Ahad, 18 Disember 2011

SONGLAP



SONGLAP sebuah kisah rantaian neraka bagi watak-watak yang terlibat di dalam naskah realis/jenayah Effende/ Fariza Azlina yang berlatar belakang Kuala Lumpur.

Kisah serpihan dan sisipan gelap manusia-manusia pariah kota yang terpinggir dan perlu duit untuk hidup dan menikmati hidup, dan untuk mendapatkan duit, manusia-manusia di dalam SONGLAP ini bergelut dengan undang-undang manusia dan Tuhan, dan isunya yang berkisar tentang sindiket perdagangan manusia, tampak mencabar moral, dimana baik dan salah itu bukan dapat dilihat seperti hitam dan putih. Yin dan Yang. Ianya bergumpal. Dari penganiayaan seorang manusia telah memberi harapan kepada manusia yang lain.

Dari seawal scene long takes (scene pertama) ntelah digambarkan bahawa hukum kehidupan manusia ini wujud dalam satu sistem yang bizar. Seorang bayi diserahkan kepada pasangan kaya yang mengambilnya dengan rasa gembira. Kadangkala, kebahagian sesetengah pihak haruslah diragut dari kesedihan dan kecelakaan yang menimpa pihak yang satu lagi. Ianya satu sistem yang 'divine' sifatnya. Suka atau tidak, hidup ini adalah rentetan celaka... baik... celaka yang tersusun dan bersifat seperti roda.

Kuala Lumpur tidak jelita di dalam filem ini, watak-wataknya terasing dan keterasingan tampak bernyawa dengan lakonan kelas tinggi hampir dari semua aktor dan aktres yang terlibat. Dari watak utama sehinggalah ke watak sampingan, pelakon menumbuk kalbu dan mengelirukan penonton diantara batas realiti dan fiksi dunia di luar dan di dalam layar.

Shaheizy Sam, Shafie Naswip, Normah Damanhuri, Omar Abdullah, senarainya berterusan... telah menyumbangkan bakat dan memberikan satu kerja seni yang baik kepada filem ini. Selain itu, tidak dilupa, Haris Hue Bin Abdullah yang memberikan satu perspektif emosional terhadap visual yang kaya depth of field. Secara serius memanipulasi lensa kamera agar efek realis dapat diserap penonton sehinggalah kepada memaksa penonton mencerna setiap emosi dan perasaan sasaran fokus kameranya.

Penonton dibawa untuk memerhati objek dan subjek yang difokus, dibantu dengan aspek lakonan yang hebat. Emosi watak dapat dikongsi oleh penonton, walaupun kadangkala, ianya dipraktikkan secara berlebihan sehingga mengganggu kembali keadaan dan hukum realiti 'mata' tersebut. Namun, secara keseluruhannya ianya adalah satu kerja kamera yang bagus dan memberi impak yang besar terhadap keseluruhan filem melalui penceritaan secara visualnya yang selektif.

Selain itu, bukaan lebar syot yang dominan di praktiskan di dalam filem ini sehingga menunjukkan keterasingan watak dengan dunia di sekelilingnya yang memang tidak nampak indah. Close up jarang-jarang digunakan untuk menggambarkan perasaan dan emosi dalaman watak di dalam filem ini. Malah, bukaan syot yang luas lebih memberi impak terhadap keadaan emosi dalaman watak, sebagai contoh, scene long takes yang diambil secara long syot diantara Ad dan Razak dalam suasana suram (penghayaan yang low key) memperlihatkan keadaan kesuraman emosi dan keterasingan kedua watak muda tersebut yang bergelut dengan eksistensi dan realiti kehidupan mereka yang celaka.

Filem ini tidak diletakkan apa-apa justifikasi, dan tidak juga cuba membantu watak-wataknya agar mereka lebih bahagia. Ingat, dari awal, filem ini menerapkan bahawa kebahagiaan itu adalah hasil dari kecelakaan manusia yang lain. Lalu begitulah sehingga ke akhirnya.

1 ulasan:

Ajami Hashim berkata...

tiba-tiba meng-rev semula demi songlap! kelasss!!!