Jumaat, 16 Januari 2009

MAUT

MAUT baru sahaja ditayangkan semalam. Aku bertuah dapat menonton previewnya. Kelewatan upload bukan disengajakan. Jodoh aku dengan broadband maxis aku tidak panjang. Kami baru sahaja berpisah 2 minggu lepas. Dan kehilangannya amat dirasai. Haha...Sebab itulah aku tidak dapat upload preview MAUT ini dari awal.

MAUT arahan Bade Hj Azmi adalah sebuah naskah filem yang berunsur dakwah. Berunsur keagamaan. Bade akui sendiri bahawa dengan umurnya yang semakin lewat, dia mahu mengisi sesuatu yang holistik di dalam karya-karyanya. Oleh itu terhasillah filem MAUT ini.

Filem MAUT ini mempunyai 3 cerita yang berlainan tetapi mengangkat satu persoalan yang sama iaitu kehidupan selepas mati.

Cerita yang pertama adalah mengenai seorang gadis, iaitu Sue ( Liyana Jasmay) yang telah di datangi oleh seorang gadis misteri, iaitu Fadilah (Noreminadiya) yang meminta untuk tumpang bermalam. Pada keesokkan harinya Fadilah telah pergi begitu sahaja dan misteri kedatangannya menghantui hidup Sue. Misteri ini semakin rumit apabila Sue mendapat tahu bahawa gadis yang tumpang bermalam di rumahnya itu adalah seorang remaja yang hilang/ lari dari rumah dan sedang dicari oleh keluarganya.

Cerita kedua pula adalah mengenai seorang pramugari, iatu Farah ( Sabrina) yang mengamalkan gaya hidup hedonistik. Dia kemudiannya berkahwin dengan seorang lelaki kulit putih kerana beranggapan lelaki kulit putih lebih berfikiran terbuka dan dapat bertoleran dengan kehidupan bebasnya. Namun, setelah mendapati suaminya berlaku curang dan berlaku pertengkaran di antara mereka berdua, Farah bertindak keluar dari rumah. Sewaktu memandu kereta bersendirian Farah telah terbuka hatinya untuk mengadu nasibnya pada Tuhannya setelah mendengar laungan azan dari radio kereta. Namun belum sempat dia menjejakkan kaki ke dalam masjid dia telah jatuh pengsan.Sewaktu tidak sedarkan diri itu dia telah mendapat petunjuk dari yang Yang Maha Kuasa.

Cerita ke tiga pula adalah mengisahkan tentang seorang remaja lelaki yang terjebak di dalam gejala Black Metal iaitu JJ atau Jamil ( Que). JJ adalah seorang pengikut muzik Black Metal yang 'true' hingga sanggup mencacahkan tatu kepala kambing dan pentagram di badannya yang menjadi simbol pada muzik black Metal tersebut. JJ juga sudah membuang segala ajaran Islam di dalam hidupnya dan beranggapan bahawa ajaran yang terkandung dalam kitab suci adalah bohong. Kemuncak cerita ini berlaku apabila JJ terbabit dalam satu kemalangan sewaktu pulang dari sebuah gigs haram Black Metal. Sewaktu dalam nazak, barulah JJ sedar segala yang dijanjikan di dalam kitab suci yang dianggap bohong itu adalah benar.

***

Filem MAUT ini adalah sebuah filem yang mencampurkan elemen real magis dan holistik. Kepercayaan adalah sesuatu yang abstrak dan ghaib, serta misteri tetapi telah divisualkan oleh Bade.

Di dalam cerita satu penonton dapat melihat perkara yang misterius di mana seseorang yang mati dapat berkomunikasi dengan seseorang yang masih hidup. Perkara ini amat kompleks untuk difikirkan secara rasional. Di lihat dari segi agama pula ' Apabila seseorang anak Adam itu mati maka terputuslah hubungannya dengan saudaranya di dunia'. Penglibatan deria keenam mungkin jawapannya.

Namun Bade dengan bijak menggelirukan dan memberi tanda tanya kepada penonton adakah Fadilah mengunjungi Sue sebelum dia mati atau selepas dia mati?

Cerita satu ini lebih mirip kepada filem horor, atau filem hantu yang klise. Elemen deria keenam ini telah banyak kali diangkat ke layar perak. Aku pada mulanya tidak nampak sesuatu yang holistik di dalam cerita satu ini. Namun Pandangan aku berubah dalam cerita kedua.

Cerita kedua membawa satu pembaharuan di dalam sinema Malaysia apabila satu perkara yang ghaib, iaitu neraka dapat divisualkan. Walaupaun sewaktu adegan ini tertulis teks yang mengatakan visual neraka itu tidak melibatkan mana-mana ajaran tetapi bagi aku yang beragama Islam, seksaan rambut terbakar itu dengan pantas dapat di hubungkaitkan dengan seksaan bagi wanita yang mendedahkan aurat rambutnya.

Visual ini memang ngeri. Walaupun visual neraka dapat di lihat seperti di dalam filem 'Constantine' tetapi visual neraka di dalam 'Maut' ini lebih dekat dengan diri aku. Bagi mereka yang masuk panggung dengan tujuan untuk membuat wayang sendiri baik fikir dua kali untuk melakukan adegan buruk anda di dalam panggun yang menayangkan filem Maut ini.

Cerita kedua ini adalah cerita dakwah. Aku setuju. Ianya sangat menginsafkan. Jika kamu menontonnya dan tidak merasa sesuatu yang menggerikan di dalam mungkin hati kamu adalah hati batu.

Cerita ketiga pula. Tujuan dan mesej keagamaan di dalam filem ini semakin jelas ditonjolkan. JJ telah mendapat habuannya secara 'cash' seawal nazak. Dan balasan yang diterimanya sebelum jenazahnya di kebumikan adalah sebagai petunjuk kepada mereka-mereka yang masih hidup.

Keseluruhannya, filem Maut ini adalah versi filem untuk kisah-kisah teladan yang dapat penonton baca di dalam majalah nyamuk...eh..majalah kesayangan nombor satu rakyat Malaysia iaitu ' MASTIKA".

***

Aku tidak tahu kenapa terdapat lebih dari dua babak yang soft focus di dalam filem ini. ??? perkara ini sangat tidak patut berlaku lebih-lebih lagi apabila pengarahnya adalah Bade yang juga merupakan bekas D.O.P tersohor Malaysia.

Adegan yang patut menggerikan tetapi entah kenapa membuatkan aku tergelak adalah adegan di aman jenazah JJ di masukkan ke dalam van jenazah. Kelakar apabila kempat-empat absorber van itu patah serentak sebaik sahaja van jenazah cuba dihidupkan. Ideanya adalah untuk menunjukkan jenazah JJ itu berat tetapi ianya menjadi satu bahan lucu. Hilaian ketawa dapat di dengari di dalam panggung.

***

Filem MAUT ini adalah sebuah filem yang bagus untuk di tonton oleh semua lapisan masyarakat terutamanya bagi masyarakat muslim di Malaysia. Berhibur di samping menginsafi adalah aktiviti hiburan secara serampang dua mata yang memberi banyak manfaatnya. selamat menonton!

Sori tiada poster.