Ahad, 13 Julai 2008

HANCOCK

DI PAWAGAM MULAI 2 JULAI 2008




Filem arahan Peter Berg ini adalah merupakan teks asal hasil garapan Vincent Ngo pada tahun 1996, dan pada awalnya berhadapan dengan pelbagai rintangan secara teknikalnya, seperti tiada penaja dan pengarahnya kerap bersilih ganti. Namun, filem ini akhirnya memulakan penggambarannya pada 3 Julai 2008 dengan bajet sekitar $150 juta.


Filem ini telah dicalonkan bagi kategori 'Summer 2008 Blockbuster' di dalam anugerah berprestij Golden Trailer bagi tahun 2008. Filem ini merupakan filem superhero yang pertama seumpamanya dimana karakter superhero digambarkan sebagai pemabuk, dan mengundang kemusnahan yang lebih besar setiapkali cuba menentang musuh dan menyelamatkan orang awam. Menariknya, watak utama yang dilakonkan oleh Will Smith ini, iaitu sebagai John Hancock juga mampu terbang dalam keadaan mabuk, dan seakan akan terbang dalam rentak muzik hip hop.


Filem ini juga membawa identiti Amerika Syarikat itu sendiri, iaitu dengan memfokus kepada topi dan kostum yang digunakan oleh Hancock, dengan tertera gambar burung helang permukaannya, juga digelar 'Eagle' yang menggambarkan identiti Amerika dan pasukan tenteranya yang digeruni. Namun, secara keseluruhannya filem ini tidaklah mengecewakan dan sesuai ditonton bagi penggemar filem filem komedi, aksi, drama dan fantasi.



(Hancock dengan kostumnya yang berlogo 'Eagle')



Kisah bermula dengan kewujudan seorang superhero yang hidup merempat di jalanan dengan hanya bertemankan botol araknya. John Hancock (Will Smith) atau lebih dikenali sebagai Hancock kerap membantu orang awam bagi mengurangkan kadar jenayah di Bandar Los Angeles, namun, setiap pertolongannya mendorong kepada kemusnahan bandar yang lebih besar, ditambah pula dengan sikap Hancock yang biadap membuatkan seluruh bandar benci kepadanya.


Namun, hidupnya berubah setelah menyelamatkan Ray Embrey (Jason Bateman), seorang pakar perunding imej yang kemudiannya telah berasa terhutang budi terhadap Hancock dan menawarkan diri untuk mengubah imej dan persepsi masyarakat terhadap Hancock. Dalam masa yang sama, Hancock merasakan wujud suatu kuasa tarikan yang aneh terhadap isteri Ray, iaitu Mary (Charlize Theron) walaupun tidak pernah mengenalinya sebelum itu. Hancock turut menjadi idola kepada anak Ray, iaitu Aaron (Jae Head) yang kerap dibuli oleh rakan rakan yang jauh lebih besar dari saiznya.


Atas dorongan dan nasihat Ray, Hancock kemudiannya bersetuju untuk dipenjarakan sehingga masyarakat sedar akan kepentingan kuasanya terhadap mereka. Ketika Hancock dipenjarakan, kadar jenayah mulai meningkat sehingga 30%. Ray kemudiannya telah datang dan menyerahkan kostum superhero kepada Hancock, yang mana sebelum ini telah ditolak mentah mentah oleh Hancock dengan alasan bahawa superhero yang lain adalah homoseksual.


Namun Hancock sedar yang masyarakat memerlukannya dan mengambil keputusan untuk menyarung kostum itu dan kembali membantu masyarakat. Apakah yang akan berlaku seterusnya? Mampukah Hancock berubah menjadi seorang yang berguna dan lebih bertimbangrasa? Siapakah Mary sebenarnya? Dapatkan jawapan bagi persoalan anda di pawagam hari ini......Selamat menonton!

Tiada ulasan: