Khamis, 9 Oktober 2008

SENARIO EPISODE 1


Aku pasti hampir setiap warga Malaysia terutamanya yang berbangsa Melayu mengenali kumpulan lawak tersohor yang bernama Senario ini. Kumpulan ini merupakan sebuah kumpulan yang popular yang mempunyai peminat dari setiap lapisan umur masyarakat.

Kita dapat lihat betapa kuatnya dan besarnya pengaruh kumpulan lawak ini sehinggakan perkataan SENARIO itu telah sinonim dengan kumpulan tersebut, maksud aku di sini ialah apabila seseorang itu mengungkapkan perkataan senario atau terbaca perkataan senario, pastinya secara automatik akan terbayang wajah Wahid, Azlee dan Lan Pet-Pet berserta lawak-lawak slapstik mereka walaupun perkataan senario itu juga mempunyai maksud yang lain selain dari menjadi nama kumpulan tersebut.

Aku masih ingat kira-kira 10 atau 11 tahun lepas aku menonton filem pertama Senario iaitu Senario The Movie, dan aku masih ingat betapa aku yang ketika itu berumur 14 tahun berdekah-dekah bagaikan orang gila di dalam panggung. Begitu juga apabila aku menonton filem Lagi-Lagi Senario. Kedua-dua filem ini telah di arahkan oleh Aziz M. Osman

Kemudian filem Lang Buana arahan Mamat Khalid turut menampilkan kumpulan lawak tersohor ini sebagai teraju utama. Filem itu walaupun tidak mendapat sambutan yang hangat tetapi telah memenangi anugerah khas juri di Festival Filem Malaysia. Filem ini juga telah memperkenalkan aku dengan Mamat Khalid dan filem ini juga tidak gagal membuatkan aku terbahak-bahak.

Selain itu, aku turut menonton filem Senario XX arahan Aziz M. Osman, filem komedi yang mempunyai unsur-unsur Sci-Fi dan kesan-kesan khas yang menghiburkan. Di dalam filem ini sekali lagi kumpulan lawak senario ini membuatkan aku tidak kering gusi di panggung. Selain kumpulan lawak tersebut filem, ini turut dibantu oleh Saiful Apek dan Yassin yang juga merupakan pelakon komedi yang hebat.

Pada tahun 2006, sebuah lagi filem yang menampilkan Senario ditayangkan iaitu berjudul Pemburu Emas Yamashita. Walaupun pra tonton filem ini ditayangkan di Uitm, tetapi sehingga kini aku masih lagi belum menonton filem tersebut.

Akhirnya, tibalah giliran filem terbaru Senario yang masih lagi ditayangkan di panggung iaitu filem Senario Episod 1. Filem ini merupakan filem Senario pertama arahan Ahmad Idham dan merupakan usahasama Metrowealth dan Grand Brilliance. Filem ini telah berjaya mendapat kutipan 3 juta dalam masa 3 hari tayangannya.

3 juta dalam masa 3 hari? wow...banyak tu.

Kelakar sangatkah filem ini sampai berjaya mendapat keuntungan sebanyak itu? Bagus sangatkah filem ini? Apa Syiokk sangatkah filem ini?

Secara peribadi, diulangi secara peribadi, aku merasakan filem Senario terbaru ini agak... hurmm...tidak sepatutnya begitu. Filem ini pada pandangan aku merupakan filem terburuk yang pernah dilakonkan oleh Senario.

Filem ini adalah filem Senario dan filem Senario seharusnya kelakar tetapi kenapa aku rasa kelakar atau lawak di dalam filem ini sangat-sangat...maaf untuk dikata...tidak bijak dan kurang bijak sehinggakan aku terasa diperbodohkan. Rasa diperbodohkan itu bukanlah sesuatu yang kelakar bagi aku dan aku rasa ramai yang menonton filem ini sependapat dengan aku.

Secara tidak langsung filem ini telah gagal memenuhi kriteria pertama yang perlu ada pada sesebuah filem iaitu sesebuah filem itu seharusnya menghiburkan. Filem ini tidak kelakar malahan menghina intelektual dan ianya secara automatik tidak menghiburkan bagi aku.

Aku sudah bosan dan mual dengan lawak mata juling dan aksi serebrum palsi Azlee, Juga lawak terjerit-jerit merapu dengan bunyi trumpet tanpa biji butir Lan serta lawak langsing bingit loghat Perak yang terlampau di melerek-lerekkan WahiD. ( Teman Oghang Peghok jugok yeop, takde pulok cakap ghupe itu).

Maaf. Aku tidak terhibur.

Yang kedua, filem juga seharusnya mempunyai sesuatu yang hendak diperkatakan. Mari kita tengok apakah yang hendak diperkatakan oleh filem ini.

Filem ini cuba memberi mesej...err... lakukanlah apa sahaja bagi mencapai cita-cita... er ye ke itu mesej dia? atau...err... MATLAMAT MENGHALALKAN CARA dengan lakukan apa sahaja baik bermoral ataupun tidak asalkan matlamat itu dicapai?..er..ke filem ini memang tidak ada apa yang hendak diperkatakan atau sememangnya tiada mesej yang hendak disampaikan?

Rasa-rasanya?

Aku tidak nampak perkara yang hendak diperkatakan jauh sekali mesej atau moral yang baik di dalam filem ini. watak Lan Pet-pet amat kurang ajar, terutamanya sewaktu adegan dia memarahi pelanggan yang datang mengadu akibat ubat yang dijual kepadanya salah. Adakah ini kelakar?

Azlee pula mencuri ayam dan mencuri telur ayam di ladang ternakan ayam tempat dia mencari rezeki. Azlee sanggup mencuri untuk datang ke Kuala Lumpur bagi sesi uji bakat. Tepuk- tepuk tangan semua... satu contoh moral yang bagus untuk adik-adik yang datang menonton. Mujur watak Wahid sedikit putih dari watak-watak yang lain.

Jalan ceritanya pula...

Filem ini cuba membawa penonton menelusuri kehidupan 3 orang lelaki ini untuk jadi pelawak, kisah ketiga-tiganya silih berganti dan kadangkala tidak mempunyai signifikan di antara satu sama lain.

Setelah melakukan kegiatan yang tidak senonoh, mereka akhirnya berjaya ke Kuala Lumpur dan kemudiannya menghadapi pelbagai cabaran yang mengarut (hahahaha...adoih...) dan akhirnya berjaya menyertai ujibakat yang menjadi matlamat mereka namun akhirnya mereka gagal. Namun begitu mereka tetap menjadi pelawak yang berkerja di zoo apabila seorang pengurus zoo ( Zaibo) konon-kononnya menyedari bakat mereka sewaktu sesi ujibakat tersebut.

Disini aku tidak nampak signifikan adegan perompak yang menyerupai wajah mereka bertiga yang muncul di awal scene dan kemudiannya di tengah-tengah scene yang menyebabkan mereka bertiga di tahan di lokap. Kalau ada pun signifikannya ianya sangat longgar dan tidak memberi impak. Mungkin scene tersebut digunakan bagi menemukan mereka bertiga di Kuala Lumpur tetapi ianya seperti tidak memberi makna yang besar kepada jalan cerita.

Selain itu, aku tidak faham kenapa Ahmad Idham harus mengulangi lawak-lawak yang sudah berpuluh tahun lepas telah di persembahkan mereka sewaktu program Sinaran Pasport Kegemilangan dahulu?

Adakah alasannya adalah kerana ianya filem ini merupakan prequel? iaitu episod 1?

hurm...(mengeluh lagi..maaf!!)

Aku secara peribadi berpendapat masalah filem ini berpunca dari kegagalan Ahmad Idham sebagai pengarah yang mengarahkan filem ini. Ahmad Idham tidak dinafikan merupakan pengarah yang hebat dan berbakat yang mampu menjayakan filem seram seperti Jangan Pandang Belakang dan filem aksi serius seperti Remp-It dan Impak Maksima namun di dalam filem komedi ini, Ahmad Idham seakan-akan ketandusan idea dan tidak berjaya mengawal lakonan kumpulan Senario tersebut.

( Aku pernah melihat pelakon-pelakon Senarion ini berlakon di lokasi, ya..aku tahu amat sukar mengawal mereka dari membuat adlip mengubah skrip dan mengexaggerate lakonan mereka.)

Namun kumpulan Senario ini adalah boneka pengarah yang boleh dieksploitasikan bagi menghasilkan filem-filem komedi yang menarik. Buktinya Aziz M. Osman berjaya mengeksploitasikan mereka, begitu juga dengan Mamat Khalid. Mereka sangat-sangat kelakar dan lawak di dalam filem-filem Senario terdahulu.

Namun sekiranya lakonan dan skrip itu sememangnya kehendak Ahmad Idham sendiri, ini bermakna kesilapan itu berpunca dari pengarahan dan bukannya lakonan.

Harapnya Ahmad Idham tidak mengulangi lagi filem-filem sebegini dan belajar dari kesilapan ini..err..kesilapan ke?

Ironi sungguh apabila mengatakan sesuatu yang memberi keuntungan berjuta-juta seperti filem Senario ini merupakan sesuatu kesilapan. hahaha.

Tetapi itulah senario industri perfileman kita. wink.

1 ulasan:

Ajami Hashim berkata...

(tak baca rev ni coz blom tgk.. hahaha!.. kena tgk ker?.. ops!)