Ahad, 30 November 2008

KINTA


KINTA.

Aku berpeluang menghadiri pratonton filem Kinta yang juga dijadikan sebagai salah satu acara KLIFF di GSC Pavilion. Filem ini merupakan sebuah filem yang aku nanti-nantikan. Ada empat sebab mengapa aku nantikan filem ini. Pertama, ianya disebabkan aku adalah orang Perak. Kinta (daerah) begitu akrab dengan aku. Dua, adalah disebabkan filem ini merupakan filem Malaysia yang berjaya menembusi pasaran US sekaligus membuatkan aku teruja untuk menilai sejauhmana kehebatan filem tersebut. Tiga, adalah merupakan sebab paling utama iaitu aku sememangnya meminati filem ‘martial art’ terutamanya kung fu dan filem Kinta ini dengan sogokan ‘The First Malaysian Martial Art Movie’ amat menggiurkan aku. Namun, aku pasti ramai yang tak bersetuju apabila ianya dilabelkan sebagai filem pertama ‘seni mempertahankan diri Malaysia’. Hal ini boleh dibahaskan di dalam komen , ok? Aku sendiri pun tak bersetuju, sekarang ini tengah mengkaji balik filem-filem Malaysia lain yang boleh dikategorikan sebagai filem ‘martial arts’. Sebab yang keempat adalah ‘poster’nya. Sangat mengujakan.

Filem ini telah diarahkan oleh CL Hor. Seorang pengarah yang sangat asing dalam industri filem Malaysia yang didominasi filem-filem berbahasa Melayu namun filem Kinta ini bukanlah filem pertama arahannya. Filem pertama yang diarahkan beliau adalah The Third Generation. Kinta pula merupakan filem arahan beliau yang kedua. Sebelum ini, CL Hor merupakan seorang penata seni di dalam bidang komersil dan tidak hairanlah penonton dapat menyaksikan hasil sinematografi yang sangat indah di dalam filem ini yang jarang-jarang dapat disaksikan dalam filem-filem tempatan yang lain. Begitu juga dengan aspek mise-en-scene di dalam filem ini. Sangat-sangat diambil kira.

Selain itu, aksi pertarungan yang melibatkan seni kung fu/wushu di dalam filem ini sangat meyakinkan. Kali pertama aku menyaksikan sebuah filem Malaysia yang menghidangkan aksi ‘sparring’ yang meyakinkan dan mendebarkan. Hal ini mungkin disebabkan filem ini menggunakan pelakon yang terdiri daripada jaguh-jaguh wushu yang juga merupakan johan wushu di peringkat antarabangsa iaitu Robin Ho, Johan Wushu Dunia sebanyak 2 kali, David Bao, Johan Taichi China sebanyak 2 kali, Michael Chin, Johan Wushu Nasional sebanyak 3 kali, Shawn Lee, Johan wushu bebas Nasional sebanyak 6 kali dan Kwan Fei Jun, Johan Wushu Nasional sebanyak 11 kali.
Para pelakon yang sememangnya telah menguasai seni mempertahankan diri ini telah menjayakan aksi-aksi pertarungan di dalam filem Kinta ini.
Filem ini berlatarbelakangkan daerah Kinta, pada kurun ke 18 di mana aktiviti perlombongan merupakan aktiviti ekonomi yang sangat menguntungkan di Tanah Melayu. Terhimpit di antara perebutan kuasa, pengkhianatan dan ketamakan kumpulan-kumpla kongsi gelap untuk menguasai lombong bijih timah. 4 orang sekawan iaitu Dragon, Tiger, Ace, dan Blaze yang berkerja di lombong bijih timah, terpaksa berjuang dan bertarung demi ‘survival’ mereka di bumi asing. ‘In the battle of justice, Fists speak louder than words!’.tag line yang telah menerangkan segala-galanya.

Sebaik kredit awal aku dapat menghidu bau-bau Sin City, Robert Rodriguez. Adegan-adegan awal pula aku melihat ‘dejavu’ 300 Zack Snyder. Penonton dapat mengesan similarity sinematografi 300 yang ketara di dalam filem. Kurang originality tetapi aku suka! Filem Malaysia sudah menapak selangkah lagi menghampiri Hollywood walau perjalanannya masih beratus batu jauhnya. Bagi aku tiada masalahnya jika filem kita kurang originality, atau kata lainnya ‘meniru’. Meniru adalah salah satu dari aktiviti pembelajaran. Meniru dan mencontohi sesuatu yang bagus adalah satu aktiviti pembelajaran yang sihat apatah lagi bagi industri filem Malaysia ini.

Ada satu perkara yang unik (tetapi mengganggu aku) di dalam filem ini. Semburan darahnya adalah CGI. Pada awalnya aku tidak faham kenapa pengarah meng’CGIkan darah di dalam filem ini sehinggalah sewaktu sesi soal jawab bersama media pengarah menjelaskan bahawa darah CGI itu adalah bagi tujuan efek filem tersebut di dalam format 3D dan IMAX. Aku tidak pasti samada versi 3D filem ini akan dipasarkan di Malaysia atau hanya untuk pasaran US. Yang pasti, sekiranya di dalam versi 3D, darah CGI itu kemungkinan besar akan terpercik ke muka penonton. Tetapi sekiranya di dalam versi biasa, darah CGI itu menerbitkan perasaan annoying aku. Sungguh surrealis.

Filem Kinta ini sudah memenuhi standard filem komersil internasional sekiranya dinilai dari segi kualiti visual dan sinematografinya. Namun bagi pandangan aku kekurangan yang sangat jelas filem ini adalah dari segi plot dan subplotnya. Terlalu banyak karekter yang ingin diperjelaskan motivasinya sehingga terlalu banyak plotnya.Kadangkala plot yang di hasilkan itu seolah-olah tiada signifikan dan tidak banyak membantu naratif. Salah satu contohnya adalah plot percintaan di antara Tiger dan anak perempuan tokey lombong. Plot percintaan yang tidak kemana dan tidak signifikan kerana selain dari memasukkan elemen cinta (cinta 2 darjat), ianya tidak memberi impak kepada naratif.

Selain itu terdapat repeatition scene yang aku tidak nampak relevannya. Pengulangan scene ini memberi penonton menyaksikan adegan yang sama berulang sebanyak dua kali. Scene ini dapat dilihat sewaktu flashback-flashback watak. Aku juga tidak faham apa relevannya pengulangan scene ini. Terdapat dua atau tiga scene yang berulang kalau aku tidak silap. Kalau aku menonton DVD sudah pasti aku sangka DVD itu tersangkut dan terulang kebelakang. Scene yang sama yang berulang dua kali dengan hanya warna yang membezakan iaitu (sephia) bagi scene flashback.

Dan yang paling spoil adalah filem ini adalah sebuah filem anti klimak. Filem yang tamat mengejut. Sebaik sahaja tamat pertarungan bagi menentukan hak penguasaan lombong. Filem tamat. Aku melopong. Tiada orgasme.

Menonton filem Kinta ini, sekiranya aku tidak tahu ia dibikin oleh pengarah tempatan. Sudah pasti aku sangkakan ianya sebuah fiem Hong Kong. Aku jangkakan filem ini mungkin menimbulkan polemik di kalangan penggiat dan pengkritik industri samada ianya boleh dilabelkan sebagai sebuah filem yang dianggap Sinema Malaysia. Lebih 80 peratus dialognya adalah di dalam bahasa cina (mandarin atau kantonis?maaf aku tidak tahu). Pelakon-pelakon utamanya terdiri dari kaum Cina.

Bagi aku, aku melabelkannya sebagai sebuah filem Malaysia. Kerana ianya dibikin di Malaysia. Pengarahnya dari Malaysia, begitu juga sebahagian besar krewnya. Konsep sinema Malaysia ini terlalu kompleks untuk dibahaskan di sini.

Cuma aku tidak bersetuju penonjolan sumpit sebagai senjata orang-orang Melayu di dalam filem ini. Orang Melayu tidak menggunakan sumpit sebagai senjata. Orang Melayu guna keris atau tombak. Sumpit itu bukan senjata melayu. Itu senjata orang-orang asal/asli (melayu proto). Yang lain, walau agak pahit, tetapi aku dapat terima seperti penonjolan melayu yang tidak berkasut dan hanya berkemban. Kurun ke 18 orang melayu (rakyat biasa) majoritinya masih tidak berkasut dan berkemban.

Akhir sekali, Filem Kinta ini sememangnya sebuah filem yang sesuai kepada mereka-mereka yang gemarkan filem ‘martial arts’. Bagi mereka yang menyokong filem-filem Malaysia dan menyokong industry filem Malaysia, filem ini sangat dicadangkan untuk ditonton. Saksikan sendiri sebuah filem Malaysia yang ‘baru’.

Tiada ulasan: