Selasa, 19 Ogos 2008

Wall-E


Satu lagi buah tangan terbaru terbitan Disney yang dihasilkan segar dari studio Pixar Animation. Filem animasi ini merupakan yang pertama seumpamanya yang mampu menghiburkan penonton dan memberikan kepuasan dan thrill ketika menontonnya melalui teknik CGI yang mantap seiring dengan peredaran masa. Wall-E mampu mendorong penonton berfikir diluar benteng pemikiran manusia dan melewati batas batas pemikiran kebiasaannya.

Filem arahan Andrew Stanton ini telah berjaya menyampaikan rasa cinta kepada penonton dan mengajar erti kesetiaan, walaupun hanya diantara robot zaman hadapan yang ternyata tidak diciptakan seumpama manusia yang mempunyai hati dan perasaan, namun teknologi A.I mereka pada ketika itu membenarkan perasaan itu wujud sekaligus mengajar erti setia. Hal ini dapat dilihat dengan nyata melalui watak Wall-E (V.O Ben Burtt) itu sendiri yang jatuh cinta pandang pertama kepada Eve (V.O Ellisa Knight) yang diarahkan turun ke bumi dari angkasa lepas untuk mencari tumbuhan memandangkan bumi telah ditinggalkan manusia kerana bumi pada ketika itu telah dipenuhi sampah.

Menariknya di sini adalah seperti kebiasaan manusia mempunyai haiwan peliharaan, Wall-E juga tidak ketinggalan memilikinya dan binatang peliharaan yang menjadi teman sehariannya ialah seekor lipas. Walaupun lipas seringkali digambarkan sebagai kotor dan membawa penyakit kepada manusia, lipas di dalam filem ini digambarkan sebagai haiwan yang setia dan sanggup menanti kepulangan Wall-E yang nekad mengikuti kapal angkasa bagi menyelamatkan Eve yang dicintainya sekaligus mendorong kepada memberikan kesedaran kepada manusia yang pada ketika itu tidak lagi mampu berbuat apa apa; manusia sudah menjadi terlalu gemuk hingga tidak mampu untuk bangun dan berjalan dengan sendirinya; untuk kembali ke bumi bagi bercucuk tanam demi menhijaukan kembali bumi dan mendiami bumi seperti manusia di masa lampau.

Filem ini bukan hanya sesuai ditonton oleh kanak- kanak, malah ianya juga sesuai ditonton oleh golongan dewasa namun teknik penceritaannya yang agak lembap mampu membuatkan penonton berasa agak bosan di pertengahan cerita namun mesej yang cuba disampaikan secara jelasnya dapat diterima penonton dan mampu membuatkan penonton terhibur dengan keletah robot comel ini.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Wall E to me is entertaining and a class of it's own.

It's new and refreshing!