Jumaat, 24 Julai 2009

GADOH - Apa yang gaduhnya?


Gadoh adalah sebuah filem 'bebas' yang diarahkan oleh Brenda Danker dan Namron. Filem ini merupakan satu projek KOMAS bagi kempen SATU BANGSA MALAYSIA.

Berkisar tentang isu perkauman diantara Melayu dan Cina di negara ini yang divisualkan melalui per'Gadoh'an di antara dua kumpulan pelajar bermasalah yang mewakili ras masing-masing di sebuah sekolah. Stereotaip caci maki, dan generalisasi terhadap Cina, Melayu dan India yang selama ini berpekung dalam diri rakyat Malaysia diluahkan sebebas-bebasnya melalui dialog seperti;.

"Cina makan babi!!! berak tak basuh! Pengotor!!!"

" Melayu pemalas, bodoh pun dapat masuk Universiti"

" Keling mabuk Todi!"

Hah! Terasa panas dengan dialog di atas? Penonton dapat mendengar dialog-dialog 'panas' ini dihamburkan dengan penuh perasaan oleh watak-watak di dalam filem ini. Dialog-dialog yang kasar ini adalah umpama 'raksasa' atau 'hantu' yang bersembunyi di dalam hati majoriti rakyat Malaysia pelbagai kaum selama ini. Ianya wujud dan terpendam, dan hanya diluahkan apabila bersama kelompok-kelompok kaum masing-masing.

Namun apabila dialog ini dilepaskan sebebasnya di dalam filem ini, 'hantu rasis' yang selama ini bersembunyi di dalam hati itu keluar bebas. Penonton diajak untuk berhadapan dengan 'hatu rasis' masing-masing. Ada yang terus meluap-luap kemarahan dan ada yang mula menentang 'hantu-hantu rasis tersebut dari menghantui dan merasuk pemikiran supaya terus membenci kaum lain sedangkan apa, mengapa dan kenapa 'kebencian' itu wujud di dalam diri mereka sebenarnya tidak difahami oleh mereka.

Ini samalah seperti cuba merawati orang yang mengalami 'fobia' terhadap sesuatu perkara. Iaitu dengan mengajaknya untuk berhadapan dengan rasa fobia tersebut. Sebagai contoh, untuk merawat seseorang yang fobia akan kegelapan, kaedahnya adalah dengan membiarkan orang itu berhadapan dengan 'kegelapan' itu sendiri. Samalah dengan filem ini, untuk merawat perasaan 'rasis' itu, maka biarkan mereka (baca: penonton) berhadapan dengan perasaan rasis masing-masing.

alah bisa tegal biasa, apabila 'emosi' sensitiviti terhadap isu yang berkaitan perkauman itu sudah dapat ditangani, maka kebanyakan akal akan dapat mula berfikir secara rasional.

Fikir - apakah puncanya 'rasisme' dikalangan rakyat Malaysia ini terjadi?

***

Cerita Gadoh ini (sedikit sinopsis) adalah mengenai sekumpulan pelajar samseng Melayu dan Cina yang membenci diantara satu sama lain disebabkan perasaan perkauman. Budak melayu benci cina sebab mereka adalah cina dan budak cina benci melayu disebabkan mereka adalah melayu. Tiada sebab lain yang lebih signifikan untuk mereka bergaduh melainkan rasa benci terhadap kaum (disebabkan prejudis tradisi dan pengalaman-pengalaman peribadi mereka).

Pergaduhan mereka telah tersebar ke dalam media massa, maka pengetua sekolah telah meminta pandangan para guru untuk membaik pulih imej sekolah dan sekaligus menyelesaikan masalah budak-budak 'rasis' tersebut.

Seorang guru cina, muda, dan optimis telah mencadangkan satu cadangan yang sangat 'poetic' iaitu dengan mewajibkan pelajar-pelajar yang bermasalah dari dua kumpulan kaum itu menyertai kelab teater yang akan ditubuhkan khas untuk mereka.

Alasannya adalah dengan tetater ( atau lebih tepat lagi :Seni) budak-budak itu dapat menghayati semangat 'kemanusiaan' lalu dapat mengatasi rasa benci di dalam diri mereka. Pengetua bersetuju, dan cikgu wanita tersebut telah mengajak teman lamanya, seorang pemuda lelaki melayu melatih budak-budak tersebut berteater.

Budak-budak cina dan melayu tersebut akhirnya menyertai kelab teater itu dan lama-kelamaan, kesan dari latihan-latihan teater itu rasa perkauman masing-masing semakin terhakis.

Sebagai sebuah filem yang dibikin dengan bermotifkan sesuatu, yang terang sekali tertera dihadapan kotak DVD iaitu ' AKU BANGSA MALAYSIA' maka cerita Gadoh ini sudah tentunya mengarah ke pengakhiran yang positi dimana pelajar-pelajar bermusuhan itu akhirnya telah dapat menerima satu sama lain dengan semangat penuh 'Kemalaysiaan'. Huih!

***
Terdapat banyak adegan di dalam filem ini yang menggunakan kaedah kamera hand held. hand held telah dianggap sebagai salah satu kaedah meraikan 'realisme' kerana ianya paling hampir dengan ciri-ciri penglihatan manusia. Dan dengan menggunakan kaedah hand held ini, pengarah cuba mengangkat 'realiti' yang berlaku di luar ke dalam filem. Secara tidak sedar sebuah realiti 'perkauman' yang busuk yang selama ini termendap dalam diri rakyat Malaysia sedang dihantar ke dalam kepala otak penonton.

Selain itu, hand held juga dianggap sebagai satu bentuk 'pemberontakan' dimana mengikut konvensi biasa, kamera adalah perlu diletakkan di atas tripod, dan dengan menggunakan kaedah hand held ini, visual yang terakam akan 'shaking' dan ini akan menimbulkan suasana atau keadaan yang 'tegang' dan 'kasar'. Sekaligus approach atau stail begini sangat kena dengan pengisian filem ini yang radikal dan subversif (dalam kontek filem melayu).

Selain itu, elemen 'teaterikal' di dalam filem ini, mungkin merupakan satu 'tanda tangan' dari Namron yang sangat dikenali di lapangan teater di negara ini.

***

Gadoh memaparkan stereotaip atau generalisai orang-orang Melayu dengan stigma bahawa Cina itu adalah penipu, kaum yang tamak, pengotor manakala orang-orang cina pula memandang melayu sebagai kaum yang tidak menghormati mereka kerana merasakan diri mereka sebagai rakyat kelas kedua dan melayu sebagai kaum 'tuan tanah' yang telah diberi keistimewaan-keistimewaan sekaligu menindas mereka. Watak india pula mewakili kaum India di negara ini yang minoriti sifatnya, dibuli dan ditindas serta tersepit diantara di tengah-tengah persengketaan di antara melayu dan cina.

Dimana datangnya stereotaip dan generalisasi perkauman ini? Ianya adalah persepsi yang diturunkan dari generasi ke generasi semenjak Malaya ini mencapai kemerdekaan. Isu perkauman ini sebenarnya bukanlah satu isu yang baru dan ianya adalah bersifat universal. Setiap manusia cenderung untuk memihak kepada kaumnya. Kaumnya adalah yang tercantik. Kaumnya adalah yang terhebat. Dan kaumnya adalah segala-galanya. Ini adalah pembawakan 'gen'.

Dan sekiranya 'kaumnya' diusik dan diganggu oleh kaum lain (perkataan 'usik' disini terlalu luas merangkumi soal politik, sosial, agama). Maka semangat perkauman ini akan meruap-ruap. Begitulah


Filem Gadoh ini merupakan sebuah filem yang sangat kena pada masanya dengan konsep '1 Malaysia' yang terlalu sibuk dicanang-canangkan. Filem ini muncul untuk memperlihatkan sejauh mana keihklasan setiap pemimpin dan rakyat untuk menyahut 'konsep 1 Malaysia' samada ianya adalah satu retorik ataupun benar-benar slogan 'pembaharuan' apabila masalah prejudis perkauman masih lagi bersarang di dalam hati majoriti rakyat Malaysia.

***

p/s -Samada filem ini dapat dicerna dengan baik atau terus dimuntahkan oleh penonton dengan rasa 'meluat' dan 'benci', tenaga produksi filem dengar rasa bertanggung jawab sentiasa bersedia untuk berdialog dan berinteraksi. Dan itulah yang menariknya setelah tamat penayangan filem ini di Pancha Delima tempoh hari.







6 ulasan:

Edzlin berkata...

dah tgk. saya sangat suka filem ini. mengingatkan kita akan ego dan stigma yg ada

NAZ berkata...

wow. nie best nie

Aidi Rahimi Ibrahim berkata...

tahniah Ikha & Res: BLOG ULASAN FILEM TERBAIK YOYOOH.COM..:-)

dari eddy

soldier of art berkata...

gua nak tgk filem ni
tapi susah lah sbb gua jauh dari kl
mcm mana eh nk dapatkan filem ni

si VirGiN berkata...

one word 4 'gadoh',
ntahapeape.

clice.
stereotype.

woops!
sorry...

vanilla_zerome berkata...

rasist nya kau @si virgin... peace..