukuman mati. Pergerakan naratif yang tersusun dan mengikut urutan dari satu peristiwa ke satu peristiwa, atau dari satu plot ke satu plot ini menjadikan naratif di dalam filem Braveheart ini adalah linear iaitu peristiwa A di ikuti oleh peristiwa B dan kemudiannya ke C tanpa ada plot yang melompat dan perlu disusun semula bagi menjelaskan keseluruhan idea naratifnya.

Selain melihat susunan linear atau tidak linear sesebuah naratif, perkara yang penting yang perlu di beri tumpuan adalah terhadap karekter. Karekter yang diberi tumpuan adalah watak protagonist, watak antagonis dan watak-watak sampingan. Kesemua watak-watak ini menyumbang kepada struktur naratif di dalam sesebuah filem. Setiap karekter mempunyai sifatnya yang tersendiri dan mempunyai matlamat dan tujuan yang tersendiri yang memberi signifikan di dalam naratif sesebuah filem. Watak utama, iaitu watak terpenting merupakan nadi kepada naratif. Ini kerana sikap dan matlamat serta tujuannyalah yang menjadi penggerak kepada naratif. Menurut Bordwell lagi :

The agents of cause and effect are charecters, by triggering and reacting to events, charecters play roles within the film’s formal system.

Di dalam filem Braveheart, William Wallace merupakan seorang yang bijak, licik, dan seorang yang mempunyai karisma. Ciri-ciri ini menjadikan dia mampu membentuk satu kumpulan penentang untuk melakukan pemberontakan yang menjadi intipati kepada naratif. Tanpa karekter atau watak utama, sesebuah naratif itu tidak akan wujud.

Selain daripada watak utama, watak antagonis akan mewujudkan satu timbal balik terhadap matlamat dari watak protagonis yang kemudiannya menjadikan naratif tersebut lebih dramatik. Ini kerana matlamat watak utama haruslah mempunyai konflik dan halangan bagi mewujudkan sesebuah naratif yang bermakna. Watak antagonis di dalam filem Braveheart ini adalah Raja Edward Longshank yang menjadi musuh kepada William Wallace. Longshank merupakan seorang raja yang zalim dan kejam serta tidak berhati perut. Longshank telah menguasai Scotland dan telah membunuh serta memperkenalkan semula undang-undang yang zalim iaitu prima noctis yang memberi hak kepada bangsawan untuk menyutubuhi pengantin perempuan pada malam pertama. Watak antagonis Longshank ini telah menjadikan naratif berkembang dengan sebab causal and effect yang sering bertimbal balik dengan matlamat protagonist.

Selain itu, watak-watak sampingan juga turut member sumbangan yang bermakna kepada naratif iaitu dengan membantu matlamat protagonist atau membantu matlamat antagonis. Di dalam filem ini ditunjukkan watak-watak sampingan seperti Hamish yang membantu Wallace dan bangsawan-bangsawan Scotland yang bersekongkol dengan Longshank memerangkap Wallace. Watak-watak kecil pula adalah bertujuan membina subplot-subplot di dalam plot naratif contohnya watak Raja Muda England yang lemah dan tidak berupaya serta digambarkan sebagai Homoseksual dan watak Robert Bruce ke 17 yang mahukan takhta namun sering berkonflik dengan dirinya samada mahu menyokong Wallace dengan kemahuan bapanya.

Di samping itu, Filem Braveheart ini lebih menumpukan kepada restricted narrative iaitu naratif yang di dorong oleh watak-watak utama. Di dalam filem ini, watak telah mengembangkan naratif dengan peristiwa-peristiwa yang dirancangnya dan penonton mengikuti perkembangan naratif ini melalui peristiwa-peritiwa yang berlaku atau yang dilakukan oleh watak. Watak telah mengetahui apa yang akan dilakukannya tetapi penonton masih tidak tahu dan ini telah memberi kesan misteri atau suspen kepada penonton. Filem Braveheart lebih cenderung kepada restricted narratives dimana setiap tindak tanduk Wallace hanya dapat diketahui apabila dia melakukan perkara tersebut.

Namun, terdapat juga adegan dimana penonton mengetahui apa yang akan berlaku atau sudah berlaku tetapi watak di dalam filem tidak tahu dan ini dipanggil Omniscent Narration. Di dalam Braveheart terdapat satu adegan dimana penonton tahu bahawa Longshank dan golongan bagsawan yang menyokong Robert Bruce sedang membuat konspirasi untuk memerangkap Wallace sedangkan Wallace tidak mengetahui perkara ini. Selain itu terdapat juga adegan di mana Murron telah ditangkap oleh tentera Inggeris tetapi Wallace tidak menegtahuinya dan terus berlari kearah hutan dimana dia menyuruh Murron menunggunya. Di dalam sudut pandangan Omniscent ini penonton diberi hak untuk mengetahui sesuatu perkara yang tidak diketahui oleh watak kerana itu sudut pandangan ini juga digelar sebagai sudut pandangan ‘Tuhan’.

Selain itu, terdapat unsur-unsur parallelism dan similarity di dalam filem ini yang memberi gambaran awal kepada penonton. Paralellelism dan similarity bertujuan bagi memberi keupayaan kepada penonton membuat persamaan dan seterusnya mendapat clue awal terhadap naratif yang akan berlaku. Di dalam filem Braveheart ini terdapat adegan yang bercorak paralellelism iaitu persamaan watak, gesture atau gerak geri dan karekter pelakon. Contohnya, adegan saling berpandangan di antara Wallace dan Murron mempunyai persamaan dengan adegan saling merenung mereka sewaktu kanak-kanak dahulu. Begitu juga dengan Hamish, dimana kelakuan menumbuk yang dilakukan oleh Hamish terhadap Wallace di dalam adegan keramaian perkahwinan adalah sama dengan adegan dimana Hamish menumbuk Wallace ketika mereka masih kecil. Tumbukan Hamish dewasa telah mengingatkan penonton kepada Hamish sewaktu kecil dan kelakuan menumbuk itu berulangan tiga kali di dalam filem ini.
Kesimpulan
Struktur naratif merupakan satu perkara yang penting di dalam jalinan naratif bagi sesebuah filem yang di hasilkan. Sekiranya struktur naratif di dalam sesebuah filem itu longgar dan tidak kukuh maka jalinan naratif yang terhasil sudah pasti tidak member impak dan signifikan seperti yang diharapkan kepada penonton. Pengetahuan tentang pembinaan dan mengenal pasti struktur naratif ini adalah amat penting bagi pengarah mahupun penonton agar sesebuah filem itu dapat dihasilkan dan dinilai secara munasabah oleh kedua-dua belah pihak.

Filem Braveheart merupakan salah satu contoh filem yang mempunyai naratif yang kuat dan amat memberi impak kepada penonton. Ini kerana pengarah filem ini iaitu Mel Gibson berjaya membina struktur naratif yang kuat dan kemas sehingga filem tersebut menjadi antara filem-filem terbaik yang pernah dihasilkannya.

2 ulasan:

hady berkata...

salam

hi, comment ni takde kena mengena dengan braveheart

cuma nak tau apa pendapat anda tentang filem pensel

baru baru ni, dalam flight balik ke malaysia, ada pilihan filem pensel. tertarik dengan tajuknya. saya menontonya.

lakonan berkesan. jalan cerita juga boleh tahan. cuma saya sedikit hampa kerana penceritaan nya terus menerus memaparkan penderitaan OKU itu sampai satu tahap, terasa rimas dan seakan tidak logik.

selepas filem tamat. saya terasa penat. cukup penat. terus tertido.

apa pendapat anda?

Ikhares berkata...

hady - kami akan buat ulasan filem pensel tidak lama lagi.

harap sabar menunggu,ya.. :)