Isnin, 26 Januari 2009
Naratif 'Braveheart'
Manusia menonton filem adalah untuk satu tujuan, iaitu menikmati sebuah penceritaan. Filem merupakan satu medium bagi pengarah untuk menghidangkan idea sebuah cerita kepada khalayak atau penonton. Penceritaan ini digelar juga sebagai naratif. Naratif di dalam filem seringkali dikaitkan dengan filem-filem bercorak fiksyen, walaupun begitu, naratif juga terdapat di dalam genre-genre filem yang lain seperti dokumentari dan animasi dan ianya merupakan faktor utama yang menarik penonton untuk menonton sesebuah filem kerana penonton mahu melihat, mendengar dan menikmati naratif atau cerita yang terkandung di dalam filem tersebut.
Disini dapat dilihat bahawa makna naratif itu secara mudahnya boleh ditakrifkan sebagai ‘cerita’. Namun, apakah yang sebenarnya membentuk sesebuah naratif di dalam sesebuah filem fiksyen itu?. David Bordwell, merungkaikan persoalan ini dengan menyifatkan naratif sebagai:
A chain of events in cause – effect relationship occurring in time and space. A narrative is thus what we usually mean by term story, although we shall be using story in slightly different way later.
David Bordwell mengatakan bahawa naratif itu adalah rentetan dari keadaan sebab- akibat yang berhubungkait dengan masa dan ruang. Ini bermakna naratif berlaku apabila ada sesuatu yang mencetuskan atau menjadi penyebab sesuatu perkara dan berlaku tindakbalas yang terkesan akibat penyebab tersebut lalu jadilah sebuah jalinan cerita atau jalinan naratif.
Naratif khususnya di dalam filem tidak dapat bediri sendiri tanpa ada struktur yang membentuk naratif tersebut. Pelbagai teknik penceritaan atau teknik naratif dieksploitasi oleh pengarah bagi tujuan membentuk sebuah sistem penceritaan dan seterusnya membentuk naratif. Naratif di dalam filem juga merupakan satu kesinambungan plot yang berpecah-pecah yang membentuk satu idea cerita. Esei ini, dengan tujuan perbincangan, akan mengupas struktur-struktur dan teknik-teknik yang digunakan yang terdapat di dalam naratif bagi membentuk sebuah fiksyen di dalam sesebuah filem. Untuk tujuan ini, filem Braveheart arahan pelakon dan aktor terkenal iaitu Mel Gibson akan di jadikan sumber perbincangan. Esei ini akan membincangkan secara terperinci struktur naratif yang membentuk jalinan cerita di dalam filem tersebut.
Sinopsis Filem Braveheart.
Filem Braveheart adalah berdasarkan riwayat hidup sebenar seorang wira Scotland yang bernama William Wallace yang mengetuai pasukan penentang Scotland bagi membebaskan tanah airnya dari penjajahan dan kezaliman Raja England iaitu King Edward Longshank. Pada awalnya, William Wallace tidak mahu terlibat dengan gerakan kumpulan penentang kerana beliau pulang ke Scotland adalah untuk membina sebuah kehidupan biasa yang aman damai.
Namun, hasratnya untuk membina sebuah keluarga dan hidup sebagai seorang petani biasa musnah apabila Murron, iaitu isteri yang dinikahinya secara sembunyi-sembunyi (kerana mahu mengelakkan undang-undang England yang memberi hak kepada tuan tanah Inggeris menyetubuhi pengantin perempuan pada malam pertama), telah dibunuh dengan zalim oleh seorang bangsawan Inggeris. Pembunuhan Murron ini menyebabkan beliau telah menyerang kubu bangsawan tersebut lalu membunuh bangsawan Inggeris itu dengan bantuan beberapa orang rakan-rakannya.
Kejayaan William Wallace membunuh bangsawan Inggeris tersebut telah menyemarakkan semangat orang-orang Scotland yang mahukan kebebasan untuk bersama-samanya menentang penjajahan Inggeris dan mereka telah melakukan serangan demi serangan dan mencapai kejayaan. Hal ini telah menyebabkan Raja Edward Longshank mengarahkan tenteranya menyerang Scotland bagi menghapuskan penentangan. Walaupun pihak William Wallace telah berjaya dalam banyak siri serangan, namun bangsawan Scotland yang saling berebutkan takhta Scotland tidak menyokong gerakan pembebasan yang diketuai oleh Wallace. Ini kerana mereka telah disogok oleh Raja Edward Longshanks dan tidak yakin dengan kemampuan orang-orang Scotland menentang tentera Inggeris yang mempunyai tentera berkuda yang kuat.
Namun kerana karisma dan kebijaksanaan Wallace, para bangsawan ini telah dipaksa berperang dan tentera Inggeris telah dapat ditewaskan. William Wallace menjadi lebih popular dan lebih ramai sukarelawan yang menyertai William Wallace. Dengan kekuatan yang telah diperolehi, akhirnya Wiiliam Wallace telah menyerang Utara England dan merampas kota York. Hal ini telah menyebabkan Raja Edward Longshank terpaksa menghantar menantunya untuk membuat gencatan senjata dengan pihak pemberontak. Namun, gencatan senjata ini merupakan satu helah Longshank untuk menyerang Wallace dan akhirnya, dengan kelicikan Longshank dan akibat pembelotan dari golongan bangsawan. William Wallace telah ditangkap dan kemudiannya telah dijatuhkan hukuman mati.
Walaupun telah diseksa dan dizalimi, William Wallace tidak meminta ampun dari Longshank yang melabelkannya sebagai penderhaka dan sehingga ke saat-saat akhir hayatnya William Wallace tetap dengan pendiriannya dan menjerit perkataan ‘Freedom’ yang bermaksud ‘Kebebasan’. Akhirnya Wallace telah dijatuhi hukuman mati dengan dipancung kepala dan mayatnya telah dikerta-kerat dan di letakkan di empat penjuru negara England sebagai amaran kesalahan menderhaka.
Perbincangan Struktur Naratif Di Dalam Filem Braveheart
Filem Braveheart ini merupakan sebuah filem di dalam genre epic yang diadaptasi dari peristiwa sebenar yang berlaku pada kurun ke 13. Filem ini mengisahkan tentang perjuangan seorang wira dari negara Scotland yang bernama William Wallace yang telah memberontak menentang penjajahan Inggeris.
Di awal filem, penonton akan terdengar muzik non-diegetic iaitu tiupan vio pipe iaitu intrumen muzik orang-orang Scotland dan kemudiannya filem bermula denga suara voice over yang bertindak sebagai narrator di dalam filem ini. Suara narrator ini kemudiannya dapat dikenalpasti di akhir filem iaitu milik suara Robert Bruce ke 17. Penggunaan Narrator di dalam filem ini telah membantu penonton untuk mendapat gambaran sepenuhnya tentang naratif filem ini. Ini kerana narrator telah berkongsi sedikit sebanyak pengetahuannya dan menceritakan kepada penonton.
Perkara yang paling utama bagi mengkaji struktur naratif adalah penyebab dan akibat atau cause and effect. Tindakbalas penyebab dan akibat ini yang membentuk sebuah jalinan naratif yang kukuh. Di dalam filem Braveheart, naratif digerakkan oleh watak utama iaitu William Wallace lakonan Mel Gibson. Di dalam filem ini kita dapat melihat bagaimana elemen cause and effect pada watak utama telah membentuk satu jalinan naratif sehingga ke akhiran cerita. Di dalam filem ini, dapat dilihat pembunuhan beramai-ramai dan pembunuhan ayah dan abang William Wallace telah menyebabkan kesan trauma di dalam hidup Wallace dan dendam ini telah tersimpan sehinggalah Murron pula dibunuh oleh tentera Inggeris dan menyebabkan Wallace telah bertindak memerangi dan menentang penjajahan Inggeris. Di sini, dapat dilihat bahawa pembunuhan ayah, abang dan Murron adalah menjadi penyebab dan pemberontakan Wallace adalah bertitik tolak dari pembunuhan tersebut. Selain itu, pemberontakan dan penentangan yang dilakukan oleh William Wallace menjadi penyebab kepada hukuman mati yang dijatuhkan kepadanya.
Selain itu, setiap watak sampingan di dalam filem Braveheart ini juga adalah disebabkan cause and effect, iaitu golongan bangsawan telah bertindak membelot adalah disebabkan sogokan Longshanks dan mahukan pengaruh England bagi mendapatkan takhta. Manakala Longshank membunuh Wallace adalah disebabkan Wallace telah menyebabkan orang-orang Scotland menentang penjajahannya.Di sini kita dapat melihat rantaian sebab dan akibat di dalam filem Braveheart ini. Selain daripada sebab dan akibat yang dipandu oleh watak utama dan watak sampingan, elemen cause and effect ini juga boleh di lihat dari skop yang lebih luas iaitu kekejaman tentera dan bangsawan Inggeris telah menyebabkan penentangan dari orang-orang Scotland.
Filem Braveheart ini telah mengaplikasikan jalan penceritaan yang linear iaitu mengikut kronologi. Maksud perjalanan naratif yang linear adalah pergerakan masa di dalam filem adalah mengikut kronologi dan turutan plot iaitu dari A ke B dan seterusnya C dan D. Selain itu, untuk menjelaskan struktur naratif linear ini adalah dengan melihat susunan beginning, middle dan end naratifnya. Di dalam filem Brveheart ini ketiga-tiga faktor ini amat jelas ditunjukkan mengikut kronologi.
Penonton dapat menyaksikan filem berjalan dari William Wallace yang masih kecil telah kematian ayah dan abangnya dan dia kemudiannya telah dijaga oleh pakciknya dan kembali semula ke Scotland. Sekembalinya dia ke Scotland, Wallace telah menjadi seorang yang dewasa dan bertemu Murron. Murron dibunuh dan Wallace telah mengetuai pemberontakan dan akhirnya Wallace telah dijatuhi hukuman mati. Pergerakan naratif yang tersusun dan mengikut urutan dari satu peristiwa ke satu peristiwa, atau dari satu plot ke satu plot ini menjadikan naratif di dalam filem Braveheart ini adalah linear iaitu peristiwa A di ikuti oleh peristiwa B dan kemudiannya ke C tanpa ada plot yang melompat dan perlu disusun semula bagi menjelaskan keseluruhan idea naratifnya.
Selain melihat susunan linear atau tidak linear sesebuah naratif, perkara yang penting yang perlu di beri tumpuan adalah terhadap karekter. Karekter yang diberi tumpuan adalah watak protagonist, watak antagonis dan watak-watak sampingan. Kesemua watak-watak ini menyumbang kepada struktur naratif di dalam sesebuah filem. Setiap karekter mempunyai sifatnya yang tersendiri dan mempunyai matlamat dan tujuan yang tersendiri yang memberi signifikan di dalam naratif sesebuah filem. Watak utama, iaitu watak terpenting merupakan nadi kepada naratif. Ini kerana sikap dan matlamat serta tujuannyalah yang menjadi penggerak kepada naratif. Menurut Bordwell lagi :
The agents of cause and effect are charecters, by triggering and reacting to events, charecters play roles within the film’s formal system.
Di dalam filem Braveheart, William Wallace merupakan seorang yang bijak, licik, dan seorang yang mempunyai karisma. Ciri-ciri ini menjadikan dia mampu membentuk satu kumpulan penentang untuk melakukan pemberontakan yang menjadi intipati kepada naratif. Tanpa karekter atau watak utama, sesebuah naratif itu tidak akan wujud.
Selain daripada watak utama, watak antagonis akan mewujudkan satu timbal balik terhadap matlamat dari watak protagonis yang kemudiannya menjadikan naratif tersebut lebih dramatik. Ini kerana matlamat watak utama haruslah mempunyai konflik dan halangan bagi mewujudkan sesebuah naratif yang bermakna. Watak antagonis di dalam filem Braveheart ini adalah Raja Edward Longshank yang menjadi musuh kepada William Wallace. Longshank merupakan seorang raja yang zalim dan kejam serta tidak berhati perut. Longshank telah menguasai Scotland dan telah membunuh serta memperkenalkan semula undang-undang yang zalim iaitu prima noctis yang memberi hak kepada bangsawan untuk menyutubuhi pengantin perempuan pada malam pertama. Watak antagonis Longshank ini telah menjadikan naratif berkembang dengan sebab causal and effect yang sering bertimbal balik dengan matlamat protagonist.
Selain itu, watak-watak sampingan juga turut member sumbangan yang bermakna kepada naratif iaitu dengan membantu matlamat protagonist atau membantu matlamat antagonis. Di dalam filem ini ditunjukkan watak-watak sampingan seperti Hamish yang membantu Wallace dan bangsawan-bangsawan Scotland yang bersekongkol dengan Longshank memerangkap Wallace. Watak-watak kecil pula adalah bertujuan membina subplot-subplot di dalam plot naratif contohnya watak Raja Muda England yang lemah dan tidak berupaya serta digambarkan sebagai Homoseksual dan watak Robert Bruce ke 17 yang mahukan takhta namun sering berkonflik dengan dirinya samada mahu menyokong Wallace dengan kemahuan bapanya.
Di samping itu, Filem Braveheart ini lebih menumpukan kepada restricted narrative iaitu naratif yang di dorong oleh watak-watak utama. Di dalam filem ini, watak telah mengembangkan naratif dengan peristiwa-peristiwa yang dirancangnya dan penonton mengikuti perkembangan naratif ini melalui peristiwa-peritiwa yang berlaku atau yang dilakukan oleh watak. Watak telah mengetahui apa yang akan dilakukannya tetapi penonton masih tidak tahu dan ini telah memberi kesan misteri atau suspen kepada penonton. Filem Braveheart lebih cenderung kepada restricted narratives dimana setiap tindak tanduk Wallace hanya dapat diketahui apabila dia melakukan perkara tersebut.
Namun, terdapat juga adegan dimana penonton mengetahui apa yang akan berlaku atau sudah berlaku tetapi watak di dalam filem tidak tahu dan ini dipanggil Omniscent Narration. Di dalam Braveheart terdapat satu adegan dimana penonton tahu bahawa Longshank dan golongan bagsawan yang menyokong Robert Bruce sedang membuat konspirasi untuk memerangkap Wallace sedangkan Wallace tidak mengetahui perkara ini. Selain itu terdapat juga adegan di mana Murron telah ditangkap oleh tentera Inggeris tetapi Wallace tidak menegtahuinya dan terus berlari kearah hutan dimana dia menyuruh Murron menunggunya. Di dalam sudut pandangan Omniscent ini penonton diberi hak untuk mengetahui sesuatu perkara yang tidak diketahui oleh watak kerana itu sudut pandangan ini juga digelar sebagai sudut pandangan ‘Tuhan’.
Selain itu, terdapat unsur-unsur parallelism dan similarity di dalam filem ini yang memberi gambaran awal kepada penonton. Paralellelism dan similarity bertujuan bagi memberi keupayaan kepada penonton membuat persamaan dan seterusnya mendapat clue awal terhadap naratif yang akan berlaku. Di dalam filem Braveheart ini terdapat adegan yang bercorak paralellelism iaitu persamaan watak, gesture atau gerak geri dan karekter pelakon. Contohnya, adegan saling berpandangan di antara Wallace dan Murron mempunyai persamaan dengan adegan saling merenung mereka sewaktu kanak-kanak dahulu. Begitu juga dengan Hamish, dimana kelakuan menumbuk yang dilakukan oleh Hamish terhadap Wallace di dalam adegan keramaian perkahwinan adalah sama dengan adegan dimana Hamish menumbuk Wallace ketika mereka masih kecil. Tumbukan Hamish dewasa telah mengingatkan penonton kepada Hamish sewaktu kecil dan kelakuan menumbuk itu berulangan tiga kali di dalam filem ini.
Kesimpulan
Struktur naratif merupakan satu perkara yang penting di dalam jalinan naratif bagi sesebuah filem yang di hasilkan. Sekiranya struktur naratif di dalam sesebuah filem itu longgar dan tidak kukuh maka jalinan naratif yang terhasil sudah pasti tidak member impak dan signifikan seperti yang diharapkan kepada penonton. Pengetahuan tentang pembinaan dan mengenal pasti struktur naratif ini adalah amat penting bagi pengarah mahupun penonton agar sesebuah filem itu dapat dihasilkan dan dinilai secara munasabah oleh kedua-dua belah pihak.
Filem Braveheart merupakan salah satu contoh filem yang mempunyai naratif yang kuat dan amat memberi impak kepada penonton. Ini kerana pengarah filem ini iaitu Mel Gibson berjaya membina struktur naratif yang kuat dan kemas sehingga filem tersebut menjadi antara filem-filem terbaik yang pernah dihasilkannya.
Italian Neorealism
Italian neorealism merupakan sebuah movement atau aliran pergerakan dalam pembikinan filem yang berkembang di Itali sewaktu era berakhirnya perang dunia kedua. Perkataan Neorealism buat pertama kalinya telah muncul pada awal 1940an dalam penulisan- penulisan kritikan di Itali. Andre Bazin, seorang pengkritik filem Perancis mengatakan bahawa Neorealism adalah filem yang menggambarkan tentang kebenaran, semulajadi, ketulenan dan ianya merupakan sinema tentang suatu keadaan masa.
Dari satu sudut perspektif, perkataan Neorealism ini merujuk kepada generasi muda yang mahu bebas dari konvesional dan stereotaip filem- filem Itali yang biasa. Italian neorealism dapat dikenalpasti berdasarkan naratifnya yang berkisarkan tentang kisah hidup rakyat kelas pekerja dan kemiskinan, seringkali menggunakan pelakon yang bukan profesional untuk watak utama dan watak pembantu, serta shot atau scene lokasi kebiasaannya dibiarkan long takes.
Pergerakan Italian Neorealism ini seringkali dikatakan bermula pada tahun 1943 dengan filem Ossessione dan berakhir dengan filem Umberto D pada tahun 1951. Filem-filem Neorealism ini sarat dengan paparan kedaifan dan kesusahan ekonomi masyarakat pasca peperangan. Ini semua adalah refleksi keadaan kehidupan masyarakat Itali pada waktu tersebut yang kecewa dalam peperangan,kemiskinan dan keterdesakan hidup.
Sejarawan filem bersetuju dengan mengatakan bahawa gerakan aliran Italian Neorealism ini merupakan satu gerakan yang universal berdasarkan gaya dan prinsip-prinsip temanya. Kenyataannya, filem Italian Neorealism ini merupakan satu teknik gabungan diantara gaya tradisional dan ekperimentasi.
Sejarah Italian Neorealism
Kekuasaan rejim Fascist yang dibantu oleh pihak Nazi German di Itali telah berakhir pada tahun 1943 namun tentera bersekutu mengambil masa hampir dua tahun untuk menghapuskan saki baki rejim tersebut yang masih berkuasa di bahagian Utara Itali dan seterusnya membebaskan rakyat Itali spenuhnya dari penguasaan rejim Benitto Mussolini itu pada 25 April 1945. Kejayaan tentera bersekutu ini banyak dibantu oleh gerakan-gerakan penentangan dari dalam yang terdiri dari parti Christian Democrats dan parti Socialist Communist yang berjaya mengembeleng tenaga rakyat untuk berjuang mengusir tentera Fascist dan Nazi dari negara mereka.
Namun sebelum rejim Fascist ini benar- benar berjaya ditumbangkan, beberapa orang pengarah filem Itali dengan secara rahsia telah mula membuat pengambaran filem iaitu berkenaan keadaan Itali selepas perang dunia kedua. Antara pengarah tersebut ialah Roberto Rosselini yang telah memulakan penggambaran filem Open City. Penggambaran ini di lakukan sewaktu askar-askar Nazi yang membantu pihak Fascist masih menguasai jalan-jalan di Rome. Dengan ketiadaan studio yang dinamakan sebagai Cinecitta, yang telah musnah dan tapaknya dijadikan kem pelarian, Roberto Rosselini terus berusaha melakukan penggambaran ini di jalan raya pada waktu siang hari walaupun terdapat risiko dari tentera Nazi. Selain dari ketiadaan studio, Roberto Rosselini ini juga menghadapi masalah ketiadaan stok filem dan untuk mengatasi masalah ini, beliau telah menggunakan filem biasa yang di jual di kedai- kedai tepi jalan dan filem ini dicantumkan satu demi satu untuk menjadi stok filem. Usaha beliau ini telah menjadi perintis kepada sebuah gerakan aliran yang amat penting dan amat memberi signifikan di dalam dunia perfileman iaitu gerakan aliran Italian Neorealism.
Selepas kejatuhan rejim Fascist yang dipimpin oleh Benitto Mussolini pada tahun 1943 serta berakhirnya perang dunia kedua, gerakan Italian neorealism ini terus berkembang. Dunia mula diperkenalkan dengan gaya gerakan ini. Gerakan ini seterusnya telah dipelopori oleh pengarah-pengarah dari Itali seperti Roberto Rossellini, Vittorio De Sica dan Luchino Visconti. Pengarah-pengarah filem ini telah bebas dari sekatan dan kongkongan Fascist yang kebiasaannya akan menapis, memotong atau mengharamkan terus sesebuah filem yang di lihat tidak selari dengan ideologi rejim tersebut.
Filem neorealist selalunya bertemakan tentang kehidupan sosial, politikal dan ekonomi yang mana sebelumnya pihak fascist tidak akan bertolak ansur. Ini kerana filem- filem sebegini biasanya akan menjana pemikiran penonton secara kritikal terhadap isu- isu yang berkaitan dengan masalah ekonomi dan keadaan sosial yang buruk yang berlaku di Itali seperti kemiskinan pasca peperangan, kesan- kesan gerakan perang penentangan dan masalah pengangguran yang sangat ketara.
Italian Neorealism mempunyai ciri- ciri utama iaitu penggunaan aktor yang tidak profesional, pencahayaan semulajadi, penggunaan lokasi luar yang sebenar ( tidak menggunakan studio), keinginan untuk mengangkat tema-tema kehidupan realiti dengan lebih rapat, kehidupan selepas perang, pertembungan antara kelas, ideologi, harapan pembaharuan politik dan unsur-unsur pesimistik.
Kesemua ciri-ciri utama ini bukan ditetapkan tanpa ada sebab- sebab yang khusus. Setiap satunya, mempunyai sebab yang berbeza dan banyak di antara ciri- ciri tersebut disebabkan oleh keadaan pada waktu tersebut( selepas perang). Sebagai contoh, penggunaan aktor tidak profesional memberi kesan perbezaan visual dari gaya filem biasa khususnya Hollywood. Selain itu ianya mendekatkan penonton dengan dunia di dalam filem kerana ianya mengangkat elemen realiti kedalam filem. Lakonan pelakon profesional bukan merupakan elemen realiti kerana ianya sekadar berlakon tetapi pelakon amatur tidak berlakon dan ianya mampu menonjolkan karekter dirinya yang sebenar ke dalam filem.
Peter Brunette telah menjelaskan elemen realiti di dalam Italian Neorealism :
"…Conventional cinema demands a basic level of plausibility, enough to allow us to put ourselves emotionally into the created world of the film.... We perceive something as realistic...when it corresponds to a set of conventionalized expectations...about what people in movies do.... When we experience...a film as more realistic than usual...it is because it is pushing against the currently accepted boundaries of the realistic, closer toward the dangerous unpredictability of the (represented) real"
Filem Italian Neorealism merupakan kesinambungan dari elemen-elemen realism sewaktu era fascist tetapi ianya berbeza dari sudut politikal dan motivasi pembikinannya. Selepas 1945, tiada seorang pun pengarah dari Itali yang cuba mengangkat atau mengaitkan ideologi Fascist di dalam filem-filem mereka. Tumpuan pengarah neorealist Itali ini hanyalah pada aspek ekonomi dan sosial masayarakat Itali selepas perang dan secara tidak langsung mengkritik secara halus kegagalan ideologi Fascist yang membawa bencana kepada negara mereka.
Karekteristik Italian Neorealism
Secara umumnya karekteristik Italian Neorealism dapat diperjelaskan melalui elemen-elemen Ideologically dan stylistically yang terdapat di dalam filem-filem tersebut. Terdapat 5 elemen di dalam Ideologically iaitu :
Ideologically, the characteristics of Italian neorealism were:
1.A new democratic spirit, with emphasis on the value of ordinary people
2.A compassionate point of view and a refusal to make facile (easy) moral judgments
3.A preoccupation with Italy's Fascist past and its aftermath of wartime devastation
4.A blending of Christian and Marxist humanism
5.An emphasis on emotions rather than abstract ideas
Manakala elemen-elemen stylistically pula mempunyai 6 elemen iaitu:
Stylistically, Italian Neorealism was:
1.An avoidance of neatly plotted stories in favor of loose, episodic structures that evolve organically
2. A documentary visual style
3. The use of actual locations--usually exteriors--rather than studio sites
4. The use of nonprofessional actors, even for principal roles
5. Use of conversational speech, not literary dialogue
6. Avoidance of artifice in editing, camerawork, and lighting in favor of a simple "styless" style
Dengan menggunakan filem Basikal Thieves arahan Vittorio De Sica sebagai contoh, kesemua elemen-elemen yang membentuk karekteristik Italian Neorealism ini akan dihuraikan.
Huraian elemen karekteristik Italian Neorealism
‘A new democratic spirit, with emphasis on the value of ordinary people’ adalah bertujuan untuk menaikkan semangat patriotisme di kalangan rakyat Itali yang mana negara mereka telah tewas dalam peperangan dunia kedua. Sewaktu peperangan, Bennito Mussolini telah menanamkan fahaman Fascist kepada rakyat Itali iaitu satu fahaman melampau yang mengatakan bahawa rakyat Itali adalah ‘anak Tuhan’ untuk menaikkan semangat tentera dan rakyat Itali menghadapi peperangan. Namun setelah Itali tewas dalam peperangan semangat rakyatnya telah merudum dan terhakis. Filem neorealisme telah cuba menaikkan semangat rakyat Itali yang telah hilang ini dengan memaparkan nilai-nilai kehidupan rakyat biasa dan bukan lagi sebagai ‘anak Tuhan’. Di dalam Bicycle Thieves, pengarah Vittorio De Sica telah memaparkan kehidupan rakyat biasa yang tabah mengharungi kehidupan dengan tabah dan cekal sekaligus cuba menaikkan semangat rakyat Itali mengharungi kehidupan sukar itu dengan tabah dan menghilangkan terus idea ‘anak Tuhan’ di dalam hati mereka.
‘A compassionate point of view and refusal to make facile ( easy ) moral judgements’ merupakan satu usaha neorealist untuk tidak membenarkan hasil karya mereka dinilai dengan pengadilan moral yang mudah. Ini merupakan antara idea utama neorealism iaitu mengangkat tema real atau kejadian dunia sebenar tanpa ada cubaan untuk menjadi hakim dengan mewujudkan hukum poetic justice di dalam filem-filem mereka. Selain itu, keadaan ekonomi Itali yang merudum akibat peperangan menjadikan rakyatnya di dalam keadaan terdesak dan akan melakukan apa sahaja untuk hidup. Di dalam Bicycle Thieves watak utama iaitu Antonio Ricci telah kehilangan basikalnya yang amat penting bagi kerjanya akibat dicuri. Penonton dapat merasai kesukaran dan kesusahan hidup Antonio Ricci serta bersimpati terhadapnya yang kehilangan basikal yang begitu penting dalam hidupnya. Penonton di heret sekali ke dalam emosi Antonio Ricci sehinggalah di akhir cerita beliau telah bertindak nekad untuk mencuri basikal bagi menggantikan basikalnya yang hilang sekaligus dapat membebaskan dirinya dari kemelut kehidupan yang sukar. Di sinilah moral judgements penonton di cabar kerana penonton akan menyokong tindakan salah mencuri Antonio Ricci tersebut sedangkan penonton tahu bahawa tuan empunya basikal yang dicuri itu juga amat memerlukan basikal tersebut seperti mana Antonio memerlukannya. Hal ini terjadi kerana penonton tahu bahawa Antonio di dalam keadaan terdesak dan terpaksa melakukan jenayah tersebut akibat keterdesakan itu.
‘A preoccupation with Italy’s Fascist past and it’s aftermath of wartime devastation’ merupakan elemen yang ketara di dalam filem-filem Italian neorealism. Ini kerana para neorealist Itali cuba menunjukkan kesan kegagalan ideologi Fascist dan kehidupan rakyat yang sukar akibat dari kekalahan perang yang tercetus dari ideologi Fascist tersebut. Filem-filem neorealism seringkali mengangkat tema-tema kehidupan rakyat biasa yang menjadi mangsa peperangan iaitu seperti kemiskinan, ketiadaan pekerjaan dan kepayahan hidup. Di dalam Bicycle Thieves, jelas di paparkan kesukaran hidup yang di alami oleh Antonio dan rakyat Itali yang sukar mendapat pekerjaan dan dibelengu kemiskinan akibat ketidakstabilan ekonomi dan politik akibat perang.
‘A blending of Christian and Marxist humanism’ merupakan salah satu cara neorealist Itali untuk menggantikan fahaman Fascist yang di tanam kepada rakyat Itali selepas kekalahan di dalam perang. Fahaman Fascist tidak lagi menjadi ideologi dan falsafah kehidupan rakyat Itali kerana ideologi fascist yang mengatakan rakyat Itali istimewa sebagai anak Tuhan merupakan satu ideologi yang gagal kerana kepercayaan itu musnah apabila tentera Itali tewas kepada tentera bersekutu yang terdiri daripada golongan manusia biasa. Oleh itu para pembikin filem neorealist Itali cuba menerapkan ajaran kristianiti dan ideologi humanis Marxis kepada rakyat Itali. Di dalam filem Bicycle Thieves pengarah Vittorio De Sica turut memasukkan elemen-elemen religius dan ideologi marxis ini, sebagai contoh terdapat adegan di mana Antonio Ricci dan anaknya Bruno Ricci masuk ke dalam gereja sewaktu mengejar pencuri. Di samping itu terdapat juga adegan di mana Antonio dan Bruno berteduh dari hujan bersama-sama dengan sekumpulan paderi. Adegan itu menunjukkan Bruno dan Antonio seolah-olah pelik melihat kumpulan paderi tersebut kerana mereka tidak mengenali langsung paderi. Elemen-elemen kristianiti ini dipaparkan supaya rakyat Itali mempunyai satu pegangan alternatif kepada fahaman Fascist yang gagal. Selain itu, pemaparan rakyat kelas perkerja yang daif dan kesukaran mereka mencerminkan ideologi humanis Marxis di dalam karya-karya filem neorealism ini dan ini juga dapat dilihat di dalam filem Bicycle Thieves.
‘An emphasis on emotions rather than abstract ideas’ merupakan elemen yang penting di dalam filem-filem neorealism. Ini kerana filem-filem neorealism ini bukan bertujuan untuk menyelitkan mesej-mesej moral tetapi lebih kepada mengangkat kompleksiti kehidupan sebenar dan nyata ke dalam filem sekaligus dapat memanipulasikan emosi penonton untuk turut merasai emosi watak di dalam filem. Contohnya di dalam Bicycle Thieves, penonton di ajak berkongsi perasaan sedih,kecewa dan kepayahan hidup yang dialami oleh Antonio akibat kemiskinan dan kesedihan kehilangan basikalnya. Naratif filem tersebut juga hanya mengfokuskan terhadap satu perkara iaitu kesukaran hidup yang bakal dihadapi oleh Antonio sekiranya basikal yang hilang gagal ditemui.
Selain daripada elemen-elemen ideologically ini, elemen-elemen stylistic turut penting dalam membentuk karekteristik Italian Neorealism movement ini.
‘An avoidance of neatly plotted stories in favor of loose, episodic structures that evolve organically’ elemen ini merupakan gaya neorealism yang utama iaitu dengan plot naratif yang longgar supaya struktur naratifnya dapat berkembang dengan mudah dan lancar. Dengan merujuk kepada filem Bicycle Thieves dapat dilihat bahawa filem ini hanya mempunyai satu plot sahaja iaitu usaha Antonio untuk mencari basikalnya yang hilang dan plot ini membawa penonton kepada peristiwa-peristiwa yang di hadapi oleh Antonio sewaktu pencarian basikalnya itu sehinggalah ia akhirnya gagal dalam usaha untuk menggantikan basikalnya yang dicuri dengan mencuri basikal kepunyaan orang lain. Plot di dalam filem ini hanya tertumpu kepada satu dan kemudiannya berkembang sehinggalah tamat.
‘A documentary visual style’ pula sangat jelas kelihatan dari visual filem-filem Italian neorealism. Filem-filem neorealism seringkali memaparkan keadaan sebenar selepas peperangan di Itali baik visual terhadap masyarakatnya atau visual keadaan sekelilingnya termasuk bangunan yang di bom dan tempat kediaman yang kotor serta daif dan gaya ini mirip kepada gaya visual filem dokumentari. Di dalam filem Bicycle Thieves penonton dapat melihat keadaan masyarakat dan persekitaran sebenar di Rome selepas perang di mana rakyat berebut-rebut mencari pekerjaan dan persekitaran tempat tinggal Antonio serta kawasan kejiranan yang miskin.
‘The use of actual location-usually exteriors-rather than studio sites’ Penggunaan lokasi luar yang sebenar sangat-sangat diaplikasikan di dalam filem-filem yang tergolong di dalam Italian neorealism. Ini kerana Cinecitta iaitu studio perfileman di Itali telah dipenuhi dengan pelarian perang. Selain itu, peralatan filem seperti lampu juga banyak yang telah rosak akibat peperangan dan peralatan baru sukar diperolehi dan ini menyebabkan pengambaran terpaksa bergantung dengan menggunakan cahaya semula jadi iaitu matahari. Kerana itu selain dari ketiadaan studio, ketiadaan peralatan pencahayaan juga menjadi faktor penggunaan lokasi luar yang sebenar. Di samping itu, penggunaan lokasi luar adalah untuk menghidupkan keadaan sebenar atau real yang menjadi intipati neorealism. Filem Bicycle Thieves memperlihatkan penggunaan lokasi luar seratus peratus iaitu di sekitar bandar Rome dan hampir keseluruhan adegan di dalam filem tersebut adalah pada waktu siang.
‘The use of nonprofessional actors, even for principal roles’ juga menjadi gaya neorealism yang yang ketara. Para pelakon adalah terdiri daripada mereka- mereka yang bukan profesional bagi mengukuhkan lagi konsep realis yang ingin diketengahkan oleh para neorealist di dalam filem-filem mereka. Gaya amatur para pelakon telah menjadikan konsep realis di dalam filem Neorealism menjadi lebih berseni dan hidup. Pelakon uatam filem Bicycle Thieves iaitu Lamberto Maggiorani yang membawa watak Antonio Ricci adalah seorang pelakon amatur begitu juga halnya dengan pelakon budak lelaki yang menjadi anaknya iaitu Enzo Staiola.
‘Use of conversational speech, not literary dialogue’ Penggunaan gaya percakapan seharian turut merupakan gaya neorealism. Dialog yang dipertuturkan di dalam filem-filem neorealism lebih mirip kepada gaya percakapan sebenar kehidupan di luar filem dan tidak seperti gaya percakapan berdasarkan skrip yang bersifat sastera. Ini kerana para neorealist seboleh mungkin mahu menghidupkan suasana sebenar kehidupan manusia ke dalam filem. Perkara ini dapat dilihat di dalam filem Bicycle Thieves di mana para pelakonya menutur dialog dengan realistik tanpa bahasa- bahasa penulisan yang janggal sekiranya diungkapkan di dunia sebenar.
‘Avoidance of artifice in editing, camerawork and lighting in favor of a simple “styles” style’ Kesan-kesan editing yang ketara, kerja kamera yang berlebihan serta penggunaan lighting yang tidak asli kebiasaannya tidak diaplikasi di dalam filem-filem neorealism ini kerana kesemua teknik editing, kamera dan pengcahayaan haruslah minimal dan realistik agar bersesuaian dengan konsep neorealism itu iaitu mengankat kehidupan sebenar ke dalam filem. Oleh kerana itu, filem Neorealism seperti Bicycle Thieves tidak menggunakan kaedah editing yang ketara , kerja kamera yang sofistikated serta penggunaan lampu yang artificial agar kandungan filem itu kelihatan lancar dan realistik.
Pengarah Italian Neorealism dan hasil kerja mereka
Menjelang zaman kebangkitan aliran ini, terdapat ramai pengarah yang memperjuangkan idea- idea Neorealism di dalam hasil kerja dan filem- filem mereka. Diantaranya seperti Bernardo Bertolucci, Mauro Bolognini, Giuseppe De Santis, Gianni Franciolini, Alberto Lattuada, Carlo Lizzani, Francesco Maselli, Giuliano Montaldo, Valentino Orsini, Francesco Rosi, Luigi Zampa, Cesare Zavattini, dan Valerio Zurlini yang telah menghasilkan sebanyak 40 buah filem secara keseluruhannya. Diantara pengarah- pengarah yang terkenal dengan aliran ini adalah Luchino Visconti, Roberto Rossellini, dan Vittorio De Sica.
Luchino Visconti telah berjaya mencuri perhatian masyarakat dengan filemnya La Terra Trema (1948) dan Ossessione (1943). La Terra Trema merupakan sebuah filem berbentuk dokumentari yang berkisar tentang ekploitasi golongan pemborong barangan mentah kepada golongan nelayan hingga memaksa golongan nelayan yang tertindas nekad menempuh pelbagai halangan bagi menjual hasil laut mereka sendiri manakala Ossessione mengajak penonton menyelami kisah seorang kutu rayau yang jatuh cinta kepada isteri orang hingga mendorong terjadinya pembuhunan dan ketidakpercayaan. Filem ini penuh bermakna dan menyerlahkan ciri- cirri sebenar Italian Neorealism yang terdapat di dalamnya.
Roberto Rossellini mula menyerlahkan bakat beliau dalam bidang pengarahan melalui filem klasik Open City (1945) yang banyak mengupas tentang sejarah aliran Neorealism ini, diikuti dengan filem Paisan (1946)yang memaparkan kemaraan tentera Amerika di Itali menjelang Perang Dunia ke-2 pada suatu ketika dahulu, dari saat bermulanya penaklukan ke atas Sicily pada tahun 1943 sehinggalah tarikh pembebasan mereka pada 1945. Filem Germany Year Zero (1948)menyusul seterusnya, diikuti dengan filem The Flowers of St. Francis (1950)yang memaparkan perjuangan St. Francis dan pengikutnya yang berfahaman ateis.
Vittorio De Sica merupakan seorang pengarah yang paling berjaya dalam menyampaikan mesej Neorealistnya. Melalui karya agung beliau, Ladri Di Biciclette atau lebih dikenali sebagai The Bicycle Thief (1948) penonton dibawa mendalami suasana Itali pada zaman selepas Perang Dunia ke-2 yang mendorong kepada kemelesetan ekonomi dan kesukaran bagi mendapatkan pekerjaan dimana mampu merubah nilai-nilai murni yang terdapat dalam diri seseorang hingga sanggup melakukan perbuatan yang salah di sisi undang- undang. Diantara karya beliau yang lainnya ialah Shoe- Shine (1946), Umberto D. (1952) dan Terminal Station (1953). Kebanyakan filem- filem arahan beliau memaparkan kepayahan hidup bagi masyarakat kebanyakan Itali pada zaman selepas perang, malah sesetengah filem seperti The Bicycle Thieves turut menggunakan pelakon dari kalangan orang kebanyakan dan bukan pelakon professional bagi menghidupkan watak- watak tersebut.
Walaupun setelah tamatnya era Neorealism pada tahun 1953, terdapat seorang lagi pengarah yang banyak dipengaruhi oleh idea- idea aliran Italian Neorealism dalam filem- filem penghasilannya. Pier Paolo Pasolini turut menggunakan barisan pelakon yang terdiri daripada orang kebanyakan bagi mengurangkan bajet untuk filem beliau Accatone (1961) dan The Gospel according to St. Mathew (1964), yang mana keseluruhan ceritanya hitam putih dan menjalani penggambaran sekitar Itali sahaja.
Ahad, 25 Januari 2009
Kritik buat teman-teman- Awan Mendung Menanti Pelangi, Omah Cilikku Enek Kelambu, Sinkronis

Pada cuti semester yang lepas, 3 buah produksi filem pendek dari kalangan teman-teman pelajar Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik telah keluar bergerila. Hasilnya, 3 buah filem pendek yang masing-masing mempunyai gaya tersendiri telah di hasilkan.
Filem itu ialah Awan Mendung Menanti Pelangi arahan Azri Abu Hasan, Sinkronis arahan Jaja Kadir dan Omah cilikku Enek Kelambu arahan Wak Dol.
Pada ... tayangan perdana ketiga-tiga filem itu di adakan di dalam sebuah majlis yang serba sederhana tetapi mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Kagum melihat hadirin yang datang dan sanggup berdiri kerana ketiadaan tempat duduk ( termasuk diri aku sendiri) sehingga majlis tayangan dan sesi soal jawab berakhir. Aku sebagai salah seorang warga pelajar perfileman T.E.K.A mengucapkan ribuan terima kasih atas kesudian para hadirin memeriahkan majlis tersebut.
Filem pendek pertama pada malam tersebut adalah Omah Cilikku Enek Kelambu (O.C.E.K). filem pendek arahan Wak Dol ini adalah seratus peratus dalam bahasa Jawa. Ianya ini merupakan sebuah karya yang bersifat peribadi bagi Wak Dol dan merupakan sebuah karya penghargaan khas yang ditujukan untuk ayahnya serta untuk etnik Jawa keseluruhannya.
Filem pendek ini merupakan sebuah karya yang patuh menurut gerakan realis. Kamera yang statik serta durasi adegan yang dibiarkan berjela ( Long takes). Memang mudah untuk kebanyakan penonton merasakan filem pendek ini adalah sebuah karya yang 'dragging' dan mendatangkan bibit bosan. Tetapi Wak Dol mempertahankan hasil kerjanya itu dengan mengatakan tujuan long takes dan pergerakan kamera yang statis itu adalah satu permintaan agar penonton memberi tumpuan sepenuhnya kepada karya tersebut. Terutamanya kepada dialog watak-wataknya.
Secara peribadi aku melihat O.C.E.K adalah sebah karya yang bersifat individualistik Wak Dol. Karya ini adalah kehidupannya yang lampau. Mempunyai nilai sentimental. Adegan yang panjang itu di tambah dengan bunyian deru hujan yang turun berupaya mendatangkan syahdu. Masalah pasangan hidup kelas bawahan Melayu yang menjadikan bilik tidur sebagai luahan hati ke hati. Yang pastinya perbualan itu berat dengan beban payah hidup mereka.
Ianya sebuah karya yang jujur. Wak Dol tidak bertujuan menghiburkan penonton tetapi lebih mahukan pengalaman hidupnya dikongsi penonton. Dia mahu penonton tahu bahawa dunia perbualan yang bosan yang dipaparkan itu adalah dunia nyata. Hidup ini adalah perjuangan yang meleret dan panjang.
Hujan di luar rumah pula bagi aku adalah signifikasi kekusutan dan ketidak tenteraman jiwa watak utamanya. Namun hujan adalah bersifat memulih. Selepas hujan suasana akan menjadi lebih nyaman. Lebih segar. Dan kehidupan yang baru akan bermula.
Terima kasih kepada Wak Dol yang mahu berkongsi pengalamannya dengan aku. Jowo pun Jowo lah...janji Lu Rock!.
***
Filem pendek kedua yang ditayangkan pada malam tersebut adalah juga merupakan sebuah filem yang paling ditunggu-tunggu oleh hadirin iaitu Awan Mendung Menanti Pelangi(A.M.M.P) arahan Azri Abu Hasan. Filem pendek ini adalah sebuah filem 'tribute' kepada filem-filem era 80an dan merupakan sebuah melodrama. Dari blognya, dia memberitahu bahawa dia sangat teruja untuk menghasilkan tribute filem-filem 80an yang sememangnya jika dinilai pada hari adalah filem-filem yang sanagat buruk dan huduh dari pelbagai aspek baik dari segi pengarahan, lakonan dan teknikal. Baginya dalam keburukan filem-filem era tersebut, ada sesuatu yang dihargainya iaitu 'jiwa' melayu pada era tersebut. Aku secara kasarnya agak tidak faham 'jiwa' Melayu bagaimana yang dimaksudkan oleh Azri.
Secara peribadi, aku lihat era 80an 'jiwa' Melayu sangat raw.
Filem ini mengisahkan tentang kepulangan seorang wanita curang pulang ke pangkuan keluarganya namun kepulangan itu tidak diharapkan. Sangat melodrama. Aku tidak mahu mengulas jalan ceritanya kerana bagi aku kamu pasti boleh agak jalan ceritanya bagaimana. Jika tidak boleh agak, aku menggalakkan anda mendapatkan VCD yang original dari Azri di sini.
Filem tribute mempunyai 3 kaedah penghasilan yang berbeza iaitu tribute secara parodi iaitu mengambil kembali elemen-elemen lama dan dibikin semula bagi tujuan humor. Hurm, kaedah satu ini selalunya bukan bertujuan 'tribute' tetapi lebih kepada untuk menyindir atau memperlekehkan. Kaedah dua adalah mengambil elemen-elemen lama tetapi dilakukan dengan lebih baik. Contohnya filem-filem remake. Dan yang ketiga adalah dengan cara mengambil bulat-bulat segala elemen di dalam sesebuah filem yang ingin ditribute. Maksudnya. Ia dibikin sebijik-sebijik. Segala kehodohan, kesilapan dan kebodohan yang dahulu ditiru bulat-bulat.
filem A.M.MP ini adalah filem tribute di dalam ketegori nombor tiga. Ianya dibikin mengikut beberapa buah filem era 80 an. Salah satunya adalah Tiada Esok Bagimu karya Jins Shamsudin.
Oleh itu penonton dapat lihat kehodohan kerja kamera dan teknikal di dalam filem pendek ini. Kamera jerk. Track yang bukan-bukan hala. Selain itu gaya lakonan yang sangat teruk serta gaya pengarahan dan lakon layar yang mengarut.
Tetapi itu semua adalah relevan pada era 80an. Mungkin ada yang tidak sependapat dengan aku dalam soal ini. Aku bukan menghentam filem-filem 80an malahan aku walaupun lahir pada tahun 1983, aku selalu menonton filem-filem pada era tersebut semasa kecil sewaktu slot Mustika pada pukul 2 petang setiap Ahad dahulu. Ya, aku masih ingat bagaimana Noor Kumalasari berlakon dan digandingkan dengan Jins Shamsudin. Bagai langit dengan bumi hahaha.
Filem pendek ini mendapat kritikan hebat pada malam tersebut oleh seorang pensyarah dari fakulti Art and Design,UiTM. Pensyarah yang mengajar Visual Culture (kalau tak silap aku) telah mengkritik bahawa filem pendek itu sangat buruk dan memalukan. Oh, Pak cik, filem itu memang dibikin buruk lah pak cik. Segala keburukan di dalam filem itu disengajakan untuk kita sama-sama mengimbau kembali visual filem pada era 80an dahulu. Tidak berniat si pengarah untuk memalukan diri menghasilkan kerja yang begitu teruk. Azri telah mengarahkan sebuah filem pendek yang mendapat perhatian yang sangat kencang tahun lepas iaitu Kopitiam Kurang Manis. Sekiranya untuk mengetahui kerja Azri yang sebenar boleh dilihat di situ.
Cuma pada pendapat aku, untuk membuat tribute sebegini adalah amat sukar. Untuk sengaja membuat kesilapan dan mahu kesilapan itu tidak kelihatan sengaja dibuat-buat adalah amat sukar. Sangat sukar. Dan kerana itu di sesetengah tempat adegan di dalam filem pendek tersebut kelihatan seperti sebuah parodi. Mungkin kerana ianya telah 'terover'. Dan ini datangnya dari gaya lakonan.
Apapun, untuk Azri yag kelihatan agak emo malam itu. haha, cool brader, congrats untuk lu. Kamu telah hasilkan sesuatu yang berani. Jangan patah hati, Pekakkan telinga, teguhkan semangat , dan terus berkarya. Malaysia memerlukan orang macam lu.
***
Filem pendek yang ketiga adalah arahan Jaja Kadir. seorang pengarah wanita yang bertubuh kecil tetapi bersemangat besar. Pada mulanya aku, sebagai seorang pengikut art pop, datang dengan harapan untuk menyanggah bentuk absurd yang cuba dihidangkan oleh Jaja. Rumors meniup kencang yang mengatakan Sinkronis adalah sebuah filem pendek kategori 'sekolah seni'. Dan bagi aku yang mendokong faham, 'sesuatu yang tidak difahami itu tidak semestinya seni' sememangnya berhasrat besar untuk menyanggah hasil kerja sebegitu.
Namun jangkaan aku meleset. Sinkronis adalah sebuah karya yang sangat menyentuh aku. Kekesongan dan kerinduan watak utamanya pada seorang gadis begitu menyentap-nyentap tangkai hati aku. Pemilihannya untuk menggunakan soffi Jikan adalah satu pilihan yang amat bijak. Sinkronis di antara Soffi dan karya tersebut memang terserlah.
Lagi satu yang aku suka tentang filem ini adalah pemilihan sebuah lagu Perancis yang amat romantik. Ajami Hasyim mengatakan bahawa senikata terjemahan lagu tersebut adalah satu keperluan tetapi bagi aku, walaupun aku tidak sepatah harampun mengetahui bahasa Perancis tetapi lagu alunan lagu tersebut sahaja sudah cukup menggambarkan saat-saat romantis yang ingin disampaikan.
Dan. ya, Orang Perancis sememangnya makhluk yang palin romantik di muka bumi ini. Haha.
Filem pendek ini sangat indah. Kerja kameranya juga sangat indah. Pendek kata, aku memang teramat suka dengan filem pendek ini. Kau memang something Jaja. haha.
***
Semangat mereka ini telah masuk ke dalam diri aku. Aku pinjam semangat kalian untuk turun bergerila pada hujung minggu ini InsyaAllah.
Jumaat, 16 Januari 2009
MAUT
MAUT arahan Bade Hj Azmi adalah sebuah naskah filem yang berunsur dakwah. Berunsur keagamaan. Bade akui sendiri bahawa dengan umurnya yang semakin lewat, dia mahu mengisi sesuatu yang holistik di dalam karya-karyanya. Oleh itu terhasillah filem MAUT ini.
Filem MAUT ini mempunyai 3 cerita yang berlainan tetapi mengangkat satu persoalan yang sama iaitu kehidupan selepas mati.
Cerita yang pertama adalah mengenai seorang gadis, iaitu Sue ( Liyana Jasmay) yang telah di datangi oleh seorang gadis misteri, iaitu Fadilah (Noreminadiya) yang meminta untuk tumpang bermalam. Pada keesokkan harinya Fadilah telah pergi begitu sahaja dan misteri kedatangannya menghantui hidup Sue. Misteri ini semakin rumit apabila Sue mendapat tahu bahawa gadis yang tumpang bermalam di rumahnya itu adalah seorang remaja yang hilang/ lari dari rumah dan sedang dicari oleh keluarganya.
Cerita kedua pula adalah mengenai seorang pramugari, iatu Farah ( Sabrina) yang mengamalkan gaya hidup hedonistik. Dia kemudiannya berkahwin dengan seorang lelaki kulit putih kerana beranggapan lelaki kulit putih lebih berfikiran terbuka dan dapat bertoleran dengan kehidupan bebasnya. Namun, setelah mendapati suaminya berlaku curang dan berlaku pertengkaran di antara mereka berdua, Farah bertindak keluar dari rumah. Sewaktu memandu kereta bersendirian Farah telah terbuka hatinya untuk mengadu nasibnya pada Tuhannya setelah mendengar laungan azan dari radio kereta. Namun belum sempat dia menjejakkan kaki ke dalam masjid dia telah jatuh pengsan.Sewaktu tidak sedarkan diri itu dia telah mendapat petunjuk dari yang Yang Maha Kuasa.
Cerita ke tiga pula adalah mengisahkan tentang seorang remaja lelaki yang terjebak di dalam gejala Black Metal iaitu JJ atau Jamil ( Que). JJ adalah seorang pengikut muzik Black Metal yang 'true' hingga sanggup mencacahkan tatu kepala kambing dan pentagram di badannya yang menjadi simbol pada muzik black Metal tersebut. JJ juga sudah membuang segala ajaran Islam di dalam hidupnya dan beranggapan bahawa ajaran yang terkandung dalam kitab suci adalah bohong. Kemuncak cerita ini berlaku apabila JJ terbabit dalam satu kemalangan sewaktu pulang dari sebuah gigs haram Black Metal. Sewaktu dalam nazak, barulah JJ sedar segala yang dijanjikan di dalam kitab suci yang dianggap bohong itu adalah benar.
***
Filem MAUT ini adalah sebuah filem yang mencampurkan elemen real magis dan holistik. Kepercayaan adalah sesuatu yang abstrak dan ghaib, serta misteri tetapi telah divisualkan oleh Bade.
Di dalam cerita satu penonton dapat melihat perkara yang misterius di mana seseorang yang mati dapat berkomunikasi dengan seseorang yang masih hidup. Perkara ini amat kompleks untuk difikirkan secara rasional. Di lihat dari segi agama pula ' Apabila seseorang anak Adam itu mati maka terputuslah hubungannya dengan saudaranya di dunia'. Penglibatan deria keenam mungkin jawapannya.
Namun Bade dengan bijak menggelirukan dan memberi tanda tanya kepada penonton adakah Fadilah mengunjungi Sue sebelum dia mati atau selepas dia mati?
Cerita satu ini lebih mirip kepada filem horor, atau filem hantu yang klise. Elemen deria keenam ini telah banyak kali diangkat ke layar perak. Aku pada mulanya tidak nampak sesuatu yang holistik di dalam cerita satu ini. Namun Pandangan aku berubah dalam cerita kedua.
Cerita kedua membawa satu pembaharuan di dalam sinema Malaysia apabila satu perkara yang ghaib, iaitu neraka dapat divisualkan. Walaupaun sewaktu adegan ini tertulis teks yang mengatakan visual neraka itu tidak melibatkan mana-mana ajaran tetapi bagi aku yang beragama Islam, seksaan rambut terbakar itu dengan pantas dapat di hubungkaitkan dengan seksaan bagi wanita yang mendedahkan aurat rambutnya.
Visual ini memang ngeri. Walaupun visual neraka dapat di lihat seperti di dalam filem 'Constantine' tetapi visual neraka di dalam 'Maut' ini lebih dekat dengan diri aku. Bagi mereka yang masuk panggung dengan tujuan untuk membuat wayang sendiri baik fikir dua kali untuk melakukan adegan buruk anda di dalam panggun yang menayangkan filem Maut ini.
Cerita kedua ini adalah cerita dakwah. Aku setuju. Ianya sangat menginsafkan. Jika kamu menontonnya dan tidak merasa sesuatu yang menggerikan di dalam mungkin hati kamu adalah hati batu.
Cerita ketiga pula. Tujuan dan mesej keagamaan di dalam filem ini semakin jelas ditonjolkan. JJ telah mendapat habuannya secara 'cash' seawal nazak. Dan balasan yang diterimanya sebelum jenazahnya di kebumikan adalah sebagai petunjuk kepada mereka-mereka yang masih hidup.
Keseluruhannya, filem Maut ini adalah versi filem untuk kisah-kisah teladan yang dapat penonton baca di dalam majalah nyamuk...eh..majalah kesayangan nombor satu rakyat Malaysia iaitu ' MASTIKA".
***
Aku tidak tahu kenapa terdapat lebih dari dua babak yang soft focus di dalam filem ini. ??? perkara ini sangat tidak patut berlaku lebih-lebih lagi apabila pengarahnya adalah Bade yang juga merupakan bekas D.O.P tersohor Malaysia.
Adegan yang patut menggerikan tetapi entah kenapa membuatkan aku tergelak adalah adegan di aman jenazah JJ di masukkan ke dalam van jenazah. Kelakar apabila kempat-empat absorber van itu patah serentak sebaik sahaja van jenazah cuba dihidupkan. Ideanya adalah untuk menunjukkan jenazah JJ itu berat tetapi ianya menjadi satu bahan lucu. Hilaian ketawa dapat di dengari di dalam panggung.
***
Filem MAUT ini adalah sebuah filem yang bagus untuk di tonton oleh semua lapisan masyarakat terutamanya bagi masyarakat muslim di Malaysia. Berhibur di samping menginsafi adalah aktiviti hiburan secara serampang dua mata yang memberi banyak manfaatnya. selamat menonton!
Sori tiada poster.
Rabu, 24 Disember 2008
Histeria

Sepanjang bulan Disember ini, aku telah meraikan dua perkara yang amat bermakna dalam hidupku. Pertama : kejayaanku mendapatkan Anugerah Dekan buat kali kedua berturut turut sepanjang 2 semester pengajianku dalam bidang filem (walaupun pada semester ini takhta pelajar terbaik fakulti jatuh ke tangan Ares.. :) ) dan kedua : aku menyambut hari ulangtahun kelahiran dan keperitan ibu melahirkanku semalam, 23 Disember dimana genaplah 22 tahun aku bernafas di muka bumi ini.
Sebagai hadiah bagi kedua perkara diatas, aku telah dibawa ke Sunway Lagoon untuk berseronok dan pada sebelah malamnya aku telah menonton Histeria di TGV Sunway Pyramid. Walaupun agak keletihan, aku cukup teruja untuk menonton hasil karya sutradara James Lee, iaitu filem pertama bergenre seram yang diarahkannya. Aku amat meminati stail pengarahan beliau dalam karya sebelumnya ‘The Beautiful Washing Machine’ dan menaruh harapan yang agak tinggi melalui Histeria ini.
***
Sutradara James Lee mempertaruhkan 7 pelakon muda yang amat berbakat, namun sayangnya penggunaan pelakon muda yang cukup talented seperti Liyana Jasmay seperti tidak di ulitised sepenuhnya, namun aku cukup sukakan watak Alyssa lakonan Scha yang bertenaga dan menjadi ketua bagi kumpulan ‘The Pink Ladies’. Dan oh, special effect make-up yang sangat real, berjaya menimbulkan impak yang agak besar buat para penonton. Tahniah kepada Ella Sandera yang amat pakar dalam bidang itu.
Dari segi naratif, Histeria mempunyai jalinan naratif yang agak mudah difahami, bermula dengan jeritan Murni dengan baju yang dipenuhi darah dan disusuli dengan babak flashback tentang kejadian yang berlaku 4 hari sebelumnya, serta tragedi yang menimpa mereka. Namun filem ini agak slow, sehingga aku seperti merasakan masa berlalu dengan begitu lambat di panggung semasa cerita diputarkan.
***
Sinopsisnya...
Filem ini mengisahkan tentang sekumpulan pelajar dengan gelaran ‘The Pink Ladies’ dan mempunyai bracelet berwarna pink yang sama (cute, kat mana boleh aku beli ya??) terdiri daripada 6 orang ahli iaitu Murni, Alyssa, Kerek, Tini, Marina, Junita yang didorong oleh jiwa remaja mereka lalu mendownload jampi serapah dari internet untuk diaplikasikan pada sebuah busut di belakang sekolah (wah...sangat pandai..)... Lalu mereka didenda oleh pengetua untuk tinggal di sekolah permulaan musim cuti sekolah selama tiga hari bagi membersihkan kawasan sekolah dan diawasi oleh Cikgu Helmi, dan Zeta, seorang pengawas yang baru berpindah (dah setahun kira baru ke??)
Dek kerana kumpulan ini agak terkenal di sekolah mereka iaitu Sekolah Menengah Tinggi TunTeja, maka mereka turut berjaya merekrut Zeta, pengawas tersebut menjadi ahli baru kumpulan mereka melalui satu ujian yang perlu Zeta tempuhi, iaitu bermalam semalaman di makmal yang dikatakan berhantu!
Bagi lebih menghangatkan cerita, Zeta adalah merupakan seorang lesbo dan menaruh minat terhadap Alyssa, (namun tiada adegan hampir berciuman di pawagam seperti yang heboh diperkatakan oleh rakan bloggers yang telah menghadiri pratonton, mungkin telah dipotong oleh LPF bagi mengelakkan spekulasi.) Hal ini telah membuatkan hubungan rapat diantara Alyssa dan Murni , pelajar yang sentiasa dibuli dalam kumpulan tersebut, semakin renggang. Selain itu, penonton juga dijamu dengan skandal diantara Junita dan Cikgu Helmi yang membuatkan Junita mendapat keistimewaan dalam aktiviti pembersihan sekolah tersebut.
Namun pada sebelah malamnya, keadaan sekolah bertukar menakutkan. Satu demi satu pelajar terbunuh, termasuk Cikgu Helmi dan kesemuanya menunding jari kepada tukang kebun yang dikatakan membela jin. Apa sebenarnya yang berlaku?Siapa pembunuh sebenarnya?Mengapa hanya Murni yang terselamat?
***
Tidak banyak yang mampu aku perkatakan tentang filem ini kerana kesemua unsur- unsur keseramannya sudah 'terhidang' di depan mata. Namun, pada pandangan peribadiku hantu yang ditonjolkan dalam filem ini hanyalah sesuatu yang biasa dilihat, tidak banyak kejutan dan ianya hanyalah sebuah kisah seram dari asrama seperti yang biasa kita dengar ketika zaman persekolahan dahulu, bezanya cuma hantu ini kuat membunuh, dan walaupun pada jampinya dikatakan hantu ini hanya makan telur ayam sahaja namun divisualkan hantu tersebut membunuh dengan menerkam dan menggigit gigit mangsanya hingga muka herot berot..haha..
Dan aku juga agak hairan, musim cuti sekolah sudah bermula, namun apa relevannya kesemua pelajar tersebut masih berpakaian sekolah bagi melakukan tugasan mengutip sampah dan membersihkan sekolah tanpa ditemani guru? Bukankah mereka sepatutnya berpakaian sukan?
Bagi penggemar filem seram, eloklah menonton filem ini kerana walaupun tidak sehebat filem seram yang lain, sekurang- kurangnya James Lee telah berjaya membuatkan filem ini menjadi "sesuatu".
***
Jumaat, 5 Disember 2008
TRANSPORTER 3

Buat pertama kalinya aku telah menghadiri pratonton filem Transporter 3 di Cineleisure, Damansara secara berseorangan kerana Ares sedang berada di Perak bagi menghabiskan musim cuti semesternya. Aku sedar aku bukanlah orang yang sesuai untuk menulis review bagi filem ini kerana aku lebih sukakan filem-filem bergenre fantasi dan sains fiksyen berbanding Ares yang sememangnya gemarkan filem aksi dan letupan sebegini.
Bak kata rakan blogku Ray dan Megat, filem ini sama sekali tidak sesuai untuk ditonton oleh sekalian para pesakit jantung, ibu-ibu mengandung, pesakit kencing manis, diabetes dan sebagainya bagi memastikan kemandirian kehidupan mereka.haha..
Filem ini, seperti yang anda sedia maklum adalah merupakan francais ketiga dalam siri Transporter. Aku yang tidak pernah menonton 2 francais sebelumnya menjangkakan bahawa filem ini mungkin akan menimbulkan banyak pertanyaan dari segi naratifnya, kerana ianya mungkin bersangkut paut dengan filem terdahulu namun aku silap. Filem ini yang sarat dengan aksi menpunyai jalinan naratif yang....erm....walaupun tidak terlalu mudah namun masih mampu aku fahami dan tidak membosankan berbanding dengan kebanyakan filem francais yang lain.
Menariknya filem ini adalah penggunaan elemen seni mempertahankan diri dari Benua Asia iaitu kungfu ,melawan penggunaan senjata moden iaitu pistol yang dilihat menggambarkan ketangkasan dan kekemasan seni beladiri tersebut. Dan ya, aku sukakan heronya Frank Martin lakonan mantap Jason Statham yang kelihatan sangat sexy pada kanta mataku, berbanding dengan heroinnya Valentina yang mempunyai wajah yang...hurm...eksotik namun freckles yang memenuhi wajahnya itu agak membuatkan aku merasa annoyed. (maaf, ini bukan atas dasar cemburu sesama kaum wanita..haha..)***
Ok, cukup tentang pelakon. Filem ini mengisahkan tentang syarikat pembuangan sisa berjadual, ECOCORP yang telah membeli hak pembuangan sisa toksik di Ukraine. Namun, masalah terbesar mereka adalah Menteri Alam Sekitarnya yang telah merancang strategi pembaikpulihan alam sekitar secara besar besaran, bermakna, pembuangan sisa toksik di mana-mana sudut negara itu adalah diharamkan sama sekali.
Hal ini menimbulkan kesulitan buat pihak ECOCORP, yang memerlukan tandangan menteri itu sebelum mampu beroperasi, dan mengupah Jonas Johnson, bekas ahli Delta Force untuk mendapatkan tandatangan tersebut bagi pihak mereka. Jonas kemudiannya telah mengugut menteri itu dan memaksa Frank Martin membantunya dalam penghantaran 'Pakej' tersebut di tempat yang telah mereka tetapkan melalui sistem GPS kereta yang dipandu beliau.
Dari titik tersebut bermulalah tugas Frank Martin dalam misi penghantaran 'Pakej' ke destinasi yang dirahsiakan bertemankan seorang gadis manis, Valentina dengan gelang tangan berteknologi tinggi yang akan meletup sekiranya mereka berada lebih dari seratus kaki dari kereta tersebut. Dari sini bermulalah episod perjalanan yang mendebarkan dan dipenuhi aksi-aksi hebat dan mengujakan dalam usaha Frank Martin bagi merungkai rahsia tujuan sebenar penghantarannya dan misteri identiti Valentina.
***
Filem ini sangat disyorkan oleh aku kepada pada pencinta filem aksi yang dalam masa yang sama dahagakan momen- momen romantik bersama pasangan. Filem ini mampu mencetuskan idea idea baru bagi mengharmonikan rumah tangga kalian (Itupun jikalau kalian berani mencuba aksi tarian yang baru dan bertubuh sasa seperti heronya... :) ).
Selain itu, mesej kesedaran jalanraya turut diselitkan oleh heronya dan disebutkan secara pengulangan, dengan ayatnya,'fasten your seatbelt'. Mesej ini sesuai dengan saranan pihak kerajaan Malaysia yang telah mewar-warkan penggunaan tali pinggang keledar bagi penumpang tempat duduk belakang kereta berkuatkuasa 1hb Januari 2009. Haha..
Terdapat juga banyak dialog pengulangan di dalam filem ini, dan babak yang dilihat mempunyai similarity contohnya babak memancing pada pengawalan cerita diantara Frank Martin dan Inspektor, yang diulangi pada babak terakhir filem ini.
***
Secara kesimpulannya, banyak lagi yang ingin aku bincangkan di sini mengenai plot dan naratif, namun aku tidak mahu ianya menjadi spoiler pada kalian yang ingin menontonnya kelak.
Filem ini aku rasakan amat berbaloi ditonton oleh mereka-mereka yang gemarkan aksi dan letupan. Pergilah menonton di pawagam berhampiran hari ini.
Haa...apa tunggu lagi??? Pergi lah sekarang...
Ahad, 30 November 2008
KINTA

KINTA.
Aku berpeluang menghadiri pratonton filem Kinta yang juga dijadikan sebagai salah satu acara KLIFF di GSC Pavilion. Filem ini merupakan sebuah filem yang aku nanti-nantikan. Ada empat sebab mengapa aku nantikan filem ini. Pertama, ianya disebabkan aku adalah orang Perak. Kinta (daerah) begitu akrab dengan aku. Dua, adalah disebabkan filem ini merupakan filem Malaysia yang berjaya menembusi pasaran US sekaligus membuatkan aku teruja untuk menilai sejauhmana kehebatan filem tersebut. Tiga, adalah merupakan sebab paling utama iaitu aku sememangnya meminati filem ‘martial art’ terutamanya kung fu dan filem Kinta ini dengan sogokan ‘The First Malaysian Martial Art Movie’ amat menggiurkan aku. Namun, aku pasti ramai yang tak bersetuju apabila ianya dilabelkan sebagai filem pertama ‘seni mempertahankan diri Malaysia’. Hal ini boleh dibahaskan di dalam komen , ok? Aku sendiri pun tak bersetuju, sekarang ini tengah mengkaji balik filem-filem Malaysia lain yang boleh dikategorikan sebagai filem ‘martial arts’. Sebab yang keempat adalah ‘poster’nya. Sangat mengujakan.
Filem ini telah diarahkan oleh CL Hor. Seorang pengarah yang sangat asing dalam industri filem Malaysia yang didominasi filem-filem berbahasa Melayu namun filem Kinta ini bukanlah filem pertama arahannya. Filem pertama yang diarahkan beliau adalah The Third Generation. Kinta pula merupakan filem arahan beliau yang kedua. Sebelum ini, CL Hor merupakan seorang penata seni di dalam bidang komersil dan tidak hairanlah penonton dapat menyaksikan hasil sinematografi yang sangat indah di dalam filem ini yang jarang-jarang dapat disaksikan dalam filem-filem tempatan yang lain. Begitu juga dengan aspek mise-en-scene di dalam filem ini. Sangat-sangat diambil kira.
Selain itu, aksi pertarungan yang melibatkan seni kung fu/wushu di dalam filem ini sangat meyakinkan. Kali pertama aku menyaksikan sebuah filem Malaysia yang menghidangkan aksi ‘sparring’ yang meyakinkan dan mendebarkan. Hal ini mungkin disebabkan filem ini menggunakan pelakon yang terdiri daripada jaguh-jaguh wushu yang juga merupakan johan wushu di peringkat antarabangsa iaitu Robin Ho, Johan Wushu Dunia sebanyak 2 kali, David Bao, Johan Taichi China sebanyak 2 kali, Michael Chin, Johan Wushu Nasional sebanyak 3 kali, Shawn Lee, Johan wushu bebas Nasional sebanyak 6 kali dan Kwan Fei Jun, Johan Wushu Nasional sebanyak 11 kali.
Para pelakon yang sememangnya telah menguasai seni mempertahankan diri ini telah menjayakan aksi-aksi pertarungan di dalam filem Kinta ini.
Filem ini berlatarbelakangkan daerah Kinta, pada kurun ke 18 di mana aktiviti perlombongan merupakan aktiviti ekonomi yang sangat menguntungkan di Tanah Melayu. Terhimpit di antara perebutan kuasa, pengkhianatan dan ketamakan kumpulan-kumpla kongsi gelap untuk menguasai lombong bijih timah. 4 orang sekawan iaitu Dragon, Tiger, Ace, dan Blaze yang berkerja di lombong bijih timah, terpaksa berjuang dan bertarung demi ‘survival’ mereka di bumi asing. ‘In the battle of justice, Fists speak louder than words!’.tag line yang telah menerangkan segala-galanya.
Sebaik kredit awal aku dapat menghidu bau-bau Sin City, Robert Rodriguez. Adegan-adegan awal pula aku melihat ‘dejavu’ 300 Zack Snyder. Penonton dapat mengesan similarity sinematografi 300 yang ketara di dalam filem. Kurang originality tetapi aku suka! Filem Malaysia sudah menapak selangkah lagi menghampiri Hollywood walau perjalanannya masih beratus batu jauhnya. Bagi aku tiada masalahnya jika filem kita kurang originality, atau kata lainnya ‘meniru’. Meniru adalah salah satu dari aktiviti pembelajaran. Meniru dan mencontohi sesuatu yang bagus adalah satu aktiviti pembelajaran yang sihat apatah lagi bagi industri filem Malaysia ini.
Ada satu perkara yang unik (tetapi mengganggu aku) di dalam filem ini. Semburan darahnya adalah CGI. Pada awalnya aku tidak faham kenapa pengarah meng’CGIkan darah di dalam filem ini sehinggalah sewaktu sesi soal jawab bersama media pengarah menjelaskan bahawa darah CGI itu adalah bagi tujuan efek filem tersebut di dalam format 3D dan IMAX. Aku tidak pasti samada versi 3D filem ini akan dipasarkan di Malaysia atau hanya untuk pasaran US. Yang pasti, sekiranya di dalam versi 3D, darah CGI itu kemungkinan besar akan terpercik ke muka penonton. Tetapi sekiranya di dalam versi biasa, darah CGI itu menerbitkan perasaan annoying aku. Sungguh surrealis.
Filem Kinta ini sudah memenuhi standard filem komersil internasional sekiranya dinilai dari segi kualiti visual dan sinematografinya. Namun bagi pandangan aku kekurangan yang sangat jelas filem ini adalah dari segi plot dan subplotnya. Terlalu banyak karekter yang ingin diperjelaskan motivasinya sehingga terlalu banyak plotnya.Kadangkala plot yang di hasilkan itu seolah-olah tiada signifikan dan tidak banyak membantu naratif. Salah satu contohnya adalah plot percintaan di antara Tiger dan anak perempuan tokey lombong. Plot percintaan yang tidak kemana dan tidak signifikan kerana selain dari memasukkan elemen cinta (cinta 2 darjat), ianya tidak memberi impak kepada naratif.
Selain itu terdapat repeatition scene yang aku tidak nampak relevannya. Pengulangan scene ini memberi penonton menyaksikan adegan yang sama berulang sebanyak dua kali. Scene ini dapat dilihat sewaktu flashback-flashback watak. Aku juga tidak faham apa relevannya pengulangan scene ini. Terdapat dua atau tiga scene yang berulang kalau aku tidak silap. Kalau aku menonton DVD sudah pasti aku sangka DVD itu tersangkut dan terulang kebelakang. Scene yang sama yang berulang dua kali dengan hanya warna yang membezakan iaitu (sephia) bagi scene flashback.
Dan yang paling spoil adalah filem ini adalah sebuah filem anti klimak. Filem yang tamat mengejut. Sebaik sahaja tamat pertarungan bagi menentukan hak penguasaan lombong. Filem tamat. Aku melopong. Tiada orgasme.
Menonton filem Kinta ini, sekiranya aku tidak tahu ia dibikin oleh pengarah tempatan. Sudah pasti aku sangkakan ianya sebuah fiem Hong Kong. Aku jangkakan filem ini mungkin menimbulkan polemik di kalangan penggiat dan pengkritik industri samada ianya boleh dilabelkan sebagai sebuah filem yang dianggap Sinema Malaysia. Lebih 80 peratus dialognya adalah di dalam bahasa cina (mandarin atau kantonis?maaf aku tidak tahu). Pelakon-pelakon utamanya terdiri dari kaum Cina.
Bagi aku, aku melabelkannya sebagai sebuah filem Malaysia. Kerana ianya dibikin di Malaysia. Pengarahnya dari Malaysia, begitu juga sebahagian besar krewnya. Konsep sinema Malaysia ini terlalu kompleks untuk dibahaskan di sini.
Cuma aku tidak bersetuju penonjolan sumpit sebagai senjata orang-orang Melayu di dalam filem ini. Orang Melayu tidak menggunakan sumpit sebagai senjata. Orang Melayu guna keris atau tombak. Sumpit itu bukan senjata melayu. Itu senjata orang-orang asal/asli (melayu proto). Yang lain, walau agak pahit, tetapi aku dapat terima seperti penonjolan melayu yang tidak berkasut dan hanya berkemban. Kurun ke 18 orang melayu (rakyat biasa) majoritinya masih tidak berkasut dan berkemban.
Akhir sekali, Filem Kinta ini sememangnya sebuah filem yang sesuai kepada mereka-mereka yang gemarkan filem ‘martial arts’. Bagi mereka yang menyokong filem-filem Malaysia dan menyokong industry filem Malaysia, filem ini sangat dicadangkan untuk ditonton. Saksikan sendiri sebuah filem Malaysia yang ‘baru’.
Sabtu, 29 November 2008
TWILIGHT- Kisah Jiwang Pontianak Jambu. Tiada darah. Hanya manis-manis sahaja.

Aku telah menghadiri Tayangan Perdana filem Twilight yang diarahkan oleh Catherine Hardwicke baru-baru ini di GSC Pavilion.
Pada mulanya di dalam kepala otak aku. Aku membayangkan bahawa filem ini adalah sebuah filem pontianak yang sudah pastinya dipenuhi dengan adegan cekik-mengcekik dan hisapan darah walau aku agak sceptical dengan kejambuan Robert Pattinson si hero pontianak yang melakonkan watak Edward Cullin.
Rupanya sangkaan aku meleset. Filem Twilight bukanlah sebuah filem yang aku bayangkan. Atau sehorror tajuknya. Filem ini lebih sesuai dilabelkan dibawah genre Thriller,Fantasy atau Romance.
Filem ini megisahkan tentang seorang gadis yang bernama Bella Swan(Kristen Stewart) yang telah berpindah dari Phoenix ke sebuah kawasan terpencil di Washington iaitu Fork untuk menetap bersama bapanya selepas ibunya berkahwin lagi. Di Fork, sewaktu di sekolah, Bella telah bertemu dengan seorang budak lelaki yang jambu tetapi berperangai pelik iaitu Edward Cullin. Pertemuan awal yang singkat ini memberi impak yang cukup kuat apabila Bella merasakan ada sesuatu yang aneh dan misteri berkenaan Edward manakala bagi Edward pula, Bella telah menaikkan selera pontianaknya. Tarikan kimia diantara mereka berdua yang kompleks ini akhirnya menjadikan mereka rapat dan mesra. Dan ini telah membibitkan rasa cinta diantara mereka.
Bella kemudiannya mengetahui bahawa jejaka idamannya itu adalah pontianak. Tetapi itu tidak menghalang cinta mereka kerana Edward dan keluarganya merupakan pontianak yang tidak mencekik manusia. Mereka hanya minum darah haiwan bagi menggantikan darah manusia. Masalah timbul apabila sekumpulan pontianak lain membuat onar di Fork dan salah satu dari pontianak tersebut mula memburu Bella. Ini telah memaksa Edward dan keluarganya melindungi Bella. Bermulalah konflik berdarah yang mecemaskan.
***
Geng-geng yang menonton filem ini bersama aku pada tayangan perdana rata-ratanya mengatakan bahawa filem ini bergerak agak lambat dan berjela-jela. Dragging. Aku juga bersetuju dengan mereka.
Ini adalah kerana kami semua beranggapan bahawa filem ini akan dipenuhi dengan adegan pontianak yang akan mengeluarkan taringnya dan mengcekik mangsanya. Kami semua menantikan saat horror tersebut. Yang malangnya tak kunjung tiba. Haha.
Pontianak di dalam filem ini tiada taring. Tiada kepak. Tiada kuku tajam. Semuanya jambu. Melihat wajah solek pucat bibir merah yang jambu sebegini aku teringatkan band Duran Duran yang popular era 80an dulu. 3 ekor pontianak antagonis sahaja yang membunuh orang. Itupun tiada adegan pembunuhan ditunjukkan. Oleh itu, bagi anda yang belum menonton, aku sarankan anda tukar mind setting anda. Letakkan di minda dan sanubari bahawa filem ini merupakan filem romantik, filem cinta remaja. Romeo dan Juliet versi pontianak. Juga boleh dianggap filem fantasi yang mempunyai sedikit unsur-unsur thriller.
Sekiranya anda sudah betulkan mind setting anda. Aku percaya anda akan enjoy menonton filem ini. Jujurnya, aku agak enjoy menonton filem ini. Walau ceritanya dragging tetapi aku dapat follow plotnya tanpa bosan.
Adegan yang paling aku suka adalah adegan keluarga Cullin bermain besbol sewaktu hujan ribut diiringi dengan lagu Supermassive Black Holes dari Muse. Pop gila!
Adegan yang paling spoil bagi aku adalah sewaktu Edward ingin menunjukkan dirinya yang sebenar kepada Bella. Edward berdiri di bawah sinaran matahari untuk menunjukkan rupanya yang sebenar. Bagi kita yang sudah biasa menonton filem-filem vampire sudah pasti tahu bahawa pontianak tak boleh terkena cahaya matahari. Oleh itu, sangkaan aku di dalam scene ini sudah pasti Edward akan melecur, atau rupanya berubah menjadi hodoh. Sangkaan aku salah. Edward tak jadi hodoh. Tapi kulitnya berkelip-kelip/bertwinkle-twinkle dengan cahaya yang sungguh mempesonakan. Haha. Jiwang sungguh.
***
Filem Twilight ini merupakan filem yang sesuai ditonton oleh remaja dan adik-adik yang sedang bercuti sekolah. Hero dia jambu habis. Heroin dia pula cun habis. Pontianak-pontianak dia pun lawa-lawa.
Jangan pula lepas ni ada yang yang berangan nak jumpa pontianak sebegini di Malaya. Haha. Pengsan korang nanti.
POPCORN DAN COKE
POPCORN DAN COKE.
Mengandungi F Word dan kandungan yang explicit. Harap maklum. :)
Isnin, 24 November 2008
Ini bukan ulasan. Sekadar lalutan.
Ya, masa tu aku naif. Idea nak jadi filmaker itu wujud selepas aku terpengaruh dengan novel Hizairi Othman, Jukstoposisi.(Mana ya, Hizairi Othman pergi?)
Selepas 3 tahun aku grad Diploma Seni Layar(Penulisan),Uitm. Aku terus kerja. Buat Freelance. Aku tolak untuk sambung ijazah pada masa tu. Ghairah nak masuk industri.
Dua tahun setengah Freelance, Macam-macam job position aku buat. Dah nama freelance, Bukannya boleh berkira sangat. Asal ada job je sambar. Dari pencacai produksi atau nama manisnya P.A. Runner.Propmaster.Budak Konti. Assistant PM. sehinggalah Technical Crew.Sempat berkerja di bawah Prof. Razak. Khabir Bhatia. Haris Kadir. Dan satu drama Cina yang sampai sekarang aku tak dapat lagi paymentnya. Haram sungguh.
Dalam masa dua tahun setengah yang tidak lah berapa panjang tu sedikit sebanyak aku kenal tentang rupa sebenar Industri Filem Malaya. Diploma aku boleh jadi pembungkus kacang rebus. Tidak ada bezanya aku yang ada Diploma ni dengan krew lepasan SPM. Aku tetap kena mula dari bawah. Tetap kena bancuh air. Gulung dan bersihkan kabel. Pendek kata, kau kena ada pengalamanlah kalau nak kerja dalam industri ni, kalau tak bawaklah ijazah pun, tetap kau kena jadi pencacai dulu.
Muak dengan caci maki dan sedatif metaphetamine/Marijuana (aku nak sangat jumpa krew teknikal yang tak ambil dadah?ada ke?hahaha) serta kecewa dengan realiti industri filem Malaya aku ambil keputusan sambung belajar balik. Sekarang aku dalam tahun dua pengajian aku dalam Sarjana Muda Teknologi Kreatif dan Artistik, Seni Layar (Kepujian).
Dua tahun setengah itu masa yang singkat tetapi dari pengalaman pelbagai position dalam produksi, Jika ada berani yang kata aku tak tahu lagi rupa bangsat industri filem ni. Memang sengaja nak aku jerit Fuck You kat muka dia.
Dan sebab aku sedar diri, ilmu aku masih tidak cukup dan aku tahu betapa sukarnya nak buat filem yang 'berisi' dan 'bermakna'. Maka aku sambung belajar balik.
Aku teringat abang Haris Kadir pernah kata kat aku;
" Kau sambunglah belajar balik. Buat filem dengan drama ni kena ada ilmu. Bukan pengalaman aje."
Thanks Abang Haris.
***
Aku hairan. Sejak kebelakangan ni aku terperasan siaranTV di Malaysia sudah menjadi seperti siaran TV Indonesia. Aku baru perasan, sebab aku student yang tiada masa nak tengok TV, cuma pada dua minggu kebelakangan ni aku berpeluang menonton Televisyen.
Kenapa ya?
dari Tengah Hari, Petang bawa ke malam drama-drama atau sinetron Indonesia disiarkan di peti TV.
Di mana drama-drama melayu Malaysia?
Lagi satu yang aku tidak faham adalah kadangkala terdapat unsur-unsur Kristianiti yang terselit di dalam sinetron-sinetron yang kononnya berunsur keagamaan (Baca:Islam) yang terlepas pandang oleh lembaga penapisan yang secara tidak sedar boleh memesongkan akidah umat Islam.
Sebagai contoh dialog dalam 'Anakku Bukan Anakku'. Terdapat seorang wanita yang mengucapkan dialog ini;
" Allah tidak akan menganiayai anak-anaknya"
Ini jelas menunjukkan terdapatnya elemen kristianiti yang dipanggil Triniti iaitu Tuhan Bapa, Tuhan Anak dan Roh suci dalam dialog ini.
Di dalam Islam. Allah itu tidak beranak dan tidak diperanakkan.
Entah aku pun tidak berapa pandai sangat dalam bab agama. Tapi aku tahu ayat ini salah.
Aku tahu yang aku tidak boleh halang stesen TV dari menyiarkan sinetron-sinetron Indonesia ini. Mereka kapitalis. Mereka fikir untung. Selagi ada permintaan. Selagi itulah mereka tawarkan sinetron-sinetron begitu. Yang aku boleh buat adalah aku tak tengok sinetron itu.
Aku patriotik.
***
Kalau orang tanya kau ambil berat tak tentang hidup Industri Filem Malaysia.
Aku akan jawab;
" Aku lebih ambil berat tentang penonton filem Malaysia"
Ini adalah aku sedar bahawa penonton Malaysia mahukan filem-filem yang 'best'. (Pinjam ayat Yasmin Ahmad)
Oleh itu, cakaplah apapun pada aku. Ulasan atau review filem yang aku buat ini nak melingkupkan industri filem Malaysia atau apa. Aku tak peduli.
Aku berpihak kepada penonton. Penonton berhak mendapat tahu kualiti sebenar sesebuah filem yang hendak ditontonkan kepada mereka.
Kalau filem itu 'best'. Maka 'best'lah yang aku cakap. Dan penonton berhak dapat tahu yang filem itu 'best'.
Tapi kalau filem itu macam celaka. maka 'celaka'lah yang aku cakap. Penonton berhak dapat tahu yang filem itu 'celaka'.
Biar penonton decide samada mereka hendak menontonnya atau tidak. Jangan salahkan penonton sekiranya filem yang celaka itu tidak laku. Dan jangan salahkan blogger atau pengulas filem di akhbar sekiranya filem 'celaka' itu di ulas sebagai 'celaka'. Dan kemudianya bagi pembikin filem, haruslah berhati-hati supaya tidak menghidangkan sesuatu yang celaka kepada penonton agar filem anda tidak mendapat kecelakaan.
Apa pun aku tahu bahawa penonton tidak bodoh. Sila lihat quotation Quentin Tarantino di sebelah. Dan bagi menghormati mereka, aku juga akan mengulas dengan penuh rasa bertanggugjawab. Setiap 'best' dan 'celaka' di dalam filem itu akan aku rasionalkan.
Penggemar dan penghargaan penonton terhadap sesebuah filem Melayu itu semakin bertambah. Harapan mereka besar utuk menonton filem Melayu yang berkualiti dan 'best'.
Jangan khianati mereka.
Hasilkan filem yang 'best'.
***
Aku baru dapat berita baik dari Uitm. Pihak Uitm dan fakulti telah memilih skrip aku untuk dijadikan short filem yang akan diarahkan oleh aku sendiri.
Bajet yang diberi almost RM 5k.
Dengan izin Tuhan shooting awal bulan 12 ini. Bila dah siap nanti. Bolehlah korang semua kutuk filem aku puas-puas ok?
haha.
End.
