Khamis, 26 Mac 2009

Skrip 7707 - (Spoiler alert).

Selepas Rasukan Ablasa, sebuah lagi filem seram arahan A. Razak Mohaideen yang bakal menyusul tahun ini adalah Skrip 7707. Filem ini agak istimewa bagi aku kerana aku terlibat secara langsung dalam pembikinannya iaitu sewaktu aku menjalani latihan praktikal di Line Clear 4 tahun yang lalu. Walaupun waktu itu aku memegang peranan kecil di sebalik tabir iaitu sebagai pembantu produksi ( baca: pencacai) di dalam department penataan seni, aku begitu ternanti-nantikan final produk filem ini. Setelah hampir 4 tahun menunggu, akhirnya semalam aku berpeluang menyaksikan produk akhir filem ini di Dewan Seri Budiman, Uitm Shah Alam, sewaktu tayangan promosi filem yang dianjurkan oleh pelajar semester kelima Ijazah Sarjana Muda Skrin dan Penulisan Skrin.

Filem Skrip 7707 ini diarahkan oleh A. Razak Mohaideen bersama Azhari Zain, dan Heykal. Filem seram kelima Razak ini menampilkan satu kelainan ( ya, aku tahu...kelainan Razak memang mengundang skeptikal kalian) kerana filem ini mempunyai sepuluh cerita hantu di dalam satu cerita hantu. Cerita-cerita seram/ hantu ini merupakan kisah dan cerita hantu yang dipetik atau sering didengari dari kisah 'urban legend', cerita hantu orang tua-tua, kisah komersil seram teladan dari majalah-majalah nyamuk seperti Mastika, serta kisah seram dari pengalaman individu persendirian. Aku masih ingat sewaktu proses pre produksi filem ini, pelajar praktikal dan semua warga produksi Line Clear telah bersama-sama pitching idea dan kisah hantu masing-masing bagi mendapatkan sembilan buat kisah hantu yang terbaik atau terseram atau entah apa-apalah untuk menghasilkan filem Skrip 7707 ini.

Akhirnya setelah selesai sesi pitching ini, sembilan buah cerita seram telah terpilih dan kesemua kisah seram itu diadun ke dalam sebuah satu cerita.

***

Filem Skrip 7707 ini mengisahkan tentang seorang pengarah filem iaitu Burn a.k.a Bakar (Norman K.R.U) sedang mencari satu skrip cerita seram untuk dijadikan filem. Kerana tidak berpuas hati dengan skrip-skrip seram yang ada, Burn cuba mendapatkan kisah-kisah seram dari orang ramai. Dia mahu mendengar sendiri kisah dan pengalaman seram sebenar orang ramai dan kemudiannya mengadaptasikan kisah-kisah seram itu ke dalam filem yang bakal diarahkannya. Untuk memberi lebih impak kepada mood sesi penceritaan seram itu, Burn memilih sebuah jirat cina yang berhantu sebagai lokasi sesi penceritaan tersebut.

Masa sesi tersebut dijalankan pula adalah pada pukul 12 malam. Burn kemudiannya memilih satu tarikh iaitu pada 7 haribulan 7, 2007 , (tarikh yang menjadi tajuk filem ini) serta menyuruh pembantunya ( Fauziah Ghouse), menghebahkan sesi penceritaan tersebut ke dalam akhbar.

Pada tarikh dan waktu yang telah ditetapkan, Burn telah ke jirat cina tersebut dan disana sekumpulan orang ramai sedang menunggu beliau. Jumlah mereka adalah seramai 9 orang. Sebelum sesi penceritaan bermula, Burn mengambil gambar bersama-sama 9 pencerita tersebut dan kemudiannya dia mendengar dan merakam satu persatu cerita seram mereka. Seorang demi seorang memperdengarkan kisah seram masing-masing dan sewaktu mereka ini bercerita visual bertukar secara imbas balik (flash back) mengikut kisah yang diperdengarkan. Penonton akan dapat menyaksikan imbas balik ini umpama filem-filem pendek dari satu kisah ke satu kisah yang lain.

Setelah mendengar kesembilan buah cerita dari kesembilan orang tersebut Burn pulang ke rumah dengan hati yang puas kerana matlamatnya untuk mendapatkan kisah-kisah seram telah tercapai hasil pengalaman kesembilan orang tadi. Namun, sewaktu sampai ke pejabat, Burn yang kegirangan telah berubah wajah apabila dia sampai ke pejabat, pembantunya telah memberitahu bahawa tarikh sebenar sesi penceritaan seram tersebut adalah hari itu. Bukan semalam.

Oleh yang demikian, siapakah sembilan orang pencerita yang bersama Burn di jirat cina pada malam itu.

***

Filem Skrip 7707 ini Terdapat 9 buah kisah seram yang diceritakan oleh 9 orang yang berbeza iaitu ( tidak mengikut kronologi naratif filem):

Kisah sebuah bilik kolej yang berkunci. Kisah ini merupakan kisah 'urban legend' bagi pelajar kolej IPTA awam di negara ini. Bilik yang berkunci itu telah dikunci kerana berlaku peristiwa buruk yang menyebabkan kematian. Perasaan ingin tahu seorang pelajar yang bertindak nekad untuk mengetahui apa yang ada di dalam bilik yang berkunci tersebut telah menyebabkan dia telah diganggu oleh 'sesuatu' yang tidak tenteram yang menghuni bilik tersebut.

Kisah kedua juga merupakan kisah seram yang berlaku di sebuah IPTA awam. Kisah ini mengenai pengalaman seorang pelajar yang pulang lewat dari makmal komputer. Sewaktu menggunkan lif untuk turun ke tingkat bawah dia telah diganggu oleh 'sesuatu' dan kemuncak gangguan tersebut adalah lif yang digunakannya telah menghantarnya ke alam lain.

kisah seterusnya adalah kisah mengenai kepulangan roh seorang remaja yang mati kemalangan ke rumah kerana menuntut haknya yang tidak disempurnakan dengan betul oleh keluarganya. Selain itu terdapat kisah hospital berhantu, kisah hantu bidan pemakan bayi, kisah seram sedih seorang gadis yang terjun ke dalam perigi , kisah roh seorang budak mati dibunuh yang menuntut kembali haknya yang dicuri, kisah hantu cantik dan kisah seram ngeri memberi pengajaran tentang mayat seorang budak yang bertukar kerana tidak menunaikan solat.

Kisah imbas balik yang berjumlah sembilan buah ini apabila dicampurkan dengan kisah yang terjadi kepada Burn menjadikan kesemua kisah seram di dalam filem ini berjumlah sepuluh buah. Khabarnya satu rekod ( rekod Malaysia sahaja mungkin) kerana tiada filem seram yang dibikin sebegitu sebelum ini.

***

Secara peribadi aku berpendapat bahawa filem skrip 7707 ini adalah sebuah filem seram Razak yang terbaik setakat ini berbanding filem seram-jerit-pekik-terlolong-tanpa hujung pangkal Razak yang lepas-lepas seperti Mistik, Potret Mistik, 7 perhentian ( ini seram ke) dan terbaru Rasukan Ablasa.

Hal ini mungkin kerana penonton tidak dibiarkan menunggu lama elemen keseraman (baca: hantu) muncul dalam setiap cerita yang diceritakan. Filem ini adalah kisah hantu dalam kisah hantu. Setiap kisah yang berbeza menampilkan hantu yang berbeza. Selain perbezaan hantu, latarbelakang, masa, pelakon dan lokasi juga berbeza. Setiap perbezaan ini menimbulkan suasana baru dan segar kepada penonton sehingga penonton perlu fokus kepada setiap cerita yang disampaikan.

Selain itu, filem skrip 7707 ini menggunakan para pelakon yang agak ramai bagi memenuhi keperluan 9 buah kisah seram yang berbeza itu. Penggunaan pelakon yang ramai ini telah menjadikan filem ini dapat dipecahkan kepada dua kategori mengikut aspek dan mutu lakonan. Kisah seram yang menampilkan pelakon senior, veteran dan berbakat seperti M. Rajoli, Mak Jah, Que Haidar memberikan penonton sebuah kisah seram yang berkualiti kerana kualiti dan gaya lakonan mereka yang mantap. Manakala kisah yang menampilkan pelakon baru yang masih jauh perjalananya dalam dunia lakonan akan memberikan pekikan lolong menyakitkan telinga kepada penonton. Pelakon kategori pertama telah berjaya menyelamatkan filem ini dari menjadi seperti mistik dan Rasukan Ablasa.

Di samping itu, penggunaan solekan, kesan-kesan khas. dan kesan khas bunyi banyak membantu dalam menimbulkan dan mewujudkan elemen horor di dalam filem ini. Malangnya, Dewan seri Budiman bukanlah panggung yang mempunyai sistem bunyi Dolby oleh kerana itu, kesan khas bunyi sebenar filem tersebut tidak dapat dirasai oleh aku. Aku dengan jujurnya perlu akui bahawa kesan khas di dalam filem ini jauh lebih baik dari Rasukan Ablasa dan ianya banyak membantu Razak menyakat penonton semalam.

Yang paling menarik adalah 2 ekor hantu di dalam filem ini tidak sekadar menyakat dan mengganggu mangsanya. Tetapi juga memukul sehingga mati dan memakan mangsanya. Bagi blogger Ajami yang sukakan Histeria James Lee kerana hantu raya James Lee makan orang. Sekarang. Hantu Razak juga sudah makan orang. Mungkin tidak se'gore' hantu raya James Lee tetapi Hantu Bidan yang memakan bayi dengan muka yang berlumuran darah boleh dikategorikan sebagai hantu yang brutal juga. haha.


Akhir sekali.

Keseraman itu berbeza mengikut kadar keboleh terimaan seseorang. Orang yang hatinya kaldu/kering mempunyai kadar takut yang berbeza dari seorang penakut tegar. Aku melihat Skrip 7707 ini sebagai sebuah filem seram yang mempunyai kepelbagaiaan tahap keseramannya. Di dalam 9 buah kisah seram itu ada kisah yang agak seram, ada kisah seram yang tidak begitu menjadi dan ada kisah seram yang nak dibikin seram tetapi kerana mekap, kostum dan lakonan yang tidak kena akhirnya ia menjadi kelakar.

Walau bagaimanapun, setelah menonton dan melakukan sedikit survey di kalangan rakan blogger serta beberapa teman pelajar, rata-ratanya memberi respon yang agak positif kepada filem ini. Kata mereka.

" Ini filem seram Razak yang paling Ok".

p/s : filem seram Razak yang paling ok, bukan filem seram Melayu yang paling o.k... ok? Bagi mereka yang sukakan filem seram, filem ini aku boleh syorkan kepada kamu. Kepada anti Razakisme, filem ini masih lagi sebuah filem kental Razak yang kamu anti tetapi mungkin tidak seburuk seperti yang sudah-sudah.

11 ulasan:

fadz berkata...

ok, aku tunggu

NAZ berkata...

selepas menonton rasukan ablasa.
saya fikir dua tiga atau empat kali mungkin nak tonton filem seram razak.

Akin Muhammad berkata...

tajuk dan cerita menarik

aku akan tunggu filem ni keluar dan tonton

MORIBAYU berkata...

huik
chumel ??
sapa ??
saya kah ???

ya saya tahu..hohohohohooh

:)

Edzlin berkata...

hmm ok la film ni, masa tonton d uitm aritu, first hantu tu ku ketawa besar...maybe sbb pelakon tu pelakon komedi kut. sampai beberapa org kat sebelah tgk ku.

part que haidar...dan jg beberapa lg (dah tak ingat dah...hehe, kejap je dah lupa sal film ni) memang ok sebab berjaya buat ku terkejut.

Aidi Rahimi Ibrahim berkata...

hari tu tak sempat tengok masa tayangan kat dewan, tapi tak apa sebab nanti keluar DVD kot... :-)
Bila keluar DVD boleh simpan buat selamanya.
;-O...:-)

soldier of art berkata...

anti Razakisme?
perkataan baru tu..
bukan anti
tapi pulaukan filem dia
supaya dia sedar
dan dapat menghasilkan sesuatu
yang lebih berkualiti..

tapi bila ko kata crita ni masih filem kental razak
so fikir 2-3 kali
gak lah klau nk tgk

klau tgk pun satu sbb je,
sebagus mana filem razak yang pling ok tu hehe

Sinefelia berkata...

fadz - kau membuatkan aku pula yang merasa gementar. haha.

Naz- aku faham... Aku pun begitu.

akin - :)

Muhammad- haha.

Edzlin- Mujur ada mereka bukan? Kalau tidak cerita ini akan jadi sama seperti cerita yang lain.

Aidi - Hah, subtext. haha.

Soldier- Mungkin tidak berapa jauh. tetapi sudah ada sedikit perubahan. Minimal tetapi mungkin ini permulaan positif. Siapa tahu ? :)

hady berkata...

anti razakism?

iya, aku terang terang mengaku aku dalam kelompok tu..

tapi disebabkan review kamu yang mengatakan boleh tahan

ada sikit minat rasa nak tengok..

deennasour berkata...

haruskah aku menyesal tak pg tgk tayangan cerita ni kat uitm ari tu?

yang nih kan kan kan? yang tayang kat uitm ritu?

oleh kerana ko paling ok, rasa nak tgk.
sbb rasukan ablasa aku tak tgk. lalalalalala

Tanpa Nama berkata...

mungkin nak tonton la cerita professor selepas sekian lama tak menonton...ngar macam cerita gempak..

bes x segi lakonan diorang..spoiler skit kat aku ?